Alhamdulillah, harini artikel aku dimuatkan dalam suratkabo Berita Harian, 20 April 2009. Bersempena artikel aku berkaitan rasa syukur kepada nikmat pemberian Allah ini, aku juga turut mahu memanjatkan rasa syukur kepada Yang Maha Esa atas kurniaan nikmat yang tidak terhitung banyaknya kepada kami seisi keluarga. Hanya kepada-Nya kami bergantung harap, hanya kepada-Nya kami meminta, hanya kepada-Nya kami panjatkan doa dan rasa syukur...betapa aku dalam 1-2 bulan ni seakan2 mudah dirundung rasa resah, gelisah, penat, letih dan kesempitan masa. Maklumlah, sebagai ketua keluarga, aku perlu mentadbir urusan isteri hendak bersalin, berpindah ke rumah baru, hal itu dan ini, dan juga penulisan tesisku yang semakin perlu di'double-up'kan tahap kelajuannya..tapi alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya, Allah limpahkan jua jalan-jalan penyelesaian yang tidak tersangka2. Bantuan rakan2 pemudah urusan, kelapangan masa tidak tersangka, rezeki wang ringgit yang tidak terjangka, dan anugerah seorang isteri yang sangat2 menyayangiku, memahami dan memberi sokongan kala suka dan duka.
Hanya lafaz hamdallah dan zikrullah yang tidak henti2 jua wajib kuterbitkan di hujung lidah, di pangkal hati dan di seluruh pelusuk pemikiranku.
*************************************************
Bersyukur dorong insan lebih tawaduk
Oleh Khairunneezam Mohd Noor
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Agama/20090419222128/Article/index_html
Allah SWT telah menganugerahi nikmat yang tidak dapat dihitung banyaknya kepada manusia. Dengan sifat maha pengasih dan maha penyayang-Nya, manusia dapat merasai ‘kelazatan’ nikmat yang pelbagai rupa.
Nikmat kurniaan Allah SWT meliputi nikmat yang bersifat keduniaan (duniawi) dan akhirat (ukhrawi). Misalnya nikmat kesihatan dan kesempurnaan tubuh badan, nikmat akal dan fikiran, nikmat rezeki, nikmat kekayaan, nikmat keamanan dan persaudaraan, dan sebagainya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Surah an-Nahl, ayat 18).
Dalam kesemua jenis nikmat, nikmat Islam dan Iman merupakan kurniaan Allah SWT yang paling berharga buat manusia. Tidak semua manusia dapat mengecapi kedua-dua nikmat ini, dan sesiapa yang memilikinya haruslah bersyukur dan menjaganya sebaik mungkin. Seseorang yang bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman tidak akan berasa susah sekalipun hidup miskin dan melarat, kerana jiwa raganya sudah cukup ‘kaya’ dan rasa dekat dengan Allah SWT. Nikmat Islam dan Iman menjadi benteng yang teguh dan kuat dalam mencegah seseorang daripada mendekati kemungkaran dan kemaksiatan. Nikmat Islam dan Iman jualah yang menjadi faktor penyelamat kehidupan di dunia dan akhirat.
Pun begitu, kita pasti biasa mendengar orang menyebut ‘sesuatu nikmat itu selalunya akan hanya dirasai apabila kita kehilangannya’. Inilah senario biasa dalam kehidupan manusia yang mungkin terlupa atau tidak mahu untuk bersyukur tatkala hidupnya bahagia dianugerahi pelbagai nikmat daripada Allah SWT. Golongan seperti ini juga dipanggil sesetengah orang sebagai ‘lupa daratan’ atau ‘kufur nikmat’. Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. Bila nikmat ditarik balik oleh-Nya, barulah seseorang itu mahu menangisi dan menyesal akan kealpaan untuk bersyukur kepada Allah SWT sewaktu dilimpahi nikmat tidak terhitung.” (Surah al-A’raaf, ayat 10).
Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum hadirnya lima perkara: masa mudamu sebelum datangnya tua, sihatmu sebelum datangnya sakit, kayamu sebelum datangnya miskin, masa lapangmu sebelum datangnya sibuk, dan hidupmu sebelum datangnya mati” (hadis riwayat al-Hakim). Hadis Rasulullah SAW ini memberi isyarat bahawa kita perlu mensyukuri nikmat-nikmat pemberian Allah SWT. Kita juga diisyaratkan untuk terus tawaduk melaksanakan amal ibadah kepada-Nya walaupun dalam keadaan senang-lenang, bukan hanya ingatkan tuhan apabila sedang susah.
Kita wajib mensyukuri nikmat pemberian Allah SWT tanpa mengira status diri kita, sama ada miskin atau kaya, tua atau muda, lelaki atau perempuan. Syukur itu merupakan tanda kita tunduk kepada Allah SWT satu-satunya tuhan yang berhak disembah. Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Syukurlah terhadap nikmat Allah jika kamu sungguh-sungguh menyembah kepada-Nya." (Surah an-Nahl, ayat 144).
