Showing posts with label dakwah islamiyyah. Show all posts
Showing posts with label dakwah islamiyyah. Show all posts

Friday, December 31, 2010

rokok. nikmat di mata. siksa di jiwa.

tak payah aku terangkan secara MENDALAM terlebih dulu...silalah nikmati gambar2 dan mesej2 berikut.

SERONOK KAN BUAT LAWAK MACAM NI?




hahahahahaha...kelako, kelako.....!!!




tengok pulak gambo-gambo berikut...









ni pula kesan2 merokok yang dah terbukti secara absah di seluruh donya..




















ni pulak 'analogi2 indah buat para perokok'....








cuba klik imej di bawah ni...














Cuba Tengok pula Kempen-kempen di Youtube dan Media Massa:










Tak puas lagi?

nah ni yang last...



jadinya kawan2 dan tuan puan... fahamilah mesej berikut











jangan nanti dah berada di 6-feet-down under baru nak menyesal....




aku tak pandai nak berhujah tentang hukum-hakam merokok, kerana aku selalu dihenyak2 dengan fakta beralas-alas baeeekkkk punyaa dari sesetengah 'kawan' yang seronok merokok dulu2...hehehe, kenangan manis aku dan kauworang beb. tapi elok kau baca banyak2 tentang makna rokok dan apa pandangan syariat tentangnya...boleh rujuk perbahasan berikut di:





p/s: andai ada yang terasa...memang aku sengaja nak bagi kau terasa! aku takmoh mintak mahap....Kerana aku sayang kamu semua!!! :)

Thursday, December 2, 2010

artikel agama di Berita Harian: Judi gadai akidah, jejas keharmonian masyarakat



Alhamdulillah, artikel aku disiarkan dalam Berita Harian harini 2 Disember 2010. Artikel ni adalah artikel lama yang aku olah sedikit dengan mencampurkan pengalaman sendiri berjudi..haha, taklah, pengalaman sendiri tercanguk melihat TAIK-TAIK JUDI yang aku yakin beragama Islam mengunjungi kedai nombor ekor. Muka diorang bercampur-baur. Mungkin, sekadar mungkin...kalau yang muka selamba masuk kedai tu, orangnya dah 'tegar' beli nombor ekor. bak kata worang, alah bisa tegal biasa. ada pulak, yang jalan laju2, pakai helmet bervisor hitam, tertunduk2..orang macam ni mungkin baru berjinak2, atau pun takut ada orang kenal...malu ooo...hahaha.

apa yang pentingnya, bukan senang nombor nak naik..

kalau nombor terkena pun, berkatnya tu tak kena sama. kawan aku ada cerita dulu, mak dia (bukan islam), selalu kena nombor ekor. tak banyakla, dalam ribu2an aje. dia pun pandai cakap, duit mak aku tu 'tak berkat'. kejap je abis. ada aje benda yang menyebabkan duit tu akan cepat habis dan lesap begitu aje. kereta rosakla, rumah kena pecahla, barang2 hilangla...

lepas tu, ada satu kes famous dulu2 kat daerah aku ni, sorang pengawal (Islam) menang 3 juta nombor ekor! Baik dia tu, duit dia menang tu selalu aje dia sedekah dan tabur sana-sini. tapi sudah jadi ketentuan Allah, berkat tu tak mengiringi kemenangan dan sifat baik hati dia. rumahtangganya kucar-kacir, bercerai-berai, dapat penyakit dan musibah, dan lain2. End up dengan orang kaya tu jadi pengawal semula.

Pengawal-orang kaya-orang miskin-pengawal.

Gitula...

Baiklah, eloklah kita terus baca sumbangan rencana dakwah aku seperti di bawah ni.

****************************************


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Judigadaiakidah_jejaskeharmonianmasyarakat/Article

Judi gadai akidah, jejas keharmonian masyarakat
Oleh Khairunneezam Mohd Noor

2010/12/02

Pertaruhan, tikam ekor perlu dibanteras secara menyeluruh demi kesejahteraan ummah

BERJUDI adalah satu jalan singkat yang salah untuk mengejar kekayaan dan wang ringgit. Judi atau al-maisir ditafsirkan sebagai suatu bentuk permainan beradu nasib yang menggunakan wang atau harta benda sebagai taruhan dan pemenang pertaruhan akan mendapat hasil berlipat kali ganda.

