Friday, October 31, 2008

Resam Hidup Berjiran

My frenster blog's post on Tuesday, August 12th, 2008

Alhamdulillah, hari ini artikel aku dimuatkan dalam ruangan Agama, Berita Harian, 13/8/08. Tamatlah jua tempoh ‘puasa’ aku daripada menulis artikel ke paper macam yang aku cakapkan pada Ayah, Cik Din, Kak Ema dan Julie. Tak tertahan2 tangan ni nak mengetuk2 keyboard ni, menulis idea2/ilmu pengetahuan yang aku rasa boleh dikongsikan bersama khalayak.

Kali ini aku menulis sesuatu yang berkait rapat dengan konsep berjiran. Lantaran, aku sendiri pun banyak mengabaikan kewajipan aku sebagai jiran kat sini, aku terpanggil untuk memberi peringatan kepada diri sendiri, anak dan isteri serta sebagai panduan kepada pihak2 lain betapa pentingnya untuk jiran itu diangkat sebagai pihak ‘berkepentingan’ dan ‘berkeutamaan’ dalam kehidupan kita.

Bayangkan betapa jiran itu haknya sangat besar terhadap kita, seperti mana yang disyariatkan Islam, dan seperti yang dibudayakan dalam adat resam kita bangsa Malaysia yang berbilang kaum. Walaupun batu blok sebesar dan setinggi manapun menjadi dinding atau garis pemisah antara kita dan jiran sebelah menyebelah, hakikatnya hubungan kita dengan mereka perlu merentasi sempadan2 tersebut dalam kebanyakan hal-hal kehidupan sehari-harian. Bayangkan, kalau jiran terbau pun kita memasak di dapur, mereka ada hak untuk meminta sedikit masakan kita tu..(kalau takmo kasik, pastikan bau terkuap dalam rumah aje..hehe? boleh ka?).

Okelah, hayatilah apa yang aku nukilkan tentang resam hidup berjiran ni dalam artikel kat bawah ni…chow!!!

Semangat berjiran perlu diasuh sejak kecil
Oleh Khairunneezam Mohd Noor

PEPATAH Melayu ada menyebut, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Tafsiran pepatah ini merujuk kepada pentingnya hidup sekumpulan manusia bertunjangkan nilai kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur.

Nilai muafakat itu penting dalam konteks hidup berjiran. Walaupun sempadan rumah dipisahkan dengan pagar besi mahupun batu konkrit, namun perkongsian nilai hidup harmoni tetap kukuh jika wujudnya sifat mengambil berat, hormat-menghormati dan menghargai hak sesama jiran tetangga.

Keharmonian hidup berjiran sangat dititikberatkan Islam. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga dekat, jiran tetangga jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar, dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang sombong takbur dan membanggakan diri.” (Surah an-Nisa’, ayat 36).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Mengambil berat hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk sejak daripada kanak-kanak. Pada usia inilah anak mudah menyerap sebarang bentuk pendidikan diberi dan menerapkannya dalam kehidupan seharian, ibarat ‘buluh yang dilentur dengan mudah dari rebungnya’.

Anak perlu dididik akan siapa dan apa pentingnya jiran sebelah-menyebelah dalam kehidupan. Hidup berjiran saling tak ubah seperti ‘aur dengan tebing’, saling perlu-memerlukan. Mana perkara silap, ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul, dijadikan panduan dan pedoman semoga kehidupan sentiasa di bawah keredaan Allah.

Anak juga perlu tahu bahawa jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori yang mempunyai hak dan keutamaannya tersendiri. Kategori pertama adalah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak, iaitu hak berjiran.

Kategori kedua adalah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak Islam. Manakala kategori ketiga pula adalah jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, yang memiliki tiga hak, iaitu hak jiran, hak Islam dan hak kekeluargaan.

Perbezaan hak ini perlu dijelaskan kepada anak lantaran kepentingannya dalam menyatupadukan komuniti kejiranan setempat tanpa mengabaikan walau satu pun hak mana-mana pihak.

Sejak usia kecil lagi, jika anak faham akan kepentingan menjaga hak dan keharmonian sesama jiran tetangga, diyakini bahawa mereka akan terus memupuk dan menjulang nilai murni hidup bermasyarakat seperti mana disyariatkan Islam.

Untuk itu, ada banyak perkara yang boleh kita sebagai ibu bapa terapkan kepada anak berkaitan erti kemanisan hidup berjiran antaranya:

l Menggalakkan anak mengamalkan sikap hormat, merendah diri, tidak sombong serta menunjukkan tingkah laku dan pertuturan mulia terhadap jiran tetangga. Ia selaras hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hendaklah seseorang itu berperi laku baik terhadap jiran tetangganya.” (Mutafaqun ’alaih)

l Menegah sikap buruk sangka, menimbulkan fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga. Sikap buruk seperti ini berupaya meleraikan ikatan silaturahim sesama jiran. Anak perlu diajar jangan terlalu mudah mempercayai, malah menyebarkan khabar berita yang tidak menyenangkan berkaitan dengan jiran demi menjaga maruah dan keaiban mereka.

l Memupuk anak mengamalkan budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran tetangga terutama jika mereka sakit, ditimpa kesusahan atau menghadapi musibah. Adab berziarah perlu difahami kerana berdasarkan ajaran Islam ada masanya tidak sesuai untuk kita bertandang ke rumah jiran.

