Tuesday, March 31, 2009

Rahsia Urutan Surah-surah dalam al-Quran

Sekadar berkongsi...an article retrieved from Berita Harian, 15 March 2009.

***************

Ulul Albab: Mengungkap rahsia urutan surah al-Quran
Abdurrahman Haqqi

Pelbagai ilmu yang tersimpan di dalam kitab suci suburkan iman jika diamal setiap Muslim


PERNAHKAH anda terfikir mengapa al-Quran yang mengandungi 114 surah dimulakan dengan al-Fatihah diikuti surah al-Baqarah, Ali 'Imran dan diakhiri dengan surah al-Nas dengan sebelumnya adalah surah al-Falaq dan al-Ikhlas? Apakah rahsia di sebaliknya dan manfaat yang boleh kita ambil daripadanya?

Al-Quran ialah semulia kitab dan tidak diragukan ia Kalamullah mengatasi segala kalam. Mushaf yang ditulis Kalamullah wajib dihormati, dimuliakan dan tidak mendedahkannya kepada penghinaan serta pencemaran.

Al-Quran seperti disifatkan Baginda Rasulullah maksudnya: "(Berpegang) kepada kitab Allah yang sudah menceritakan orang sebelummu dan berita orang sesudahmu, dan sebagai penghukum apa yang terjadi antara sesamamu. Kitab Allah adalah firman yang memisahkan antara hak dan batil serta bukan senda gurau, orang yang meninggalkan kitab Allah daripada orang yang sombong, Allah akan membinasakannya, orang yang mencari petunjuk selain kitab Allah, maka Allah akan menyesatkannya, kitab Allah adalah (tali) Allah yang kuat, ia juga kitab yang penuh hikmah, jalan yang lurus, ia tidak condong pada hawa nafsu, tidak berat pada setiap lisan, alim ulama tidak akan kenyang padanya, ia tidak usang oleh banyak diulang (bacaannya), ia tidak habis keajaibannya, ia tidak hentinya, tatkala jin mendengarnya, mereka berkata: (Sesungguhnya kami sudah mendengar al-Quran menakjubkan yang memberi petunjuk kepada jalan benar, lalu kami beriman kepadanya). Barang siapa berkata dengan al-Quran, maka benarlah dia, barang siapa yang mengamalnya, dia diberi pahala, orang yang menetapkan hukum dengannya maka dia adil dan barang siapa mengajak kepada al-Quran, ia mendapat petunjuk pada jalan yang lurus. Ambillah (kata yang baik) hai A'war." (Hadis riwayat Tirmizi)

Dalam hadis ada menyatakan 'ulama tidak kenyang padanya, ia tidak usang oleh banyaknya diulang (bacaannya), ia tidak habis keajaibannya.' Kita sudah menjumpai bukti kebenaran ucapan hadis ini. Kita dapati ulama menemukan perkara baru selepas merujuk kepadanya; kita dapati manusia tidak pernah bosan mendengarkannya dan kita dapati banyak keajaiban yang timbul daripadanya.

Ulama yang arif mengeluarkan banyak ilmu daripada al-Quran; ulama yang bijak pandai sudah banyak mengeluarkan hukum yang jitu daripada al-Quran; ulama yang ikhlas lagi setia banyak mengungkap rahsia al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan membuka tabir keagungan Allah Taala.

Tiada satu kitab pun di dunia ini yang boleh dibandingkan dengan al-Quran. Tidak ada satu kitab pun di dunia selain al-Quran yang sangat menarik perhatian manusia dari segi bahasa, tatabahasa, sastera, kandungan bahkan jumlah kata dan hurufnya sehingga ulama mengira bahawa lafaz 'Allah' dengan fathah (di atas) ialah 591, dengan kasrah (di bawah) 1,131 dan dengan dammah (di depan) berjumlah 974. (Al-Madisi, Fath al-Rahman, 489)

Melalui tadabbur al-Quran kita mendapati gaya bahasa dan metod persembahan dalam menyampaikan mesejnya sungguh bergaya. Tatabahasa tepat, penyampaian menarik, struktur ayat yang indah dan pilihan perkataan yang cantik hanya sebahagian daripada pesona memukau bagi menggamit insan bertadabbur terhadap wahyu Ilahi.