Perjudian amnya dimainkan dalam pelbagai bentuk. Antaranya menggunakan dadu dan daun terup, tikam, loteri, pertaruhan permainan sukan, mesin slot atau nombor ekor. Lebih canggih lagi, mutakhir ini berjudi turut boleh dilaksana dengan mudah melalui internet.
Baru-baru ini, penulis berkesempatan membuat tinjauan secara langsung berkenaan perangai keji tahi judi yang mengunjungi sebuah premis menjual nombor ramalan di kampung halaman dan melihat sendiri masih ramai umat Islam yang ghairah mengunjungi premis perjudian itu.

Walaupun tertera jelas di hadapan kaunter premis nombor ramalan peringatan bahawa ‘Umat Islam adalah dilarang memasuki premis ini’ dan pernyataan ‘Berjudi adalah haram di sisi Islam’, namun tidak diendahkan pengunjung beragama Islam ini.

Kira-kira sejam kajian itu, daripada 26 orang pengunjung, 12 daripadanya beragama Islam. Secara statistiknya, pengunjung kedai nombor ramalan yang beragama Islam dalam tempoh sejam ini hampir mencecah 50 peratus.

Lebih memilukan, sesetengah mereka yang kental mengunjungi premis perjudian ini boleh dikategorikan sebagai warga emas yang ada kala membawa bersama cucu mereka singgah untuk membeli nombor atau bertaruh tanpa ada perasaan malu dan segan.
Apabila berjudi, seseorang tidak perlu mengerah keringat dan tulang empat kerat. Bahkan modal yang diperlukan tidaklah besar. Bak kata orang, goyang kaki pun boleh dapat hasil lumayan. Inilah antara faktor yang menyemarakkan semangat kaki judi untuk terus terjebak dengan gejala buruk itu.

Apatah lagi, jika pernah sekali dua ‘tuahnya terkena’ dan menang sejumlah wang, bertambah galak dan bersemangatlah si kaki judi melaburkan wangnya ke premis judi kononnya untuk mengaut keuntungan lebih besar lagi.

Jika si kaki judi beranggapan judi adalah satu bentuk usaha untuk memperbaiki taraf kehidupan, mereka sememangnya silap kerana matlamat tidak akan sesekali menghalalkan cara. Demi mengejar sesuatu matlamat, kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh, menggunakan saluran yang betul dan mengerah sepenuh akal fikiran dan tenaga.

Islam meletakkan keutamaan kepada pencarian rezeki dan nafkah hidup yang bersih lagi halal. Bukannya mencari jalan singkat mengumpul harta melalui judi yang hukumnya adalah haram daripada perspektif Islam.

Islam menegah umatnya daripada bergelumang dengan perjudian yang ternyata bersifat keji dan amalan warisan syaitan.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah al-Maidah: 90-91).

Dari segi akhlak, seseorang kaki judi akan menjadi lalai beramal ibadah, malas berusaha, tamak dan haloba, iri hati, dendam, khianat, suka berhutang, membazir, bercakap bohong dan berputus harap kepada Allah. Apabila penyakit berjudi semakin kronik membelenggu, kaki judi sanggup pula menggadaikan akidah dengan melakukan perbuatan syirik dan menyekutukan Allah seperti menilik nasib, memuja kubur, mendapatkan bantuan bomoh atau memakai azimat.

Buktinya seperti ditunjukkan seorang pengunjung kedai nombor ramalan yang kelihatan mencium-cium sebentuk batu yang dibuat rantai berkali-kali sebelum dan selepas memasuki premis perjudian sambil mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Perbuatan syirik seperti ini dimurkai Allah dan akan menerima balasan setimpal dengan perbuatan terkutuknya.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mengampunkan dosa orang yang menyekutukan-Nya dan dia akan mengampunkan dosa selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya.” (Surah an-Nisa’: 48)

Andai kata, seseorang meraih hasil daripada perjudian, ketahuilah ia adalah sumber yang haram dan tidak diberkati Allah. Maka kesan seterusnya yang terpaksa ditanggung akibat berjudi adalah ahli keluarga sendiri. Apabila rezeki haram disogok ke mulut isteri serta anak dan sebati menjadi darah daging mereka, tidak mustahil kesan negatif akan terserlah sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang.

Sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita harus membendung gejala judi secara menyeluruh dalam kalangan masyarakat merentasi pelbagai umur. Mereka harus dibimbing dan dikawal dari usia muda untuk tidak berjinak dengan dunia perjudian serta sedar akan kesan buruknya.

**************************************

sekadar nak kongsi jua, satu cerita berkait judi yang menarik.

aku cite dari Blog Abgreds (http://abgreds.wordpress.com/2010/08/01/nombor-ekor-nombor-kepala/). hahahahaha....

Tarikh : bila – bila serba boleh

Lokasi : dalam dewan serba guna

Penceramah : tukang cakap serba tahu

Pencatat : tukang catit serba merah tahu!…..

Catatan 1 :

“Okey tuan-puan, sedara sedari, siapa kat sini kaki nombor, angkat tangan?”

“Hai, sorang pun tak de?. Baiknya sedara semua ni? Takkan saya sorang kot?”, tuan penceramah masih mengangkat tangannya.

“Wah, tak baik betul saya ni, kan?…”. Dewan masih penuh dengan dahi-dahi yang berkerut.

“Sedara semua dengar betul-betul. Siapa kat sini kaki nombor…kalau tuan semua tak mengaku, itu bohong.”

“Bangun pagi tengok nombor. Masuk kerja tengok nombor. Balik rumah pakai nombor. Kira bini ikut nombor…ha ha…ni yang ada bini lebih la, kot satu jer nak kira hape?..”

“Jadi tuan-tuan sedara sedari, kita ni kaki nombor. Hari-hari tengok nombor. Hari-hari kira nombor, kira kaki nombor lah,betul tak?”

Satu dewan mula tersengih. Tukang cakap ni lawak jugak ya, bisik sesetengahnya.

“Kalau kita ni kaki nombor, itu betul. Tak salah. Tapi kalau saya kata kita ni kaki nombor ekor, yaaa…itu baru betul kita salah”.

“Ada ke yang kaki nombor ekor kat sini, angkat tangan?”

“Sorang pun tak ada?. Wei… baiknya orang sini. Betul ke Tok, tak ada kaki nombor ekor ni?”, penceramah menjeling Tok penghulu.

Tok penghulu sengih-sengih sumbang. Beberapa hadirin terbatuk-batuk kecil.

“Iyelah tu, Tok…, saya percaya. Kalau ada pun, mana nak ngaku. Lagi mahu tanya, nak cari nahas, ha ha …”

“Okey. Kita sambung… nombor ni tuan-tuan, memang ada kepala, ada ekor. Tapi yang dok orang perambat ramai-ramai…tu ha, ekor nombor”.

“Ekor nombor ni duduknya kat belakang kepala nombor. Dari nombor 4 sampai 9, sampai 0 balik. Itulah ekor nombor”

“Tapi kaki nombor ekor ni tamak. Di jamak semua dari nombor 1 sampai 9, sampai 0. Dipusing-pusing. Lepas tu, tikam!”

“Berbomoh berpawang dia orang nak beli nombor ekor. Betul punya bangang. Kalau tok bomoh tu pandai, baik dia tikam sendiri. Boleh dia jadi jutawan . Tak payah kerja jadi bomoh lagi…”

Ha ha…dewan bergema. Tertawa sakan para hadirin mendengar celoteh tukang cakap serba tahu itu.

“Tuan-tuan, sedara sedari,… tak payah lah nak main nombor ekor ni. Memang pun dah dilarang agama. Mudaratnya pun banyak”.

“Banyak lagi cara cari rezeki yang halal dan berkat. Cuba belajar kira nombor, sekurang-kurangnya kita tahu mengira. Tak lah nanti kena tipu dengan orang…”

“Nak expert lagi, belajar dengan Dr. Azizan Othman. Kira nombor tarikh lahir. Untung-untung bakal jadi jutawan!”.

Dewan agak riuh rendah, tawa bicara sama sendiri. Dan hari semakin petang. Sessi kali ini hampir ke hujung waktu.

“Eh, saya belum sampai point dah habis masa? Saya nak cerita pasal kepala nombor. Dok cerita nombor ekor memanjang, dah habis masa. Jadi, kita tutup dulu tajuk ni, ya”.

“Insya Allah, pada sessi akan datang, saya akan highlight pada tajuk kepala nombor. Tajuk yang lebih penting dari ekor nombor ni, atau nama glamernya nombor ekor”.