l Mendidik anak ‘ringan tulang’ membantu jiran yang memerlukan sebarang pertolongan. Anak perlu tahu bahawa pertolongan diberikan bukan sekadar bersifat material dan fizikal, bahkan sokongan moral turut berupaya membantu jiran mengharungi dugaan dan kesukaran yang diuji Allah.

l Menegah anak mengganggu dan merosakkan hak jiran. Misalnya, membuat bising yang boleh mengganggu ketenteraman, membuang sampah di halaman rumah jiran atau mengambil sesuatu milik mereka tanpa keizinan.

l Menggalakkan anak menyertai program komuniti setempat seperti solat berjemaah di masjid, majlis agama seperti bertadarus dan bertahlil, kenduri atau gotong-royong. Dengan cara itu barulah anak faham jiran tetangga adalah pihak paling sesuai untuk meminta bantuan.

l Jika berlaku masalah atau percanggahan pendapat sesama jiran tetangga, anak perlu dilatih untuk melaksanakan kaedah penyelesaian yang tepat, mengikut syariat Islam serta tidak membesarkan perkara itu hingga menjadi kronik.

Sifat berdendam juga perlu dibuang jauh-jauh di kalangan anak demi menjaga kemurnian perhubungan sesama jiran, malah anak juga perlu menyuburkan sifat bertolak ansur, mengalah dan mudah memaafkan apa juga kesalahan jiran terhadap mereka.

l Menggalakkan anak bersedekah apa saja termampu kepada jiran tetangga yang memerlukan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih mulia daripada yang menerima dan akan diberikan ganjaran sebaiknya oleh Allah.

Ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh teladan sebaiknya kepada anak dalam hal kehidupan berjiran. Jika kita sendiri mengadu domba, bermusuhan dan mengasingkan diri daripada bertemu mesra dengan jiran, tidak hairanlah jika anak kita turut sama berbuat sedemikian.

Berilah pedoman kepada anak untuk memuliakan jiran tetangga seumpama mereka itu adalah sebahagian daripada keluarga terdekat yang sangat kita kasih.

p/s: entahlah, kadang2 aku rasa aku hanya pandai cakap, tapi tak pandai buat..camne eh? :,(

Jangan Buat Gangguan Seksual Kat Aku!! Tolongggggglah!!

my frenster blog's post on Saturday, August 9th, 2008
huiiihhhh..itulah jeritan hati sesetengah daripada kita yang bernama ‘pekerja’ kot..nak jerit betul2, sure susah, lantaran kita ni masih kuat rasa santun, rasa mengalah, rasa segan. Tak mau nanti kecoh2.Pulak tu yang buat kachau atau sexual harassment (SH) tu boooosss kita sendirik..waaa, susah, susah. Mangsa SH plak selalunya sapa lagi, perempuanlah. Lelaki jarang terganggu sexually, tapi still ada kes-kesnya. Best ke buat SH? kena tanya dari pandangan mata dan hati dan nafsu pemangsa!! Best ke kena SH? sure tak best..sapa yang kata best maknanya itu dah tak jadi SH, sebab bak kata orang tepuk sebelah tangan tak menjadi bunyi, tepuk dua tangan barulah ’sedaaappp’ bunyinya. Siap bertepuk banyak2 kali, dan banyak kaedah tepukannya..hehe..melalut plak gue.

Nape cite pasal SH? sebab harini artikel aku keluar Berita Harian, 9/8/08 pasal gangguan seksual di tempat kerja. Artikel dalam paper harini disunting2 untuk kesesuaian reka letak BH, so untuk berkongsi dengan tuan/puan sekalian, aku masukkan full version of the original article..ambiklah tauladan kalau ada yang molek dan buatlah sempadan jika perlu.

Tanggungjawab Majikan Lindungi Pekerja daripada Gangguan Seksual

Negara kita sudah hampir 51 tahun merasai nikmat kemerdekaan. Kemerdekaan yang memberi natijah kepada wujudnya nilai-nilai kebebasan, kebahagiaan, kesepaduan dan semangat muhibah yang dikongsi oleh semua rakyatnya. Pada hari ini dalam konteks organisasi pekerjaan, ketenteraman dan kesejahteraan untuk bekerja menjadi antara pembolehubah utama dalam menentukan bukan sahaja tahap ‘kemerdekaan’, bahkan kepuasan kerja dan prestasi semasa seseorang pekerja. Gangguan seksual di tempat kerja merupakan satu bentuk intervensi negatif terhadap kemerdekaan pekerja untuk bekerja dengan aman dan bebas.

Gangguan seksual boleh ditakrifkan sebagai sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai satu gangguan sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal. Tingkah laku tersebut dikatakan berunsur seksual apabila ia dianggap oleh mangsa sebagai mengenakan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaannya atau ia dianggap sebagai satu pencabulan maruah, atau penghinaan atau ancaman terhadap dirinya tetapi tiada hubungan secara langsung dengan pekerjaannya.

Gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja di tempat kerja. Tidak kira pekerja bawahan atau pengurusan, bujang atau berkahwin, berkelulusan rendah atau lepasan universiti, cantik mahupun tidak, berkopiah apatah lagi terdedah, tua atau pun muda, semuanya berpotensi menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja. Mangsa gangguan seksual di tempat kerja akan menghadapi natijah seperti tekanan psikologi dan ketidakstabilan emosi, kesihatan fizikal yang tidak menentu, kemurungan, mudah meradang, dan seumpamanya. Implikasi-implikasi sebegini turut akan mewujudkan kesan sakit-sakit kepala, sakit perut, atau gangguan terhadap kebiasaan aktiviti makan dan tidur yang ketara. Daripada aspek pekerjaan, mangsa cenderung menunjukkan prestasi yang menurun, ponteng kerja, perbalahan, malah terus berhenti kerja. Dari segi perhubungan sosial, mangsa mungkin cenderung bergaul, bercakap dan berinteraksi dengan kumpulan-kumpulan tertentu, atau jelas cuba menghindari golongan-golongan tertentu.

Majikan turut menerima padahnya apabila wujud gejala-gejala seperti ketidakhadiran pekerja, produktiviti kerja yang rendah, reputasi organisasi yang tercalar, pekerja hilang semangat untuk bekerja, pusing ganti pekerja yang tinggi, kos untuk mengambil pekerja baru, kos melatih pekerja baru, saman oleh mangsa gangguan seksual, penurunan keyakinan pekerja terhadap organisasi dan sebagainya.

Kerajaan dari semasa ke semasa serius membantu dan melindungi golongan pekerja tidak kira di sektor awam mahu pun swasta daripada gangguan seksual. Terdapat beberapa peruntukan undang-undang yang boleh digunakan oleh mangsa gangguan seksual membela diri mereka. Misalnya menurut seseorang yang melakukan gangguan seksual di tempat kerja boleh disabitkan kesalahannya di bawah Seksyen 509 dan 354 Kanun Keseksaan.

Dalam konteks perundangan ini kerajaan baru-baru ini berhasrat untuk meminda undang-undang yang sedia ada. Ia bagi memastikan mangsa gangguan seksual akan mendapat pembelaan sewajarnya dan mengelakkan unsur diskriminasi terutamanya kepada pekerja wanita. Antara undang-undang yang akan dipinda adalah Akta Pekerjaan 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994.

Selain itu, kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia telah memperkenalkan ‘Kod Amalan untuk Mengelak dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja’ sejak tahun 1998. Kod Amalan ini berperanan memberi informasi kepada pihak majikan di jabatan kerajaan dan swasta, golongan pekerja dan orang awam tentang gangguan seksual di tempat kerja secara terperinci. Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam, Bilangan 22 tahun 2005 iaitu ‘Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual Di Tempat Kerja’ adalah panduan khusus untuk dipraktikkan agensi-agensi kerajaan. Melalui pekeliling ini gangguan seksual dianggap salah satu perlakuan yang dilarang mengikut peraturan 4A Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993

Segala usaha murni kerajaan membendung dan menangani gejala gangguan seksual di tempat kerja ini akan menjadi sia-sia jika majikan tidak memberi sokongan yang padu, ibarat bertepuk sebelah tangan. Majikan memainkan peranan yang sama penting dalam menjaga kebajikan dan hak-hak pekerjanya. Sebagai pihak yang berhubungan secara langsung dengan pekerja, majikan memegang autoriti dalam mengelakkan kejadian gangguan seksual. Terdapat beberapa cadangan yang boleh memandu para majikan dalam membendung permasalahan gangguan seksual di dalam organisasi mereka.

Pertama, sekiranya organisasi masih tidak mempunyai polisi berkaitan pencegahan dan pembasmian gangguan seksual, maka wujudkannya dengan segera. Polisi ini mesti dengan jelas menyatakan bahawa organisasi tidak langsung bertolak ansur terhadap sebarang aduan atau kes gangguan seksual. Pastikan polisi tersebut disebarluaskan kepada semua kakitangan. Sekiranya di dalam sesebuah organisasi itu mempunyai pekerja yang berbilang bangsa, adalah juga disarankan agar polisi gangguan seksual tersebut dialihbahasa berdasarkan bahasa ibunda yang difahami pekerja. Ia bertujuan supaya ianya tidak disalahtakrif jika hanya berpandukan satu bahasa sahaja.

Kedua, majikan perlu menyediakan pelbagai pilihan yang boleh dibuat oleh pekerja untuk membuat sebarang aduan berkaitan gangguan seksual. Contohnya mangsa boleh berhubung terus dengan pihak majikan, pengurus, atau kaunselor yang dilantik dalam organisasi. Mangsa juga bleh menggunakan surat atau e-mel atau melalui kesatuan sekerja jika ada untuk membuat sebarang aduan.

Ketiga majikan perlu melaksanakan latihan dan pendidikan tentang gangguan seksual di tempat kerja. Tujuannya adalah untuk memberi kefahaman yang mantap kepada pekerja tentang konsep gangguan seksual dalam organisasi. Dalam usaha memberi informasi tentang gangguan seksual, majikan boleh menampal poster atau menyebarkan risalah di sekitar organisasi.

