Tuesday, June 15, 2010

Tips: Pengurusan Masa Berdasarkan Prinsip


Rentetan persoalan mudah kawan-kawan yang bertanyakan 'macam mana nak mengurus masa ye dalam musim demam World Cup ni? hahaha...aku suka cakap 'tepuk dada tanya selera' + pandai2lah.

Begitu pun, aku nak juga bagi tips mudah bagaimana nak menguruskan masa berdasarkan prinsip yang dah dihuraikan dalam buku Resipi Istimewa Untuk Belajar karya Prof Madya Dr. Sapora Sipon dan Khairunneezam Mohd Noor (2008) untuk dikongsi bersama.

Apa yang dibincang dalam buku ni terfokus pada siswa atau pelajar, tapi boleh jugak dipraktikkan oleh sesiapa saja.

*****************

PENGURUSAN MASA BERPANDUKAN PRINSIP


Untuk menguruskan masa dengan baik, anda perlu memulakan dengan menetapkan matlamat hidup. Sekiranya matlamat hidup seseorang individu itu tidak diuruskan secara tepat, akibatnya masa akan diuruskan secara lintang-pukang. Kebanyakkan mahasiswa hanya memikirkan soal nilai semasa yang kadang kala berubah-ubah mengikut perubahan masa dan keadaan. Justeru, pengurusan masa mestilah berpusatkan prinsip, bukan semata-mata nilai. Oleh itu, sebagai seorang mahasiswa, sebelum menguruskan masa, perlulah anda selesaikan dahulu persoalan utama iaitu apakah matlamat anda?

Pengurusan masa yang tidak berdasarkan prinsip, akan menyebabkan seseorang tertumpu kepada matlamat jangka pendek atau pada tugas hariannya tanpa terfikir apakah yang perlu dicapai dalam hidup yang singkat ini. Seperti kata pepatah "kalau bulat mudah bergolek, kalau pipih mudah melayang". Maka begitulah pengurusan masa bergantung kepada prinsip hidup kita. Sebagai seorang mahasiswa, anda perlulah berpandukan prinsip kerana prinsip adalah matlamat jangka panjang yang sentiasa mengatasi matlamat jangka pendek. Cita-cita, wawasan dan matlamat hidup anda sepatutnya menjadi dominan dalam pengurusan masa anda berbanding rutin hidup harian yang 'stereotype' sifatnya. Selalunya terdapat tiga kategori perkara yang perlu anda susun mengikut keutamaan masa:


i) Penting dan segera

Ini adalah tugas yang wajib dilaksanakan pada masa itu juga atau pada waktu yang terdekat. Contohnya, jika hari ini seorang pensyarah meminta anda untuk menyempurnakan satu tugasan akademik dan menyerahkannya pada pukul 11 pagi esok. Selalunya, seseorang dapat melaksanakan tugas dalam kategori ini dengan tepat. Seseorang itu mampu melaksanakan dengan baik kerana didorong oleh sifat ' segera ' dan kepentingannya. Tetapi sering juga terjadi pengabaian sekiranya hidup seseorang itu tidak berdasarkan prinsip yang tepat. Contohnya, apabila sudah masuk waktu solat, masih ramai yang mengabaikannya walaupun pada hakikatnya adalah persoalan yang penting dan segera.


ii) Penting tetapi tidak segera

Kejayaan melaksanakan tugas dalam kategori kedua inilah yang membezakan antara individu yang berkesan dan yang tidak berkesan. Malangnya, kebanyakkan perkara- perkara penting dalam hidup seseorang tidak termasuk dalam kategori 'segera'. Contohnya perkara- perkara dalam kategori ini ialah kursus yang perlu dihadiri untuk mempertingkatkan kemahiran profesional, kertas kerja yang perlu dibentangkan, jurnal yang perlu diterjemahkan. Ini akan dapat mengelakkan 'pengangguran masa' dan akan dapat mendisiplinkan diri anda sebagai seorang mahasiswa.


Mahasiswa adalah golongan yang dianggap intelek dalam masyarakat. Misalnya jika mahasiswa membuat projek bakti siswa seperti yang dilakukan oleh para siswa dari program Komunikasi dan Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan di rumah anak-anak yatim dan sekolah-sekolah, di mana program-program ini mendapat sambutan yang baik di kalangan peserta dan masyarakat setempat. Sikap seumpama ini telah menonjolkan kewibawaan dan taraf yang diberikan oleh masyarakat kepada mahasiswa. Mahasiswa perlu mengelakkan diri daripada kerja yang membuang masa atau tidak berfaedah. Akhirnya, adalah penting masa diuruskan berdasarkan prinsip kerana hal ini akan dapat mengkategorikan pekerjaan dan aktiviti seharian secara automatik.