“Tuan-tuan, sedara sedari, balik dulu. Rehat cukup-cukup. Ingat, jangan tikam nombor ya, berdosa”.

“Jadi kaki nombor – OK! Jadi kaki nombor ekor – KO!….haha…”

Tuesday, November 30, 2010

artikel aku di Berita Harian: Sambutan Aidiladha di perantauan tuntut pengorbanan

assalamualaikum

alhamdulillah. artikel aku berkaitan sambutan raya haji di melbourne keluar dalam paper berita harian 18 November 2010 yang lepas. bukan mudah sebenornya nak organise majlis se'grand' ini di perantauan kalau takdak ahli2 kariah yang mantap, sumber kewangan yang cukup, resource yang cantek. tahniah buat rakan2 di desa bundoora. semoga Allah balas segala usaha murni tuan2 dan puan2 yang berusaha keras menjayakan ibadah mulia kita ini.

nak baca lanjut buleh rujuk url di bawah....check it out.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SambutanAidiladhadiperantauantuntutpengorbanan/Article/

Sambutan Aidiladha di perantauan tuntut pengorbanan
Pelajar di Desa Bundoora anjur majlis solat sunat, kenduri bagi pupuk semangat dan kecekalan


Pastinya semua umat Islam di Malaysia ternanti-nanti akan tibanya Hari Raya Aidil Adha atau hari raya korban yang secara rasminya akan disambut pada tanggal 17 November ini. Hari raya korban memberikan makna yang sungguh mendalam terutamanya bagi rombongan jemaah haji ke Mekah yang menjadi ‘tetamu Allah’ menyempurnakan Rukun Islam yang kelima. Begitu juga di seluruh pelosok negara, kemeriahan sambutan perayaan ini begitu terasa dengan amalan solat sunat Aidil Adha pada hari pertama dan laungan takbir sehinggalah tamat hari Tasyrik iaitu pada 13 Zulhijjah. Ditambah lagi dengan penganjuran aktiviti korban dan menyembelih binatang al-An'am seperti lembu, kambing dan unta yang dilakukan demi memperingati sejarah pengorbanan simbolik Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S dan kejayaan menepis godaan syaitan, memenuhi syariat dan tuntutan agama Islam dan menambahkan rasa takwa dan taat kepada Allah SWT. Ibadah korban juga sangat berkesan dalam merapatkan silaturrahim di antara penduduk setempat dan memberikan ruang untuk bergembira menyambut hari raya korban bagi golongan miskin dan yatim piatu yang menerima sumbangan daging-daging korban.

Menyambut hari raya korban di perantauan kebiasaannya tidaklah semeriah seperti yang dirasakan seperti di tanahair. Menitip pengalaman penulis yang merantau ke Melbourne, Australia sejak beberapa tahun lepas, para perantau sekadar dapat peluang bersolat sunat hari raya Aidil Adha sama ada di masjid atau surau. Ada juga dalam kalangan komuniti perantau seperti pelajar-pelajar atau pekerja-pekerja yang menganjurkan majlis kenduri kecil-kecilan atau takbir beramai-ramai, sama ada di Dewan Malaysia, di rumah atau di dewan komuniti.

Namun begitu, suasana perayaan Aidil Adha pada tahun ini agak berbeza bagi kami para perantau Malaysia yang bermastautin di sebuah kawasan persisiran kota Melbourne yang kami suka namakan Desa Bundoora. Dalam sambutan Aidil Adha pada tahun ini, komuniti Desa Bundoora (rata-ratanya pelajar pasca siswazah) menganjurkan majlis solat sunat hari raya dan kenduri sempena menyambut hari raya yang mulia ini. Begitu juga, sebilangan daripada ahli komuniti kami turut menyertai ibadah korban dan aqiqah yang mana ianya menjadi suatu ibadah yang besar ganjarannya daripada Allah bersempena Aidil Adha.

Seluruh warga Desa Bundoora, telah bertungkus-lumus dan bersungguh-sungguh untuk menjayakan program-program ini sejak beberapa minggu yang lalu. Misalnya, usaha menempah dewan untuk solat sunat hari raya, menguruskan tempahan dan penyembelihan lembu dan kambing, majlis rewang dan masak-memasak untuk kenduri, dan sebagainya.
Semua pihak rela 'berkorban' masa, tenaga dan wang demi menjayakan majlis kami ini.

