Mengintegrasi Pensyarah, Industri
Thursday, June 14th, 2007
Today (14 June 2007) my article had been published in one of the most grabbed local Malay newspapers.
Hehehe, I’m lying if I say that I am not happy and proud for it. But, on top of that, the main point why did I wrote that article was I am fully agreed with the idea that academics need to have their hands-on experience in the real industry. It would benefit them in terms of enriching their understanding about the industry and its latest development. And for sure, students will be benefited with most of this idea because their lecturers provide them with a total latest KSA (knowledge, skills and abilities) that fit with their future workplace needs…see what I mean?
So this is the entry published in the newspaper today:
Mengintegrasi Pensyarah, Industri
ACAP kali kita mendengar isu siswazah universiti yang tidak memiliki tahap pengetahuan dan kemahiran yang diharapkan oleh industri. Secara zahirnya seolah-olah siswazah sendiri yang bersalah kerana tidak kompetitif dan tidak cukup berkemahiran.
Laporan akhbar yang menyiarkan cadangan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed, baru-baru ini yang menyarankan agar para pensyarah di institusi pengajian tinggi membuat latihan praktikal di industri sangat menarik perhatian.
Ini merupakan bukti bahawa kerajaan benarbenar serius untuk memartabatkan kecemerlangan dan kualiti para pensyarah dan institusi pengajian tinggi di Malaysia. Pelaksanaan cadangan ini akan menjadi satu titik-tolak yang sangat bermakna bagi meningkatkan kredibiliti siswazah yang akan dihasilkan sesebuah universiti sejajar dengan kehendak pasaran semasa.
Selain itu, usaha mengintegrasikan pensyarah universiti dengan industri melalui latihan praktikal sebegini adalah satu strategi bersifat serampang dua mata. Bak kata pepatah sambil berdiang nasi masak, ia dianggap pembuka mata dan perspektif pensyarah tentang perkembangan semasa di industri.
Tidak disangkal, pensyarah universiti di mata masyarakat adalah golongan bijak pandai yang sarat dengan ilmu pengetahuan di dada mengikut bidang dan kepakaran masing-masing. Pensyarah universiti menjadi sumber rujukan untuk penyelesaian bagi sebarang isu semasa yang timbul berkaitan dengan bidang mereka.
Pun begitu, mereka masih perlu mendalami praktis dan perkembangan sebenar ilmu tersebut di dalam industri. Kepesatan dan pembangunan di dalam industri kadangkala menyebabkan teori-teori dan ilmu yang dimiliki dan diajar di universiti menjadi lapuk ditelan zaman.
Akhirnya, kualiti pembelajaran yang diterima oleh para pelajar turut ketinggalan. Natijahnya, kesan buruk ditanggung siswazah kerana kurangnya pengetahuan dan kemahiran yang diharapkan industri. Justeru, cadangan untuk ahli akademik universiti bergelumang dan menyertai industri secara hands-on adalah sangat wajar dan perlu disahut dengan nada yang positif di kalangan mereka.
Penglibatan di dalam latihan praktikal di industri bukanlah satu trend atau fenomena asing di kalangan pensyarah universiti di negara-negara lain. Ternyata ia menjadi ‘budaya akademik’ yang utama bagi mereka selain daripada mengendalikan kuliah dan penyelidikan semata-mata.
Begitu juga dengan sebilangan kecil pensyarah di universiti tempatan yang bijak mengambil inisiatif menyertai industri untuk memantapkan pengetahuan mereka. Namun, masih juga perlu ada kesedaran bersifat kolektif di kalangan semua pensyarah untuk berbuat sedemikian.
Apa yang pasti, usaha kerajaan menggalakkan pensyarah universiti untuk melihat sendiri dunia sebenar di dalam industri perlu dilihat dari perspektif yang terbuka.
