Monday, April 5, 2010

Haluan dan Cabaran IPT di Era Pasca Kemerdekaan

Artikel aku yang ini dimuatkan dalam buku khas Koleksi Rencana Merdeka terbitan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan USIM pada 2007. Artikel ni dah obsolete dari segi contentnya yang terkini, tapi masih berupaya memberikan gambaran perkembangan sektor pengajian tinggi di Malaysia selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957. Fokus audien untuk artikel ini? sudah tentu yang berminat saja..hahaha. enjoy.

***********************************************************************************

Haluan dan Cabaran IPT di Era Pasca Kemerdekaan

Oleh: Khairunneezam Mohd Noor

Universiti Sains Islam Malaysia

Umum mengiktiraf bahawa universiti adalah institusi yang memiliki reputasinya yang tersendiri harus dihormati kerana ia adalah gedung penyebar ilmu. Pengiktirafan sebegini secara asasnya adalah satu kontrak sosial yang telah diletakkan oleh masyarakat yang mengharapkan universiti dan para pensyarahnya terus menjaga martabat dan kemurnian ilmu pengetahuan.

Jika diamati perkembangan dunia pengajian tinggi secara global, ternyata bahawa pengajian tinggi merupakan sektor yang sangat berpengaruh dalam menjana pembangunan sesebuah negara. Sektor pengajian tinggi tidak lagi sekadar berperanan sebagai institusi penyebaran ilmu pengetahuan, bahkan lebih kepada penyumbang aktif dan agen perubahan kepada kemajuan dan keharmonian ekonomi, politik dan sosial (Thillaisundaram, 2003). Begitu jua senarionya yang berlaku kepada pengajian tinggi di Malaysia. Sejak tertubuhnya Universiti Malaya sebagai universiti awam yang pertama pada 1962 sehinggalah kepada penubuhan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 2006, dunia pengajian tinggi di Malaysia terus mengorak langkah yang progresif dalam menyokong pembangunan sosio-ekonomi negara. Ditambah dengan perkembangan kolej dan universiti swasta yang mencatat sejumlah 560 institusi pada awal 2007 yang merancakkan lagi kepesatan sektor pengajian tinggi di Malaysia.

Pengajian tinggi selepas era kemerdekaan telah dinobatkan antara institusi utama dalam mendukung dan menjayakan pelbagai polisi dan dasar negara. Misalannya, Dasar Ekonomi Baru (1970-1990) dan Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) telah berjaya mencapai matlamat pembasmian jurang kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat secara adil dan saksama melalui peranan yang dimainkan oleh universiti tempatan. Universiti tempatan berperanan menyediakan ruang pengajian yang luas dan saksama dalam bidang-bidang kritikal seperti perundangan, perubatan, sains dan teknologi untuk semua bangsa di Malaysia. Impaknya, universiti tempatan berupaya melahirkan sumber manusia berpengetahuan tinggi dan berakhlak mulia yang menjana pembangunan ekonomi negara di pelbagai sektor, selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Sebagai usaha kerajaan untuk memantapkan sektor pengajian tinggi, pelbagai polisi, dasar dan strategi telah diimplementasikan. Penubuhan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2004 adalah satu mekanisme sokongan kerajaan terhadap perkembangan universiti-universiti tempatan. Sokongan kerajaan juga turut terserlah melalui peruntukan yang besar untuk sektor pengajian tinggi dalam setiap bajet Rancangan Malaysia. Dalam rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010) umpamanya sejumlah RM16 bilion diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan di sektor pengajian tinggi. Dan seharusnya di pihak universiti, sokongan padu kerajaan ini dibalas dengan memantapkan kredibiliti dan kualiti di dalam pelbagai aspek.

Kualiti menjadi isu teras yang menentukan tinggi rendahnya reputasi sesebuah universiti. Untuk itu, semua universiti baik awam mahu pun swasta telah meletakkan sasaran untuk menjadi ‘universiti kelas dunia’ sebagai nilai ukur kualiti institusi mereka. Natijahnya, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia telah berjaya tersenarai di antara universiti terbaik di dunia dalam kajiselidik Times Higher Education Supplement beberapa tahun kebelakangan ini. Begitu juga kejayaan para pensyarah universiti tempatan yang meraih anugerah dan pengiktirafan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) di peringkat dunia, menjawat jawatan utama di peringkat antarabangsa seperti di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan pelbagai lagi pencapaian membanggakan, telah menyerlahkan lagi kualiti pengajian tinggi Malaysia di mata dunia.

Dalam usaha mengekalkan kualiti sesebuah institusi pengajian tinggi swasta pula, kerajaan menetapkan bahawa institusi ini tertakluk kepada prinsip dan peruntukan yang tertakluk di dalam Akta Pendidikan 1996, Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996, dan Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996. Jelas akta-akta ini telah membantu institusi pengajian tinggi swasta dalam menjaga reputasi institusi masing-masing. Buktinya sehingga ke hari ini, terdapat lebih 20 institusi pengajian tinggi bertaraf universiti dan kolej universiti yang berjaya menarik minat pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di institusi mereka. Kredibiliti dan kualiti yang diserlahkan oleh institusi pengajian awam dan swasta ini diyakini dapat merealisasikan hasrat kerajaan menarik sejumlah 100 ribu pelajar asing menuntut di universiti-universiti tempatan.