Bukan mudah untuk melihat suasana harmoni seperti ini dalam sesebuah masyarakat, apatah lagi seperti kami yang berada jauh beribu batu dari Malaysia. Peluang untuk berhimpun beramai-ramai seperti ini memberikan ruang kepada semua untuk melepaskan rindu terhadap sanak-saudara di Malaysia, bertukar-tukar fikiran, berkongsi suka dan duka, dan sama-sama menghayati erti yang tersurat dan tersirat tentang pengorbanan.

Sambutan perayaan yang dibuat mungkin sederhana, tetapi jauh di lubuk hati, kami para perantau Malaysia sedar bahawa kami sedang melaksanakan erti pengorbanan yang bukan calang-calang.
Pengorbanan untuk meninggalkan keluarga yang tercinta di tanahair, menimba ilmu dan mencari pengalaman di bumi asing, mengangkat senjata membantu menjaga keharmonian dan keselamatan negara-negara yang sedang dilanda krisis, dan seumpamanya, adalah contoh pengorbanan yang cukup berbeza dan unik jika dibandingkan dengan ibadah korban yang biasa diamalkan di tanahair. Namun, semua pengorbanan ini tetap bersandarkan kepada matlamat mendapatkan keredaan Allah SWT, membawa balik segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di luar negara untuk dikongsi bersama dengan anak-anak bangsa, dan meningkatkan martabat negara dan bangsa di mata dunia.

Hari raya korban memberikan maksud yang cukup signifikan tentang kewajiban menunaikan tanggungjawab sebagai insan yang berguna dalam menyumbangkan kepakaran dan tenaga kepada pembangunan dan kemakmuran insan sejagat. Sambutan hari raya korban membuka pintu hati dan minda golongan perantau akan perlunya bersabar, melipatgandakan usaha dan lebih gigih dalam urusan dan kerja masing-masing dan akhirnya bertawakkal kepada Allah SWT. Akhirnya, tidak dinafikan bahawa menyambut hari raya korban di perantauan benar-benar memupuk kesedaran tentang maksud sebenar pengorbanan yang tidak boleh disalahertikan dengan melakukan perbuatan yang tidak bersesuaian pada perspektif masyarakat dan juga agama. Untuk melaksanakan pengorbanan, seseorang perlu mengikut saluran dan cara yang diredai Allah SWT dan selaras dengan aspirasi agama, bangsa dan negara.

Monday, September 13, 2010

Didik anak sambut Ramadan, Aidilfitri bertunjangkan syariat

Alhamdulillah. suasana raya tahun ni cukup indah buat aku, isteri dan anak-anak. perjalanan merentas negeri2 di sebelah pantai barat untuk raya kali ini cukup lancar dan aku tak 'berperang' dengan kesesakan lalu lintas dan kesesakan napas.

Raya di Tapah Road rumah Embah kami, nenek sebelah Julie cukup signifikan bagi aku. Pertama kali dalam hidup aku berpeluang bantu masak lemang dan ketaput sekaligus. lemang, bukan sesuatu yang tak sinonim dengan mulut dan perut aku, tapi cukup asing untuk aku dalam hal membakarnya. Ketupat, aku tak heran, memang sebelum2 ni aku dan adik2 aku dah macam ada 'kontrak' jadi tukang masak ketupat di kampung Batu Pahat bertahun-tahun-tahun lamanya, hehehe.

Begitupun, syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi, sambutan raya dalam suasana hujan renyai2 kali ini, indah sekali.

Ini ada buah tangan aku untuk tatapan semua orang. Telah disiarkan dalam surat khabar Berita Harian harini, 13 September 2010 dalam ruangan Agama. sekadar meneruskan warisan Nabi SAW untuk tak putus2 sebarkan dakwah Islamiyyah, walaupun hanya dengan sepotong ayat...

***********************************************************

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DidikanaksambutRamadan_Aidilfitribertunjangkansyariat/Article

Didik anak sambut Ramadan, Aidilfitri bertunjangkan syariat
Oleh Khairunneezam Mohd Noor

AIDILFITRI hari umat Islam menikmati rahmat kegembiraan dan kebahagiaan lantaran banyaknya anugerah Allah dikecapi sepanjang Ramadan kepada semua hamba-Nya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa itu akan dikurniakan dua kegembiraan, kegembiraan ketika Aidilfitri dan kegembiraan ketika bertemu Allah SWT.”


