entry aku dalam frenster blog aku on Sunday, March 30th, 2008.
Dah dekat sebulan setengah aku ‘berpuasa’, menahan gelora nafsu untuk menulis artikel ke paper. Last weekend, tangan aku dah tak termampu menahan kegatalan, dan aku pun mengetuk-ngetuklah papan kekunci komputer riba aku atas katil di rumah di bundoora.
Hari ni 31 Mac 2008 artikel aku yang berkisar pasal alam sekitar keluar di Berita Harian. Terpikir untuk menulis tajuk sebegini selepas dihebah-hebahkan secara meluas di TV dan Radio di Melbourne ni pasal Earth Hour. Sedikit sinopsislah pasal Earth Hour ni eh?Created to take a stand against the greatest threat our planet has ever faced, Earth Hour uses the simple action of turning off the lights for one hour to deliver a powerful message about the need for action on global warming.Earth Hour is the highlight of a major campaign to encourage businesses, communities and individuals to take the simple steps needed to cut their emissions on an ongoing basis. In 2008, 24 global cities participated in Earth Hour at 8pm on March 29. It is about simple changes that will collectively make a difference – from businesses turning off their lights when their offices are empty, to households turning off appliances rather than leaving them on standby.
Sementelah di Malaysia occasion ini tidaklah menjadi suatu amalan, adalah elok juga sebenarnya untuk kita memberikan bumi kita ini bukan sekadar satu jam atau satu hari tanpa pencemaran, bahkan sepanjang masa. Kalau setiap seorang dapat ‘guna akal’ untuk tidak buang sampah merata-rata, insya allah secara kolektifnya semua orang akan bertindak sedemikian rupa dan hasilnya–indah, nyaman, segar.
Aku terfikir, selagi belum ‘alah bisa, tegal biasa’ elok juga kita ajar anak2 kita untuk sedar dan responsible akan hal2 alam sekitar ni. Sebabnya–takde ganti2 lagi dah. Inilah satu-satunya tempat tinggal kita di alam ini (walaupun adalah penemuan2 ‘dunia’ atau planet lain yang lebih kurang sama dengan bumi, tapi semua tu belum konkrit lagi!) yang dianugerahkan Allah SWT.
takmoh komen banyak..silalah layari url ini untuk keterangan lebih lanjoot.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Surat/20080331020229/Article/index_html
Anak patut dididik hargai alam sekitar
Jika kita dengarkan kembali lagu Hijau dendangan Zainal Abidin pasti kita sedar akan mesej yang cuba disampaikan tentang peri pentingnya alam sekitar kepada manusia. Sekadar mengungkap bait-bait awal dalam lagu tersebut ‘Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, dia dicemar manusia, yang jahil ketawa’. Ia memberi isyarat yang jelas kepada kita sebagai manusia atau satu-satunya makhluk yang mempunyai akal untuk berfikir dan bertindak sewarasnya dalam menjaga warisan alam sekitar yang tidak terbanding ini.
Selagi kita terus mengamalkan sikap negatif dan acuh tak acuh dalam mengekalkan alam sekitar yang bersih, indah dan tidak tercemar, maka kita sendiri akan merasa padahnya. Buktinya hari ini perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, kesan rumah hijau, banjir kilat, kenaikan suhu global, pencemaran udara dan air bertoksid adalah antara kesan buruk yang terpaksa ditanggung sendiri oleh kita dek kerana kealpaan kita dalam menjaga alam sekitar. Kerajaan, agensi bukan kerajaan (NGO), majlis perbandaran dan komuniti masyarakat di seluruh negara telah sekian lama melaksanakan pelbagai inisiatif dalam penjagaan alam sekitar. Kempen kitar semula di media cetak dan media massa , pembinaan pusat-pusat kitar semula bahan buangan, majlis gotong-royong, penguatkuasaan undang-undang berkaitan pencemaran alam sekitar dan sebagainya adalah antara usaha yang cukup giat dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkaitan. Namun, jika segala usaha ini tidak disambut dengan baik oleh kita, maka ianya tak ubahlah seperti ‘hanya bertepuk sebelah tangan’, tiada hasil dan kesan positif.
Banyak pihak meyakini bahawa sebagai salah satu cara terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar adalah dengan memberikan pendidikan awal kepada golongan kanak-kanak. Bukanlah alasan yang bijak jika kita mengatakan anak-anak masih terlalu kecil dan mentah untuk memahami keperluan menjaga alam sekitar. Pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ memberi maksud bahawa anak-anak perlu diasuh sebaik mungkin pemikiran dan sikapnya untuk menjaga alam sekitar dan mempunyai rasa bertanggungjawab yang dibawa sehinggalah mereka menjadi dewasa kelak.
Banyak inisiatif yang boleh difikirkan dan diamalkan oleh ibu bapa dalam hal ini terutamanya dalam melangsungi kehidupan seharian di rumah. Demi memberi kesedaran dan pendidikan awal tentang penjagaan alam sekitar, ibu bapa boleh membelikan atau membawa anak-anak ke perpustakaan untuk membaca bahan-bahan bacaan yang berkaitan. Sebagai alternatif lain, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk melayari laman-laman web seperti www.kitarsemula.com, www.kid-at-art.com atau www.compostguide.com dan sebagainya yang sarat dengan informasi, panduan dan tips penjagaan alam sekitar. Melalui bahan-bahan pembacaan seperti ini, secara umumnya anak-anak akan dapat menghayati konsep 3R dalam penjagaan alam sekitar, iaitu ‘Reduce’- kurangkan, ‘Reuse’- gunakan semula dan ‘Recycle’- kitar semula. Anak-anak perlu diberitahu akan fakta-fakta yang bersifat realisitik tentang alam sekitar. Misalnya, beratus-ratus pokok dapat diselamatkan daripada ditebang jika kertas-kertas terpakai dikitar semula secara bijak. Begitu juga fakta bahawa kitar semula bahan buangan mampu menjimatkan kos pengendalian pembuangan sampah sarap sehingga ratusan juta ringgit oleh kerajaan.