Seterusnya pengurusan yang unggul dapat dicapai melalui kebijaksanaan pengurusan masa. Anda perlu tahu bahawa sumber yang paling penting yang perlu diagihkan pada setiap masa ialah masa itu sendiri. Antara tugas penting sebagai seorang mahasiswa ialah mengagih-agihkan masa di antara belajar dengan aktiviti- aktiviti yang lain seperti melibatkan diri dengan persatuan, kebajikan masyarakat dan aktiviti riadah yang lain. Ilmu psikologi pun menekankan apabila seseorang berada di dalam keadaan tekanan dan ketakutan, dia akan hilang pertimbangan. Jadi sebahagian masa perlu diperuntukkan untuk menenangkan fikiran.


Satu lagi penyakit yang dihadapi oleh kebanyakan pelajar ialah masalah pengurusan masa. Seringkali apabila diberikan tugasan untuk dibuat, mereka akan mengeluh mengatakan tidak ada masa untuk membuatnya. Mereka akan memberi seribu satu alasan kenapa mereka tidak dapat menyiapkan tugasan tersebut. Kalau benarlah mereka tidak ada masa, bagaimana pelajar lain boleh menghantar tugasan tersebut tepat pada masanya? Keadaan ini berbeza dengan sebilangan pelajar yang akan sampai ke dewan kuliah lebih awal daripada masa yang ditetapkan, pelajar yang suka bertangguh-tangguh akan sampai pada masa atau lewat sedikit. Sikap tidak menepati masa ini sudah terbawa-bawa dalam hidup mereka. Sebenarnya kejayaan juga dipengaruhi oleh sikap positif dan disiplin yang baik.


Jelas terbukti bahawa penglibatan mahasiswa dalam persatuan tidak akan menjejaskan pencapaian akademik sekiranya pengurusan masa dilakukan dengan betul. Misalnya para pelajar dari universiti yang telah lama "establish " seperti Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan lain-lain, sangat aktif berpersatuan dan melibatkan diri dalam kegiatan masyarakat. Aktifnya mereka ini sehingga mewujudkan satu stigma di kalangan masyarakat bahawa suara mahasiswa adalah suara rakyat, bahkan sumbangan mahasiswa dalam membentuk pembangunan negara adalah sangat bernilai dan ditagih.


Setiap detik masa yang berlalu amat bermakna kepada orang yang tahu untuk menghargainya. Oleh kerana masa itu bersifat perdana, anda harus menggunakannya dengan lebih produktif bagi menghasilkan kerja yang bermutu. Kebiasaannya, masa yang lebih produktif dalam sehari ialah pada awal pagi. Seseorang akan berasa segar, berjaga-jaga dan rehat. Kita mempunyai lebih tenaga dan bersedia untuk pergi bekerja. Pada tahap ini, konsentrasi seseorang sangat tinggi dan mempunyai jarak tumpuan yang jauh.


Dalam hal ini mahasiswa perlu sedar bahawa otak yang cergas datangnya dari badan yang sihat. Islam sendiri pun ada menuntut agar umatnya terus berusaha kerana rezeki bermula selepas solat subuh. Peluang ini perlu digunakan oleh mahasiswa sebaik yang mungkin kerana tanggungjawab dan amanah yang perlu dilakukan amat besar sekali. Sekiranya anda menangguhkan kerja terhadap projek yang penting sehingga tenaga hilang, kedua-dua kualiti kerja dan produktiviti secara keseluruhannya akan hilang. Seseorang mungkin tahu tentang diri sendiri bilakah waktu produktifnya dalam sehari. Sama ada awal pagi atau lewat pagi, awal atau lewat tengah hari. Bila-bila sahaja, objektif menepati masa perlu dilakukan dan ianya perlu digunakan secara cekap. Dalam kehidupan kampus, mahasiswa perlu mengguna dan mengagihkan masa dengan konsisten seperti menyiapkan tugasan pada tarikh yang ditetapkan, membuat penyelidikan luar, rujukan di perpustakaan, berpersatuan, beriadah dan mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan.

