Thursday, October 22, 2009

SUNYI di 14 Waterdale Road, Bundoora

Sunyi:
1. tidak kedengaran sebarang bunyi (suara), hening, senyap: suasana menjadi ~, masing-masing membisu; ~ senyap sangat sunyi; 2. tidak berorang, kosong, lengang, sepi: dr jauh dilihatnya rumah itu ~ sepi; negeri itu ~; pasar sudah mulai ~; 3. bebas drpd, jauh (dr), lepas drpd: manusia di dlm dunia ini tidak ~ drpd tamak dan haloba; bahasa Melayu telah diajarkan dan dipelajari dgn lebih ghairah walaupun tidak ~ drpd masalah; tiada ~nya = tiada ~-~nya tiada putus-putus, selalu, sentiasa; 4. Ph rindu (akan);

Quiet:
1. Making very little noise; 2. without many people or much noise or activity; 3. peaceful, not disturbed.
oxford advanced learner's dictionary, 7th edition (2005)


Sudah melangkau 24 jam rumah no 14, Waterdale Road ni sunyi a.k.a quiet.

Memang sejak kami berhijrah ke sini selepas Naufal dilahirkan, rumah ini susah nak sunyi siang malam pagi petang. Ayah yang memang becok bercakap, memekak, usik mama dan anak2. mama yang tak berhenti2 mengemas rumah dan mentadbir makan pakai ayah dan anak2. niesreena yang aktif main, main, main. naufal yang asyik menjerit, menangis, memanggil2 sayu mintak didukung sepanjang masa. tivi yang jarang dapat bertutup. selalu juga radio dan mp3 hingar-bingar memenuhi ruang rumah.

tapi sejak lebih 24 jam lalu, ayah tak dapat nak bercakap dengan sapa2. ayah jadi bisu. ayah tak buleh nak usik dan bergurau dengan sapa2. ayah tak dengar suara niesreena mengomel2 dan ketawa2. ayah tak dengar permintaan wajib reena setiap 2-3 jam "nak susu milo". ayah tak dengar bunyi tivi dipasang sepanjang hari dengan cerita kartun kegemaran niesreena (bahkan tak bukak tivi langsung). ayah tak dengar bunyi kelentang-kelenting mama buat kerja kat dapur. ayah tak dengar bunyi naufal merengek nak tidur atau nak susu atau nak didukung. Ayah tak dengar hilai ketawa mama, niesreena mahupun naufal dah.

selalu ayah rasa penuhnya aktiviti dalam rumah 14 Waterdale Rd ni. Tak cukup 24 jam sehari.

Tapi sejak lebih 24 jam yang lalu, ayah rasa lain macam. ayah rasa kosong, ayah rasa sepi, ayah rasa sunyi. berdesing telinga.

makan masih lalu, tapi rasa tak enak. mandi masih basah, tapi rasa tak segar. tidur masih lena, tapi masih ada rasa mengantuknya.

solat sorang2.

sekali-sekala tersilap2 juga terjerit panggil "sayaanggg tengok email ni" macam biasa. walhal, sayang aku dah beribu batu jauhnya di sana. tersenyumlah aku sorang2 kemudiannya.

Sekali-sekala macam terdengar suara Naufal menangis, tapi rupa2nya suara itu lahir dari dalam kotak fikiran aku sendiri. aku tersenyum sorang2 kemudiannya.

sekali tadi aku bangkit dari kerusi depan laptop ni, nak tengok reena yang tgh tengok tivi. sesaat, aku sedar, niesreena tengah tengok tivi jauuuhhh beribu batu dari 14, Waterdale road ini. dan tivi di sini tak terbukak pun. tersenyumlah aku sorang2 kemudiannya.

inilah ertinya sunyi a.k.a quiet di no 14, Waterdale Road pada saat ini. Orang2 akan berkata "mengada2 betul mamat ni, tahapehapela, orang lain lagila, bertaun2 berpisah dengan famili". jawapan aku "inilah kali pertama nak berpisah selama macam ini" dan "this is my family, tak macam ni maksudnya bukanlah keluarga". macam tu jugalah sedihnya aku nak berpisah dengan mak ayah dan adik2 masa mula2 masuk boarding skul, STAR di Ipoh 13 tahun lepas. Tapi lama2 alah bisa tegal biasa, kan?

aku harap mulai esok, rindu aku akan bertambah menebal, tapi kecekalanku turut sama kan menebal.

aku harap isteriku Julie dan anak2 kesayanganku akan happy, bahagia, seronok, suka dan gembira berada di sana.

betul kata orang. Kita bertambah rasa perlu pada sesuatu apabila kita kehilangannya. Inilah ia dalam hatiku sekarang.