Antara usaha-usaha lain dalam penjagaan alam sekitar yang boleh diterapkan kepada anak-anak di rumah adalah:
- Mengasuh anak-anak menggunakan sumber alam secara berhemah terutamanya dalam penggunaan air dan elektrik. Sebagai contoh, air mandian dan basuhan di dapur boleh dikitar semula untuk menyiram tanam-tanaman. Suis elektrik dan lampu perlu ditutup jika tidak digunakan lagi.
- Menggalakkan anak-anak untuk tidak membuang sampah merata-rata tetapi perlulah di tempat yang sepatutnya. Adalah lebih baik juga untuk mendidik dan memberikan contoh kepada mereka dengan mengasingkan jenis-jenis sampah yang boleh dan tidak boleh dikitar semula seperti botol plastik, kaca, kertas dan sebagainya. Sediakan tong sampah di rumah mengikut jenis-jenis bahan buangan tersebut bagi memudahkan anak-anak membuang sampah mengikut kategorinya.
- Mengajar anak-anak untuk mengumpulkan bahan buangan seperti tin aluminium dan surat khabar lama dan seterusnya dibawa ke pusat kitaran semula yang memberikan bayaran ke atas bahan-bahan tersebut. Anak-anak akan turut berminat untuk menambahkan jumlah wang tabungan mereka dari semasa ke semasa dengan cara yang mudah sebegini.
- Beritahu anak-anak bahawa sisa-sisa makanan harian tertentu boleh dikitar semula menjadi ‘baja kompos’ yang boleh digunakan kemudian sebagai baja untuk menanam bunga atau sayur. Dengan cara ini anak-anak akan turut dapat dididik akan konsep ‘berbakti kepada tanah’ dan memberikan pulangan melalui hasil tanaman bunga-bungaan atau sayur-sayuran.
- Majalah-majalah atau surat khabar lama boleh digunakan semula oleh anak-anak dengan cara mengumpulkan atikel-artikel tertentu untuk dijadikan buku scrap atau ensiklopedia peribadi tentang apa sahaja topik yang menjadi minat mereka. Ia akan membantu menjana pemikiran kanak-kanak yang matang melalui pembacaan yang luas.
- Ibu bapa perlu menerapkan kepada anak-anak sifat berjimat cermat seperti menggunakan semula barang-barang yang difikirkan tidak perlu seperti pakaian yang lama yang boleh dibuat kraftangan menjadi beg, selimut, atau alas meja. Tin atau botol plastik pula boleh diubahsuai menjadi tabung, bekas alat tulis atau arca. Ini secara tidak langsung dapat mendidik anak-anak menjadi kreatif dan kritis.
- Pakaian milik anak-anak yang tidak lagi digunakan mungkin boleh didermakan kepada anak-anak yatim atau badan-badan kebajikan. Begitu juga dengan amalan ‘hand me downs’ di mana pakaian dan barang-barang permainan anak-anak boleh dihadiahkan kepada rakan-rakan mereka yang lain. Dengan cara ini, item-item tersebut tidaklah dibuang begitu sahaja dan membazir, bahkan hubungan baik dan sillaturrahim sesama sahabat handai dapat dieratkan.
- Untuk mengurangkan penggunaan beg plastik terutamanya yang berunsurkan Styrofoam dan tidak terbiodegradasi, terapkan amalan membawa beg sendiri dalam diri kita dan anak-anak ketika hendak membeli-belah.
- Galakkan anak-anak untuk menyertai program yang berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar. Misalnya menyertai program gotong royong membersihkan kawasan kejiranan, menyertai ceramah atau kempen penjagaan alam sekitar dan sebagainya.
Kita perlu sedar bahawa walaupun sumbangan kita dan anak-anak terhadap pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar ini nampaknya seperti terlalu kecil, namun jika semua pihak mempunyai rasa tanggungjawab yang serupa, sudah tentu ianya akan menjadi begitu berkesan dan bermakna. Sikap positif dalam menjaga warisan alam sekitar sebegini diharapkan akan menular menjadi budaya yang akan terus dipraktikkan oleh anak-anak kita ini pada masa hadapan dan diperturunkan kepada generasi yang seterusnya. Diharap jua bahawa bait-bait terakhir lagu Hijau dendangan Zainal Abidin tidak akan menjadi realiti yang mana ia berbunyi lebih kurang begini ‘oh anak-anak, tak boleh merasa mandi laut, bersaing main ramai-ramai’. Sebaliknya boleh dinyanyikan ‘oh anak-anak dan cucu-cicit masih boleh merasa mandi laut, bergembira main beramai-ramai’ kerana bumi ini tetap terpelihara daripada pencemaran dan sentiasa indah dan bersih untuk didiami.
–amacam?–
Nabi dulu Mazhab apa?
-
*Ada orang tanya: kenapa di Malaysia ikut Mazhab Syafee, tapi Akidah ikut
Asyaari? Kenapa tidak akidah Imam Syafee juga? Nabi dulu Akidah apa? Mazhab
apa...
1 week ago
0 comments:
Post a Comment