Keberkesanan pembelajaran boleh didapati dengan pembacaan yang menjimatkan masa seperti menguasai kaedah mempercepatkan pembacaan. Kita semua dibanjiri dengan pelbagai bahan bacaan seperti surat khabar, majalah, jurnal perniagaan ataupun psikologi dan banyak laporan dari syarikat serta maklumat yang lain pada setiap hari. Tetapi sekiranya kita melihat masa untuk membaca semua perkara, kita perlu mempunyai kekuatan bagi setiap masa untuk melakukan kerja yang sebenar. Dalam hal ini pembelajaran yang efektif perlu diamalkan oleh mahasiswa dengan membuat persediaan awal serta melengkapi diri dengan teknik-teknik tertentu sebelum menghadapi peperiksaan.


iii) Segera tetapi tidak penting

Perkara atau kerja dalam kategori ini selalunya menuntut tindakan yang segera tetapi jika diteliti secara objektif perkara ini sebenarnya kurang utama. Contohnya, kita diajak untuk menghadiri satu pertemuan, diminta berceramah, atau seorang kawan mengajak kita menemaninya membeli-belah. Kita mungkin menyedari bahawa perkara- perkara ini sepatutnya kurang diberi keutamaan, tetapi masalahnya seseorang sedang menanti di hadapan meja kita untuk mendapat jawapan. Akhirnya kita tewas, lalu bersetuju kerana kita tidak mampu mencari alasan yang baik dan manis untuk menolaknya.


********************


p/s: aku sendiri sedang mengejar masa dalam 'masa-masa terakhir' di bumi Melbourne ni. :,)

2 comments:

mr cekodok said...

info yg berguna lagi motivatif..tp kdg2 sifat malas slalu mnguasai diri.malas nk baca journal.malas nk buat research...mcm mn nk kekalkan rasa rajin tu slalu dlm diri ni bang.mntak abg senior bg pndapat

neezam said...

Salam Mr C,

Makaseh banyak sudi bertandang ke blog yang bersifat 'marhain' ini ;p

MALAS sudah sinonim dengan hidup kita, kalau tak tak adalah perkataan RAJIN. MALAS ini tipsnya mudah sahaja, LAYANKAN sahaja tapi sampai ke satu tahap tertentu yang KITA sendiri bina sempadannya. Manusia yang tak malas langsung-- susah nak jumpa :)

RAJIN pulak tipsnya, bila datang kerajinan itu, LAYANKAN ia sepuas-puasnya tanpa KITA berusaha meletakkan batu sempadannya. Manusia yang rajin 100%-- hebat!

satu lagi tips yang nampak lapuk, tapi sangat berkesan adalah DUIT! Doa- doalah sebanyak-banyaknya kerana matlamat utama kehidupan adalah mendapatkan redha Ilahi dan keizinan-Nya dalam segala sesuatu. Usaha- Bila dah berdoa kita mulakan/teruskan usaha. usaha itu perlulah berpaksikan matlamat-matlamat tertentu. Matlamat untuk berjaya, matlamat untuk penuhi keperluan dan kepuasan diri, matlamat untuk menyumbang kebaikan kepada diri dan orang, dan sebagainya. tapi matlamat paling ultimate-- membuat segala sesuatu LILLAHI TAALA! Insentif- insentif itu boleh bersifat membina, boleh bersifat memujuk. Insentif membina itu perlu kita wujudkan sebagai usaha menghargai apa yang kita dapat capai. Insentif membina boleh berbentuk tangible (duit, belanja diri sendiri dan orang tersayang pergi mandi air terjun dan makan durian macam Mr C hehehe, dan seumpamanya) atau bersifat intangible (penghargaan kendiri, etc).Insentif memujuk pulak adalah satu cara melayan kekalahan, kesilapan, atau bila tidak berjaya capai sesuatu. Tujuan insentif memujuk ini adalah untuk mengajar diri tidak terlalu tertekan atau stress bila kecundang dalam usaha. Ia jugak berperanan dalam mengelakkan diri 'menjebakkan diri' dalam kancah 'sudahlah, aku memang tak mampu'. Mnemonic terakhirnya adalah Tekun Beristiqamah- maksudnya, usaha itu perlu selalu diistiqamahkan atau diteruskan walau matlamat yang disasarkan sudah berjaya dicapai mahupun tidak. Tekun Istiqamah juga meliputi tiga Mnemonic DUI yang terawal itu, dan sentiasa berangkai-rangkaian dengan T agar DUIT itu sentiasa berada dalam tangan kita... Allah jua maha mengetahui akan segala sesuatu. semoga mendapat manfaat, Insya Allah. Barakallahuli walakum.

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails