Saturday, November 29, 2008

Sihir Cacatkan Akidah

Bercakap pasal sihir, memang aku rasa orang2 kita takkan nafikan generasi zaman moden harini, zaman internet, zaman online canggih manggih berYM2, beremail2, berMMS dan apa2 saja yang sama waktu dengannya, masih jugak tak lekang dengan amalan kufur dan meleburkan keimanan ni. Kenapa ek, seronok ke mewarisi ilmu2 halus yang boleh memporakperandakan hubungan kita sesama manusia bahkan hubungan kita dengan Allah ni? Tak terpikir ke kesan2 buruk yang terpaksa orang2 yang disihir tu tanggung? seksa tau tak!! nak tido tak lena, nak makan tak lalu, nak jalan sakit2, nak berfikir macam kena block, nak cari rezeki macam kena tutup..hadoii kesian seh!

takyah tengok jauh2la, sorang kawan baik aku jadi mangsa sihir orang2 yang tak senang tengok dia senang sejak bertahun2 lamanya. Famili dia pun sama menderita. satu 'penyakit' yang aku rasa kesan sihir manusia2 bangsat yang bersekongkol dengan syaitan tu adalah, kawan aku tu sampai ke hari ni TAK DAPAT2 KERJA TETAP! Kalau orang2 yang tak berapa rapat dengan kawan aku ni, mesti akan cakap, 'belum ada rezeki'. Tapi menurut kawan aku yang dah berpuluh2 kali jumpa ustad dan orang berubat, orang yang yang menyihir tu pun ada 'buat something' untuk block peluang rezeki kawan aku ni. Mula2 aku ak percaya, tapi bila aku sendiri banyak berusaha tolong kawan aku ni cari kerja tetap, memang susah beb. Macam ade 'besar punya batu' sudah kasik tutup itu pintu rezeki. Memanglah,nampak gaya kawan aku ni dah kronik sangat2 ni, dah 4-5 tahun habis master, tapi nak cari kerja jaja borang permohonan gunakan sijil master pun orang macam tak pandang sebelah mata pun. Sungguhpun begitu aku selalu nasihat kawan aku ni, pleasela bro...kau tetap kena letakkan keyakinan pada al-Khaliq, pada Allah yang Maha Kuasa..macam mana terukpun perbuatan lahanat orang2 jahat ni pada kau..kau kena sabar, doalah dan berusahalah dengan istiqamah, jangan sesekali puus harapan pada Allah..ini memang dugaan yang maha hebat. yakinilah bahawa Insya Allah satu hari nanti 'ikatan badi tak dapat kerja' ni akan terlerai jugak..bagai kaca2 yang bermanik2 berterabur bila dihentakkan atas lantai simen..Insya Allah!! Takde satu apapun yang boleh nak tandingi kekuasaan dan kebesaran Allah yang maha besar.

Untuk itu, aku tuliskan satu artikel ke paper berkaitan dengan sihir ni, sebab aku sedih betul dengan dugaan yang dipikul kawan baik aku tu. 'Sihir Mencacatkan Akidah'..itulah tajuk artikel aku kat Utusan Malaysia 28/11/08. Hayatilah kandungan artikel tu di bawah:

Sihir cacatkan akidah

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR

Dalam zaman serba moden pada hari ini, janganlah terkejut andai mengetahui bahawa sesetengah ahli masyarakat kita masih kuat terbelenggu dengan amalan sihir yang boleh mencacatkan akidah. Sebut sahaja nasi tangas, angin tuju-tuju, santau, ubat guna-guna, minyak dagu, dan seumpamanya ia pastilah antara cabangcabang sihir yang tersohor dan masih tegar diamalkan dalam masyarakat kita.

Sesungguhnya perbuatan sihir ini tidak lain dan tidak bukan adalah berpaksikan kepada ilmu atau ajaran syaitan yang sememangnya mahukan akidah umat Islam terus sesat dan rosak binasa. Sihir tidak memberikan apa-apa kebaikan untuk orang yang mengamalkannya, lebih-lebih lagi orang yang menjadi mangsanya.

Sihir yang menggunakan perantaraan jin dan syaitan tidak lebih daripada bermatlamat negatif untuk memenuhi nafsu serakah, melunaskan dendam kesumat, mahu menunjukkan bahawa diri seseorang itu kuat, atau pun sebagai isyarat diri tidak boleh dicabar dan diganggu-gugat secara fizikal, perasaan dan emosinya.

Banyak impak buruk yang terpaksa ditanggung oleh mangsa sihir seperti penderitaan penyakit yang tidak terubat dengan kaedah perubatan konvensional, mengalami mimpi yang mengerikan, diganggu lembaga menakutkan, tertutup peluang mencari rezeki, menjadi 'bodoh-bodoh alang' dan sebagainya.

Ramai mangsa sihir telah berusaha sehabis daya untuk berubat sama ada dengan menggunakan perubatan moden, perubatan secara tradisional atau bertemu pakar perubatan berasaskan Islam. Namun, dalam kes-kes tertentu, kesan sihir masih tidak berkurangan. Masih juga kesabaran dan keimanan mereka diuji Allah SWT apabila kesan-kesan sihir tersebut semakin hebat mengasak kehidupan mereka. Sememangnya berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul sengsara kesan sihir ini.