Konsep bersyukur itu menurut Imam al-Junaid adalah “menggunakan atau menyalurkan segala nikmat pemberian Allah SWT ke arah kebaikan dan kebajikan, bukan kemungkaran atau kemaksiatan”. Untuk itu, KH M Syueb Ushul menyarankan untuk kita menyerlahkan rasa kesyukuran terhadap nikmat Allah SWT melalui 3 medium: hati (qalbu), ucapan/lidah (lisan) dan perbuatan (amaliyah).
Mensyukuri nikmat melalui hati adalah dengan menanam azam untuk menyalurkan nikmat yang diperoleh untuk beramal ibadah kepada Allah SWT, membuat kebajikan kepada seluruh umat manusia dan makhluk-mahkluk lain, selain tidak putus-putus mengingati-Nya. Mensyukuri nikmat secara lisan, ialah dengan lidah yang basah mengucapkan dan memperbanyakkan zikrullah dan tidak digunakan untuk tujuan yang sia-sia seperti memfitnah atau mencaci-maki. Akhirnya, mensyukuri nikmat melalui perbuatan adalah dengan mendorong tindak-tanduk dan menggunakan seluruh anggota badan untuk melaksanakan amal ibadah kepada Allah sepenuh rela dan tawaduk serta melaksanakan‘amar makruf dan nahi mungkar’.
Diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.A. bahawa beliau telah memerhatikan Rasulullah SAW beribadah penuh khusyuk siang dan malam sehingga bengkak kaki baginda, lalu beliau bertanya: “Ya Rasulullah, mengapakah engkau tidak henti-henti beribadat kepada Allah?” Maka Rasulullah SAW menjawab “Tidakkah aku sepatutnya menjadi hamba yang bersyukur?” Bayangkan Rasulullah SAW, semulia-mulia manusia yang dijamin kedudukannya di syurga, tidak putus-putus menzahirkan rasa syukur terhadap nikmat Allah SWT. Baginda terus beramal ibadah bersungguh-sungguh dengan sepenuh hati, perkataan dan perbuatan. Apatah lagi kita manusia biasa yang masih perlu diperhitungkan timbangan dosa dan pahala di akhirat kelak, apakah kita tidak mahu menyerlahkan kesyukuran sehebat kualiti manifestasi kesyukuran Rasulullah SAW terhadap nikmat pemberian Allah SWT?
Andainya kita mampu untuk menerbitkan rasa syukur terhadap nikmat Allah secara istiqamah, yakinilah bahawa dengan izin-Nya, segala amal ibadah kita akan diberikan ganjaran pahala dan syurga. Bahkan Allah SWT menjanjikan bahawa nikmat-nikmat kurniaan-Nya kepada kita akan dilipatgandakan. Akan tetapi, lain pula halnya apabila seseorang itu tidak tahu atau tidak mahu bersyukur dengan segala nikmat kurniaan-Nya.
Umpama seseorang yang tidak tahu untuk berterima kasih apabila diberikan sesuatu hadiah oleh orang lain. Apa agaknya perasaan orang yang memberi hadiah, jika orang yang menerimanya berat mengungkapkan perkataan ‘terima kasih’ bahkan perbuatannya juga jauh daripada menunjukkan rasa menghargai hadiah yang diterimanya? Begitu jualah persoalannya, apakah layak seseorang itu untuk terus menerima nikmat dan rahmat daripada Allah SWT jika dia tidak tahu untuk berterima kasih atau bersyukur?
Malanglah nasib seseorang iaitu apabila rasa syukur tidak diterbitkan dalam hati, lidah mahupun perbuatan, kerana balasan azab Allah SWT itu sangat menyiksakan. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT, mafhumnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim, ayat 7).
Kesimpulannya, sebagai manusia kita wajib mensyukuri segala nikmat pemberian Allah SWT yang mana ianya sangat-sangat berharga dalam menyempurnakan kehidupan. Ia tidak seharusnya disalahgunakan ke arah kemungkaran dengan menjadikan hawa nafsu dan tipu daya syaitan sebagai ‘nakhoda’ dalam jiwa dan pemikiran. Nikmat yang dianugerahkan Allah SWT perlulah ditanggapi sebagai sumber pendorong diri untuk lebih khusyuk dan tawaduk mengabdikan diri kepada-Nya dan memperteguhkan tahap keimanan diri demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Nabi dulu Mazhab apa?
-
*Ada orang tanya: kenapa di Malaysia ikut Mazhab Syafee, tapi Akidah ikut
Asyaari? Kenapa tidak akidah Imam Syafee juga? Nabi dulu Akidah apa? Mazhab
apa...
1 week ago
0 comments:
Post a Comment