Tidak dapat dinafikan kanak-kanak adalah golongan paling seronok apabila menjelang Aidilfitri saban tahun. Bagi kanak-kanak yang berlatih berpuasa pada Ramadan, hari raya adalah kemuncak kesyukuran kerana berjaya menyempurnakan ibadah menjadi salah satu tunjang Rukun Islam.

Ditambah lagi, budaya menyambut hari raya di Malaysia cukup meriah, menyemarakkan lagi perasaan gembira di hati kanak-kanak. Pada hari itu mereka akan berpeluang memakai baju serba baru, makan pelbagai juadah istimewa, mengutip angpau berisi dan menonton rancangan hari raya.

Tidak ada salah dan silapnya untuk kanak-kanak merasai keseronokan sebegini sepanjang sambutan hari raya. Namun, mereka perlu dibimbing dan difahamkan konsep ‘wasadtiah’ atau bersederhana menyambut Aidilfitri mengikut lunas Islam.

Selama sebelas bulan manusia bergelumang dengan tuntutan keduniaan dan kehendak nafsu, selama itu jugalah fitrah asal manusia sudah tercemar. Maka, dengan izin Allah, manusia dikurniakan ruang terbaik pada Ramadan untuk berpuasa dan melaksanakan amalan menguatkan serta menyucikan semula fitrahnya.

Dari perspektif Islam, sambutan Aidilfitri bermaksud hari yang disambut sebagai tanda kejayaan dalam mengembalikan fitrah seseorang hamba Allah kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.

Mendidik kanak-kanak menyambut kejayaan mengembalikan fitrah yang suci pada hari raya tidak sepatutnya disulam dengan unsur negatif. Contohnya, boros berbelanja pakaian, terlalu leka menonton hiburan di televisyen, makan terlalu banyak dan membazir, lalai melaksanakan solat dan bermain mercun.

Kanak-kanak perlu diasuh meneruskan kesinambungan amal ibadah yang bersifat khusus atau umum dilaksanakan sepanjang Ramadan pada bulan berikutnya. Ibadat khusus seperti berpuasa boleh diteruskan dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal serta puasa sunat Isnin dan Khamis.

Begitu amalan qiamullail yang diakui kelebihan dan faedahnya daripada pandangan Islam dan perspektif sains. Bertandang ke masjid atau surau untuk solat berjemaah perlu digalakkan. Ajarkan kanak-kanak memperbanyakkan membaca al-Quran, memahami maksudnya, berzikir dan berdoa.

Amalan khusus seperti ini berupaya membentuk jiwa kanak-kanak yang ikhlas untuk beribadah, sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah dengan izin-Nya.

Ibadah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) yang sukar untuk ditemui pada bulan lain seperti solat sunat Aidilfitri dan bertakbir juga perlu diterapkan sebagai ‘istimewa’ buat anak-anak kerana kedua-dua ibadah sunat ini menjadi simbolik sifat kesyukuran dan kekuatan umat Islam melaksanakan ibadah wajib berpuasa sepanjang Ramadan.

Pentingnya galakan menunaikan solat sunat hari raya dinyatakan Imam Al-Bukhari dalam riwayat hadis Ummu `Athiyah, beliau berkata: “Kami sekalian diperintahkan keluar pada solat sunat dua hari raya sehingga wanita yang haid pun keluar, kemudian menempatkan diri di belakang kaum muslimin, mereka turut bertakbir mengiringi takbir kaum muslimin.”

Begitu juga tuntutan bertakbir dan bertahmid mengagungkan kebesaran Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu supaya kamu menjadi orang yang bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Amalan mulia lain seperti menziarahi pusara sanak saudara dan menghadiahkan mereka bacaan ayat suci al-Quran, menyertai perkumpulan marhaban, menghadiri majlis ilmu, berjimat cermat berbelanja, bersedekah, bantu-membantu orang yang tidak berkemampuan, hormat kepada orang tua, adalah ibadah umum yang perlu disuburkan dalam diri kanak-kanak.

Tujuannya supaya mereka faham konsep ‘amal makruf, nahi mungkar’ iaitu memperbanyakkan amalan mulia dan meninggalkan perbuatan dilarang.