Dalam kes yang dialami oleh mangsa-mangsa sihir beberapa persoalan wajar diajukan.

Pertamanya, jika benarlah ada orang lain membuat sebarang kesilapan, salah faham, mengganggu hak peribadi atau sebagainya terhadap kita, apakah tidak ada kaedah lain yang lebih tepat untuk kita menyelesaikan pertelingkahan tersebut selain daripada amalan sihir?

Kedua, apakah agaknya nilai kepuasan diri orang yang menyihir apabila melihat mangsa-mangsanya tersiksa secara fizikal, emosi dan mentalnya bahkan sehingga tercabut nyawanya?

Jelas, manusia yang sanggup melakukan sihir adalah rapuh nilai keimanannya. Golongan ini mudah bersekongkol dan tunduk mengalah pada bisikan dan hasutan syaitan. Inilah amalan orang yang fasik dan kufur.

Orang seperti ini tidak sedar bahawa Allah SWT adalah maha berkuasa dan maha adil. Jika baik amalan seseorang itu, maka balasan yang baik jua yang akan diterimanya daripada Allah SWT, begitulah jua padah yang sebaliknya jika dia melakukan kejahatan.

Agama Islam sangat-sangat mencela dan melarang umatnya daripada terjebak dalam amalan sihir ini. Rasionalnya adalah kerana amalan sihir dengan mudah merosakkan akidah dan menghancurkan keimanan seseorang Muslim.

Sihir menyebabkan seseorang yang mengamalkannya hilang keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT bahkan menganggap dirinya lebih berkuasa kerana mampu mendatangkan mudarat kepada pihak lain sesuka hatinya. Sihir berupaya menebalkan rasa sombong, takbur dan zalim dalam kalangan pengamalnya.

Sihir juga akan mengembang biakkan persengketaan, sifat dendam yang tak surut-surut, mengundang fitnah, berpecah belah dan hilang kepercayaan sesama ahli dalam masyarakat.

Bayangkanlah jika sihir menjadi permainan sebati dalam hidup, kalau tercuit sedikit perasaan marah terhadap orang lain, maka sihir pantas dijadikan alat untuk membalas perbuatan orang tersebut. Bermakna, tak habis-habislah orang di sana sini sakit menderita dek permainan sihir yang tak kunjung padam.

Sebagai masyarakat Islam kita perlu secara kolektif, bersungguh-sungguh dan istiqamah menangani dan membasmi perbuatan sihir. Antara lainnya adalah dengan cara:

Segenap lapisan masyarakat perlulah utuh mendalami, menyebarkan dan menghayati ajaran Islam dan menjadikan ia sebagai cara hidup. Islam itu sendiri bermaksud taat, akur dan penyerahan diri kepada Allah SWT dan juga memberi maksud sejahtera.

Maka, menghayati Islam bermakna membugarkan kesejahteraan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah SWT.

Menyelesaikan pertelingkahan dan salah faham dengan kaedah yang tepat dan rasional serta mengamalkan konsep maaf-memaafkan sesama individu.

Sentiasa memohon taufik dan hidayah daripada Allah SWT agar sentiasa teguh keimanan dalam diri dan diberi perlindungan daripada hasad dengki, perbuatan jahat dan sihir manusia, jin dan syaitan.

Menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan. Begitu juga mengamalkan hafazan dan bacaan ayat-ayat atau surah-surah tertentu dalam al-Quran. Dengan izin Allah SWT ia mampu menjadi pendinding, penangkis dan penawar kesan sihir kepada seseorang.

Memberi didikan kepada masyarakat akan bahayanya amalan sihir yang bukan sahaja merosakkan akidah seseorang bahkan tindak-tanduk dan pemikiran akan turut menjadi porak-peranda dan tidak rasional.

Berdakwah secara berhikmah dan mengambil tindakan tegas terhadap orang yang melakukan sihir supaya dibukakan hijab dalam hatinya untuk segera berubah dan bertaubat nasuha kepada Allah SWT.

Tidak menyokong dan bekerjasama dengan pengamal sihir supaya amalan jahatnya itu akan lenyap dan tidak diwarisi oleh sesiapa pun.

Bagi yang terkena amalan sihir, apa yang perlu dibuat adalah terus yakin dengan kekuasaan Allah SWT. Bersabar dan carilah jalan penyelesaian yang terbaik dan menepati syariat Islam dengan penuh tawakal kepada Allah. Tiada penyakit di dalam dunia ini yang tidak ada penawarnya.

Anggaplah bahawa ini adalah salah satu bentuk ujian Allah SWT untuk melihat keteguhan iman seseorang. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).


****************
buat *^&%$@ sahabat baik aku dunia akhirat, bersabarlah..Allah nak uji keimanan kau, yakinlah satu hari nanti kesakitan yang kau dan keluarga kau rasa ni akan hilang juga...amiiinnnnnnn. Tiada makhluk lebih kuat kuasanya daripada Allah yang maha agung.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails