Salam sejahtera. Akhirnya harini keluarlah semula artikel aku kat BH--Bahagian Agama, setelah beberapa bulan 'hibernate'. Isu aku tulis kali ni tidaklah menjadi sesuatu yang asing dalam hidup masyarakat Melayu Islam kita--Judi. Majoriti memang tak get involve, even tak kuasa nak bergelumang dalam dunia perjudian. Tapi, kadang kala, kita tergelincir, terlupa, atau teruja nak dapat 'untung atas angin', maka kita terrrrjebak juga dalam perjudian. Satu masa dulu, kemain ghairah orang masuk SMS Contest yang offer Toyota Camry, flat skrin tibi, etc, tanpa sedar yang itu berunsurkan judi. Nasib baiklah dah kena stopped, sebab alim ulama' dan ahli akademik dan juga masyarakat yang waras pemikirannya menjalankan tanggungjawab dakwah islamiyyah mereka agar masyarakat umum tak terus terjebak dan terjelepuk dek kerana judi!
Kat OZ ni, aku tengok judi bukan main hebat lagi diamalkan, maklomla.. Kat Tibi,kat Internet, kat tepi2 jalan, kat kedai jual suratkabo, kat suratkabo, kat mags, etc..havoc! Tapi still ada banyak kumpulan dalam masyarakat dan NGOs di OZ tidak iktiraf ia sebagai sesuatu yang bermanafaat. Itu sebab ada banyak intervention programs, gambling addiction programs,preventing gambling addiction support, etc. Bayangkan orang sini ponnn 'berdakwah' sesama mereka untuk berenti gambling, apatah lagi ianya sebenarnya lebih mudah dibuat dalam kalangan masyarakat Islam kita di Malaysia.
Oke cuba tuan2 dan puan2 tengok senario yang biasa aku tengok depan mata aku (bahkan depan mata anda suma) berkaitan masyarakat Muslim Malaysia yang dipanggil taik judi:
:: seorang lelaki membonceng Honda C70 buruk, parking betul2 depan kedai 4D. dengan baju compang-camping, kasut berlubang, badan berbau getah sekerap, boleh dikatakan dia adalah seorang lelaki yang berada dalam kelas masyarakat di bawah paras kemiskinan. Tanpa membukak helmet, langkahnya diatur laju menuju ke dalam kedai 4D dan menulis2 nombor2 atas kertas 'permohonan penyertaan' yang dah 1-2 minggu ni difikir2 bertuah dan 'ada ong!'.
:: seorang lelaki smart aje kelihatannya, pakai kemeja kotak2, bercermin mata hitam, berkasut kulit jenama krokedail, me'marking' kerete proton saga seken hen kat depan kedai 'Sepot Tho-Tho'. Anak2 adala 2-3 orang dibawak sekali dan disuruh pulak pergi kedai buku sebelah tu ha, konon2 rajin dan bagus bawak anak2 pegi kedai beli buku atau majalah ilmiah. baek punya bapak. Tapi di bawah cermin mata hitamnya itu, sebenornya melilau anak matanya ke kiri ke kanan, maklumla, takut2 ade orang yang kenal, tak ke malu nanti bila heboh satu kampung, kata si 'anu' tu main nombor!Pastu siap dipesan dah kat anak2, "jangan keluar kedai buku tu selagi abah tak datang, paham!!" hehe...tau pun bersalah, dan tau pun apa dibuat tu salah, tapi tetaaappp kenntaallll nak berjudi! podah!
:: yang ni menarik, sorang lelaki susah payah naik bas dari kampung nak pegi pekan. kunun dibagitau kat mak aji (bini diala), "abang nak gi potong rambut jap". Tiba kat pekan, belum sempat kedai gunting dijenguk, kedai 'Sepot Tho-Tho' tu jugaklaa yang jadi destinasi persinggahan pertama a.k.a utama. Yang best, lebai atas kepala kemain cantik pakai masa on the way, disimpan kejap dalam kocek seluar masa kat kedai 'Sepot Tho-tho'. Maklumla, lebai tu dipakai untuk ke tempat2 'suci dan murni' saja. tempat tak 'suci dan murn' perlulah 'dipelihara kesucian lebai itu'.hehehe...pak aji, pak aji...apa nak jadi daaa
mengarut? mungkin ada yang kata aku mengarut. tapi tuan2 dan puan2, ini hakikat, hakikat yang berlaku depan mata aku! takkan aku nak tipu?
so, bertitik tolak daripada isu judi ni, aku cuba coretkan isi hati dan minda aku ke dalam bentuk tinta, dan aku usahakan agar ia dapat sikit sebanyak mentarbiahkan kita yang tidak pernah akan menjadi, sedang tegar menjadi, dan bekas taik judi agar tahu yang Islam mengharamkan judi! 100% haram! hayatilah ia...
**********************
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Agama/20090401010014/Article/index_html
Berjudi menjurus manusia kepada kelalaian, syirik
(Berita Harian, 1 April 2009)
Berjudi merupakan salah satu jalan singkat yang salah untuk mengejar kekayaan dan wang ringgit. Di dalam bahasa Arab, judi disebut sebagai 'Al-Maisir'. Al-Maisir ditafsirkan sebagai suatu bentuk permainan beradu nasib, yang menggunakan wang atau harta benda sebagai taruhan dan pemenang dalam pertaruhan itu akan mendapat hasil taruhannya berlipat kali ganda.
Perjudian di negara kita amnya diamalkan dalam pelbagai bentuk antaranya menggunakan dadu dan daun terup, jackpot, tikam, loteri, pertaruhan permainan sukan, mesin slot, atau nombor ekor. Lebih canggih lagi, zaman sekarang berjudi turut boleh diamalkan dengan mudah melalui internet.
Bila berjudi, seseorang tidak perlu mengerah keringat dan tulang empat kerat. Bahkan modal yang diperlukan tidaklah begitu besar. Bak kata orang, goyang kaki pun boleh dapat hasil lumayan. Inilah antara faktor yang menyemarakkan semangat kaki judi untuk terus terjebak dengan gejala buruk ini. Apatah lagi, kalau pernah sekali dua ‘tuahnya terkena’ dan menang sejumlah wang, bertambah galak dan bersemangatlah si kaki judi ini melaburkan wangnya ke premis-premis judi kononnya untuk mengaut keuntungan yang lebih besar lagi.
Sungguh menyedihkan melihat masih ada ramai umat Islam yang mengunjungi premis-premis perjudian pada hari ini. Apa yang lebih memilukan adalah sesetengah mereka yang kental mengunjungi pusat atau premis perjudian ini boleh dikategorikan sebagai ‘warga emas’. Sudahlah begitu, anak cucu sendiri pun kadang kala dibawa bersama ‘singgah’ ke premis-premis judi untuk membeli nombor atau bertaruh tanpa ada perasaan malu dan segan.
Jika si kaki judi beranggapan bahawa judi adalah satu bentuk usaha untuk memperbaiki taraf kehidupan, mereka silap kerana sebenarnya matlamat tidak sesekali menghalalkan cara. Demi mengejar sesuatu matlamat, kita sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh, menggunakan saluran yang betul dan mengerah sepenuh akal fikiran dan tenaga. Islam telah meletakkan keutamaan kepada pencarian rezeki dan nafkah hidup yang bersih lagi halal. Bukannya mencari jalan singkat mengumpul harta melalui judi yang hukumnya adalah haram daripada perspektif Islam.
Islam menegah umatnya daripada bergelumang dengan perjudian yang ternyata bersifat keji dan amalan warisan syaitan. Selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Surah al-Maidah, ayat 90-91).
Daripada segi akhlak, seseorang kaki judi itu akan menjadi lalai dalam beramal ibadah, malas untuk berusaha, tamak dan haloba, iri hati, dendam, khianat, suka berhutang, membazir, bercakap bohong dan berputus harap kepada Allah SWT.
Apabila penyakit berjudi semakin kronik membelenggu, maka si kaki judi ini sanggup pula menggadaikan akidah mereka dengan melakukan perbuatan syirik dan menyekutukan Allah SWT seperti bertilik nasib, memuja kubur, mendapatkan bantuan bomoh dan memakai tangkal azimat.
Perbuatan syirik seperti ini dimurkai oleh Allah SWT dan akan menerima balasan yang setimpal dengan perbuatan terkutuknya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mengampunkan dosa orang yang menyekutukan-Nya dan dia akan mengampunkan dosa-dosa selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya...” (Surah an-Nisa’, ayat 48).
Andai kata, seseorang meraih hasil daripada perjudian, ketahuilah bahawa ianya adalah sumber yang haram dan tidak diberkati Allah SWT. Maka kesan seterusnya yang terpaksa ditanggung akibat berjudi adalah ahli keluarga sendiri. Apabila rezeki haram disogok ke mulut isteri dan anak-anak dan sebati menjadi darah daging mereka, tidak mustahil kesan-kesan negatif akan terserlah sama ada dalam jangka masa pendek atau pun panjang.
Contohnya, luntur nilai silaturrahim sesama keluarga, kehidupan porak peranda, tiada kepercayaan dan hormat-menghormati, sukar mencapai kejayaan dalam apa jua yang dilaksanakan, terjebak dalam masalah sosial dan sebagainya. Di akhirat kelak penderitaan yang terpaksa ditanggung adalah lebih dahsyat lagi, seperti mana sabda Rasulullah SAW: “Setiap daging yang terjadi dari bahan makanan yang haram itu api nerakalah yang layak baginya” (riwayat Imam al-Tirmizi).
Untuk itu, sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, kita harus membendung gejala judi ini secara menyeluruh dalam kalangan masyarakat merentasi pelbagai umur. Terdapat begitu banyak permainan berkonsepkan judi yang ada di kedai-kedai runcit, misalnya permainan tikam, telur plastik berisi hadiah, dan lain-lain. Ianya cukup mudah dimainkan dan menarik minat anak-anak untuk mencuba-cuba nasib mereka walaupun untungnya setakat beberapa sen sahaja. Untuk, mereka harus dibimbing dan dikawal dari usia mudanya untuk tidak berjinak-jinak dengan dunia perjudian ‘mini’ seperti ini dan sedar akan kesan-kesan buruknya.
Untuk golongan orang Islam dewasa yang terjebak dengan perjudian, maka gerakan dakwah yang halus, berhikmah dan strategik perlu dilaksanakan oleh semua pihak termasuklah keluarga, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan, jabatan agama Islam dan masyarakat umumnya. Kata-kata nasihat, program bimbingan keagamaan dan kaunseling merupakan kaedah berlembut yang mungkin boleh dipraktikkan untuk memberikan kesedaran kepada golongan kaki judi.
Pihak pengamal media misalnya, boleh memainkan peranan untuk mendidik masyarakat akan bahaya berjudi melalui iklan dan dokumentari yang berkesan, siaran perbincangan oleh ahli intelek dan ulama, atau pun dalam bentuk drama dan filem. Jika ianya tidak memberikan kesan, perlulah pihak yang berwajib melaksanakan tindakan dari segi penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat dan tegas untuk menginsafkan golongan ‘tahi judi’ ini kembali ke pangkal jalan.
Natijahnya, tidak ada sekelumitpun faedah dan nilai positif hasil daripada perjudian. Berjudi membuatkan seseorang lalai dan ingkar dengan tuntutan Islam agar mencari rezeki melalui saluran yang halal dan diredhai Allah SWT. Impaknya, musnahlah kebahagiaan diri di muka bumi ini, bahkan turut menjerumuskan seseorang manusia itu menjadi teman syaitan di neraka jahanam kelak.
Nabi dulu Mazhab apa?
-
*Ada orang tanya: kenapa di Malaysia ikut Mazhab Syafee, tapi Akidah ikut
Asyaari? Kenapa tidak akidah Imam Syafee juga? Nabi dulu Akidah apa? Mazhab
apa...
1 week ago
0 comments:
Post a Comment