my newspaper article. ini first time article aku dapat masuk bahagian Rencana Berita Harian..so ia adalah something yang cukup bermakna buat aku.aku published dalam frenster blog aku dulu...ni kira 2nd republishment lah..hehe..
Happenstance with what had happened in Malaysia specifically di Sabah bila org2 di sana terpaksa bergelap berhari2 kerana ada mat2 vandalis yang curi besi tiang elektrik..bengong. Oklah, without further due, bacalah artikel aku nih. Have your say on it if you wish to.
‘Teori Tingkap Pecah’ berkesan bendung gejala sosial
Oleh Khairunneezam Mohd Noor
KERAJAAN melalui Majlis Sosial Negara sebelum ini membuat keputusan untuk memulihkan 10 kawasan tegar dengan gejala sosial dan jenayah di sekitar Lembah Klang iaitu langkah yang tepat pada masanya dan sangat dialu-alukan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan mesyuarat majlis itu mengumumkan bahawa pelbagai projek perintis bagi memutihkan kawasan berkenaan, berdasarkan `Teori Tingkap Pecah’ yang diasaskan dua pakar sosiologi Barat, James Wilson dan George Kelling.
‘Teori Tingkap Pecah’ ini adalah hasil kajian mendalam terhadap kaedah paling signifikan dalam menangani keruntuhan nilai dan etika sosial serta menangani jenayah vandalisme di kalangan masyarakat di New York pada awal 1980-an hingga 1990-an.
Teori ini mendasari pemahaman bahawa untuk menangani gejala sosial, vandalisme dan seterusnya jenayah serius, keadaan fizikal di sesuatu kawasan itu perlu dipulihkan segera bagi meminimumkan pengulangan gejala yang sama.
Misalnya, jika ada tingkap bangunan yang pecah, ia perlu diganti dengan tingkap baru pada kadar segera. Jika tidak, lebih banyak lagi tingkap akan dipecahkan kerana kegiatan vandalisme yang berasakan pengurusan bangunan tidak mengambil endah kerosakan bangunannya.
Begitu juga keadaannya dengan kaki lima atau lorong yang penuh dengan sampah, ia perlu dibersihkan dengan segera. Jika tidak orang ramai akan terus meletakkan longgokan sampah yang lebih banyak kerana memikirkan jalan berkenaan sebagai tempat sesuai untuk dibuang sampah.
Berdasarkan teori ini juga, strategi terbaik mencegah kebejatan sosial dan vandalisme adalah dengan memperbetulkan sesuatu masalah ketika ia masih tidak serius. Padang permainan kanak-kanak, telefon awam, tandas awam dan taman rekreasi adalah antara kawasan yang perlu sentiasa dipelihara dan dipulihara bagi mengelak kes vandalisme terus berleluasa.
Ada kajian dibuat pengkaji bidang sosial di Australia yang cukup menarik dalam mendasari kesesuaian ‘Teori Tingkap Pecah’ itu. Hasil kajian mendapati, walaupun baru-baru ini undang-undang `Graffiti Prevention Bill’ diperkenalkan pada 2007, tembok dinding kedai di pesisiran Melbourne seperti di Northcote, Fitzroy dan Camberwell, acap kali menjadi dinding pameran lukisan `graffiti’ oleh mereka yang melakukan kegiatan vandalisme itu.
Hukuman penjara sehingga maksimum dua tahun di bawah undang-undang ini seakan tidak mendatangkan rasa ngeri kepada mereka terbabit.
Berdasarkan ‘Teori Tingkap Pecah’, apabila pemilik kedai hanya berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa, didapati bahawa semakin banyak graffiti dicorakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Berbeza dengan keadaannya bagi pemilik kedai yang tidak jemu mengecat semula dinding kedainya selepas diconteng berkali-kali, kejadian vandalisme graffiti sebegini akan berkurangan dan akhirnya terhenti sendiri.
Berorientasikan ‘Teori Tingkap Pecah’ inilah kerajaan berhasrat untuk melaksanakan tindakan bersepadu dalam mewujudkan persekitaran kehidupan masyarakat yang bersih, selesa dan aman.