Keempat, melaksanakan kajian yang berkala dan konsisten berkaitan dengan gangguan seksual di kalangan pekerja. Kajian boleh dibuat secara rawak kepada mana-mana pekerja dalam organisasi dan menanyakan kepada pekerja adakah seseorang itu pernah mendapat gangguan seksual sebelum ini. Kajian ini berperanan dalam membuktikan keseriusan majikan untuk mencegah, menangani dan membasmi sebarang gangguan seksual di kalangan pekerja. Melalui kajian sebegini juga, majikan dapat memberi panduan dan penjelasan yang cukup kepada semua pekerja tentang hak dan tindakan yang boleh diambil sekiranya didiskriminasi secara seksual ketika bekerja.

Kelima, sekiranya berlaku sebarang kes gangguan seksual, kendalikan siasatan terhadap aduan gangguan seksual tersebut secara teliti. Majikan boleh mengambil tindakan penyelesaian sendiri dalam organisasi atau membawa kes tersebut ke muka pengadilan. Setelah kes tersebut selesai, tindakan susulan perlu diambil dengan pekerja yang terbabit untuk memastikan tidak ada unsur balas dendam atau pengulangan gangguan berlaku di antara mangsa dan pengganggu. Kemudian majikan perlu mendokumenkan sebarang hasil siasatan dan tindakan susulan satu-satu kes gangguan seksual. Ia akan berguna jika berlaku pengulangan kes oleh pengganggu yang sama, pengendalian kes lain yang lebih kurang sama konteksnya atau sebagai rujukan sekiranya kes dirujuk ke mahkamah.

Konklusinya, setiap individu pekerja berhak mendapat perlindungan secara total di tempat kerja daripada pelbagai aspek termasuklah gangguan seksual. Persoalannya, bagaimana pekerja boleh menyumbang ke arah pembangunan organisasi jika majikan tidak memberi sokongan dan bantuan kepada mereka terutamanya jika mereka terganggu secara seksual? Untuk itu, majikan sangat berperanan menjadi penyelamat dan mewujudkan suasana pekerjaan yang aman, selamat dan bebas daripada unsur-unsur gangguan seksual di tempat kerja.

BERUBAT SAMBIL MELANCONG

This article had been published in Utusan Malaysia on 19th of June, 2008.

Julie and I had actually came across the advertisement in one of a local tv channels here saying that Kuala Lumpur is a destination of medic-tourism about a week b4 the program was on-air in last couple of days. Luckily we managed to watch the report on Today Tonight hosted by Anna Corren. We are very pleased with the report and really proud because it seems like promoting Malaysia as one of the best (maybe the best among the others!) countries providing medical facilities with a special memorable package of holiday. Hence, because of the proudness, I wrote an article on this particular sensational report and today (Thurs-19 June 08), that article has been published in Utusan Malaysia…check it out mates!

Menyuburkan industri pelancongan perubatan Malaysia

TERDAPAT sesuatu yang cukup istimewa dalam laporan khas yang ditonton oleh penulis melalui sebuah stesen televisyen di kota Melbourne baru-baru ini. Dalam rancangan Today Tonight yang mendapat rating penonton yang cukup tinggi telah memaparkan tentang pengalaman manis beberapa warga Australia yang melalui apa yang dikatakan sebagai ‘Pelancongan Perubatan’ (Medical Tourism) di Malaysia.

Malaysia digambarkan sebagai destinasi pilihan selain beberapa negara lain di Asia untuk ‘berubat sambil melancong.’

Memetik kata-kata seorang responden dalam laporan berita ini iaitu Lynda Clifford, warga Australia berusia 48 tahun, pe- ngalamannya di Kuala Lumpur baru- baru ini digambarkan sebagai ’sambil menyelam minum air’ kerana dia melalui sesi-sesi rawatan ‘fizikal, emosi dan spiritual.’

Lynda telah berjaya melalui pembedahan wajahnya yang diseliakan oleh Dr. Nasir Zahari seorang doktor Melayu tempatan, di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Dia diberikan juga rawatan bersifat kaunseling bagi memberikan keyakinan kepada dirinya sebelum dan selepas sesi pembedahan.

Dalam masa yang sama, Lynda turut berkesempatan melancong di lokasi-lokasi menarik di sekitar tanah air kita selepas menjalani pembedahannya itu.

Begitu juga dengan pengalaman Rosie Bates, 34 tahun, yang melalui pembedahan perut dan liposuction di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara. Rosie mengakui bahawa dia mendapat layanan ‘lima bintang’ sepanjang berada di Malaysia dan bersyukur kerana di samping ke- jayaan pembedahannya, dia dan suami da- pat menghabiskan masa melancong pada kos yang dianggap sangat berpatutan.

Kisah Lynda dan Rosie ini adalah sebahagian daripada ribuan rakyat Australia bahkan kebanyakan negara maju yang lain, yang mengiktiraf akan kemampuan dan kepakaran pengamal perubatan dan teknologi perubatan di Malaysia yang setanding dengan apa yang ada di negara mereka sendiri.

Tambahan lagi bahawa kos yang perlu dikeluarkan untuk ‘menyelamatkan nyawa dan maruah’ atau ‘mencantikkan tubuh badan’ adalah begitu murah jika dibandingkan dengan rawatan di negara mereka sendiri. Apatah lagi jika kos yang di- kenakan adalah turut merangkumi pakej percutian yang cukup hebat kerana Malaysia memang terkenal memiliki sebegitu banyak tempat-tempat menarik.

