friendster blog aku punya entry yang paling panjang dalam taun 2008..hehehe..
Monday, May 19th, 2008
Pak Long cukup bersemangat mengancing butang-butang kemeja putihnya, setelah bertepek-tepek bedak Johnson&Johnson dilumur ke badan. Balik saja dari surau selepas subuh, dia sudah beriya-iya menyuruh mak long menyediakan pakaian dan sarapan seawal mungkin. Hari ini dia nak ke pekan, menguruskan hal-hal peribadinya di pejabat gomen. "Alah…Kalau lambat nanti ramai orang beratur, aku malas nak menunggu!" ujarnya bila mak long menegur kenapa sekadar meneguk kopi ‘O’ kegemarannya tanpa mengusik nasi goreng yang dah disiapkannya. "orang tua ni beriya benar suruh aku buat sarapan, ni sapa nak makan ni?" rungut mak long dalam hati.
Di daun pintu hadapan rumah, pak long menyarungkan kaki dengan capal Mekah kegemarannya, sambil membetul2kan kopiah putih bertahi lalatnya dia mengatur langkah menuju ke perhentian Bas. Berasak-asak menaiki bas dengan budak-budak hendak pergi ke sekolah dan muda-mudi yang hendak ke pejabat tidak menjadi hirauannya. Dalam kepala Pak Long asyik terbayang-bayang muka pegawai yang sudah dua kali dalam bulan ni meminta Pak Long datang semula ke pejabatnya. Bagi warga emas 70-an ini untuk menyelesaikan urusan ‘mendapatkan cap jabatan dan tandatangan’ ini dirasakan sangat penting. mahu tak mahu kena ikut arus orang lain. silap2 melawan arus, apa yang dicitakan menjadi sulit, bahkan jadi tak ubah bagai yang dikendong berciciran yang dikejar berdecit-decit melarikan diri.
Sampai di pekan, Pak Long menghayunkan lagi ratusan langkah menuju ke pejabat gomen itu. Habis basah belakang kemejanya disimbah peluh. Sapu tangan Pak Long pun nampak lencun mengesat keringat yang mencurah2 di dahi. Biarpun bening pagi tidak sepanas mana, tapi kederat orang tua begitulah rupanya. Selangkah orang muda, tak sama dengan 4 langkah orang tua gayanya. Sekali sekala Pak Long berhenti di tepi jalan, melepaskan lelah. Namun Pak Long masih mampu menyeringai. Mana taknya, pegawai muda sebaya cucunya yang ditemui dua kali dalam bulan ni berjanji untuk menyelesaikan ‘urusan cap jabatan dan tandatangan’ hari ini. Itu yang membuatkan Pak Long bangkit meneruskan derapan langkah2 tuanya.
Sampai di pintu pejabat, Pak Long menepuk dahi. "Aku ingat aku keluar pagi-pagi buta tak ramai orang!" ujarnya bila melihat sudah penuh pejabat itu dengan orang ramai. Bila dipicit mesin tiket giliran, sekali lagi Pak Long menepuk dahi. "Nombor 89? Ni pukul berapalah baru aku dapat mencium meja kaunter ni?" rungut Pak Long sambil melihat nombor di papan elektronik yang menunjukkan angka 7.
Selepas 2 jam menunggu, barulah nombor Pak Long dipanggil. Macam kena renjatan elektrik, Pak Long meloncat terus mendapatkan kerani di kaunter. "Pakcik bawak semua dokumen yang diperlukan?" Ujar kerani perempuan bertahi lalat berbulu di bawah bibir yang melayan Pak Long. "Eh hari tu encik Nazlee kata tak payah bawak apa-apa, semua dia dah ada?" "Oh, nanti saya tanyakan pada dia, pakcik tunggu sekejap boleh? Sebabnya Encik Nazlee keluar minum sekejap. Ataupun nak lagi senang pakcik datang semula petang ni lepas pukul 2, nanti terus berurusan dengan saya" jawab kerani itu sambil menyimpul senyum.
"Alah……nak kena menunggu lagi ke?" ujar Pak Long dalam hati.
Diatur langkahnya menuju ke tempat-tempat duduk pelanggan sambil mulutnya terkumat-kamit. "Apa kejadahnya yang dibuat Encik Nazlee ni sampai nak tandatangan surat pun makan masa sebulan ni?" Rungut orang tua itu.