Teguhnya peribadi mulia kanak-kanak yang dibentuk sepanjang Ramadan tidak akan bermakna jika ibu bapa atau penjaga tidak menunjukkan contoh yang baik sebagai ikutan mereka meraikan Aidilfitri.

Bersederhana dan wujudkan suatu anjakan paradigma untuk beramal ibadah bertunjangkan syariat Islam semasa menyambut hari lebaran ini.

Didikan tepat akan mengubah tanggapan anak-anak yang selama ini menyatukan makna Aidilfitri dengan duit raya, mercun dan bunga api semata-mata kepada terbitnya kemanisan iman serta rasa tawaduk dan syukur ke hadrat Ilahi.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

********************************************************

Buat semua kaum keluargaku, khususnya ayah, emak, isteri, adik-adikku, mak dan bapak mentua, kaum keluarga, sahabat handai, dan semua para pembaca blog ini, aku ingin susun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf di atas segala keterlanjuran, salah silap, kekhilafan, dan kedaifanku andai ia pernah sengaja atau tidak sengaja, sedar mahupun tidak sedar, telah berupaya membuat anda semua terluka, terhiris perasaan, termakan hati, dan sebagainya. Bagi pihak diri aku sendiri, aku redha dan ampunkan semua salah dan silap anda semua...Insya Allah.

Semoga sambutan hari raya Aidilfitri kali ini memberi seribu satu kebahagiaan buat kita semua dengan berpayungkan rahmat dan iradat pemberian Allah Azzawajalla. amin...

Sunday, September 5, 2010

Sujud Syukur

Sujud Syukur

Sujud Syukur sunat dilakukan apabila seseorang itu mendapat sesuatu nikmat seperti lahir seorang anak, mendapat harta, terlepas dari bahaya dan lain-lain.Ia bertujuan melahirkan rasa terima kasih kepada Allah SWT di atas nikmat tersebut.

Dalam hal ini, terdapat hadis Nabi s.a.w seperti berikut:

"Dari Abi Bakrah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w ap
abila telah datang kepadanya sesuatu urusan yang menyenangkannya, atau ia gembira kerana sesuatu, lalu baginda sujud menekurkan ke tanah sebagai berterima kasih kepada Allah ta'ala".

Sujud syukur ini hanya dilakukan di luar sembahyang kerana ia tidak berhubungan dengan soal sembahyang. Syaratnya sama seperti sujud tilawah iaitu:
1. Suci dari segala najis di badan, pakaian dan tempat.
2. Menutup aurat
3. Menghadap kiblat

Rukunnya
pula ialah :
1. Berniat untuk sujud syukur
2. Membaca takbiratul ihram, ketika sujud
3. Satu kali sujud
4. Memberi salam sesudah duduk

(**Sumber: baheis.islam.gov.my)

###########################

Soal jawab tentang sujud syukur


Q: Saya nak tanya berkenaan cara-cara sebenar untuk sujud syukur?


A: Menurut Dr Wahbah Zuhaily didalam al-Fiqh al-Islami (2/118), Sujud Syukur di dalam Mazhab Syafie serupa dengan sujud Tilawah. Ia boleh dilakukan di atas kenderaan jika seseorang didalam di dalam permusafiran. Terdapat 5 rukun d idalamnya iaitu:

a. Berniat.
b. Takbiratul Ihram
b. Sujud satu kali sahaja.
c. Duduk selepas sujud dan
d. Memberi salam.

Didalam Mazhab Hanbali pula, terdapat 3 rukun iaitu sujud, bangun dari sujud dan salam yang pertama. Takbir semasa sujud dan bangun darinya.

Cara sujud syukur didalam Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki hampir serupa bentuknya. Mereka akan terus sujud tanpa Takbir Al-Ihram dan bangun dari sujud tanpa memberi salam. Mereka akan bertakbir untuk sujud sahaja dan semasa bangun dari sujud.

Ibn Qudamah rh juga menyatakan bahawa cara sujud Syukur adalah sama dengan Sujud Tilawah / Sajadah d iluar solat.

