Saturday, October 31, 2009

jalan2 dan artikel paper: lelap sekejap

Beberapa hari ni aku memang bz. bz sangat2 berjalan2 dengan Dr Amirul dan Dr Ainul dan anak comel mereka Damia dari Kangar Perelih. Depa kawan Hairil dan Isma, datang ke Melbourne nak bercuti2. Maka, aku pun didrag sama dek Hairil dan Isma pi ikut bercuti2 jugak ke sekitar Victoria. Kami pergi Great Ocean Road, Port Campbell, tido di Peterborough. Tengok2 pantai, laut, Twelve Apostles, London Bridge, and some more lookouts yang cantek2. Then, kami ke Ballarat, apa lagi kat situ wajib ke Sovereign Hill dan Gold Museum. Ni kira kali ketigalah aku ke Great Oceon Road dan Ballarat (tak mau gi lagi dooohhh...haha). Then, kami bawak Dr Amirul dan Dr Ainul ke Phillip Island. Trip ni Kak June Unimews join. Memang best dapat feed kanggaroo,tgk koala, tgk biawak, tgk alam sekitar, feed the seagulls, tgk balam2 French island, dan the concluding remark--tgk penguins parade! memang best..sampai rumah pukul satu malam! gilos..

Memang tak sempat nak bukak email, nak bukak internet. pagi b4 aku ke Phillip Island, aku bukak la sekejap utusan online. Keluar rupa2nya artikel aku on the same day kami bertolak ke Great Oceon Road (27th Oct). So, saja mau share dgn anda semua artikel tersebut kat bawah nih. Semoga jadi iktibar.

p/s: masih tebal rindu aku pada anak2 dan julie.

**************************************************


Faedah lelap seketika kepada pekerja


banyak organisasi di Barat yang menggalakkan para pekerja untuk mengamalkan tidur sebentar di waktu siang. - Gambar hiasan


SESETENGAH daripada kita menganggap bahawa lelap atau tidur sebentar pada waktu siang adalah sifat orang yang malas. Tidak kurang juga yang berandaian bahawa rutin tidur sebegini mengganggu kesihatan.

Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa tidur sebentar pada waktu siang merupakan suatu amalan harian yang telah dipraktikkan oleh masyarakat di negara-negara Barat mahupun umat Islam sejak dahulu.

Ia dianggap sebagai praktis berkesan untuk menyegarkan semula badan dan minda yang juga dipanggil sebagai power nap.

Menyedari pentingnya isu itu telah menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat beberapa tahun lalu membangunkankan National Sleep Disorder Association sebagai agensi khas untuk mengkaji dan mempromosikan akan kesan positif tidur di waktu siang kepada semua pihak terutama para pekerja.

Sebagai golongan pekerja dalam pelbagai sektor, perkara ini perlu diambil perhatian walaupun budaya tidur sekejap di waktu siang ini belum begitu popular di negara kita.

Bayangkan daripada pagi hinggalah ke petang kita terlalu terfokus kepada tugasan dan kerja sehingga kita lupa untuk memberikan tubuh badan dan minda waktu rehat yang optimum dengan kaedah yang tepat.

Banyak kajian yang telah dilaksanakan oleh para sarjana dalam mengkaji akan kesan tidur sebentar di waktu siang. Mereka juga menghasilkan bahan-bahan ilmiah yang memberikan fakta tentang kebaikan tidur di waktu siang ini.

Contoh buku popular yang boleh diperoleh di pasaran adalah seperti The Art of Napping at Workkarya Anthony dan Anthony, Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping oleh Dinges dan Broughton dan sebagainya.

Para sarjana ini cuba menghimpunkan bukti-bukti secara saintifik tentang kebaikan tidur sebentar di waktu siang terutamanya bagi para pekerja dalam mengekalkan produktiviti kerja seharian yang mantap.

Telah dibuktikan secara saintifik bahawa waktu tengah hari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika.

Sistem pekerjaan yang kebiasaannya memperuntukkan waktu rehat pada waktu tengah hari perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk tidur sejenak selain daripada makan tengah hari, berbual-bual kosong dengan rakan-rakan, melayari Internet dan sebagainya.

Pada masa inilah sistem badan manusia bersedia untuk memanfaatkan fasa berehat setelah berjam-jam keletihan akibat dipengaruhi oleh faktor suhu persekitaran serta pendedahan dan penggunaan tenaga fizikal dan mental ketika bekerja.

Keletihan bekerja memuncak pada waktu tengah hari yang mana ia boleh mendorong seseorang pekerja mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus, mengantuk dan mudah marah.

Fasa tengah hari ini dipanggil oleh para sarjana sebagai fasa kelesuan pada pertengahan hari. Tempoh untuk tidur pula dikatakan mencukupi dalam lingkungan 30 hingga 40 minit.

Ini adalah kerana waktu tidur yang berlebihan pula akan menyebabkan gangguan kepada tubuh badan yang akan menjadi lesu dan malas untuk bekerja semula.

Daripada segi fizikal, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala membantu dalam menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah dalam pengaliran darah dan oksigen, memperbaiki sel-sel badan dan mengendurkan otot-otot yang digunakan secara aktif semasa bekerja sejak pagi.

Daripada aspek kesihatan mental dan psikologi pula, minda dan perasaan akan menjadi lebih tenang daripada stres sebaik bangun daripada tidur dan bersedia untuk melaksanakan kerja dengan lebih produktif, berkesan dan efisien menganjur ke petang hari.

Daripada perspektif Islam, tidur di waktu siang turut diiktiraf sebagai salah satu amalan yang baik.

Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa 'hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadah pada malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari'.

Tidur sekejap di waktu siang bertujuan untuk menyegarkan semula bukan sahaja jasmani, malah rohani seseorang untuk beramal ibadah dan melaksanakan rutin hariannya.

Atas kesedaran tentang implikasi positif daripada tidur sekejap di waktu siang ini, banyak organisasi di Barat yang menggalakkan para pekerja untuk mengamalkannya.

Sehingga ke satu tahap, dikatakan terdapat majikan yang menyediakan ruang yang khas untuk tidur sementara (yang lengkap dengan kerusi malas, kusyen, tuala muka dan haruman) bagi para pekerjanya selain daripada pantri atau kantin untuk makan.

Majikan atau pengurusan organisasi diharapkan faham akan keperluan rehat para pekerja. Cuba elakkan untuk mengadakan mesyuarat atau memberi sebarang tugas kepada pekerja sehingga mengganggu waktu rehat tengah hari mereka.

Begitu juga dalam kalangan pekerja yang perlu mengikis pandangan serong apabila terjumpa rakan-rakan yang tidur di pejabat dan tidak memberikan banyak masa untuk makan atau bersosial pada waktu rehat.

Begitu juga dengan para pelanggan di kaunter-kaunter perkhidmatan yang perlu faham dan tidak bersungut apabila sesetengah kaunter ditutup untuk memberi ruang rehat seadilnya kepada semua pekerja.

Mungkin amalan tidur sekejap sebegini belum kelihatan praktikal dan janggal dalam kalangan warga pekerja di negara kita. Pun begitu, pokok pangkalnya sebagai orang yang bekerja kita boleh cuba untuk mengadaptasi amalan tidur sekejap ini yang telah terbukti keberkesanannya dalam mengekalkan kecergasan dan kecerdasan diri.

Sebagai pekerja, jika fizikal, mental dan emosi kita dapat direhatkan sebentar pasti kita dapat mengekalkan prestasi kerja yang baik sehingga ke minit terakhir kita bekerja sehari-harian.


Monday, October 26, 2009

Terubatlah sikit rindu

Sudah beberapa hari kami terpisah. Masih jua tak luput rasa sayu dan sepi aku di Waterdale Rd ni. Terima kasih buat rakan2 yang sedaya upaya membantu menghilangkan kesunyian aku. Hairil, Isma, Zafiri, En. Din, Kak Gee, Abg Jai, Kak Fizah Queensland, Kak Azni, Abg Lan, Kak Azwan, dan lain2 yang tak tersebut di sini. Terima kasih kerana sudi mengisi waktu2 senggang aku dan sudi mengajak aku memecah 'privacy' di rumah anda semua dengan program memenuhkan perut, dan mengeratkan silaturrahim.



Sayangku di Malaysia dah ada no telepon Alhamdulillah. terubat sedikit kerinduan aku pada dia dan anak2 kami. dalam satu hari tak kurang 20 sms dia akan kirimkan kat aku.... cukup geram dia kalau aku sendiri yang tak ambik inisiatif sms dia, apatah lagi membalas smsnya! ;p

Sayangku pun cukup teramat sangat risaukan akan hal makan pakai aku di sini. dun wuri sayang. Abang oke aje. Dapur rumah ni sejak sayang tak ada, memang tak pernah berasap, bukan sebab abang malas nak masak. tapi sebab ramai betul kawan2 yang baik2 hati, seakan2 dah ada jadual mengundang abang datang makan ke rumah mereka siang dan malam. bahkan ada yang berhati mulia menyedekahkan lauk pauk untuk abang...betapa terharuuuuu rasanya... ;)

Sayangku bagitahu, Niesreena di Malaysia saban hari masih lagi bertanyakan "AYAH MANA, AYAH?" rindu jugak dia kat aku...aku sekadar hanya mampu cium gambar Niesreena dan Naufal di atas meja komputerku sekarang ini, demi melempiaskan rasa rinduku jua buat permata-permata hati ayah ini!!! :')

Besok, aku akan ikut Hairil dan Isma serta kawan mereka dari Malaysia, untuk berjalan2 ke Great Oceon Rd dan Ballarat. Semoga berhasil mengurangkan lagi rasa sunyi aku di Waterdale Rd ini.


Thursday, October 22, 2009

SUNYI di 14 Waterdale Road, Bundoora

Sunyi:
1. tidak kedengaran sebarang bunyi (suara), hening, senyap: suasana menjadi ~, masing-masing membisu; ~ senyap sangat sunyi; 2. tidak berorang, kosong, lengang, sepi: dr jauh dilihatnya rumah itu ~ sepi; negeri itu ~; pasar sudah mulai ~; 3. bebas drpd, jauh (dr), lepas drpd: manusia di dlm dunia ini tidak ~ drpd tamak dan haloba; bahasa Melayu telah diajarkan dan dipelajari dgn lebih ghairah walaupun tidak ~ drpd masalah; tiada ~nya = tiada ~-~nya tiada putus-putus, selalu, sentiasa; 4. Ph rindu (akan);

Quiet:
1. Making very little noise; 2. without many people or much noise or activity; 3. peaceful, not disturbed.
oxford advanced learner's dictionary, 7th edition (2005)


Sudah melangkau 24 jam rumah no 14, Waterdale Road ni sunyi a.k.a quiet.

Memang sejak kami berhijrah ke sini selepas Naufal dilahirkan, rumah ini susah nak sunyi siang malam pagi petang. Ayah yang memang becok bercakap, memekak, usik mama dan anak2. mama yang tak berhenti2 mengemas rumah dan mentadbir makan pakai ayah dan anak2. niesreena yang aktif main, main, main. naufal yang asyik menjerit, menangis, memanggil2 sayu mintak didukung sepanjang masa. tivi yang jarang dapat bertutup. selalu juga radio dan mp3 hingar-bingar memenuhi ruang rumah.

tapi sejak lebih 24 jam lalu, ayah tak dapat nak bercakap dengan sapa2. ayah jadi bisu. ayah tak buleh nak usik dan bergurau dengan sapa2. ayah tak dengar suara niesreena mengomel2 dan ketawa2. ayah tak dengar permintaan wajib reena setiap 2-3 jam "nak susu milo". ayah tak dengar bunyi tivi dipasang sepanjang hari dengan cerita kartun kegemaran niesreena (bahkan tak bukak tivi langsung). ayah tak dengar bunyi kelentang-kelenting mama buat kerja kat dapur. ayah tak dengar bunyi naufal merengek nak tidur atau nak susu atau nak didukung. Ayah tak dengar hilai ketawa mama, niesreena mahupun naufal dah.

selalu ayah rasa penuhnya aktiviti dalam rumah 14 Waterdale Rd ni. Tak cukup 24 jam sehari.