Satu cabang ilmu al-Quran yang diciptakan manusia adalah ilmu asrar tartib suwar al-Quran atau rahsia urutan surah-surah al-Quran. Ilmu ini tidak seberapa berbanding ilmu munasabah al-ayat atau ilmu hubung kait satu ayat kepada ayat yang lain yang selalu kita dapati dalam Tafsir Mafatih al-Ghaib (Kunci Alam Ghaib) karangan Imam al-Razi (w 1209M) kerana yang pertama disebut hanya membincangkan 114 surah sedangkan terakhir membincangkan seluruh ayat al-Quran berjumlah lebih 6,000 ayat.

Adalah Imam al-Suyuti (w 1505M), seorang ulama ensiklopedia kerana menulis di semua bidang ilmu keislaman pernah menulis kitab Asrar Tartib al-Quran.

Ketika membincangkan rahsia mengapa al-Quran dimulakan dengan al-Fatihah, beliau berkata pada halaman pertama: "Allah SWT memulakan kitab-Nya dengan surah ini (al-Fatihah) kerana di dalamnya terkumpul semua tujuan al-Quran, oleh itu ia juga dinamai umm al-Quran (induk al-Quran), umm al-kitab (induk al-kitab) dan al-asas (Asas), maka ia sesuai dengan namanya sebagai pembuka.

Berkata Hasan al-Basri: "Sesungguhnya Allah SWT menyimpan semua ilmu kitab terdahulu di dalam al-Quran; kemudian Dia menyimpan ilmu al-Quran dalam surah al-Mufassal; kemudian Dia menyimpan ilmu al-Mufassal dalam surah al-Fatihah. Siapa mengetahui tafsir al-Fatihah seolah-olah mengetahui tafsir semua kitab yang diturunkan (itu)." (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Ketika masuk membincangkan surah al-Baqarah, al-Suyuti menulis: Sebahagian imam berkata: "Surah al-Fatihah merangkumi pengakuan terhadap ketuhanan (rububiyyah) dan cara kembali kepada-Nya dalam Islam dan juga pemeliharaan daripada agama Yahudi dan Kristian.

Sedangkan surah al-Baqarah merangkumi kaedah asas agama dan surah Ali Imran sebagai penyempurna maksudnya. Surah al-Baqarah adalah dalil hukum sedangkan Ali 'Imran jawapan terhadap kekeliruan musuh (Islam)." (halaman. 2)

Akhirnya ketika membincangkan surah al-Nas, al-Suyuti menulis: "Selepas itu disebut pula surah al-Nas yang di dalamnya diberitakan mengenai martabat dan darjat jiwa manusia." (Halaman 43)

Perkara yang menarik ialah mengapa disebut dalam surah ini tiga perkataan berbeza untuk satu benda yang sama. Rab al-nas, malik al-nas dan ilah al-nas. Jika dalam tafsiran biasa diterjemah dengan 'Pemelihara sekalian manusia', 'Yang Menguasai sekalian manusia', dan 'Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia', secara berurutan. Al-Suyuti mengetengahkan pendapat Ibn al-Zamlkani dalam memahami rahsianya iaitu tiga kata 'al-nas' diertikan kanak-kanak, belia dan orang tua secara berurutan kerana sebab tertentu seperti dilihat Ibn al-Zamlkani.

Inilah rahsia ilmu al-Quran yang dijumpai ulama yang tidak pernah dilakukan terhadap kitab sebelumnya. Ia bertujuan menambah dan mempertingkatkan keimanan Muslim yang mencintai kita sucinya.

Al-Quran diturunkan oleh Allah bertujuan menyuntik semangat keimanan kepada manusia. Semangat yang sudah berputik menimbulkan minat untuk membaca dan beramal dengan tuntutannya penuh keyakinan tanpa dibatasi faktor masa, kaum, kepentingan dan tempatan.

Seseorang yang bermula dengan iman yakin dan percaya kesesuaian kitab ini pada semua zaman dan masa kerana diturunkan oleh Allah, Tuhan yang menciptakan makhluk manusia.

"Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam)," seperti maksud firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 9. Maha Benar Allah!