Melalui laman web www.malaysiahealthcare.com, dinyatakan bahawa terdapat beberapa pusat perubatan dan hospital swasta dan kerajaan yang menyediakan pakej-pakej tertentu dalam ‘percutian perubatan.’ Beberapa jenis rawatan perubatan yang popular kepada kalangan ‘pelancong perubatan’ juga disenaraikan termasuklah rawatan kardiologi, ortopediks, pergigian, pembedahan kosmetik sehinggalah kepada prosedur pembedahan minor.

Menurut Dr. Norman seorang pakar perubatan tempatan Australia dalam temu bual berita Today Tonight ini, kos keseluruhan untuk menikmati satu-satu pakej pelancongan perubatan ini secara puratanya adalah satu pertiga daripada kos yang terpaksa ditanggung di Australia.

Dalam kes Lynda, dia hanya mengeluarkan belanja AUD11,600 (kira-kira RM35,000) untuk pembedahan sekali gus percutian di Malaysia berbanding AUD20,000 (RM60,000) hanya untuk kos pembedahan. Ini jelas menunjukkan Malaysia sememangnya telah berjaya memahatkan namanya sebagai salah satu hub pelancongan perubatan yang bertaraf dunia.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) terdapat peningkatan positif dalam jumlah pelancong asing yang mendapatkan rawatan kesihatan di Malaysia iaitu seramai 296,687 orang pada tahun 2006 berbanding 75,210 sahaja pada tahun 2001. Ini merupakan satu perkembangan positif dalam industri pelancongan perubatan ini yang mana ia dikatakan telah berjaya menjana pulangan kewangan sebanyak RM203.66 juta sehingga tahun 2006 yang lalu.

Apabila cerita tentang kualiti perubatan di Malaysia diuar-uarkan dalam media massa antarabangsa misalnya seperti di Melbourne, ia jelas menunjukkan bahawa masyarakat dunia telah membuka ‘mata hati’ untuk tidak terlalu berideologikan tanggapan bahawa hanya negara maju yang pakar dalam dunia perubatan.

Kita tentunya tidak mahu mendengar komen-komen negatif daripada pihak luar yang mengatakan bahawa sektor pelancongan perubatan di Malaysia adalah merugikan bahkan mengancam nyawa pelancong yang mengikuti satu-satu proses rawatan di sini.

Sebagai mana yang ditegaskan dalam laporan Today Tonight, 59 peratus pelancong perubatan warga Australia terpaksa mendapatkan rawatan semula di negara sendiri kerana kegagalan pembedahan yang dilakukan di negara luar.

Untuk itu pihak-pihak yang terlibat harus membuktikan bahawa negara kita benar-benar berupaya memberikan rawatan yang bertaraf antarabangsa kepada para pelancong.

Seterusnya, kita perlu bijak mempromosi dan memasarkan industri pelancongan perubatan ini ke seantero dunia. Bidang kepakaran dan jumlah doktor pakar perlu ditambah bagi memenuhi keperluan dan kehendak para pelancong yang pelbagai dan meningkatkan peratusan kejayaan perawatan. Memang masih wujud konotasi dalam kalangan masyarakat dunia bahawa risiko kegagalan pembedahan di Malaysia adalah tinggi berbanding di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat atau pun Eropah dan ia perlu ditangani dan diperbetulkan dengan sewajarnya. Kejayaan-kejayaan pembedahan yang dilakukan di Malaysia perlu mendapat liputan meluas dalam internet, media massa ataupun jurnal perubatan antarabangsa bagi memupuk keyakinan dan kecenderungan masyarakat dunia untuk bertandang ke Malaysia.

Begitu juga halnya dengan peranan pengusaha sektor pelancongan dan pengangkutan. Kelihatannya syarikat penerbangan antarabangsa dan tempatan berlumba-lumba untuk menawarkan tambang penerbangan yang murah daripada pelbagai destinasi di seluruh dunia ke Malaysia. Ianya perlu dijadikan sebagai peluang yang tidak boleh dilepaskan untuk mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan tempatan. Hotel-hotel, pusat peranginan, homestay, pusat pelancongan, muzium, galeri seni, kraftangan, industri desa dan sebagainya perlulah bijak menawarkan promosi-promosi istimewa yang mampu menarik minat pelancong asing. Kualiti perkhidmatan dan produk perlu ditambat ke ‘status antarabangsa’ namun pakej harganya masih bersifat ‘tempatan’ di mana bukan sahaja pelancong asing bahkan rakyat Malaysia sendiri akan galak untuk bertandang dan menikmati promosi yang ditawarkan mereka.

Sebagai rakyat Malaysia juga, kita turut berperanan dalam memakmurkan industri pelancongan perubatan ini secara tidak langsung. Senyuman, ucapan salam dan layanan mesra yang tidak putus-putus harus diberikan sejak langkahan pertama dihayun oleh para pelancong di lapangan terbang sehinggalah ke restoran atau kedai-kedai runcit yang dikunjungi mereka. Serlahkan ‘wajah sebenar’ kita yang kaya dengan adab, budi pekerti dan nilai sopan-santun yang diwarisi sejak zaman berzaman. Adalah diyakini bahawa ramai pihak akan terus data menikmati hasil lumayan daripada industri pelancongan perubatan ini dengan syarat keyakinan dunia terhadap kemampuan Malaysia dalam bidang ini perlu terus dipupuk dan dikekalkan.