Firman Allah SWT maksudnya:
Demi sesungguhnya Kami menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan lapar dan (dengan berlakunya) kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (Surah al-Baqarah: ayat 155).

key pointnya---- sabarlah wahai aku yang kesunyian. sabarlah jua wahai isteriku yang aku tahu turut, kesunyian.


Wednesday, October 21, 2009

PERPISAHAN

Esok pagi2 buta, Julie dan anak2 kami akan berangkat pulang ke Malaysia menaiki pesawat Air Asia D72723 dari Melbourne ke LCCT jam 0145. Kepulangan orang2 tercinta aku nih adalah untuk meraikan hari perkahwinan seseorang yang penting bagi isteri aku. Tinggallah aku seorang di bumi Bundoora meneruskan perjuangan pelajaranku. Perasaan bercampur baur, manakan tidak, tak pernah akan terpisah selama ini (1-2 bulan), asyik berkepit je ke sana ke mari sejak mula berkahwin. Apa kan daya, aku akan ke Surabaya pada tarikh yang hampir sama dengan manusia tersebut. Jadi sememangnyalah aku takkan balik ke Malaysia untuk occasion yang special bagi bini aku nih.




Anyway, aku akan rindukan Julie, Niesreena dan Naufal. Tapi inilah peluang terbaik aku untuk aku boost up kerja2 aku yang terlalu slow dalam 3-4 bulan kebelakangan ini. Semoga Allah selamatkan Julie dan anak2 aku sepanjang perjalanan dan sepanjang mereka berada di Malaysia. Pengorbanan sebegini bukan suatu yang asing bagi kebanyakan orang, tapi hakikatnya aku dan Julie jarang melakukannya, jadi ianya adalah sesuatu yang cukup signifikan, dan menyayukan hati.

I will always love you my sweethearts!








I will miss you soooo much sayang!

Thursday, September 10, 2009

SALAM PERANTAUAN 1430H



http://www.utusan.com.my/utusan/special.asp?pr=salam_perantauan2009&pub=salam_perantauan2009&y=2009&dt=0910&sec=Album&pg=keluarganeezammelbourneaustralia.html


HARI NI MASUK PULAK GAMBAR KAMI SEKELUARGA DALAM SALAM PERANTAUAN UTUSAN MALAYSIA. 2 TAHUN LEPAS KAMI BERTIGA JE, NAUFAL TAKDE..TAHUN NI SERBA MERAH MENYALA2, KAMI BEREMPAT BERPOSING BAJU RAYA YANG EMAK BAWAK, KAT RUANG TAMU RUMAH DI WATERDALE ROAD.

GAMBAR NI AYAH YANG SNAP, MASA TU MAK DENGAN AYAH DATANG MELAWAT KAMI (NAK TENGOK CUCU2 KESAYANGAN SEBENORNYER..).

KEBETULAN JIRAN BAWAH RUMAH KAMI ABG AM, KAK SALWA DAN ZARA PUN MASUK RUANGAN SALAM PERANTAUAN NI PADA HARI YANG SAMA...SESUAAAIII SANGAT KAN! HEHE...

HOPE THIS WILL BE THE LAST TIME WE APPEAR IN THIS SALAM PERANTAUAN COLUMN, TAKMO DOK SINI LAGI DAH....TAUN DEPAN NAK BALIK MALAYSIA...FOR GOOD, AMINNNNNN...



Wednesday, September 9, 2009

Poh Ling Yeow bukan girlfriendku!