Monday, March 30, 2009

Jadilah ‘Role-model’ yang sempurna

Beberapa hari lepas, artikel aku ada keluar di Berita Harian. Terpanggil atas dasar nak betulkan kefanaan dan kehuduhan perangai diri sendiri (the most important objective!) dan cuba ajak orang lain berpegang terus kepada 'tali Allah', maka aku hujahkan sedikit sebanyak tentang 'pasangan ala2 suami-isteri sebelum jadi a real suami-isteri'. Aku hujahkan jua, betapa masyarakat jengkel melihat keletah 'keterlaluan' a.k.a 'tak hengat ad-dunia wal- akhirat' sepasangan 'kekasih merpati dua sejoli' ini. "Pesan awal aku- yo bro and sis, tak terlambat untuk buat rectification, Allah maha penyayang".

***************************************

Sebagai seorang manusia apatah lagi yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, seharusnya kita menunjukkan budi pekerti mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Lebih-lebih lagi jika kita adalah ‘public figure’ seperti ahli politik, ketua masyarakat, alim ulama, dan sebagainya.

Masyarakat kita umumnya suka menjadikan golongan-golongan seperti ini sebagai ‘role-model’ kerana ‘aura’ mereka ini cukup terkesan untuk diteladani. Tidak kiralah sama ada tauladan yang ditunjukkan itu bersifat positif atau negatif, pasti sesetengah khalayak umum akan mencontohinya kerana rasa teruja kepada idola kesayangan. Antara golongan berpengaruh dalam menjadi idola masyarakat termasuklah golongan selebriti atau artis.

Memang tidak dinafikan dunia selebriti adalah dunia penuh warna-warni, termasuklah gossip dan fitnah. Sebarang ‘cerita panas’ yang dikhabarkan dalam dunia ‘glamor’ ini perlu disiasat ke akar umbi untuk mengesahkan kebenarannya. Namun, jika terbukti benar wujud perlakuan negatif yang ditunjukkan oleh artis tanahair, ia sememangnya menjadi igauan ngeri kepada masyarakat. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak remaja pasti risau jika anak-anak mereka menurut jejak langkah negatif artis pujaan mereka.

Berkaitan dengan isu ‘role-model’ di kalangan artis, saya terpanggil untuk memberikan respon kepada artikel hiburan dalam ruangan Hip yang disiarkan Berita Harian baru-baru ini. Saya yakin ramai pembaca artikel ini menggeleng-gelengkan kepala tanda kesal dengan nada jawapan artis lelaki berbangsa Melayu yang ditemubual itu (saya rujuk sebagai artis ‘L’). Lebih menjelikkan apabila menatap gambar-gambar ‘tidak sopan’ antara artis tersebut dengan seorang lagi artis wanita (saya rujuk sebagai artis ‘P’) melalui artikel yang sama.

Jawapan-jawapan yang diberikan oleh artis ‘L’ sepanjang temubual itu saya kategorikan sebagai jawapan “tidak menjaga sensitiviti masyarakat’, ‘tidak cerdik’ dan ‘dangkal pengetahuan agama’. Maaf jika bahasa saya terlalu kasar, namun itulah hakikatnya.

Saya memetik kata-kata artis ‘L’ apabila diajukan pertanyaan mengapa dia berlaku kurang sopan (berpelukan) di khalayak ramai dengan artis ‘P’. Antara jawapan yang diberikan, “kami hanya berlaga pipi”, “Walaupun kami berpeluk tapi tidak sampai melekapkan dada masing-masing”. “Dia hanya bergantung di leher saya…”.

Ironinya, kedua-dua mereka bukanlah muhrim, namun lagak dan keintimannya tak ubah seperti sepasang suami isteri. Tidakkah artis ‘L’ sedar bahawa komen-komennya itu adalah satu cubaan menegakkan benang yang basah? Dalam hal ini, melampau sungguh jika seorang lelaki boleh sesuka hati memeluk dan berlaga-laga pipi dengan seorang perempuan bukan muhrim dan masih mempunyai wali! Terang-terangan semua perbuatannya itu adalah salah pada perspektif moral dan budaya, bahkan sesuatu yang haram di sisi Islam iaitu mendekati zina. Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 32, yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina satu perbuatan yang keji dan jalan yang jahat (membawa kerosakan)."

Artis ‘L’ juga kelihatannya cuba menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT melalui kenyataannya “Lagi pun, adalah lebih baik apabila kami, yang memang mengaku bercinta buat begitu (berlaga-laga pipi dan berpeluk-peluk), daripada mereka yang tidak mengaku bercinta, tetapi buat perkara yang serupa”.