Cerita orang-orang Desa Bundoora

aku terjemahkan kebahagiaan yang Bundoorans rasai dalam kehidupan di desa Bundoora dalam artikel aku di Berita Harian on Saturday, June 14th, 2008.

harini dalam Berita Harian –14 June 2008 Sabtu– keluar artikel aku yang merumuskan tentang majlis ‘perkahwinan’ Kak Thasa dan Aleh yang kami organised last two weeks di rumah diorg di Dunne St,Kingsbury. Aku cukup seronok tengok warga Malaysia Melayu Bundoora yang cukup rapat, ngam, sekepala, kamceng dan seumpamanya ini. Ibarat air dicincang takkan putus, cubit peha kanan peha kiri pun rasa sakit, aur dengan tebing, isi dengan kuku dan sewaktu dengannya. Tua, muda, lelaki, perempuan, separa lelaki+pompuan, emak, bapak, anak-anak, suma2 cukup baik antara satu sama lain. Dalam rewang ni, objektif MAKAN tu jatuh nombor dua-tiga, nak bersembang dan berborak dan bermingle around tu yang jadi matlamat utama kami.hehehe..harap2 hubungan kita terus rapatlah kawan2 desa bundoora oiiittt…

Budaya Malaysia tak ‘luntur’ di bumi asing

BEBERAPA hari lalu kami di Bundoora, sebuah kawasan pesisiran kotaraya Melbourne menyambut secara meriah dua rakan kami yang baru mendirikan rumah tangga. Mereka sebenarnya melangsungkan majlis akad nikah dan perkahwinan lebih awal di Malaysia. Namun, atas semangat dan jalinan ukhwah yang begitu kuat di kalangan yang rata-ratanya menuntut di sini, kami mengadakan sekali lagi majlis perkahwinan serba sederhana untuk mereka.

Walaupun jumlah tetamu yang hadir tidaklah begitu ramai berbanding majlis perkahwinan di tanah air, suasana ‘berewang’ dan kenduri tetap dapat dirasakan. Hiruk-pikuk rakan taulan berbual mesra, anak-anak berkejaran, kaum ibu yang sibuk menghidang dan menyiapkan juadah, serta pasangan pengantin yang masih tersipu-sipu melayan tetamu adalah rencah hidup bermasyarakat. Penulis kira ‘takkan lekang dek panas, dan takkan lapuk dek hujan’ walaupun beribu-ribu batu jauhnya dari tanah air. Adat resam Melayu yang penuh dengan kesantunan dan budi bahasanya cukup erat dipegang dan dizahirkan dalam majlis serba sederhana ini.

Majlis dimulakan dengan tetamu yang berkumpul beramai-ramai dan berarak bersama-sama menuju ke rumah pengantin. Seorang wakil rombongan memberikan salam di pintu dan tidak lupa menjual beberapa rangkap pantun sebagai ‘buah tangan’ kepada tuan rumah. Selepas dijawab seadanya juga dengan pantun, hadirin dipersilakan masuk disusuli dengan hadiah perkahwinan tanda ingatan tulus dan ikhlas buat pengantin.

Sesungguhnya, syariat Islam itu sesuatu yang menjadi tunjang dan pedoman kepada amalan manusia dalam kehidupan. Justeru, majlis diteruskan dengan bacaan tahlil ringkas dan doa selamat, memohon supaya bukan saja rumah tangga pengantin diberi rahmat oleh Allah, bahkan mendoakan agar semua tanggungjawab dan urusan ‘duta-duta negara’ ini dapat disempurnakan dan diberi petunjuk dan hidayah oleh-Nya. Hadirin juga bersolat secara berjemaah sebagai memenuhi tuntutan rukun Islam yang perlu dilunaskan walau dalam apa keadaan sekalipun.

Hidangan untuk kenduri sederhana ini tidak lari daripada konsep makanan biasa di Malaysia, iaitu nasi beriani kambing. Ditambah lagi dengan sedekah berkonsepkan ‘pot-luck’ oleh sebilangan tetamu yang menghidangkan rojak, soto, karipap dan roti jala, maka terubatlah kerinduan sesiapa saja terhadap masakan ala Malaysia yang cukup sukar diperoleh di sini.

Pada hemat penulis, ada beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada budaya bermasyarakat seperti ini. Pertamanya, adat resam adalah sesuatu yang cukup mahal harganya. Mahal kerana ia melambangkan identiti warisan bangsa yang perlu dipupuk dan dipertahankan sebaik mungkin tidak kira di manapun kita berada. Dalam hal ini, walaupun komuniti warga Malaysia kecil, namun setiap individu begitu kental nilai jati dirinya tanpa hilang walau berada di negara orang.

Keduanya, sekental manapun adat resam yang dipegang, ia perlulah bertunjangkan kepada pegangan syariat Islam yang jitu kerana Islam itu cara hidup. Firman Allah, yang bermaksud: ”Sesungguhnya agama (cara hidup) yang benar di sisi Allah hanyalah Islam semata-mata".

Jangan terperanjat jika diberitahu bahawa ada sebilangan kita yang seakan-akan lupa mana diletakkan sejadah dan al-Quran dan mereka begitu mudah memberi alasan terlalu sibuk dengan urusan dan hal ehwal peribadi. Hakikatnya, sebagai seorang manusia yang bertakwa, tidak kira di mana kita berada, pada bila-bila waktu dan berhadapan dengan apa urusan sekalipun, syariat Islam itu perlu ditegakkan.