090909-- tarikh cantek untuk berkahwin biar nampak memorable dan ada significant value kata orang. 090909 juga tarikh yang significant bagi aku, sebab setelah beberapa bulan hantar artikel ke Utusan Malaysia, keluar juga pada hari yang unik ni (diterbitkan di dalam sisipan Mega, Utusan Malaysia). Kalau kawan2 di Australia baca artikel ni, mesti kata "ala cerita ni sudah basilah". apa kan dayaku, janji maksud artikel aku itu sampai ke tatapan umum, walaupun lambat. Artikel ini aku tulis bukan semata-mata teruja dengan usaha Poh, tapi teruja juga dengan nilai estetika makanan ala Malaysia yang 'kena' dengan lidah masyarakat dunia, secara spesifiknya masyarakat di bumi Kanggaroo ini. Nilaikanlah maksud artikel aku ini berdasarkan tanggapan anda sendiri.
**********************************

Fenomena Poh Ling Yeow dan Masakan Malaysia di Australia

Nama Poh Ling Yeow , mungkin begitu asing di Malaysia , tetapi tidak di Australia mutakhir ini. Nama gadis berusia 35 tahun dan berbangsa Cina yang lebih dikenali sebagai Poh ini , telah meniti dari bibir ke bibir masyarakat di sini hasil kejayaannya menjadi naib juara progam ‘MasterChef Australia’ yang julung-julung kali diadakan di sini baru-baru ini. MasterChef Australia merupakan pertandingan masakan berkonsepkan realiti tv yang diadaptasi daripada versi MasterChef di United Kingdom. Dengan berteraskan kepada kepelbagaian tema masakan dan resipi , program ini berjaya menarik minat 7500 peserta dari seluruh Australia . Ironinya , para peserta yang diambil menyertai program ini majoritinya bukanlah berlatarbelakangkan kerjaya sebagai tukang masak profesional atau chef. Namun , rata-rata para peserta pertandingan ini menunjukkan kebolehan memasak yang mengagumkan dan memikat hati para juri profesional.

Juri yang dilantik dalam program ini bukanlah calang-calang individu. Tiga juri tetap iaitu Chef George Calombaris , Chef Gary Mehigan dan pengkritik makanan terkenal Matt Preston , di samping beberapa chef undangan dari dalam mahupun dari luar Australia , menjadi penentu hidup mati para peserta dalam program ini. Pemenang edisi sulung MasterChef ini menerima habuan wang tunai AUD100 ribu , selain peluang belajar memasak bersama-sama chef terkemuka di seluruh Australia , serta mempunyai kolum tetap dalam majalah masakan terhebat di sini.




Poh , yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1973 , berhijrah mengikut keluarganya untuk bermastautin di South Australia sejak dia berumur 9 tahun. Poh bukanlah seorang chef , tetapi merupakan seorang pelukis yang cukup berjaya di Australia . Menurut Poh , motivasi yang mendorongnya untuk menyertai pertandingan MasterChef ini adalah kerana sebelum ini dia berasa seperti kehilangan ‘identiti dan budaya Malaysia’ sejak berhijrah ke Australia. Untuk itu , dia cuba untuk menyuburkannya kembali. Poh yakin bahawa masakanlah medium tunggal yang membolehkan dirinya mengenali dan mengekalkan kembali identiti dan budaya Malaysia yang diwarisinya itu. Dengan cara menyertai pertandingan MasterChef ini , dia akan lebih bersungguh-sungguh ‘mengorek’ rahsia resipi masakan ala Malaysia terutamanya daripada ibu dan makciknya yang turut berhijrah ke sini.

Perkara yang membanggakan penulis bahkan beribu-ribu lagi rakyat Malaysia yang mengikuti program MasterChef Australia ini adalah , Poh seakan-akan menjadi duta negara kita kerana
tidak segan silu dan bersungguh-sungguh memperkenalkan menu dan resipi masakan berasaskan Malaysia dalam pertandingan ini. Beberapa jenis masakan yang ‘berkonsepkan’ Malaysia seperti nasi ayam , roti jala , martabak , pengat ubi keledek , otak-otak , karipap , nasi lemak , sambal petai dan lain-lain lagi merupakan antara percubaan berani yang diketengahkan Poh dalam pertandingan ini.