And this is the exact full transript that I conveyed to the tabloid before they short-cut and edited it:
Mengintegrasikan Pensyarah Universiti dan Industri
Acap kali kita mendengar isu siswazah universiti yang tidak memiliki tahap pengetahuan dan kemahiran yang diharapkan oleh industri. Secara zahirnya seolah-olah siswazah sendiri yang bersalah kerana tidak kompetitif dan tidak cukup berkemahiran. Lantaran itu, siswazah juga yang terpaksa menanggung kesan kesukaran mendapatkan kerja, dek kerana tiada sesiapa yang berminat dengan segulung ijazah dan resume yang diusung ke hulu ke hilir. Masyarakat umumnya perlu faham bahawa ada pihak-pihak lain yang perlu jua dipertanggungjawabkan di atas isu ini. Pada pandangan saya, universiti dan pensyarah memainkan peranan penting untuk mengatasi permasalahan yang ditanggung siswazah ini.
Saya sangat tertarik kepada laporan akhbar Utusan Malaysia tentang cadangan Datuk Mustapha Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi baru-baru ini. Beliau telah menyarankan agar para pensyarah di institusi pengajian tinggi membuat latihan praktikal di industri. Ini merupakan bukti bahawa kerajaan benar-benar serius untuk memartabatkan kecemerlangan dan kualiti para pensyarah dan institusi pengajian tinggi di Malaysia. Pelaksanaan cadangan ini akan menjadi satu titik tolak yang sangat bermakna bagi meningkatkan kredibiliti siswazah yang akan dihasilkan sesebuah universiti sejajar dengan kehendak pasaran semasa.
Selain itu, usaha mengintegrasikan pensyarah universiti dengan industri melalui latihan praktikal sebegini adalah satu strategi bersifat serampang dua mata. Bak kata pepatah sambil berdiang nasi masak, ia dianggap pembuka mata dan perspektif pensyarah tentang perkembangan semasa di industri. Tidak disangkal, pensyarah universiti di mata masyarakat adalah golongan bijak pandai yang sarat dengan ilmu pengetahuan di dada mengikut bidang dan kepakaran masing-masing. Pensyarah universiti menjadi sumber rujukan untuk penyelesaian bagi sebarang isu semasa yang timbul berkaitan dengan bidang mereka. Pun begitu, mereka masih perlu mendalami praktis dan perkembangan sebenar ilmu tersebut di dalam industri. Kepesatan dan pembangunan di dalam industri kadang kala menyebabkan teori-teori dan ilmu yang dimiliki dan diajar di universiti menjadi lapuk ditelan zaman. Akhirnya, kualiti pembelajaran yang diterima oleh para pelajar turut ketinggalan. Natijahnya, kesan buruk ditanggung siswazah kerana kurangnya pengetahuan dan kemahiran yang diharapkan industri. Justeru, cadangan untuk ahli akademik universiti bergelumang dan menyertai industri secara ‘hands-on’ adalah sangat wajar dan perlu disahut dengan nada yang positif di kalangan mereka.