Hak kita kepada Allah perlu dilunaskan kerana itu adalah tanggungjawab kita sebagai makhluk ciptaan-Nya. Ini selaras dengan firman Allah dalam surah adz-Dzaariyat, ayat 56 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku".

Ketiganya, dalam konteks hubungan sesama manusia, kita sememangnya sangat digalakkan untuk bercampur gaul, berasimilasi dan memupuk silaturahim sesama rakan berlainan negara, agama dan bangsa. Ini kerana ia adalah fitrah manusia yang perlukan sokongan sosial dan moral daripada individu lain. Rasulullah sendiri menegaskan akan kepentingan silaturahim dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud: "Sesiapa yang suka untuk dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia menyambung silaturahim".

Begitu juga kita perlu ada rasa mengambil berat dan ada perasaan kasih kepada mereka yang seagama, sebangsa dan senegara dengan kita. Jika tidak wujud perasaan sebegini, itu jadinya apabila ada dalam kalangan kita yang keluar negara kadangkala akan bersua dengan orang senegara, sebangsa dan seagama tetapi terlalu ego dan sombong untuk membalas sapaan dan ucapan salam yang kita berikan.
Bahkan senyuman yang disedekahkan, ada kalanya dibalas dengan jelingan tajam penuh kejengkelan. Begitu juga bila diundang untuk ke majlis tertentu anjuran rakan senegara, orang sebegini pasti akan memandang sepi semata-mata. Inilah senario yang perlu diubah dalam sesetengah masyarakat Malaysia di luar negara. Apa seronoknya untuk menjadi ‘kera sumbang’ yang berasakan tidak layak untuk rakan senegara dan sebangsa bercampur gaul dengan mereka? Kalau sakit pening nanti, yang dicari untuk mendapatkan pertolongan, pastilah dalam kalangan rakan senegara dan sebangsa ini juga.

Untungnya senario di bumi Melbourne ini, bahkan mungkin di beberapa negara lain ada perkumpulan pelajar dan perantau Malaysia yang begitu aktif melaksanakan aktiviti keagamaan dan kebudayaan yang memberikan banyak manfaat kepada mereka sendiri dalam mengingatkan diri akan kepentingan untuk berpegang utuh kepada syariat Islam, memartabatkan budaya bangsa dan hidup bersatu-padu.
Kelas agama, ceramah patriotik, forum yang membariskan tokoh negara sebagai ahli panel atau penerbitan makalah berorientasikan hal ehwal tanah air antara usaha murni yang patut diteruskan sebagai bukti kecintaan kita kepada agama dan tanah air. Inilah yang dinamakan sebagai ‘hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri’, namun masih rindu dan teruja untuk ‘berhujankan batu’ di negara sendiri. Kesimpulannya, tidak kira di mana kita berada, ajaran Islam dan nilai murni dan budaya yang dipupuk dalam diri kita ini perlulah kita pertahankan dan diserlahkan sebagai tatapan umum di bumi asing. Barulah bangsa asing akan nampak betapa tingginya martabat kita sebagai umat Islam dan bangsa Malaysia yang hebat ketamadunan dan kaya budi pekertinya.

Kerja dengan berhemah, bukan berkhemah masa kerja!

artikel aku di utusan malaysia pasal kerja, aku ulas dalam frenster blog aku on Wednesday, June 4th, 2008

Harga minyak naik dah oii!!! Ramai betul kawan2 aku YM dan email pasal kenaikan harga ‘emas hitam’ di Malaysia yang didahagai oleh semua rakyat bahkan majoriti manusia dalam dunia sekarang.harga minyak petrol yang naik 78 sen, turut sama naik dengan harga diesel dan tarif elektrik dijangka akan menepuk2 dahi peniaga2 bidang lain untuk sama2 ‘join the club’..itu satu senario yang tak boleh kita elakkan, kalau tak dalam jangka masa terdekat..lambat laun jadi jugak. Inilah dia senario zaman sekarang…kita tak berdaya nak menongkah arus perubahan yang bersifat global ni. apa yang boleh kita buat? Banyak…duduk, baca Bismillah, dan mula fikir apa kaedah terbaik untuk pastikan kita dapat teruskan hidup dengan sejahtera. Imbangkan semula perbelanjaan harian dan bulanan kita. Mana belanja yang kita rasa membazir…haaa silalah disingkirkan daripada menjadi amalan. Shopping sakan menambah aksesori rumah, tambah spare-part kereta, tengok wayang seminggu sekali, berdating, minum kat mamak, waima menghisap rokok adalah antara benda-benda ‘kurang dan takde pekdah’ yang biasa kita buat dan sebenarnya boleh kita tak buat. So, harini dalam Utusan Malaysia 5 Jun 2008-Khamis, artikel aku pasal berjimat cermat tersiar. Sebagai memenuhi aspirasi gomen, aku buat artikel ni menyentuh jimat-cermat dalam kalangan kakitangan awam(sebenarnya untuk semua manusia bernama pekerja dalam sektor swasta juga)…berhemahlah masa bekerje beb, jangan dok berkhemah (macam bercuti, goyang kaki, buat kompeni cam ‘ayah kita punya’!) masa bekerja..hehe.