Sheikh Ibnu Utsaimin dalam Fatawa Islamiyyah (1/205) mengatakan : "Sujud Syukur dilakukan kerana selamat dari sesuatu musibah atau menerima Nikmat yang dikurniakan kepada seseorang (tanda terima kasih). Dilakukan seperti Sujud Tilawah di luar Solat, dan sebahagian ulama' mengatakan wudhu' dan Takbir diperlukan, ada beberapa yang lain mengatakan cuma satu Takbir sahaja diperlukan. Kemudian diikuti dengan sujud dan berdo'a setelah berkata : Subhaana Rabbiy al-A’laa."

(**Sumber: http://soalsolatumum.blogspot.com/2010/03/cara-sujud-syukur.html)


###########################

Dari Abu Bakrah: Apabila Rasulullah s.a.w. menemukan sesuatu yang menggembirakan baginda atau disampaikannya kepada baginda sesuatu berita sukacita, maka baginda melakukan sujud syukur sebagai tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. (HR Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi).

Dalam salah satu riwayat dinyatakan bahawa Abdul-Rahman bin Auf melihat Nabi Muhammad Saw. sedang melakukan sujud. Kerana baginda bersujud lama sekali, maka timbullah kebimbangan kepada Abdul-Rahman bin Auf kalau-kalau Rasulullah saw. dalam keadaan'bahaya', mungkin baginda dipanggil Tuhan secara mendadak. Dengan segera Abdul-Rahman bin Auf mendatangi Rasulullah saw. untuk mengetahui keadaan baginda yang sebenarnya.

Sejenak kemudian Rasulullah saw.mengangkat kepalanya, bangun dari sujud dan bertanya kepada Abdul-Rahman bin Auf : " Ada Apa gerangan, wahai Sahabatku, maka anda nampak seperti orang yang bingung ?"

Abdul-Rahman bin Auf menjelaskan kebimbangannya itu, sepertimana yang dinyatakan di atas.

Akhirnya Rasulullah saw.. menyatakan yang maksudnya : " Bahawasanya Jibril datang kepadaku dan berkata : Sukakah engkau : Barangsiapa yang mengucapkan salawat ke atas engkau, maka Allah Swt. akan memberikan salawat kepadanya. Barangsiapa yang memberikan salam kepada engkau,maka Allah akan memberikan salam (pula) kepadanya..Mendengar hal itu, maka saya (Rasulullah) terus melakukan sujud kepada Allah sebagai tanda bersyukur". (HR Ahmad)

Berdasar ke atas Sunnah Nabi itu, maka ianya tidak hairanlah apabila para Sahabat sering melakukan sujud syukur tatkala mereka mendapat nikmat atau memperoleh berita yang menggembirakan. Amalan sujud syukur itu adalah antara manifestasi untuk menyatakan kesyukuran atau terimakasih kepada Allah swt.

#############################

Tatacara sujud syukur

Sujud syukur itu seyogianyalah dilakukan secara spontan (seketika) tatkala mendapat nikmat atau menerima berita menggembirakan.

Adapun cara mengerjakan sujud syukur itu tidak berbeza seperyti mana sujud tatkala solat. Hanya syarat-syarat yang diwajibkan dalam mengerjakan soklat, seperti harus mempunyai wuduk (air sembahyang), menghadap qiblat, pakaian yang bersih daripada najis dan lain-lain, itu semua adalah tidak disyaratkan didalam sujud syukur.

Juga tidak disyaratkan untuk dilakukan di tempat-tempat tertentu seperti masjid/surau, tetapi dibolehkan dilakukan d isetiap tempat, asalkan tidak di tempat-tempat yang kotor, seperti tandas dan lain-lain. Boleh ianya dilakukan di tepi jalanan, di pasar, di kebun, di kilang, di tepi pantai, di atas kereta dan sebagainya.

Dalam pada itu, tidak ada bacaan-bacaan yang khusus pada waktu melakukan sujud syukur itu. Menurut penjelasan Jumhur Ulama, cara melakukannya ialah dengan mengucapkan takbir lebih

dahulu, kemudian sujud, sesudah itu bangkit dari sujud dan terus memberi salam. Ada juga sebatengah Ulama yang berpendapat bahawa sujud syuklur tidak perlu dimulakan dengan takbir dan disudahkan dengan salam, tetapi ianya cukup dengan bersujud sahaja, kemudian bangikit dan duduk kembali.

(**Sumber: hikmah.org.my)


wallahu a'lam.


(Sumber gambar-gambar: blog aku pencinta ilmu, mari jadi baik, anayusof.wordpress.com)

Related Posts with Thumbnails