Penulis pada awalnya bersikap agak skeptikal apabila memikirkan jangkaan komen para juri yang sememangnya ‘sebati berlidahkan masakan ala Eropah’ seperti masakan Itali , Perancis dan Greek terhadap percubaan masakan Poh. Tetapi , perkara yang berlaku adalah sebaliknya. Para juri terpikat dan memuji keenakan setiap resipi ala Malaysia ciptaan Poh sehingga memberikan gelaran ‘Poh Yang Agung’ kepada gadis kecil molek ini. Walaupun tidak berjaya menggondol tempat pertama dalam pertandingan MasterChef ini , Poh telah membuka mata kepala ramai pihak di Australia bahawa masakan Malaysia mempunyai kelasnya yang tersendiri dan setanding dengan masakan negara-negara lain di peta dunia. Bagi penulis Poh adalah juara yang sebenar-benarnya bagi seluruh rakyat Malaysia di sini!

Pada hemat penulis , terdapat beberapa intipati menarik daripada kisah kejayaan Poh ini. Pertamanya , penulis yakin ramai yang teruja untuk melihat berkembangnya program realiti tv ‘hiburan dan bermaklumat’ yang serupa disiarkan di televisyen Malaysia . Jika dibandingkan dengan kebanyakan rancangan realiti tv tanahair , program sebegini sangatlah kurang , namun sebenarnya berupaya memberikan pengetahuan yang berguna dan berfaedah. Para peserta pertandingan masakan ini mungkin nanti berpeluang menambahkan kemahiran memasak secara profesional dan kelak menceburi industri masakan secara serius. Para penonton pula bukan sekadar berpeluang mengundi peserta kesayangan , atau berendam air mata melihat peserta pilihan tersingkir daripada pertandingan , malah berpeluang menterjemahkan apa yang ditonton di televisyen ke dalam periuk dan kuali di rumah mereka sendiri.

Keduanya , sudah ramai ‘pakar memasak’ atau chef yang telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia. Baru-baru ini Redzuawan Ismail atau Chef Wan telah menerima anugerah Celebrity Chef terbaik di dunia bagi tahun 2009 di Gourmans Award kerana kehebatannya dalam industri masakan ini. Selain Chef Wan , (sekadar menamakan beberapa individu) Chef Florence Tan , Chef Ismail , Chef Kamarul , Chef Liza Zainol dan lain-lain begitu gigih menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk mempromosikan masakan Malaysia. Begitu juga hidangan makanan di hotel-hotel bertaraf bintang di Malaysia dan di luar negara yang banyak mengetengahkan masakan berkonsepkan Malaysia yang memikat cita rasa masyarakat global. Inilah antara faktor paling berkesan dalam menarik minat para pelancong dari luar negara untuk bertandang dan bercuti di Malaysia . Ia sekali gus mampu merancakkan ekonomi negara dan memajukan sektor pelancongan tempatan.

Ketiganya , medium masakan dan makanan ini telah sekian lama menyerlahkan betapa Malaysia mempunyai identiti yang bersifat ‘warna-warni’ hasil ramuan rempah ratus dan resipi warisan pelbagai bangsanya. Namun , ia tetap berhasil mewujudkan keharmonian dan perpaduan yang sukar diperoleh di mana-mana negara lain di seluruh dunia. Tidak sukar untuk berjumpa sebuah kedai makan atau restoran di Malaysia yang dikunjungi pelanggan pelbagai bangsa saban hari. Tidak juga menjadi sesuatu yang pelik jika bangsa yang berbeza mampu memasak dan menjual menu makanan bangsa lain dan mendapat sambutan yang cukup hangat. Inilah antara kelebihan masyarakat Malaysia , yang sangat-sangat dicemburui oleh kebanyakan masyarakat dunia.

Sebagai kesimpulannya , bagi penulis penangan masakan ala Malaysia oleh Poh Ling Yeow sememangnya telah mewujudkan fenomena yang tersendiri di Australia ini. Begitu juga , seiring dengan populariti masakan Poh , identiti unik Malaysia yang tak akan lekang dek panas dan tak akan lapuk dek hujan turut sama menjadi popular dan menjadi buah mulut masyarakat Australia .

