Berburu ke padang datar,
Dapat rusa patah kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
Darjatnya guru selepas bapa dan ibu,
Katanya dipatuh dirinya dihormat,
Jasa guru dikenang selalu,
Tetap subur dunia dan akhirat.
Selamat hari guru. Ucapan khas untuk guru terbaik dalam hidup aku, emak--Puan Zaliha Ismail dan ayah--Encik Mohd Noor Abdullah yang masing-masing adalah guru di sekolah masing-masing (?). Artikel yang disiar di Berita Harian hari ini khas untuk emak, ayah, semua cikgu yang pernah mengajar aku dan kepada penjawat profesion mulia ini di seluruh negara. Semoga Allah merahmati kalian!
*************************************
Profesion Perguruan Profesion Mulia
MASIH terngiang-ngiang di telinga penulis ucapan bertalu-talu anak murid pada sambutan Hari Guru ketika penulis menjadi guru sandaran di sebuah sekolah menengah beberapa tahun lalu. Sambil dihulurkan pelbagai hadiah dan kad ucapan, mereka tidak henti-henti bersalaman dan menguntum senyuman. Lebih menyentuh perasaan, apabila ada murid yang berasal daripada keluarga miskin turut bersusah payah mencarikan hadiah untuk penulis.
Hakikatnya, seorang guru tidak memerlukan murid membalas jasanya. Cukuplah hanya dengan membuktikan bahawa mereka boleh menjadi insan cemerlang dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Ketika itu, apabila penulis bersama-sama dengan guru lain membaca ikrar sebagai pendidik dan menyanyikan lagu ‘Guru Malaysia’, terdetik di hati penulis bahawa karier perguruan mempunyai nilai yang unik.
Bak kata sesetengah orang, selain doktor, guru adalah insan yang akan memahat erat ‘jawatan’ dengan namanya sehinggalah ke akhir hayatnya. Bertemakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, sambutan Hari Guru yang ke-38 tahun ini menyerlahkan hakikat bahawa menjadi guru bukan tugas mudah dan menuntut kecekalan serta semangat mendidik yang tinggi. Guru adalah orang yang paling bertanggungjawab selepas ibu bapa dalam memberi didikan, pedoman dan bimbingan terhadap anak bangsa. Daripada semudah mengajarkan konsep mengeja, menulis dan mengira sehingga formula saintifik dan teks kesusasteraan, guru tidak akan jemu menaburkan bakti tanpa mengira penat dan lelah.
Begitu juga dalam usaha membentuk modal insan cemerlang, kadangkala nasihat dan pujuk rayu guru tidak memadai untuk mendisiplinkan sesetengah anak murid. Oleh itu, denda dan hukuman lebih tegas yang difikirkan wajar diaplikasikan semata-mata untuk mendisiplinkan murid. Namun, tidak semua pihak terutama ibu bapa dan murid faham niat murni guru, lantas mengambil pelbagai tindakan ‘terburu-buru’ dengan menghukum dan mengheret guru ke pengadilan. Itu adalah antara cabaran yang perlu dilalui guru zaman sekarang dan guru perlu terus menunjukkan wibawa diri dan memartabatkan profesion keguruan mereka.
Selagi hayat dikandung badan, kita semua pasti tidak dapat melupakan budi dan jasa guru yang diibaratkan lilin membakar diri demi menerangi kehidupan anak bangsanya. Mungkin ada di kalangan kita yang tersenyum sendirian apabila terkenangkan betapa dulu kita amat membenci guru yang garang dan merotan serta mendenda atas sebab kenakalan diri sendiri.
Apabila sudah dewasa, baru kita sedar tanpa tunjuk ajar dan bimbingan guru, pasti kita terumbang-ambing menghadapi gelora kehidupan yang penuh berliku. Terima kasih cikgu.
Khairunneezam Mohd Noor,
La Trobe University, Melbourne, Australia.
Nabi dulu Mazhab apa?
-
*Ada orang tanya: kenapa di Malaysia ikut Mazhab Syafee, tapi Akidah ikut
Asyaari? Kenapa tidak akidah Imam Syafee juga? Nabi dulu Akidah apa? Mazhab
apa...
1 week ago
0 comments:
Post a Comment