Tuesday, November 11, 2008

Rindu orang2 Bundoora kat Bundoora.. ;p

Artikel aku beberapa hari sebelum beraya sakan di Malaysia..wahaha..marah sebilangan gang2 Bundoora, beriya tuleh artikel kunun2 rindu raya dan pose di tanahair, walhal tengah berada di malaysia..wahaha, sori la bro and sis..apakan daya, sudah suratan maa..

Tajuk artikel ni pon sebenarnya adalah 'Menghayati Ramadan di Perantauan', tapi dah diubahsuai orang BH jadi rindu pose di tanah air la plak..hehe, takpa2, maksudnya sama je..

Rindu puasa di tanah air
Oleh Khairunneezam Mohd Noor (yang berada di Melbourne)
rencanabh@bharian. com.my--25/9/2008

Perantau di Melbourne imarah Ramadan dengan pelbagai ibadat

SESUDAH melangkaui hampir sebulan berpuasa di Melbourne, Australia, penulis akui ada persamaan dan perbezaannya amalan berpuasa di sini berbanding dengan di Malaysia. Sebagai perantau di sini, kemeriahan berpuasa di bulan Ramadan di tanah air pasti dirindui semua.

Berada di sebuah negara bukan Islam, apatah lagi dengan jumlah penduduk Islam sekitar 280,000 orang saja di seluruh Australia, suasana Ramadan hanya dapat dirasakan dalam komuniti kecil penduduk beragama Islam yang pelbagai bangsa.

Dari aspek masa, jumlah jam berpuasa di sini adalah agak sama seperti di Malaysia, lantaran waktu siang dan malam pada awal musim bunga sekarang agak seimbang. Cuma, cuaca yang masih dingin sekitar 17 hingga 25 darjah celsius pada waktu siang dan awan mendung kurang memberi cabaran berpuasa seperti lazimnya di Malaysia yang panas terik dan membahang.

Begitu juga tiada hebahan besar-besaran dan program khusus mengenai sambutan Ramadan melalui media massa mahupun di kalangan masyarakat umum. Namun, penulis yakin kewajipan ibadat puasa pada bulan ini dan kesedaran balasan pahala berlipat kali ganda yang dijanjikan Allah, mencekalkan hati perantau anak Malaysia untuk tawaduk beribadat sambil terus melunaskan perjuangan menuntut ilmu mahupun bekerja di perantauan.

Melihat rakan lain yang berbeza agama makan pada waktu siang secara terbuka tidaklah menjadi sesuatu yang ‘menggoda’, bahkan dianggap sebagai cabaran kerana kesedaran bahawa puasa tidak hanya tertakluk kepada usaha menahan makan dan minum semata-mata.

Ia lebih daripada itu, yang menuntut untuk umat Islam meningkatkan keimanan, menambahkan amal ibadat, dan meninggalkan segala yang ditegah oleh syariat.

Bercakap mengenai berbuka puasa atau iftar, di sini memang tidak ada budaya jualan makanan di ‘bazar Ramadan’ yang unik seperti di tanah air. Sebagai menghilangkan kerinduan mencari menu masakan ala Malaysia, ada sebuah bazar Ramadan mini anjuran Dewan Malaysia Melbourne pada setiap petang Sabtu sebelum bermulanya majlis berbuka puasa di Melbourne.

Dapatlah juga perantau Malaysia seperti kami melepaskan rasa ‘mengidam’ apabila berjumpa dengan jualan menu seperti ‘daging dendeng’, laksa Penang, tau foo fah, nasi kerabu, bermacam kuih-muih tradisional.

Menariknya, warga Malaysia bukan Islam turut sama berkunjung ke bazar Ramadan ini yang juga merindukan masakan Malaysia. Lebih daripada itu, ia membuktikan betapa tingginya nilai muhibah dan keharmonian yang dikongsi bersama-sama dengan rakan mereka yang beragama Islam. Amalan iftar di masjid yang dibina oleh bangsa Turki, Albania ataupun Arab sering menjadi salah satu pilihan, selain berbuka puasa di rumah bersama-sama keluarga atau rakan. Ramai juga yang bermurah hati menganjurkan majlis berbuka puasa dengan menjemput rakan lain bertandang ke rumah.

Walaupun, selalunya menu masakannya ala kadar, ia menunjukkan betapa pemurah hati pihak yang mengundang, memberi kesan positif dalam pembentukan ukhuwah sesama sahabat handai.

Selain santapan jasmani seperti berbuka puasa, perantau Malaysia turut tidak lupa melaksanakan aktiviti ‘santapan kerohanian’. Ramai yang menubuhkan perkumpulan kecil sesama rakan untuk aktiviti bertadarus al-Quran sepanjang Ramadan.

Perantau bukan sekadar bertadarus, bahkan turut menghayati sesi kupasan dan terjemahan ayat suci al-Quran dalam memberi pedoman kehidupan yang diredai-Nya.

Begitu juga dengan menunaikan solat sunat Tarawih, ramai di kalangan kami yang memilih untuk berjemaah di masjid dan surau bersama-sama rakan seagama dari pelbagai negara. Ramai juga yang memilih untuk terus beriktikaf di masjid, melaksanakan amal ibadat yang lain termasuklah bertadarus, tazkirah, bersolat sunat dan qiamullail.

Dalam hal melunaskan kewajipan membayar zakat fitrah, perantau Malaysia mempunyai banyak pilihan untuk berbuat sedemikian. Kami boleh melunaskan bayaran zakat di masjid sekitar Melbourne pada kadar A$10 bagi setiap individu.

Sebagai pilihan lain, kami juga boleh membayar zakat melalui Badan Hal Ehwal Islam dan Pembangunan Insan (Ehsan), yang dilantik Khairat Melayu Islam Victoria (KMIV) di sini. Ehsan yang ditadbir kebanyakannya oleh pelajar Islam Malaysia yang melanjutkan pengajian di universiti sekitar Melbourne, melantik amil zakat bagi memudahkan kutipan zakat mengikut kawasan tumpuan pelajar Malaysia di sini.

Usaha murni yang dilaksanakan Ehsan ini sememangnya sangat dihargai oleh perantau Malaysia, lantaran ada di antara kami yang mungkin sukar untuk melunaskan pembayaran zakat di masjid kerana faktor jarak yang terlalu jauh.

Inilah antara warna warni kehidupan kami perantau Malaysia di Melbourne ini dalam menghayati keindahan Ramadan yang mulia. Walau sesibuk mana pun kami mentadbir urusan pengajian mahupun pekerjaan di bumi asing ini, syariat Islam tetap menjadi tunjang dalam kehidupan seharian.

Penulis ialah penuntut pengajian doktor falsafah di La Trobe University , Melbourne

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails