artikel aku di utusan malaysia pasal kerja, aku ulas dalam frenster blog aku on Wednesday, June 4th, 2008
Harga minyak naik dah oii!!! Ramai betul kawan2 aku YM dan email pasal kenaikan harga ‘emas hitam’ di Malaysia yang didahagai oleh semua rakyat bahkan majoriti manusia dalam dunia sekarang.harga minyak petrol yang naik 78 sen, turut sama naik dengan harga diesel dan tarif elektrik dijangka akan menepuk2 dahi peniaga2 bidang lain untuk sama2 ‘join the club’..itu satu senario yang tak boleh kita elakkan, kalau tak dalam jangka masa terdekat..lambat laun jadi jugak. Inilah dia senario zaman sekarang…kita tak berdaya nak menongkah arus perubahan yang bersifat global ni. apa yang boleh kita buat? Banyak…duduk, baca Bismillah, dan mula fikir apa kaedah terbaik untuk pastikan kita dapat teruskan hidup dengan sejahtera. Imbangkan semula perbelanjaan harian dan bulanan kita. Mana belanja yang kita rasa membazir…haaa silalah disingkirkan daripada menjadi amalan. Shopping sakan menambah aksesori rumah, tambah spare-part kereta, tengok wayang seminggu sekali, berdating, minum kat mamak, waima menghisap rokok adalah antara benda-benda ‘kurang dan takde pekdah’ yang biasa kita buat dan sebenarnya boleh kita tak buat. So, harini dalam Utusan Malaysia 5 Jun 2008-Khamis, artikel aku pasal berjimat cermat tersiar. Sebagai memenuhi aspirasi gomen, aku buat artikel ni menyentuh jimat-cermat dalam kalangan kakitangan awam(sebenarnya untuk semua manusia bernama pekerja dalam sektor swasta juga)…berhemahlah masa bekerje beb, jangan dok berkhemah (macam bercuti, goyang kaki, buat kompeni cam ‘ayah kita punya’!) masa bekerja..hehe.
Pupuk sifat berjimat kakitangan awam
TIDAK dapat tidak, ramai yang mengakui bahawa banyak jabatan awam yang masih tidak dapat menguruskan penggunaan kepelbagaian sumber fizikal dalam organisasi secara berhemah dan bijaksana. Stigma ‘menghabiskan peruntukan tahunan’ yang selalu kedengaran dalam kalangan pegawai kerajaan perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya dalam mengelakkan pembaziran yang sememangnya merupakan amalan kegemaran syaitan.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini meminta kakitangan awam untuk memikirkan dan melaksanakan langkah-langkah berjimat cermat bagi membantu kerajaan mengelakkan perbelanjaan subsidi melebihi aras perbelanjaan operasi yang boleh membawa masalah besar pada masa hadapan.
Secara realistik banyak usaha yang boleh dilaksanakan dalam menyahut seruan Perdana Menteri untuk berjimat cermat. Berikut adalah antara cadangan yang perlu dipertimbangkan dan diambil tindakan segera oleh jabatan-jabatan dan para pekerja sektor awam:
1. Rata-rata, ramai pekerja yang menggunakan konsep ‘pakai dan buang’ dalam penggunaan alat tulis, kerana memikirkan ia boleh didapati dengan mudah dan stoknya banyak. Untuk itu, pengurusan jabatan perlu mengurangkan atau mengehadkan pemberian pen, klip kertas, gam dan sebagainya kepada setiap pekerja kerana alat tulis tersebut boleh bertahan untuk jangka masa yang lama jika ia digunakan dengan jimat dan disimpan dengan cermat.
2. Amalkan kaedah ‘kitar semula’ kertas-kertas A4 dan sebagainya yang telah digunakan untuk tujuan urusan dalaman. Misalnya, penggunaan kertas-kertas terpakai tapi masih boleh digunakan untuk mencetak pekeliling jabatan atau minit mesyuarat. Ia berkesan dalam menjimatkan kos pembelian kertas yang kebiasaannya akan dibuang setelah diguna walaupun ruang di belakang kertas itu masih elok untuk digunakan semula.
3. Aplikasikan teknologi maklumat dan Internet dengan semaksimum mungkin dalam usaha menjimatkan kertas. Misalnya notis panggilan mesyuarat, jemputan menghadiri program, atau pekeliling yang boleh dikirimkan dengan mudah melalui internet.
4. Terdapat sesetengah jabatan yang selalunya akan menghidangkan jamuan makanan semasa mesyuarat. Untuk itu, jabatan kerajaan harus mengikis budaya mengsinonimkan mesyuarat dengan jamuan makan untuk tujuan menjimatkan kos pembelian makanan yang dirasakan tidak perlu bagi kelancaran mesyuarat.
5. Pengurusan setiap jabatan perlu memikirkan kaedah berkesan dalam penggunaan barangan elektrik. Komputer, radio, televisyen, mesin pencetak dan alat pendingin hawa misalnya perlulah diingatkan supaya ditutup jika tidak digunakan seperti ketika waktu rehat atau waktu pejabat berakhir.
6. Kurangkan atau elakkanlah mengadakan kursus, mesyuarat atau pelancaran program organisasi di hotel-hotel mewah yang sememangnya memakan kos perbelanjaan yang tinggi. Apa salahnya jika mesyuarat atau kursus dalaman organisasi dilaksanakan di dalam organisasi sendiri yang mana pada hemat penulis cukup kemudahan dan ruang fizikalnya.
Banyak kos yang dapat dikurangkan, terutamanya kos penginapan, makanan, pengangkutan, petrol dan sebagainya. Apa yang penting adalah aspirasi, matlamat atau resolusi yang diharapkan daripada kursus, mesyuarat dan program itu dapat dicapai, bukan betapa hebatnya lokasi pelaksanaannya.
7. Setiap jabatan kerajaan harus berusaha mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan urusan sesuatu transaksi dengan pelanggan. Hal ini sebenarnya memberikan kesan positif bukan sahaja kepada pelanggan bahkan kepada satu-satu organisasi kerajaan itu sendiri.
8. Setiap pekerja harus bijak dan amanah dalam menggunakan masa bekerja dan dalam pengendalian peralatan pejabat. Kita sepatutnya mengikis tabiat-tabiat buruk ini yang mana secara tersiratnya membazir dan merugikan wang kerajaan dan rakyat. Pupuklah etika kerja yang berintegriti dan berpandukan kepada syariat Islam dan pegangan moral.
Ini adalah sekadar beberapa cadangan yang dirasakan bersifat realistik dan boleh dipraktikkan secara menyeluruh dalam jabatan-jabatan kerajaan. Satu-satu perubahan yang baru itu sememangnya sukar untuk dilaksanakan, namun seperti kata-kata pujangga barat ‘kejayaan itu bermula dengan langkah pertama’.
Ambillah tindakan sewajarnya daripada sekarang untuk mengikis sikap boros, kurang cermat dan tidak berhemah dalam bekerja sebelum berlaku fenomena dan kesan yang lebih kritikal pada masa hadapan.
p/s: berkira2 untk mencari basikal..mengayuh ke opis dan rumah pak mentua nanti..;p
Nabi dulu Mazhab apa?
-
*Ada orang tanya: kenapa di Malaysia ikut Mazhab Syafee, tapi Akidah ikut
Asyaari? Kenapa tidak akidah Imam Syafee juga? Nabi dulu Akidah apa? Mazhab
apa...
1 week ago
0 comments:
Post a Comment