Artikel aku pasal budak jahat di melbun keluar di Berita Harian 25 January 2008.
"Sapa2 dok di Melbourne mesti tau pasal si Corey Delaney yang baruuuuuuuuuuuuuu berada di Tingkatan Empat (kalau dia sekolah kat Melesia lah) yang cukup berani dan berjaya organised a so called wild party 2 minggu lepas. Gila ah! memang gila mamat ni sebab mentang2 mak dia sama ayah tiri dia keluar bercuti pergi ‘honeymoon orang tua’, dia pun naik minyak guna harta benda mak bapak dia untuk bersuka ria! respect, memang respect..itu sudah pasti perkataan yang terpacul dari mulut orang yang suka apa yang dia buat. Sebaliknya Gila! Biadab! Bengong! adalah perkataan yang akan jugak terpacul dari mulut orang yang baik2, yang waras, yang tau adab dan tatasusila. Mana taknya, 500 horang gilos datang ke parti tu dan buat chaos kat rumah2 jiran sekeliling! apa perasaan anda kalau ada orang ketuk pintu, bila anda bukak dia cakap HAI dalam keadaan dia tengah telanjang bulat???????? best? mengaibkan? mengujakan? sanggup nak tengok? terpulang…padahnya, pihak polis Victoria ni nak denda 20k atas kesalahannya. Tapi, ramai pulak orang2 industri hiburan di sini yang simpati, dan cuba ambil kesempatan di atas ‘populariti’ Corey. Diorang sanggup bayar Corey ni berpuluh2 ribu demi memastikan Corey akan menyertai program diorang tak kesahlah di radio ka, di majalah ka, atau di dalam parti2 liar lain! cuci tangan jelah mamat ni bayar 20k kat polis..hehe, dunia, dunia..terbalik kong dah..yang jahat dianggap baik, yang baik dianggap jahat..kenapa? inilah tanda2 manusia akhir zaman yang dah semakin hanyut…
Semoga Allah Taala selamatkan pemikiran, tindakan dan diri kita daripada gejala2 negatif macam ni…
so, aku ada hantar satu artikel ke Berita Harian dan published dah harini (25 January 08), berkaitan kes Corey Delaney yang jadi fenomena hangat di Australia hari ini."
Remaja mesti diasuh elak rosak jiwa
“Menakutkan!”. “Dahsyatnya!”. Mungkin itulah antara perkataan yang terpacul dari bibir sesiapa sahaja yang membaca berita mengenai seorang remaja Australia, Corey Delaney, baru berumur 16 tahun yang begitu berani mengadakan parti liar semasa ketiadaan ibu bapanya di rumah yang keluar bercuti baru-baru ini. Sesungguhnya, apa yang terjadi di kawasan kejiranan Narre Warren South, Melbourne ini menjadi satu fenomena yang diterima dengan nada yang berbeza-beza oleh pelbagai pihak bukan sahaja di Australia bahkan di seluruh dunia.
Bagi mereka yang matang dan waras pemikirannya pasti sudah menggeleng-gelengkan kepala memberi maksud tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan Corey. Berbeza bagi golongan remaja seusia Corey, menganjurkan parti liar sebegini adalah cukup mengujakan apatah lagi dengan kehadiran sehingga 500 tetamu ‘sekepala’ walaupun hampir kesemuanya tidak dikenali. Keseronokan ini ditambah lagi dengan adanya unsur minuman keras dan perhubungan bebas tanpa kawalan, membuatkan ada di antara mereka yang berkelakuan tidak senonoh dengan memekik-mekik, mengganggu ketenteraman jiran-jiran atau lebih melampau lagi sehingga ke tahap bertelanjang bulat berlari di sekeliling kawasan kejiranan dan mencabar kesabaran pihak polis dengan memecahkan tingkap sebuah kereta peronda yang cuba mengamankan suasana! Akibatnya, polis terpaksa mengerahkan sehingga 30 pegawainya, satu skuad helikopter dan skuad anjing untuk meleraikan kekecohan yang disebabkan oleh parti liar ini.
Ternyata bahawa apa yang dilakukan Corey adalah salah di sisi undang-undang dan tidak dapat diterima sama sekali oleh masyarakat sekelilingnya. Namun dia tetap menunjukkan tahap kesamsengan dan kedegilan yang tinggi kerana bila ditemuramah secara langsung oleh stesen televisyen, dia dengan bangganya menyatakan itulah trend kehidupan remaja zaman sekarang dan dia menggalakkan para remaja lain untuk tidak berasa takut membuat seperti mana yang dilakukannya. Kebiadabannya turut terserlah apabila dia diminta oleh pengacara televisyen untuk memohon maaf kepada ibu bapanya, jiran-jirannya dan seluruh rakyat Australia, tetapi dia menolak dan menegaskan untuk mengadakan lagi parti liar sebegini pada masa hadapan!
Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Inilah bukti yang menunjukkan bahawa ada sesetengah daripada golongan remaja zaman sekarang yang ‘berdarah muda’, terlalu bebas untuk melakukan apa sahaja dengan berkiblatkan nafsu dan kehendak masing-masing tanpa memikirkan akan kesan-kesan negatifnya. Pada mereka, umur mereka bukan lagi setahun jagung, malah sudah menjangkau dewasa dan mereka berhak untuk membuat keputusan sendiri. Walaupun di negara kita, kes-kes parti liar sebegini tidaklah ketara dilaporkan, namun masih juga ada kebimbangan terhadap wujudnya gejala-gejala negatif di kalangan remaja umpamanya penyalahgunaan dadah, berlumba haram, seks bebas tanpa ikatan sah dan peniruan budaya kuning dari barat seperti Punk dan Black Metal. Itu belum lagi dikira akan laporan kes-kes jenayah yang membabitkan remaja bawah umur seperti samun, buli, rogol dan bunuh. Ia sepatutnya dapat membuka mata dan pintu hati semua pihak untuk sama-sama berganding bahu secara kolektif menangani kemaslahatan golongan remaja masa kini. Justeru, terdapat dua kategori tindakan yang perlu dipikul di bahu semua pihak yang terlibat iaitu melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan perawatan.
Dalam langkah pencegahan, ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dengan anak-anak bertanggungjawab membimbing mereka sejak kecil lagi untuk menjadi insan yang kamil, soleh dan berakhlak mulia dengan memberikan ilmu agama, moral dan ketatasusilaan yang mantap. Anak-anak remaja juga perlu difahamkan bahawa setiap tindak-tanduk mereka ada had batasannya terutama daripada perspektif agama, perundangan, budaya dan masyarakat. Begitupun, bimbingan ibu bapa sahaja tidak cukup, kerana mereka bukanlah 24 jam sehari dapat berada di samping anak-anak. Pihak sekolah atau guru-guru turut memainkan watak utama dalam mendidik anak-anak murid mereka terutamanya mereka yang sedang meniti usia remaja. Para pelajar ini perlu dibimbing menjadi insan terpelajar, berdisiplin dan kaya dengan ilmu pengetahuan yang mampu mencerna daya pemikiran yang sihat dan matang.
Masyarakat sekeliling berperanan sebagai agen pelengkap dalam mencegah berlakunya permasalahan sosial dalam kalangan remaja. Mereka tidak seharusnya mengamalkan konsep ‘lantaklah, dia bukannya anak aku’, akan tetapi lebih kepada unsur kebertanggungjawaban tanpa memilih bulu. Misalnya dengan membabitkan golongan remaja dalam program-program sosial, keagamaan, sukan, rekreasi dan sebagainya. Golongan remaja sendiri turut memainkan peranan penting dengan cara meletakkan agama sebagai suluh hidup, berfikir lebih rasional dan matang, bijak memilih rakan-rakan yang sesuai, dan hormat kepada hak-hak orang lain.
Intervensi atau langkah perawatan sewajarnya pula perlu bagi golongan remaja yang telah ‘parah’ jiwa dan pemikirannya seperti dalam kes Corey. Tindakan melalui saluran perundangan misalnya, adalah salah satu kaedah konservatif dalam langkah perawatan di mana mereka perlu dihukum atas satu-satu tindak-tanduk yang melampui batas undang-undang. Selain itu, mungkin program kaunseling dan keagamaan yang komprehensif boleh diberikan kepada mereka untuk menyuburkan kembali nilai-nilai murni yang sebenarnya ada dalam diri mereka. Amalan masyarakat sekeliling yang suka menjauhkan diri daripada mereka yang pernah berbuat salah juga perlu dihapuskan, terutamanya golongan remaja yang masih terkial-kial mencari identiti diri mereka yang sebenarnya. Dalam hal ini, masyarakat perlu membuang jauh-jauh akan konsep ‘nasi sudah menjadi bubur’. Mereka yang tersasar sebegini, perlu didekati dan diserlahkan akan contoh kehidupan sebenar yang boleh diterima oleh masyarakat, undang-undang dan agama sendiri.
Sememangnya, kalaulah tidak ada mekanisme pencegahan dan perawatan yang berkesan untuk membimbing golongan remaja masa kini, maka tidak perlulah kita bermimpi untuk dapat terus mengekalkan trend kemajuan dan tradisi kemakmuran negara ini pada masa hadapan. Sememangnya benar kata sesetengah orang ‘remaja hari ini melambangkan pemimpin masa hadapan’. Jika molek budi pekerti dan matang pemikiran mereka pada hari ini, maka akan berjayalah negara kelak. Tetapi jika sebaliknya yang berlaku, maka tunggu sahajalah akan kehancuran pembangunan negara, bahkan kepupusan warisan tamadun dan budaya bangsa Malaysia yang suci dan murni.
Nabi dulu Mazhab apa?
-
*Ada orang tanya: kenapa di Malaysia ikut Mazhab Syafee, tapi Akidah ikut
Asyaari? Kenapa tidak akidah Imam Syafee juga? Nabi dulu Akidah apa? Mazhab
apa...
1 week ago
0 comments:
Post a Comment