entry aku dalam frenste blog aku on Thursday, May 29th, 2008
Pemimpin baik? Pemimpin hampeh?
Pengalaman aku sendiri bekerja–bukan kat USIM la– pernah berhadapan dengan ketua/boss yang dibenci pekerja2nya. Kalau pekerja lain yang ‘kureng’ sikit kesabarannya, memang saban hari menghadiahkan caci maki, kutuk keji, carut-marut untuk boss ‘kesayangan’.
Tapi, itu adatlah kan, ada waktunya kita dapat boss yang baik dan memahami. ada juga yang dapat boss ‘kurang sihat akal dan hatinya’ yang membuatkan kita rasa tak seronok untuk kerja dan mengadap muka orang tua tu hari-hari.
Apapun, hari ni artikel aku berkait dengan sifat kepimpinan boss/ketua dari perspektif syariat Islam keluar dalam Berita Harian 30 Mei 2008-Jumaat. jemputlah baca…mari kita buat pedoman sama-sama.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Agama/20080530002438/Article
Prinsip kepemimpinan berlandaskan syariat
DALAM kehidupan manusia, kepemimpinan adalah elemen yang sudah menjadi lumrah, sejak Adam dicipta dan Hawa untuk menjadi teman hidupnya, aspek kepemimpinan sudah wujud. Apabila Nabi Adam diturunkan ke dunia, Baginda melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin dalam membimbing isteri, Hawa dan anaknya menjalani kehidupan di muka bumi dan amal ibadah kepada Allah.
Sehingga kini, konsep kepemimpinan sentiasa wujud dalam kehidupan. Suami menjadi pemimpin kepada isteri, ibu bapa menjadi pemimpin dalam institusi kekeluargaan, penghulu menjadi pemimpin dalam masyarakat kampungnya, imam menjadi pemimpin kepada makmumnya dan begitu juga raja atau menteri yang memimpin kapasiti masyarakat yang lebih besar skopnya.
Tidak ketinggalan dalam sesebuah organisasi pekerjaan dan perniagaan, kepemimpinan adalah suatu daya penggerak kepada usaha pencapaian matlamat ahli dan organisasi itu sendiri. Islam mengiktiraf akan kepentingan konsep kepemimpinan, sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila tiga orang keluar bermusafir maka hendaklah mereka melantik seorang daripada mereka sebagai ketua (Amir)” (riwayat Abu Hurairah).
Untuk itu, Islam memberi banyak garis panduan dan prinsip kepemimpinan agar ia diamalkan secara adil, saksama, berkesan dan mendapat keredaan Allah. Dalam al-Quran misalnya, banyak panduan diberikan dalam mewujudkan prinsip kepemimpinan yang tepat.
Antaranya, menurut Yusuf Ismail dalam bukunya, Mengurus Secara Islam, kepemimpinan bermatlamatkan mencari keredaan Allah melalui surah at-Taubah (ayat 72); melaksanakan amal makruf dan mencegah kemungkaran (ali-Imran, ayat 104 hingga 110); membuat keputusan sesuai dengan prinsip Islam (al-Maidah, ayat 44, 45, 47, dan 50) dan menjaga kesejahteraan masyarakat (al-Baqarah, ayat 148 dan al-Qasas, ayat 77). Seterusnya seruan untuk membangunkan kapasiti individu semaksimum mungkin (ali-Imran, ayat 139 dan al-Hujarat, ayat 13); melaksanakan prinsip syura (ali-Imran, ayat 159 dan as-Syura, ayat 36); mewujudkan jamaah (as-Saf, ayat 4); berlaku adil (al-Maidah, ayat 8 dan an-Nisa’, ayat 129), dan berlaku ihsan (an-Nahl, ayat 90).
Menurut Mohd Isa (2002), asas kepada kepemimpinan Islam mesti menjurus kepada tiga matlamat utama. Pertamanya ‘akidah’, iaitu hakikat kepemimpinan itu adalah amanah Allah yang mempunyai implikasi kepada keimanan terhadap Rukun Iman yang enam yang pasti ditanya di akhirat kelak. Sesiapa yang berjaya memimpin dengan baik akan ke syurga dan yang tersasar akan ke neraka.