********************


p/s: Secara peribadi, Chef Julieana Mangsor(chef aku seumur hidup) juga yang sedap masakannya!

Friday, August 14, 2009

darihal kerengga dan kepala koloni mereka




arakian tersebutlah kisah seekor ketua masyarakat kerengga di sebuah perkampungan kerengga yang sekian lama telah dinobat sebagai kepala koloni. kepala koloni ini pandai serba-serbi, dari mentakrif hingga mentaakul, waima begitu hebat juga dalam bab-bab menghukum dan menghakam. Kepala Koloni jadi sumber rujukan, jadi sumber panduan, jadi sumber inspirasi, disanjung, dijulang, dijunjung, ditatang, disayang, dicinta, dan dinobat sebagai kerengga agung, mengatasi agungnya kepala-kepala lain dalam koloni kerengga tersebut, dan koloni kerengga-kerengga lain. hebatnya Kepala Koloni ni sampai apa dia cakap, semua kerengga percaya dan jadikan pedoman, jadikan fatwa! hatta, Kepala Koloni tersengaja kentut di khalayak pun dijadikan satu 'panduan gaya hidup' oleh kerengga-kerengga sekalian.

Tersebutlah jua kisah yang Kepala Koloni dan suku-sakat koloni kerengga di perkampungan kerengga itu berbaik-baik dengan semut merah, anai-anai, semut hitam, dan segala semut-semut yang kuat dan tak kuat membentuk satu 'persatuan serangga melata' yang mereka rasa cukup utuh, cukup ampuh untuk melawan mara bahaya 'kerengga gergasi' yang diketahui agak kuat berbanding koloni-koloni kerengga, semut dan seisi nusa kerengga di lapangan jajahan negara kerengga. Tapi, bukan semua semut dan koloni kerengga Kepala Koloni ini dapat sekepala sepanjang masa. selalu jualah 'antenna2' atau sesungut sesama mereka berlaga-lagaan bukan tanda perikatan silaturrahmi, tapi kerana berlaga-lagaan tanda tidak puas hati. Yang Kepala Koloni nak jadi ketua, semut merah tak suka. yang semut hitam nak jadi ketua, anai-anai membangkang. akhirnya ketua sesama ahli 'persauan serangga melata' jadi banyak..banyak kerana setiap koloni rasa ketua mereka lebih layak jadi ketua. maka presiden persatuan serangga melata punyai belasan presiden gara-gara presiden dilantik ahli koloni sendiri (ada juga presiden melantik diri sendiri, hehehe..ape punya ketua serangga daaa...).

tapi, nampak gayanya mutakhir, persatuan serangga melata ni nampak memang kuat. kalau disergahnya 'koloni kerengga gergasi', kira melatah 3-4 hari jugaklah kerengga-kerengga gergasi seisi koloni. hatta bergegar gempita jua barang seminggu dua, gempar dengan sergahan persatuan serangga melata. Tapi, entah kenapa kerengga gergasi tak mahu membalas, seperti mana biasa..terus berdiam, paling-palingpun cuma menghunus 'antena gergasi' mereka ke langit, memberi petanda kepada musuh mereka agar 'jangan melampau batas seh!'. Itu saja..

maka, dek kerana sudah rasa kuat, persatuan serangga melata sudah naik syehh. dirasakan persatuan dan ahli-ahli seisi koloni-koloni cukup mantap 'perpaduan dan kesatuannya', ibarat seberkas lidi yang tak boleh nak dipatah-patah! tapi bukan mudah. tak semua serangga makan benda sama, punya selera yang serupa. ada serangga suka makan gula, ada serangga suka makan serangga. kalau koloni-koloni persatuan nak kongsi selera yang sama...aiyaaaaa sampai kiamat tak jadi cerita. payah.