Penglibatan di dalam latihan praktikal di industri bukanlah satu trend atau fenomena asing di kalangan pensyarah universiti di negara-negara lain. Ternyata ianya menjadi ‘budaya akademik’ yang utama bagi mereka selain daripada mengendalikan kuliah dan penyelidikan semata-mata. Begitu jua dengan sebilangan kecil pensyarah di universiti tempatan yang bijak mengambil inisiatif menyertai industri untuk memantapkan pengetahuan mereka. Namun, masih jua perlu ada kesedaran bersifat kolektif di kalangan semua pensyarah untuk berbuat sedemikian. Perbualan bersama dua orang penyelia PhD saya baru-baru ini turut berkisar kepada isu pensyarah dan latihan praktikal. Mereka berpendapat, masih wujud jurang pemisah di antara nilai ilmu yang diajar di universiti dengan perkembangan pengetahuan di lapangan industri. Pensyarah sendiri perlu maklum bahawa kandungan pengajaran yang disampaikan kepada pelajar itu masih relevan atau tidak dengan perkembangan dan keperluan semasa. Mereka berseloroh, ‘takkan kita masih nak mengajar silibus bagaimana membina sebuah kapal terbang kertas, sedangkan manusia sudah mampu menjejakkan kaki di bulan’? Mereka menambah lagi bahawa untuk mengurangkan dan menghilangkan jurang sebegini, ahli akademik bertanggungjawab menyingsing lengan dan ‘turun ke padang’ dengan menyertai aktiviti di industri. Mereka perlu lihat sendiri apa yang sebenarnya wujud di lapangan industri. Contohya pensyarah bidang pengurusan sumber manusia yang menyertai latihan industri akan mengetahui sistem pengurusan yang digunapakai oleh sesebuah organisasi dalam mentadbir para pekerja. Bagi pensyarah kejuruteraan pula, pasti akan dapat memahami penggunaan jentera, perisian atau teknologi mutakhir yang diaplikasi dalam industri.
Keleher dan Toft (2006) di dalam prosiding bertajuk ‘Practitioner and academia partnerships: establishing meaningful and relevant postgraduate learning experiences’ yang dibentangkan dalam Seminar Australasian Association for Engineering Education (AAEE) di Auckland baru-baru ini, turut memfokuskan keperluan ahli akademik mendasari perkembangan di industri. Prosiding mereka ini menggagaskan bahawa pertamanya, kerjasama ahli akademik dan industri perlu dipupuk erat ibarat ‘aur dengan tebing’. Keduanya, kerjasama sebegini akan mewujudkan perkongsian pintar di antara universiti dan industri. Ahli akademik di universiti membantu industri memajukan produk mereka melalui program penyelidikan dan pembangunan. Manakala industri menyediakan ruang seluas-luasnya untuk ahli akademik mendasari dan mengembangluaskan nilai-nilai ilmu pengetahuan mereka. Perkongsian pintar sebeginilah yang ditegaskan oleh Datuk Kong Cho Ha, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam ucapannya kepada media baru-baru ini. Beliau mengandaikan terdapat kewajaran untuk institusi pengajian tinggi dan industri bekerjasama menggubal kurikulum kursus yang ditawarkan supaya pengisiannya memenuhi keperluan industri.
Apa yang pasti, usaha kerajaan menggalakkan pensyarah universiti untuk melihat sendiri dunia sebenar di dalam industri perlu dilihat dari perspektif yang terbuka. Pun begitu, penglibatan di dalam industri melalui latihan praktikal sebegini mesti diselaraskan dengan bijak dan adil, umpama menarik rambut di dalam tepung. Umum sedia maklum bahawa pensyarah universiti sudah sarat dengan tanggungjawabnya yang pelbagai bukan sahaja kepada para pelajar dan universiti, malah kepada agama, bangsa dan negara. Jika sesuatu tanggungjawab yang baru hendak diberikan, ada kewajarannya untuk diteliti dan diperhalusi sebaiknya supaya mereka tidak merasa terbeban. Mungkin elok juga jika dicadangkan latihan praktikal oleh pensyarah universiti ini nanti dijadikan salah satu indikator yang diambil kira untuk tujuan sasaran kerja tahunan atau penilaian prestasi semasa mereka.
Kepada pensyarah universiti pula, sedarlah bahawa usaha mengintegasikan diri dengan industri mempunyai nilai tambah yang sangat relevan untuk memantapkan kualiti akademik anda sendiri. Tepuklah dada, tanyalah selera!
KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,
BUNDOORA, MELBOURNE.
Istighasah, boleh ke tak?
-
Tengok ada ulamak berbeza pendapat, ada yang tafsir syirik sebab minta
dengan orang mati, ada yang kata tak syirik, sebab bukan minta pada orang
mati, ta...
4 days ago
0 comments:
Post a Comment