Keduanya, ‘syarak’, iaitu mengakui dan menurut setiap syariat dan undang-undang yang diperuntukkan Allah di dalam sumber teragung iaitu kitab al-Quran dan panduan Rasulullah melalui al-Hadis. Pematuhannya dikelaskan sebagai suatu ibadah seperti dikehendaki Allah bahawa manusia itu diciptakan untuk tujuan beribadah.
Ketiga pula adalah ‘akhlak’, yang menjadi asas kepada kepemimpinan Islam dan ia mesti bertunjang kepada aqidah dan syariat. Akhlak yang terpuji memberi refleksi ke arah pembentukan kepemimpinan yang sempurna seperti mana disyariatkan Islam.
Ciri-ciri pemimpin yang berpaksikan syariat Islam akan memberikan kesan kepada gaya kepemimpinannya dan penerimaan ahli di bawahnya. Begitu juga dengan kepemimpinan dalam sesebuah organisasi, jika betul dan baik pemimpinnya, maka pekerja atau orang bawahannya juga akan menuruti amalan betul dan baik ditunjukkan terajunya.
Seseorang yang memegang jawatan pengurus dan sekali gus sebagai pemimpin perlu faham bahawa dia perlu melaksanakan amanah dan kepercayaan diberikan organisasi. Ia selaras dengan firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya” (an-Nisa’: 58).
Jika pangkat dan kekuasaan itu disalahgunakan dan ditadbir dengan cara tidak betul, maka kesannya adalah kepemimpinannya itu tidak diredai Allah. Bila tidak mendapat keredaan-Nya, hilangnya keberkatan dalam pekerjaannya dan hilanglah juga kepercayaan organisasi dan pengikut terhadap kemampuan pengurus itu.
Islam turut menekankan konsep seseorang pemimpin untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh, tekun dan cekap. Seseorang yang dilantik menjadi pengurus dan pemimpin bukanlah seorang insan yang sempurna serba-serbinya. Pepatah Melayu ada menyebut bahawa ‘belakang parang kalau diasah lagikan tajam’ apatah lagi manusia yang bersungguh-sungguh mahu mengubah dirinya. Maka, seseorang pemimpin itu perlu sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri, bekerja dengan komited untuk memantapkan kemahiran kerja dan kemahiran kepemimpinan. Begitu juga, dari semasa ke semasa tekun untuk menambah baik nilai produktiviti dan kecekapan kerja supaya mampu menjadi contoh baik kepada pekerja bawahan. Diriwayatkan al-Baihaqi bahawasanya Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dengan tekun”.
Begitu juga dengan saranan pemimpin melaksanakan kaedah kerja secara berpasukan seperti firman Allah bermaksud: “ Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan”(al-Ma’idah: 2). Manusia fitrahnya tidak mampu berbuat sesuatu dengan sempurna secara sendirian. Bantu-membantu, nasihat-menasihati dan saling bekerjasama adalah unsur sangat berkesan dalam mentadbir kehidupan lebih baik dan bermakna dalam sesebuah masyarakat. Begitu juga dengan masyarakat dalam konteks sesebuah organisasi, semangat berpasukan sangat tinggi nilainya bukan saja untuk mencapai matlamat organisasi dan individu pekerja, bahkan untuk mendapatkan keredaan Allah.
Pemimpin dalam sesebuah organisasi perlu sentiasa melaksanakan strategi yang berkesan dalam mewujudkan konsep ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ dan ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ di kalangan ahli dalam organisasi. Setiap pekerja tidak kira pangkat dan latar belakang dianggap sebagai aset penting dalam memakmurkan dan membangunkan organisasi dan peranan mereka itu dihargai sebaiknya. Pemimpin yang sentiasa mengambil tahu dan membantu akan hal ehwal pengikutnya adalah pemimpin yang sangat disukai dalam Islam seperti sabda Rasulullah bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia” (Riwayat al-Quda’).
p/s: harap2 kalau aku berpeluang jadi ‘boss’, aku sentiasa diberi bimbingan dan petunjuk daripada Yang Maha Esa..amin.
Nabi dulu Mazhab apa?
-
*Ada orang tanya: kenapa di Malaysia ikut Mazhab Syafee, tapi Akidah ikut
Asyaari? Kenapa tidak akidah Imam Syafee juga? Nabi dulu Akidah apa? Mazhab
apa...
1 week ago
0 comments:
Post a Comment