Berbalik kepada Kepala Koloni kerengga ni tadi, nampak gayanya dah jadi 'semacam'. maklumla, ikut kata-kata bijak pandai kerengga dalam bidang psikologi, kerengga yang semakin tua ni, perangai dia akan kembali jadi perangai kerengga budak-budak. jadi over-matured sehingga sifatnya jadi keanak-anakan. tak waras, tak rasional. Nak dijadikan cerita adalah seekor suku sakat ketua busut anai-anai yang sudah lompat pagar sarang kerengga, dan gegarkan rumah permaisuri kerengga, sampai jatuh telur-telur kerengga yang nak menetas..mati bergelimpangan dalam salutan telur-telurnya sebelum sempat menghembus nafas pertama ke dunia kerengga yang fana ini. ehh, tak kena serang ke dengan kerengga-kerengga lain? pasti tidak!!!!!! kenapa tidak? manakan tidak, kerengga-kerengga askar, waima kerengga-kerengga biase dah siap-siap nak hunus sepit dan antenna untuk 'jahanamkan' si anai-anai seekor ni....tapi Kepala Koloni sudah sound baaaeeekkkkk punya "tak apalah dia tak sengaja, dia tak tauuuuu dalam sarang kita tu ada banyak telur..maafkanla diaaaaa". aiyyaa??

Sebilangan kerengga dalam koloni Kepala Koloni naik hairan. dulu seingat mereka, 2-3 kali ketua-ketua koloni kerengga gergasi datang ke muka pintu sarang mereka sekadar nak sebut 'hello' dan bertanya khabar, tapi habis disepak terajang jatuh menyembah bumi dek kerengga-kerengga kerana 'diarah' dan 'difatwakan' oleh Kepala Koloni untuk 'tidak jawab salam hello itu; dan perang kerengga gergasi tu habis-habisan. apa sudah jadi...? nak ikutkan, kerengga gergasi dengan koloni mereka sama saja ejaannya K.E.R.E.N.G.G.A? banding dengan A.N.A.I.-.A.N.A.I, yang sama huruf A dan N saje? sebilangan kerengga dalam koloni pun naik serabut. penat je permaisuri menetaskan telur-telur..akhirnya, telur-telur yang binase terpaksa dibuat telur goreng saja..setidak-tidaknya boleh bagi manfaat kat koloni kerengga sedia ada.

Itu sebabnya, sebilangan kerengga terfikir (tapi tak berani nak cakap kat khalayak kerengga) yang Kepala Koloni ni macam dah 'tak betul'. Ikutkan gaya, nak diganyang-ganyaaaaanggggnya anai-anai sialan tu tadi..perosak keharmonian koloni kerengga, tapi kalau dah Kepala Koloni kata anai-anai tu tak sengaja, tak arif tentang peraturan koloni kerengga..alamat kena tunduk dan patuh sajala...lepas niiiiiiii kalau anai-anai tu datang lagi..kena bersopan santun jualah lagak dan gaya penerimaan kerengga-kerengga seisi koloni, walaupun anai-anai tu datang nak hempuk antenna-antenna warga kerengga waima antenna Kepala Koloni sekalipun! Jadilah koloni kerengga ini, koloni bacul, koloni 'tak apa' dalam hal diserang secara 'baik; dek anai-anai, dek semut merah, dek mana-mana serangga sekalipun kerana Kepala Koloni nak jaga hal-hal kesatuan serangga melata....tapi, dalam hal kerenga gergasi...aaaaa itu pantang...pantanggggggg sangat2.. tidakkan pernah sebulu walaupun sama ejaan k.e.r.e.n.g.g.a. haiii...nasiblah kau wahai Kepala Koloni kerengga, dan kerengga-kerengga sekalian. bukan salah permaisuri bertelur! itu mungkin salah Kepala Koloni, yang kau semua kata TAK PERNAH SALAH!


nasib badan kaulah wahai kerengga-kerengga (yang dicemburui sesetengah manusia kerana
bentuk badanmu yang ramping..hehehe).

p/s: ceritera kerengga ini tidak ada kait-mengait dengan mana-mana kerengga sekalipun di dunia ini hatta binatang-binatang atau manusia lain. ia tidak ada kaitan dengan kerengga yang masih hidup atau yang sedang nak mati atau yang sudah mati. sekadar hiburan yang tak sesuai untuk tatapan sesiapa yang tak rasional.

(the above picture of ANT is courtesy of Jonny Goldstein, thanks mate!)

Related Posts with Thumbnails