Perut Pak Long sudah berkeriut. Jam Seiko di tangannya menunjukkan waktu sudah mencecah 11 pagi. "Tulah, tadi kat rumah tak nak sarapan dulu", kata hatinya sambil terbayang muka isterinya yang bersusah-payah menggaul nasi goreng dalam kuali pagi tadi. "Ahh,aku pergi cari makananlah kat kedai makan luar tu".
Sampai di kedai, mata Pak Long yang kabur-kabur dek penangan usia tuanya itu melilau mencari meja kosong. "Nampak gayanya macam penuh, aku bungkus ajelah makan di kaki lima atau di masjid", ujarnya sendirian. Dalam pada memesan menu, telinganya terdengar suara dan gelakan terbahak-bahak seseorang yang macam biasa aje didengar. Bila dipalingkan wajahnya ke salah satu meja makan, ternampaklah dia Encik Nazlee yang begitu bersantai minum dan menyedut puntung rokoknya sambil berbual2 penuh semangat dengan 5-6 orang rakannya yang lain. "Wah, wah, wah, bukan main besar lagi gelak engkau ye. Aku bukan main sabar lagi tunggu kau dalam pejabat tadi, kau di sini rupanya." Ujar ‘the dark side’ of Pak Long. Tapi Pak Long tidak mengendahkan hal itu, padanya mungkin itu hak pegawai tersebut, yang perlu ‘beristirahat’ dan perlu ‘rawat & rehat’ macam di tol PLUS.
Lepas bersolat di Masjid India yang letaknya tak kurang jauh dari kompleks pejabat gomen, Pak Long menapak lagi menuju ke pejabat tujuannya. Hatinya sudah ada rasa ‘bunga-bunga’, mana taknya, hari ini dia yakin betul urusannya yang dah sebulan tertangguh dapat dilangsai.
Bila Pak Long ke kaunter dan bertanya kepada kerani yang ditemuinya pagi tadi, dengan tersengih-sengih macam kerang busuk perempuan itu berkata "Maaf Pakcik, Encik Nazlee masih belum masuk pejabat. Tadi waktu rehat dia balik ke rumah ada urusan sikit. Saya akan panggil pakcik bila dia sampai. Sementara tu pakcik.."tak sempat kerani itu nak menghabiskan ayatnya, Pak Long sudah bingkas bangun dari kerusinya. Telinganya terasa panas, tapi tak sepanas hatinya. Jangan ada orang menegur Pak Long, siaplah dia. Bekas askar ni memang terkenal di kampung sebagai orang yang lemah lembut, tapi cukup pantang kalau keterlaluan diusik dikacau. Menyinga macam nak menelan orang perinya!
Selepas lebih kurang 45 minit, masih juga tidak ada apa2 perkembangan. Pak Long dah memikir-mikir, ni balik nanti pukul berapalah aku nak sampai rumah. Mesti bini aku membebel nanti sebab lauk tengah hari tak berusik, desis hatinya. Pak Long bangun menuju ke kaunter dan bertanya kepada kerani persis mendengus "Ni bila agaknya Encik Nazlee nak sampai ni?" "Oh, kejap pakcik ye, Encik Nazlee dia ke kedai depan tu ha, beli air kejap, maklumlah tengahari macam ni panas…"
Pak Long dah tak macam orang dah. Kalau orang waras, berfikirnya gunakan akal, Pak Long dah tak mampu nak berfikir waras. Orang baik, lawannya budi yang baik, Orang biadab, lawannya biadab jualah! bentak hati Pak Long.
Diatur langkahnya ke kedai makan yang dimaksudkan, dan dari jauh Pak Long dah nampak pegawai yang berperut boroi yang seakan mencecah tanah adanya itu sedang duduk berseorangan memicit-micit butang hensetnya sambil merokok. Pak Long menyapa tegas sambil memperli, "Hah, bukan main susah nak cari encik ni ye. Dua minggu lepas pun macam ni jugak, sibuk betul ye encik bekerja?"
"Oh..pakcik, apa khabar?" Terkulat-kulat pegawai tu memadamkan puntung rokoknya sambil menghulurkan tangan bersalaman, Dijabat kuat tangannya oleh Pak Long, lama baru dilepaskan. "Saya nak tanya kat sini ajelah, macam mana surat kelulusan haritu, dah ditandatangan ke encik?" "OOOOOOO..sudah, sudah. Mari kita ke pejabat saya ambik surat tu."
Mereka mengatur langkah masuk ke pejabat Encik Nazlee. Pak Long mengeras, mukanya dah tak ada langsung ukiran senyuman. Yang penting padanya, hari ini dia akan balik membawa dokumen yang dituntutnya. Dan kelihatannya, ianya akan menjadi kenyataan tak berapa lama lagi.