Pupuk sifat berjimat kakitangan awam

TIDAK dapat tidak, ramai yang mengakui bahawa banyak jabatan awam yang masih tidak dapat menguruskan penggunaan kepelbagaian sumber fizikal dalam organisasi secara berhemah dan bijaksana. Stigma ‘menghabiskan peruntukan tahunan’ yang selalu kedengaran dalam kalangan pegawai kerajaan perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya dalam mengelakkan pembaziran yang sememangnya merupakan amalan kegemaran syaitan.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini meminta kakitangan awam untuk memikirkan dan melaksanakan langkah-langkah berjimat cermat bagi membantu kerajaan mengelakkan perbelanjaan subsidi melebihi aras perbelanjaan operasi yang boleh membawa masalah besar pada masa hadapan.

Secara realistik banyak usaha yang boleh dilaksanakan dalam menyahut seruan Perdana Menteri untuk berjimat cermat. Berikut adalah antara cadangan yang perlu dipertimbangkan dan diambil tindakan segera oleh jabatan-jabatan dan para pekerja sektor awam:

1. Rata-rata, ramai pekerja yang menggunakan konsep ‘pakai dan buang’ dalam penggunaan alat tulis, kerana memikirkan ia boleh didapati dengan mudah dan stoknya banyak. Untuk itu, pengurusan jabatan perlu mengurangkan atau mengehadkan pemberian pen, klip kertas, gam dan sebagainya kepada setiap pekerja kerana alat tulis tersebut boleh bertahan untuk jangka masa yang lama jika ia digunakan dengan jimat dan disimpan dengan cermat.

2. Amalkan kaedah ‘kitar semula’ kertas-kertas A4 dan sebagainya yang telah digunakan untuk tujuan urusan dalaman. Misalnya, penggunaan kertas-kertas terpakai tapi masih boleh digunakan untuk mencetak pekeliling jabatan atau minit mesyuarat. Ia berkesan dalam menjimatkan kos pembelian kertas yang kebiasaannya akan dibuang setelah diguna walaupun ruang di belakang kertas itu masih elok untuk digunakan semula.

3. Aplikasikan teknologi maklumat dan Internet dengan semaksimum mungkin dalam usaha menjimatkan kertas. Misalnya notis panggilan mesyuarat, jemputan menghadiri program, atau pekeliling yang boleh dikirimkan dengan mudah melalui internet.

4. Terdapat sesetengah jabatan yang selalunya akan menghidangkan jamuan makanan semasa mesyuarat. Untuk itu, jabatan kerajaan harus mengikis budaya mengsinonimkan mesyuarat dengan jamuan makan untuk tujuan menjimatkan kos pembelian makanan yang dirasakan tidak perlu bagi kelancaran mesyuarat.

5. Pengurusan setiap jabatan perlu memikirkan kaedah berkesan dalam penggunaan barangan elektrik. Komputer, radio, televisyen, mesin pencetak dan alat pendingin hawa misalnya perlulah diingatkan supaya ditutup jika tidak digunakan seperti ketika waktu rehat atau waktu pejabat berakhir.

6. Kurangkan atau elakkanlah mengadakan kursus, mesyuarat atau pelancaran program organisasi di hotel-hotel mewah yang sememangnya memakan kos perbelanjaan yang tinggi. Apa salahnya jika mesyuarat atau kursus dalaman organisasi dilaksanakan di dalam organisasi sendiri yang mana pada hemat penulis cukup kemudahan dan ruang fizikalnya.

Banyak kos yang dapat dikurangkan, terutamanya kos penginapan, makanan, pengangkutan, petrol dan sebagainya. Apa yang penting adalah aspirasi, matlamat atau resolusi yang diharapkan daripada kursus, mesyuarat dan program itu dapat dicapai, bukan betapa hebatnya lokasi pelaksanaannya.

7. Setiap jabatan kerajaan harus berusaha mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan urusan sesuatu transaksi dengan pelanggan. Hal ini sebenarnya memberikan kesan positif bukan sahaja kepada pelanggan bahkan kepada satu-satu organisasi kerajaan itu sendiri.

8. Setiap pekerja harus bijak dan amanah dalam menggunakan masa bekerja dan dalam pengendalian peralatan pejabat. Kita sepatutnya mengikis tabiat-tabiat buruk ini yang mana secara tersiratnya membazir dan merugikan wang kerajaan dan rakyat. Pupuklah etika kerja yang berintegriti dan berpandukan kepada syariat Islam dan pegangan moral.

Ini adalah sekadar beberapa cadangan yang dirasakan bersifat realistik dan boleh dipraktikkan secara menyeluruh dalam jabatan-jabatan kerajaan. Satu-satu perubahan yang baru itu sememangnya sukar untuk dilaksanakan, namun seperti kata-kata pujangga barat ‘kejayaan itu bermula dengan langkah pertama’.

Ambillah tindakan sewajarnya daripada sekarang untuk mengikis sikap boros, kurang cermat dan tidak berhemah dalam bekerja sebelum berlaku fenomena dan kesan yang lebih kritikal pada masa hadapan.

p/s: berkira2 untk mencari basikal..mengayuh ke opis dan rumah pak mentua nanti..;p

Related Posts with Thumbnails