Berdasarkan pemahaman saya, jika orang lain buat sesuatu kesilapan, maka kita pun harus membuat kesilapan berganda lebih hebat daripada itu? Maknanya, orang lain terjun dan jatuh ke dalam lubang, maka kita yang sepatutnya boleh berfikir dengan waras ini pun mahu sama ‘menjatuhkan diri’ ke dalam lubang? Bukankah ini suatu bentuk pemikiran ‘mengundur ke belakang’? Sedarlah bahawa setiap seorang daripada kita bertanggungjawab terhadap perbuatan kita sendiri dan akan diberi balasan seadil-adilnya oleh Allah SWT.

Jika baik amalan kita, maka baiklah balasannya, begitu jualah sebaliknya. Firman Allah SWT dalam al-Quran, ayat 7-8, mafhum-Nya: "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah nescaya dia akan melihatnya dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah nescaya dia akan melihatnya jua."

Saya memohon agar artis ‘L’ bertaubat dan renung kembali kesilapan yang mungkin tidak diketahuinya. Tuntutlah ilmu agama dengan lebih mendalam agar anda tahu apa batas-batas perhubungan dan perlakuan yang dibenarkan oleh Islam. Saya mendoakan anda akan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya supaya dapat menjadi artis yang berkaliber, seorang ‘role-model’ yang berjaya menawan hati masyarakat dengan tingkah laku yang mulia, dan berjaya dalam karier anda.

Saya menyeru kepada golongan ‘public figure’ dan artis-artis tempatan khususnyaya untuk dapat berfikir dengan lebih rasional sebelum melakukan sebarang tindak-tanduk dan memberikan kenyataan kepada umum. Jangan nanti ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa anda bertanggungjawab memberikan contoh negatif yang diikuti oleh anak-anak mereka.

Masyarakat sebenarnya memerhatikan anda sepanjang masa. Ada yang memerhatikan anda kerana ingin meniru apa yang anda lakukan. Tapi percayalah, lebih ramai yang melihat untuk menjadi ‘agen perubahan’ sekiranya apa yang anda buat tidak tepat dengan aspirasi bangsa, negara dan agama. Marilah bersama-sama menjadi contoh yang baik kepada semua pihak kerana peranan sebagai ‘role-model’ yang sempurna sememangnya sukar, tetapi begitu signifikan pengaruhnya dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang kaya budaya bangsa, adat resam dan pegangan agamanya.

Ingatlah jua bahawa di hari akhirat kelak golongan yang manakah selayaknya kita duduki: ASHABUL YAMINkah atau ASHABUL SYIMALkah?
Piihan berada di tangan kita.. buatlah pilihan yang tepat dan bijak!

Tuesday, March 24, 2009

Taqarrub? Hablum minallah...

Salam sejahtera ke atas kamu wahai pembaca blogku yang budiman. Aku sekadar nak berkongsi artikel yang kuceduk daripada bahagian Agama, Berita Harian, 24/3/09.


Insan bertaqarrub dijanji ganjaran, kedudukan mulia
Oleh Mohd Shukri Hanapi

SEMUA orang berkeinginan berjaya dalam setiap bidang diceburi. Cuma bentuk kejayaan itu saja berbeza. Kejayaan seorang peniaga ialah memiliki perniagaan maju, kejayaan seorang petani ialah mendapat hasil tuaian banyak dan berkualiti, kejayaan pemimpin dapat membawa orang yang dipimpin mencapai kejayaan.

Dalam mengejar kejayaan perlu mempunyai sifat positif dalam diri seperti rajin berusaha, berdisiplin, kuat semangat, sentiasa beribadat dan mempunyai sikap inginkan kejayaan cemerlang yang menebal.

Taqarrub bermaksud mendekatkan diri kepada Allah dengan sentiasa berbakti dan beramal salih tanpa rasa malas. Allah amat menyayangi dan memuliakan orang sentiasa bertaqarrub kepada-Nya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjelaskan pentingnya hubungan antara makhluk dengan Khaliqnya. Makhluk itu adalah hamba kepada Khaliqnya, manakala Khaliq pula adalah tuan kepada makhluk. Sebagai hamba, ia sepatutnya patuh dan taat kepada perintah tuannya iaitu Allah. Jika si hamba itu patut dan taat setia, nescaya Allah akan menyayangi dan memuliakannya.

Jelaslah Allah amat mencintai setiap hamba-Nya yang sentiasa patuh dan taat kepada segala perintah-Nya iaitu dengan mengerjakan semua amalan wajib, malah ditambah pula dengan bertaqarrub iaitu memperbanyak amalan dianjurkan syariat Islam. Orang mukmin sebegini amat dicintai Allah serta diangkatkan kedudukan mereka di sisi-Nya sehingga mereka sentiasa berada di bawah naungan dan pemeliharaan-Nya.

Sebenarnya dalam mendekatkan diri kepada Allah, seseorang itu hendaklah melakukannya secara berperingkat. Ia semestinya dimulai dengan mengerjakan amalan wajib iaitu fardu ain mahupun fardu kifayah kemudian barulah diikuti amalan sunat.

Hal ini samalah seperti orang yang berhutang, sudah tentu ia wajib membayar hutangnya terlebih dulu sebelum ia memberi derma atau sedekah. Amalan sunat adalah amalan sukarela daripada segala macam ibadat zahir seperti membaca al-Quran. Membaca al-Quran ini dikira setinggi-tinggi darjat taqarrub kepada Allah yang boleh dilakukan manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada sesuatu taqarrub yang dikerjakan oleh hamba Allah terhadap Tuhannya, seperti apa yang keluar dari mulutnya (iaitu membaca al-Quran).” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini menjelaskan membaca al-Quran itu akan mengangkat manusia ke darjat yang tinggi di sisi Allah kerana ia dianggap sebagai taqarrub kepada-Nya. Selain itu, al-Quran adalah kalam Allah yang menerangi hidup manusia dan memancarkan nur Ilahi ke dalam hatinya.

Saidina Usman bin Affan menyatakan, orang yang tidak membaca al-Quran itu hatinya masih kotor. Jika hati itu bersih dan suci, nescaya ia tidak akan merasa puas membaca al-Quran. Sebab itu juga, ketika beliau mati dibunuh oleh pemberontak, beliau sedang membaca al-Quran, sehinggakan darahnya mengalir di atas lembaran al-Quran itu.

Selain membaca al-Quran, kita juga boleh bertaqarrub dengan berzikir kepada Allah. Ini bertepatan hadis diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal katanya, “Aku bertanya Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, beritahulah kepada aku amalan utama yang boleh mendekatkanku kepada Allah. Baginda menjawab: Hendaklah ketika engkau hendak mati, lisanmu lembut dengan zikrullah.” (Hadis riwayat al-Bazzar)

Memang zikrullah itu suatu amal sangat dituntut syariat Islam yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh Muslim sejati. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka ingatlah Aku (berzikir) supaya Aku mengingatimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 152)

Selain dua amalan di atas, kita juga boleh bertaqarrub kepada Allah dengan mengerjakan solat dan puasa sunat. Kedua-dua amalan ini sangat digemari orang salih kerana ia adalah tambahan kepada ibadat wajib.

Jelas Allah amat menyayangi mereka yang sentiasa mengingati dan mendekati-Nya dalam apa juga dilakukan. Akhirnya mereka menjadi pilihan Allah untuk diberi ganjaran dan kedudukan mulia sebagai seorang cemerlang.

Ini menepati firman Allah yang bermaksud: “Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan-Nya. Dan mereka (yang ingkar) bergembira dengan kehidupan dunia, sedangkan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.” (Surah al-Ra‘ad, ayat 26)

Friday, March 20, 2009

Mendidik Anak resam Berjiran

Baru semalam aku dok mengomel, tarak masa nak tuleh artikel anto suratkabo. alhamdulillah, harini keluar jugak. Utusan Malaysia 20 March 2009 -- http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm.

*********************************
Mendidik anak resam berjiran

PEPATAH Melayu ada menyebut: "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat." Ia merujuk kepada kepentingan hidup bertunjangkan kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur.

Nilai muafakat itu pula lebih signifikan maksudnya dalam konteks hidup berjiran kerana golongan ini merupakan antara orang paling dekat dengan kita.

Keharmonian hidup berjiran merupakan tuntutan syariat Islam. Rasulullah SAW turut bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya." (Riwayat Al-Bukhari).

Mengambil berat akan resmi hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk pada anak-anak sejak mereka kecil.

Anak-anak perlu dididik akan siapakah jiran mereka dan apa pentingnya hidup berjiran. Mereka juga perlu diberitahu bahawa jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori dan setiap kategori mempunyai hak tersendiri.