"Alamak pakcik, surat tu masih lagi ada di pejabat ketua saya. Pagi tadi dia dah ke Sarawak ada kursus, mungkin 3-4 hari lagi adalah tu di pejabat. Aaaa…boleh tak pakcik datang semul…." Tak sempat pegawai tu nak habiskan ayat-ayat kelentongnya, Pak Long sudah siap menyingsing lengan kemejanya dan menepuk kuat meja pegawai itu.
"Engkau ni memang buat aku angin satu badan!" teriak Pak Long, sambil mengetap-ngetap gigi palsunya!
–drama swasta ini ditaja oleh syarikat Neezam&Nazlee&Nazrin, tipukelenTONGduniawisemata sdn bhd. tidak ada kena-mengena dengan yang hidup atau mati, atau yang akan mati–
bersandarkan kepada cerita dongeng di atas, apakah pernah anda sendiri merasai situasi yang sama atau leih kurang sama? Atau bersandarkan kepada cerita dongeng tersebut, apakah pernah anda melakukan ‘kebiadaban’ yang sama kepada orang lain?
hayatilah artikel aku yang keluar di kedua-dua suratkhabar Berita Harian dan Utusan Malaysia hari ini, 20 May 2008-Selasa.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Surat/20080519231440/Article/index_html
atau
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
Budaya keluar minum
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dalam titahnya pada istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-65 baru-baru ini menggesa para penjawat awam supaya tidak mementingkan diri sebaliknya sentiasa mengutamakan kepentingan awam. Baginda turut bertitah bahawa penjawat awam perlu sentiasa mengamalkan budaya kerja berkualiti serta sanggup berkorban demi kemakmuran rakyat dan negara.
Demi menyahut aspirasi murni Tuanku Syed Sirajuddin, kakitangan awam harus membuang jauh-jauh sifat mementingkan diri dan amalan negatif yang mampu mencalarkan nilai integriti dan merendahkan keberkesanan perkhidmatan seperti merasuah, curi tulang, ponteng kerja dan birokrasi. Tidak ketinggalan amalan keluar minum yang nampaknya masih begitu kental menghantui diri kakitangan awam.
Sebagai pelanggan atau orang awam, mungkin ada dalam kalangan kita selalu merungut-rungut dan berasa meluat mendengar alasan ‘pegawai sedang minum’ apabila ingin menyelesaikan urusan penting dengan sesetengah jabatan kerajaan.
Apatah lagi bila kita sedang dihambat masa dan sesuatu urusan itu hanya memerlukan tempoh yang singkat untuk diselesaikan. Bertambah sakit hati lagi apabila datang berurusan pada waktu pagi, diminta oleh pegawai di kaunter untuk datang pada sebelah petang, dan apabila datang pada sebelah petang, diminta untuk datang pada keesokan hari semata-mata kerana pegawai pergi minum.
Budaya keluar minum dalam kalangan kakitangan awam ini sememangnya masih galak berlaku. Cubalah jenguk restoran, warung dan kafetaria yang berhampiran dengan pejabat-pejabat kerajaan pada hari-hari bekerja. Boleh dikatakan bahawa tempat-tempat makan ini memang tidak akan sunyi dengan pelanggan yang turun minum, rata-ratanya kakitangan awam.
Tidak menjadi keanehan juga jika kita bertemu dengan sebilangan kakitangan awam yang berkali-kali datang ke kedai makan hanya untuk minum sambil ‘bergebang’ membuang masa!
Tiada salahnya untuk berehat seketika pada waktu bekerja. Daripada perspektif saintifik, diakui bahawa penggunaan domain-domain afektif (perasaan dan emosi), psiko motor (fizikal) dan kognitif (pemikiran) seseorang itu mempunyai hadhadnya. Ia perlu disegarkan semula dengan cara berehat seketika untuk mengelakkan unsur-unsur negatif berlaku seperti stres dan kelesuan.
Namun, yang silapnya apabila keperluan dan kelonggaran untuk berehat itu disalahgunakan seterusnya mengganggu kelancaran urusan pejabat terutamanya jika berurusan dengan pelanggan secara langsung. Itu sebabnya apabila diajukan persoalan tentang fenomena waktu minum dalam kalangan kakitangan kerajaan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam melahirkan rasa kurang senangnya dan mahukan mekanisme kawalan dan tindakan proaktif diambil oleh semua pihak.