Apabila persekitaran menjadi teratur dan indah, maka kebejatan sosial dan vandalisme dapat dikurangkan dan seterusnya dihapuskan. Kita sendiri sedia maklum bahawa memang wujud sesetengah masyarakat yang sebenarnya tidak berniat untuk membuat kerosakan terhadap kemudahan awam, tetapi sebenarnya secara tidak langsung ada tindak-tanduknya itu yang mencerminkan sikap vandalisme.
Misalnya, kerana terlalu malas hendak turun ke tingkat bawah, ada penghuni rumah pangsa dengan selamba membaling sampah dari tingkat. Tindakan ini bukan saja menunjukkan tiadanya rasa bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran, bahkan boleh mengundang maut jika sampah itu menghempap kepala orang lain di bawah.
Begitu juga keadaannya dengan kemudahan awam yang tidak digunakan secara berhemah oleh masyarakat. Sikap seperti tak apa, nanti ada orang lain akan bersihkan, atau ini bukan harta aku adalah antara penyebab mengapa kebejatan sosial dan vandalisme sebegini masih terus berulang dan tiada noktahnya.
Untuk menjayakan usaha kerajaan memulihkan persekitaran fizikal di kawasan terpilih ini, kerjasama dan keprihatinan semua pihak amat perlu. Tanggungjawab pemulihan ini perlu dipikul secara holistik oleh semua pihak, bukan sekadar kerajaan atau majlis perbandaran, bahkan masyarakat dan setiap individu.
Jika setiap ahli dalam masyarakat memberi sokongan walaupun sebesar zarah, ia akan tetap bermakna.
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak untuk menjaga kebersihan dan mewujudkan rasa tanggungjawab apabila menggunakan kemudahan awam. Ajar dan berikan contoh terbaik kepada mereka untuk misalnya tidak membuang sampah sesuka hati, dan lebih baik lagi ajar mereka untuk kitar semula sampah yang dibuang untuk tujuan lain yang lebih baik.
Sikap tegur-menegur dan ambil peduli di kalangan jiran juga perlu supaya tidak ada yang lepas tangan dalam menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran. Jika ada yang ternampak individu tertentu melakukan vandalisme, tegur mereka secara berhemah atau adukan segera kepada pihak berwajib.
Amalan gotong-royong dan bekerjasama membersih dan mengindahkan kemudahan awam mahu pun kawasan kejiranan perlulah disemai dan dikekalkan. Memang sudah ada beberapa komuniti perumahan yang sudah mengambil inisiatif dalam mengawal gejala sosial seperti mewujudkan rukun tetangga, mengecat semula dinding rumah dan balai raya, mengedarkan risalah berkaitan kebersihan dan menganjurkan program pendidikan.
Namun ia perlu juga disuburkan dan diamalkan oleh semua komuniti masyarakat di seluruh negara.
Pemikiran kita seharusnya bertambah maju ke depan selaras dengan pesatnya kemajuan negara, bukannya bersifat mundur dengan gaya pemikiran orang zaman batu.
Kita tidak patut mengamalkan sikap `barbarian` dengan tidak mengendahkan kebersihan, malah membuat kerosakan terhadap harta awam yang sepatutnya dikongsi bersama dengan semua pihak.
Kita tidak mahu menjadi seperti sesetengah negara Barat yang semakin pesat membangun, tetapi kadar jenayahnya juga semakin meningkat.
Tegakkan aspirasi kerajaan membentuk negara yang maju tetapi dalam masa yang sama membentuk rakyatnya berfikiran matang, cintakan keamanan dan mengutamakan kebersihan.
Hulur bantuan yang sewajarnya dalam menangani kebejatan sosial ini, walaupun sumbangan itu terlalu kecil dan tidak diketahui langsung oleh orang lain.
Nabi dulu Mazhab apa?
-
*Ada orang tanya: kenapa di Malaysia ikut Mazhab Syafee, tapi Akidah ikut
Asyaari? Kenapa tidak akidah Imam Syafee juga? Nabi dulu Akidah apa? Mazhab
apa...
1 week ago
0 comments:
Post a Comment