Menurut Rasulullah SAW kategori pertama ialah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak iaitu hak berjiran. Kedua ialah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak iaitu hak sebagai jiran dan juga hak sebagai saudara seagama.

Sementara ketiga, jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, yang memiliki tiga hak iaitu hak sebagai jiran, saudara Islam dan keluarga. Perbezaan hak-hak ini perlu dijelaskan kepada anak-anak.

Jika sejak kecil anak-anak dididik mengenai hak jiran, mereka akan terus menjunjung nilai murni hidup bermasyarakat seperti yang disyariatkan Islam.

Banyak perkara yang kita sebagai ibu bapa boleh terapkan kepada anak-anak berkaitan erti kemanisan hidup berjiran. Antaranya ialah:

- Menggalakkan anak-anak bersikap merendah diri, tidak sombong serta menghormati jiran.

- Menegah anak-anak daripada berburuk sangka, menimbulkan fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga.

- Memupuk budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran terutamanya apabila mereka sakit atau ditimpa kesusahan. Namun mereka juga perlu dididik mengenai masa-masa yang tidak sesuai untuk menziarahi jiran.

- Mendidik agar 'ringan tulang' membantu jiran yang memerlukan sebarang pertolongan. Ia termasuk sokongan berbentuk material, fizikal dan moral.

- Menegah anak-anak daripada mengganggu dan merosakkan hak jiran. Misalnya membuat bising, membuang sampah atau mengambil hak milik jiran.

- Menggalakkan mereka menyertai program komuniti seperti solat berjemaah, bertadarus dan bertahlil, kendurikendara, gotong-royong dan sebagainya. Mereka perlu difahamkan mengenai keburukan bersifat seperti 'kera sumbang'.

- Setiap masalah perlu diselesaikan mengikut syariat dan tidak diperbesar-besarkan sehingga menjadi kronik. Sifat berdendam juga perlu dibuang dan disemarakkan dengan sifat bertolak ansur dan mudah memaafkan.

Apa yang lebih penting adalah ibu bapa sendiri perlu menunjukkan teladan terbaik kepada anak-anak dalam hal kehidupan berjiran.

Sekiranya kita sendiri bermasam muka, bermusuhan dan sering mengasingkan diri daripada bertemu atau menegur sapa jiran tetangga, tidak hairanlah jika anak- anak turut berbuat sedemikian.

Janganlah kita hanya sedar kepentingan hidup berjiran setelah kita berdepan dengan ujian yang memerlukan kita menagih bantuan mereka.

********************************
p/s: cakap pasal jiran..haaa ada jadi satu kes antara aku dengan jiran aku kat apartment UniMews baru-baru ni. Nak citer... panjang sangat nak kena taip, hehe. so, cuba anda rujuk cerita tu di website bini aku -- http://www.julieluvneezam.blogspot.com.


Thursday, March 19, 2009

Takde Tajuk

salam. lama sungguh tak berkarya dan menulis kat blog sendiri. Rindu, sapa kata tak rindu untuk menulis dan mendapatkan response dari khalayak atas hasil penulisan aku. Bukan sekadar sudah tidak menulis kat blog sendiri, aku pun dah tak hantar apa-apa artikel ke suratkabo, mahu pun artikel bersifat akademik ke mana2 yang patut.dulu, rajin bebenor, sekarang bukan kerana malas, tapi kerana masa dan fokus yang perlu diberikan pada PhD writing.

Sekejap dulu, jadi habit aku, kalau ada isu semasa yang aku rasa terpanggil nak bagi komen, hah aku hujahkan dalam bentuk artikel ke suratkabo. Dulu aku dengan ayah aku seakan-akan berlumba-lumba, sapa punya artikel akan keluar suratkabo. sekarang ayahlah pemenangnya saban minggu setiap Rabu, sebab dia memang dah jadi penyumbang tetap artikel ke Berita Harian (sisipan Skor--Bahasa Malaysia kertas 2). Aku? selalunya selalu berkira-kira untuk duduk depan laptop dan curahkan segala idea macam dolu-dolu..tapi selalu jugaklah terbantut hasrat tu kerana macam2 sebab. Niesreena kacolah, bini kacolah, mengantuklah, dan alasan paling signifikan...musti fokus pada research writing aku dulu!

ramai jugak kawan2 tanya, mengapenye dah malas nak menulis kat paper? orang suratkabo pun ade pernah e-mel mohon teruskan menulis, tapi enche2 dan puan2, aku kena tunjuk yellow atau red light dulu buat waktu ni..nanti dah selesai MISI AGUNG aku kat Melbourne ni, barulah aku cuba sedaya upaya kongsikan idea2 (yang selalunya kurang atau tak bernas) dengan khalayak. Atau kalo dapat aku curik2 jugak masa..pasti terselit jugaklah artikel aku kat suratkabo sebulan-dua ni, Insya Allah.

