post aku dalam frenster blog aku on Thursday, April 24th, 2008 Salam a’laik. Cuba renungkan..Bila seorang ayah dapat panggilan telefon "takziah, anak abg meninggal dunia, kena langgar lari", atau seorang emak diberitahu "anak akak koma, berlanggar dengan lori masa racing haram" atau bila mata menatap tajuk berita "5 parah akibat memandu semasa mengantuk"…apa perasaan kita yang secara langsung berkait dan pandangan kita sebagai orang awam? jawapan sebagai usaha mengelak ‘pisang berbuah dua kali atas jalan tar’ ni bukan hanya tergantung kepada perundangan lebih ketat, penguatkuasaan lebih serius, teknologi lebih canggih semata2. Tapi, pada aku lebih kepada membudayakan pemikiran dan sikap rasional semua pengguna jalan tar, serius sehh..
so, harini artikel aku akan hal sikap di jalan raya ni keluar dalam utusan malaysia 25 April 2008-Jemaat. Meh muhasabah diri.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm
Enggan ubah sikap punca kemalangan
Bukannya asing bagi kita menatap kempen-kempen keselamatan jalan raya yang hebat dilaksanakan oleh kerajaan bukan sahaja dalam media massa bahkan terpampang jelas di papan-papan iklan di tepi jalan raya. kumpulan sasaran kempen ini sudah pastilah para pengguna jalan raya yang merangkumi pemandu-pemandu kenderaan dan tidak ketinggalan pejalan kaki.
Antara intipati kempen tersebut adalah seperti jangan memandu ketika mabuk, mematuhi papan tanda dan lampu isyarat, memakai tali pinggang keledar, kaedah tepat untuk menyeberang jalan raya dan sebagainya. Namun sejauh mana agaknya penghayatan masyarakat terhadap kempen keselamatan jalan raya yang bermoto ‘anda mampu mengubahnya’ ini?
Semasa mengikuti kelas dan ujian memandu, semua pelatih telah dijelaskan berkenaan undang-undang dan peraturan lalu lintas. Bahkan konsep dalam silibus pengajaran dan ujian yang dilaksanakan bersifat komprehensif yang menggabungkan unsur teori dan praktikal. Ironinya, selepas berjaya mendapatkan lesen memandu kebanyakan daripada kita seakan-akan melupakan terus nilai pemanduan berhemah yang telah dipelajari dalam kelas memandu.
Semacam wujud satu budaya yang menggerunkan apabila kebanyakan daripada masyarakat kita yang tinggi nilai sopan santun dan tatasusilanya akan berubah sifatnya menjadi tidak waras ‘apabila tangan sudah memegang stereng kenderaan’.
Tidak memakai tali pinggang keledar, tidak memakai topi keledar, memotong di garisan berkembar, memandu lebih had laju dan berlumba-lumba, memandu dalam keadaan mabuk, membawa penumpang lebih had muatan dan sebagainya adalah antara kesalahan biasa dilakukan dan boleh mengundang musibah.
Yang nyatanya, kesedaran tentang menjaga keselamatan ketika di jalan raya perlu dipupuk saban hari dan setiap waktu. Ada pihak yang mengungkit bahawa kempen keselamatan yang dibuat tidak berkesan dan bersifat bermusim.
PerundanganAda juga yang menyalahkan pihak yang berwajib seperti Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Trafik dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan yang tidak menguatkuasakan sepenuhnya sistem perundangan jalan raya yang sedia ada.
Namun, walau sempurna manapun undang-undang yang digubal mahu pun penguatkuasaan yang dilaksanakan, kesemua itu akan tetap tidak bermakna jika pengguna jalan raya sendiri tidak menghiraukan soal keselamatan mereka.
Percayalah, di sebalik ungkitan dan tudingan jari terhadap kelemahan penguatkuasaan dan perundangan, sikap buruk pengguna jalan raya yang sebenarnya menjadi penyumbang besar kepada berlakunya kemalangan.
Sikap tak ambil endah terhadap peraturan menyebabkan adanya pemandu yang seakan berbangga mengumpul berpuluh-puluh saman dan waran tangkap. Sikap penyayang membabi-buta menyebabkan ada ibu bapa yang memberikan anak mereka ‘lesen besar’ membawa motor merempit ke hulu ke hilir tanpa mempunyai lesen memandu yang sah.
Sikap suka berlumba-lumba menyebabkan ada pemandu yang memecut kenderaan menggila-gila dan melebihi had laju.
Sikap pejalan kaki yang suka mengambil risiko melintas jalan yang sibuk tanpa menggunakan jejantas yang disediakan. Sikap suka menunjuk-nunjuk menyebabkan ramai yang mengubahsuai spesifikasi enjin dan aksesori kereta yang tidak diluluskan pihak berkuasa.
Sikap kebanyakan pengusaha kenderaan awam yang terlalu mengejar keuntungan, sehingga tidak mengendahkan kewajipan memasang kotak hitam pada kenderaan mereka dan masih menggunakan khidmat pemandu yang bermasalah dari segi undang-undang.
Pendek kata, golongan pengguna jalan raya yang bersikap negatif seperti ini tidak menyedari musibah yang mungkin akan melanda ke atas diri mereka dan orang lain dek kerana ‘belum terkena di batang hidung sendiri’.
Mutakhir, apabila seorang ‘mat rempit’ dipenjara dua tahun dan denda maksimum RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan kerana berlumba haram dan menunjukkan aksi ’superman’ di atas motosikalnya, telah membuka lembaran baru dalam keseriusan pihak-pihak berwajib untuk memperbaiki sistem penguatkuasaan dan perundangan yang sedia ada.
Begitu juga dengan usaha mewajibkan semua penumpang kereta memakai tali pinggang keledar yang bukan bertujuan untuk menyusahkan, tetapi demi menyelamatkan nyawa semua pihak yang sangat-sangat berharga.
Namun, muhasabah diri yang sangat mendalam juga perlu dibuat oleh semua pengguna jalan raya. Telitilah apa agaknya sikap buruk yang selama ini diamalkan di atas jalan raya, dan perbetulkan selagi belum terlambat.
Jangan asyik salahkan pihak lain seperti pihak berkuasa apabila berlaku sesuatu kemalangan, tanpa memperbetulkan dahulu kesilapan diri.
Penggunaan jalan raya secara berhemah dan mengikuti peraturan yang ditetapkan sepanjang masa adalah demi kebaikan diri sendiri, orang yang tersayang dan juga pengguna jalan raya yang lain. Jangan bila sudah terhantuk, baru hendak tengadah. Pada masa itu seribu sesalan pun tidak akan dapat mengubah kecelakaan yang telah berlaku akibat sifat bermaharajalela dan cuai ketika di jalan raya.
Nabi dulu Mazhab apa?
-
*Ada orang tanya: kenapa di Malaysia ikut Mazhab Syafee, tapi Akidah ikut
Asyaari? Kenapa tidak akidah Imam Syafee juga? Nabi dulu Akidah apa? Mazhab
apa...
1 week ago
0 comments:
Post a Comment