Di alaf baru ini, terdapat banyak cabaran yang perlu diharungi oleh sektor pengajian tinggi negara dalam pengekalan weltanshauung dan survivalnya. Krisis ekonomi negara genap sedekad yang lalu dan hambatan arus globalisasi misalnya telah mengubah perspekstif pengajian tinggi Malaysia agar tidak bersifat konvensional iaitu terarah kepada aktiviti pengajaran dan penghasilan penyelidikan semata-mata. Universiti tempatan menyedari, jika tidak beralih arah kepada keterbukaan dan persaingan di peringkat global, maka universiti mereka akan terus ketinggalan ditelan arus perkembangan pendidikan dunia. Untuk itu, melalui dasar pengkorporatan pengajian tinggi awam yang diperkenalkan sejak 1998, banyak universiti awam telah melonjakkan kualiti mereka dengan mengkomersialkan produk dan perkhidmatan serta hasil penyelidikan dan pembangunan ke peringkat antarabangsa. Begitu juga dengan dasar penswastaan pengajian tinggi yang berjaya menarik minat bukan sahaja para konglomerat tempatan bahkan universiti tersohor dari luar negara seperti Australia dan United Kingdom untuk menyuburkan sektor pengajian tinggi negara.

Sektor perindustrian dan para majikan masa kini seringkali mempersoalkan mengapa graduan keluaran universiti tempatan terutamanya universiti awam tidak mampu memenuhi keperluan semasa mereka. Isu seperti graduan yang lemah penggunaan Bahasa Inggeris, kurang pengetahuan dalam bidang ICT, memiliki kemahiran yang sudah lapuk dan tidak lagi relevan, tiada ketrampilan peribadi dan seumpamanya menunjukkan bahawa pihak universiti perlu melihat kembali keberkesanan sistem pendidikan yang ditawarkan mereka. Begitu juga dengan hasil penyelidikan universiti yang dianggap tidak mempunyai nilai komersil, bersifat terlalu akademik dan tidak memenuhi keperluan industri.

Sebagai usaha membantu universiti menangani isu-isu sebegini, beberapa rancangan jangka panjang dan jangka pendek telah dirangka dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan universiti awam khususnya. Contohnya, kerajaan telah menetapkan pelaksanaan sistem rating bagi kesemua IPTA dan IPTS yang akan bermula pada tahun ini. Ia dilihat sebagai pencetus kepada kesedaran dan sifat berkumba-lumba di kalangan universiti untuk menjadi institusi pengajian tinggi yang terbaik.

Mengkhusus kepada strategi di universiti awam, kerajaan mensasarkan pada tahun 2010, terdapat sekurang-kurangnya 60% pensyarah di setiap universiti awam telah memiliki PhD. Ianya bertujuan untuk memastikan tenaga pengajar di universiti terdiri daripada pakar bertaraf dunia dan berupaya membentuk mahasiswa yang terkehadapan. Maka, jumlah pensyarah yang dibiayai kerajaan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Kedoktoran ditambah untuk memenuhi aspirasi tersebut. Di dalam aspek penyelidikan dan pembangunan, kerajaan telah mewujudkan banyak geran pembiayaan seperti geran IRPA yang ditawarkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Geran penyelidikan dan pembangunan sebegini turut merintis kepada usaha pembentukan hasil penyelidikan yang mempunyai nilai komersil, bertaraf antarabangsa dan berkualiti tinggi.

Demi mengekalkan sistem dan kualiti pengajaran dan pembelajaran pula, KPT menggalakkan agar ahli akademik turun ke lapangan industri dan menyertai latihan industri serta melaksanakan program pertukaran pensyarah antara universiti awam dan universiti luar negara dalam sektor kritikal seperti bioteknologi, kejuruteraan marin, perubatan dan sebagainya.

Universiti swasta turut aktif memacu perkembangan institusi mereka bagi menjamin pertumbuhan keuntungan mereka serta memenuhi tuntutan industri dan sosio-ekonomi negara. Universiti Limkokwing sebagai contoh, mengadakan memorandum persefahaman bersama kerajaan negeri Kelantan bagi membantu mengembangkan kegiatan ekonomi luar bandar negeri itu. Begitu juga kebanyakan universiti swasta mengadakan usahasama dengan universiti luar negara untuk menawarkan Twinning Program sebagai usaha menarik minat para pelajar dalam dan luar negara menuntut di universiti mereka.

Jelas, pada hari ini selepas 50 tahun negara mengecapi kemerdekaan, sektor pengajian tinggi adalah agen pemacu ke arah kestabilan sosio-ekonomi, politik dan indusri negara. Institusi pengajian tinggi tempatan berjaya mengorak langkah kemajuan mereka, seiiring kepesatan pembangunan global dan nasional. Tidak dapat tidak, cabaran dan isu-isu yang kritikal pasti akan sentiasa wujud mengiringi perkembangan dunia pengajian tinggi. Namun, jika ianya bijak ditangani dan dimanipulasi, cabaran dan isu-isu tersebut dapat dijadikan pemangkin kepada penambahbaikan kualiti dan kredibilit sesebuah institusi pengajian tinggi.

Related Posts with Thumbnails