Ni kepala aku semacam ada 3-4. satu memikirkan hal belajo ni, satu memikirkan hal Julie nak bersalin (dan segala macam yang bersangkut paut seperti kelengkapan baby, insurans, hospital, makan pakai julie masa bersalin nanti), keletah Niesreena, hal ehwal famili besar di Desa Bundoora, dan beberapa lagi. Pun begitu, di sebalik pening-pening lalat mentadbir kesemua ini, aku bersyukur Allah SWT bagi aku kekuatan mental dan fizikal untuk terus tabah mengharungi hidup. Syukur paling tak terhingga pada Allah kerana dikurniakan isteri yang sangat2 memahami, sangat2 kuat menyokong, dan sangat2 kuat semangatnya, yang sentiasa berada di samping aku. Kami ketawa sama2,menangis pun sama2. Bersyukur jugak dikurniakan mak ayah yang menyokong sepenuhnya dari jauh.

Bulan 5 ni Julie Insya Allah bersalin. Dek kerana 'management' kami kurang bijak (boleh baca blog julie kalo nak tau apekemendenya-- julieluvneezam.blogspot.com), maka kami takde pilihan lain selain 'bersalinkan' julie di private hospital. Takpelah, takde beza sangat pun bayarannya dengan public hospital kat Melbourne ni. Aku dah tengok harganya lebih sikit2 je, tupun Insya Allah insurance akan cover, dan aku kena tampung sedikit sebanyak jelah gap nya. Yang bagusnya, spital tu sekadar 1 kilometer je dari apartment kami, selesa kelihatannya, nurse pon lawo2 (;p), harap2 dipermudahkanlah segala urusan berkaitan usaha 'bersalinkan' Julie ni nanti. Harap2 semuanya selamat dan sejahteralah gayanya.

Niesreena? ntah, aku tak tau nak mintak tolong sapa tengokkan dia masa hari Julie bersalin. Ade aje kawan2 yang sudi nak membantu tengok2kan Reena, tapi aku segan. Tapi tengoklah nanti, kot2 aku tak cukup tangan, akan aku mintak jugak bantuan kawan2 kat Desa Bundoora ni.

mak ayah pun akan datang Insya Allah ujung bulan 5, sementelah diorg cuti sekolah (dah tua-tua pun gi sekolah lagi kan? kesian..tula sapa suruh jadi cekgu? hehehe...jangan marah mak, ayah..), so dapatlah diorg spend masa dalam 2 minggu tengok cucu baru (bukan menantu baru eh?)dan cucu lama di Melbourne ni.

Alhamdulillah, dalam sebuk2 aku tadbir hal rumah tangga, progress study aku pun aku rasa makin oke. Aku tabik spring pada satu-dua kawan aku yang mampu habiskan phd less than 3 years atau solid 3 years. tapi aku rasa aku tak mampu, dan aku tak mahu nak habis cepat2. aku nak capai target2 sampingan aku sementelah ada di Melbourne ni. Aku nak present beberapa paper hasil research aku, dan nak hasilkan outcome yang bagus dalam thesis. thesis aku ni aku yakin mampu jadi bidang kepakaran aku, bila aku balik Malaysia habis belajo nanti..insya allah..itu harapan aku. Bukan nak banyak kali amek PhD (tobat tak amek lagi..hehe), so naklah hasilnya berkualiti betul. kalo tak berkualiti di mata orang, at least satisfy my own aims sudahlah ye tak? aku pun belum puas 'bergelumang' dengan supervisors aku lagi (macam negatif aje bunyi gelumang tu kan? ;p). Aku nak korek sekorek-koreknya apa ilmu yang diorg ada. Biar diorg menyesal ada student phd macam aku (kuat korek?).

Ya Allah, berikanlah aku kekuatan dan kemampuan untuk terus jalani hidup di dunia ini. Lorongkanlah aku ke arah kejayaan dunia dan akhirat...amin.


Related Posts with Thumbnails