Menurut beliau, kakitangan awam perlu sentiasa tepat pada masanya dan mengutamakan pelanggan bukannya membuang masa dengan berbual-bual perkara tidak berfaedah di kedai makan sehingga boleh menimbulkan prasangka buruk daripada masyarakat.
Sebagai kakitangan awam, mereka perlu ingat bahawa tugas yang dipikul adalah suatu amanah yang diberikan oleh kerajaan dan rakyat. Akan peri pentingnya sifat amanah ini disebutkan dengan jelas melalui Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfaal, ayat 27, bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)."
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ketahuilah! Tidak beriman bagi sesiapa yang tidak amanah."
Bukan sekadar tidak beriman bahkan tergolong dalam golongan orang munafiklah adanya bagi orang yang tidak amanah seperti sabda Rasulullah SAW dalam satu hadis lain: Ada tiga tanda munafik, apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati.’
Mengkhianati amanah dengan menghabiskan banyak masa dengan minum atau membuat kerja tidak berfaedah bermaksud makan gaji buta. Bila makan gaji buta ia akan menyentuh pula persoalan apakah gaji yang diterima itu setimpal dengan kerja dan usaha yang dilaksanakan?
Bahkan perlu juga difikirkan adakah ia halal untuk digunakan bagi menyara kehidupan diri, isteri dan anak-anak? Bila sumber haram menjadi tunjang menyara kehidupan, maka keberkatan hidup itu secara automatiknya ditarik oleh Allah SWT dan mengundang akan berlakunya gejala-gejala negatif dalam diri seseorang dan kelangsungan hidup keluarga yang ditanggungnya.
Demi membendung budaya minum pagi yang mencacatkan kesempurnaan perkhidmatan jabatan kerajaan ini, semua pihak sebenarnya perlu melaksanakan perubahan. Pihak pengurusan dalam jabatan-jabatan kerajaan perlu mewujudkan dan mengaktifkan penggunaan pantri dalam pejabat. Peralatan paling asas untuk memasak air, memanaskan makanan dan menyimpan makanan boleh disediakan seperti cerek, ketuhar gelombang mikro, peti sejuk dan sebagainya.
Dicadangkan juga agar ketua-ketua jabatan tegas mengatur waktu rehat dan minum para pekerjanya agar perjalanan perkhidmatan dan operasi pejabat tidak terganggu. Dengan cara ini, produktiviti dan kualiti perkhidmatan kakitangan awam akan tetap mantap sepanjang hari dan urusan pelanggan berjalan lancar kerana akan sentiasa ada pegawai atau kakitangan yang berada di kaunter atau di pejabat.
Jika ada kakitangan yang masih kerap keluar minum dan membuang masa kerjanya, maka menjadi peranan ketua jabatan dan rakan-rakan sekerja untuk menegur dan memperingati mereka agar mengubah sikap dan memberi fokus terhadap tugas.
Sebagaimana yang diamalkan oleh sebilangan organisasi, para pekerjanya menyumbangkan sedikit wang dan berkongsi membeli makanan dan minuman ringan untuk diletakkan di pantri. Ada juga dalam kalangan pekerja yang sama-sama membawa pot-luck dari rumah masing-masing dan bertukar-tukar juadah makanan di pantri pejabat.
Langkah ini bukan sahaja menjimatkan masa untuk berjalan dan melepak di kafetaria, bahkan menjimatkan kantung poket daripada membelanjakan duit membeli air dan makanan di kafetaria. Begitu juga, silaturrahim sesama rakan sekerja dapat dieratkan.
Perubahan sikap dalam hal keluar minum ini perlu dimulakan dan seterusnya dikekalkan. Kita tidak mahu orang awam berterusan berpegang kepada stigma ‘pegawai kerajaan suka keluar minum’. Jika kita benar-benar berpegang kepada konsep mencari pendapatan halal dan beramanah seperti mana yang digariskan syariat Islam, pasti kita akan berjaya mengubah sikap negatif sebegini. Barulah boleh kita nanti layak dipanggil sebagai kakitangan awam yang berintegriti, produktif dan memiliki minda kelas pertama.
Nabi dulu Mazhab apa?
-
*Ada orang tanya: kenapa di Malaysia ikut Mazhab Syafee, tapi Akidah ikut
Asyaari? Kenapa tidak akidah Imam Syafee juga? Nabi dulu Akidah apa? Mazhab
apa...
1 week ago
0 comments:
Post a Comment