Tapi sejak lebih 24 jam yang lalu, ayah rasa lain macam. ayah rasa kosong, ayah rasa sepi, ayah rasa sunyi. berdesing telinga.

makan masih lalu, tapi rasa tak enak. mandi masih basah, tapi rasa tak segar. tidur masih lena, tapi masih ada rasa mengantuknya.

solat sorang2.

sekali-sekala tersilap2 juga terjerit panggil "sayaanggg tengok email ni" macam biasa. walhal, sayang aku dah beribu batu jauhnya di sana. tersenyumlah aku sorang2 kemudiannya.

Sekali-sekala macam terdengar suara Naufal menangis, tapi rupa2nya suara itu lahir dari dalam kotak fikiran aku sendiri. aku tersenyum sorang2 kemudiannya.

sekali tadi aku bangkit dari kerusi depan laptop ni, nak tengok reena yang tgh tengok tivi. sesaat, aku sedar, niesreena tengah tengok tivi jauuuhhh beribu batu dari 14, Waterdale road ini. dan tivi di sini tak terbukak pun. tersenyumlah aku sorang2 kemudiannya.

inilah ertinya sunyi a.k.a quiet di no 14, Waterdale Road pada saat ini. Orang2 akan berkata "mengada2 betul mamat ni, tahapehapela, orang lain lagila, bertaun2 berpisah dengan famili". jawapan aku "inilah kali pertama nak berpisah selama macam ini" dan "this is my family, tak macam ni maksudnya bukanlah keluarga". macam tu jugalah sedihnya aku nak berpisah dengan mak ayah dan adik2 masa mula2 masuk boarding skul, STAR di Ipoh 13 tahun lepas. Tapi lama2 alah bisa tegal biasa, kan?

aku harap mulai esok, rindu aku akan bertambah menebal, tapi kecekalanku turut sama kan menebal.

aku harap isteriku Julie dan anak2 kesayanganku akan happy, bahagia, seronok, suka dan gembira berada di sana.

betul kata orang. Kita bertambah rasa perlu pada sesuatu apabila kita kehilangannya. Inilah ia dalam hatiku sekarang.

Firman Allah SWT maksudnya:
Demi sesungguhnya Kami menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan lapar dan (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (Surah al-Baqarah: ayat 155).

key pointnya---- sabarlah wahai aku yang kesunyian. sabarlah jua wahai isteriku yang aku tahu turut, kesunyian.


Wednesday, October 21, 2009

PERPISAHAN

Esok pagi2 buta, Julie dan anak2 kami akan berangkat pulang ke Malaysia menaiki pesawat Air Asia D72723 dari Melbourne ke LCCT jam 0145. Kepulangan orang2 tercinta aku nih adalah untuk meraikan hari perkahwinan seseorang yang penting bagi isteri aku. Tinggallah aku seorang di bumi Bundoora meneruskan perjuangan pelajaranku. Perasaan bercampur baur, manakan tidak, tak pernah akan terpisah selama ini (1-2 bulan), asyik berkepit je ke sana ke mari sejak mula berkahwin. Apa kan daya, aku akan ke Surabaya pada tarikh yang hampir sama dengan manusia tersebut. Jadi sememangnyalah aku takkan balik ke Malaysia untuk occasion yang special bagi bini aku nih.




Anyway, aku akan rindukan Julie, Niesreena dan Naufal. Tapi inilah peluang terbaik aku untuk aku boost up kerja2 aku yang terlalu slow dalam 3-4 bulan kebelakangan ini. Semoga Allah selamatkan Julie dan anak2 aku sepanjang perjalanan dan sepanjang mereka berada di Malaysia. Pengorbanan sebegini bukan suatu yang asing bagi kebanyakan orang, tapi hakikatnya aku dan Julie jarang melakukannya, jadi ianya adalah sesuatu yang cukup signifikan, dan menyayukan hati.

I will always love you my sweethearts!








I will miss you soooo much sayang!

Related Posts with Thumbnails