Alhamdulillah, hari ni sekali lagi artikel tentang sihir ni keluar di paper, tapi kali ni di Berita Harian (3 Dec 2008). Buat kawan aku &%^#@&, aku harap kau terus tabah hadapi kesan jahat manusia durjana yang pendek akal menyeksa hidup kau.Allah maha berkuasa, nanti pasti yang benar akan terserlah, yang benar juga sentiasa ditabalkan sebagai yang haq bukan yang batil!
Sihir paksi kejahatan syaitan sesatkan akidah umat
Oleh Khairunneezam Mohd Noor
Ilmu hitam jadi amalan orang fasik, kufur kembang biak persengketaan dalam masyarakat
Dalam zaman serba moden pada hari ini, janganlah terkejut andai mengetahui bahawa sesetengah ahli masyarakat kita masih kuat terbelenggu dengan amalan sihir yang boleh mencacatkan akidah. Sebut sahaja nasi tangas, angin tuju-tuju, santau, ubat guna-guna, minyak dagu, dan seumpamanya ia pastilah antara cabang-cabang sihir yang tersohor dan masih tegar diamalkan dalam masyarakat kita.
Sesungguhnya perbuatan sihir ini tidak lain dan tidak bukan adalah berpaksikan kepada ilmu atau ajaran syaitan yang sememangnya mahukan akidah umat Islam terus sesat dan rosak binasa. Sihir tidak memberikan apa-apa kebaikan untuk orang yang mengamalkannya, lebih-lebih lagi orang-orang yang menjadi mangsanya.
Sihir yang menggunakan perantaraan jin dan syaitan tidak lebih daripada bermatlamat negatif untuk memenuhi nafsu serakah, melunaskan dendam kesumat, mahu menunjukkan bahawa diri seseorang itu kuat, atau pun sebagai isyarat diri tidak boleh dicabar dan diganggu-gugat secara fizikal, perasaan dan emosinya.
Baru-baru ini penulis dihubungi oleh seorang sahabat karib sewaktu sama-sama belajar di universiti dahulu. Sahabat ini menceritakan perihal keluarga dan dirinya sendiri yang menjadi mangsa sihir oleh orang-orang tertentu. Apa yang menjadi kekesalan buat penulis adalah perbuatan sihir tersebut telah berlarutan bertahun-tahun lamanya. Banyak impak buruk yang terpaksa ditanggung oleh sahabat dan keluarganya termasuklah menderita pelbagai penyakit misteri, diganggu jelmaan lembaga hitam, mengalami mimpi yang mengerikan dan sebagainya.
Sahabat penulis ini dan keluarganya telah berusaha sehabis daya untuk berubat menggunakan amalan perubatan moden dan tradisional, serta bertemu pakar perubatan berasaskan Islam. Namun, masih juga kesabaran dan keimanan mereka diuji Allah SWT apabila kesan-kesan sihir tersebut masih tidak berkurangan, bahkan semakin hebat mengasak kesejahteraaan hidup mereka. Sememangnya berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul sengsara kesan sihir ini.
Dalam kes yang dialami oleh sahabat penulis ini bahkan sesiapa sahajapun mangsa sihir, pasti akan mengundang beberapa persoalan. Jika benarlah ada orang lain membuat sebarang kesilapan, salah faham, mengganggu hak peribadi atau sebagainya terhadap kita, apakah tidak ada kaedah lain yang lebih tepat untuk kita menyelesaikan pertelingkahan tersebut selain daripada amalan sihir? Apakah agaknya nilai kepuasan diri orang yang menyihir apabila melihat mangsa-mangsanya tersiksa secara fizikal, emosi dan mentalnya bahkan sehingga tercabut nyawanya?
Bukankah elok jika persengketaan itu diakhirkan dengan perbincangan yang telus, maaf-memaafkan, redha-meredhai dan berdamai. Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Dan jika mereka condong kepada perdamaian maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang maha mendengar lagi maha mengetahui (Surah al-Anfal, ayat 61).
Jelas, manusia yang sanggup melakukan sihir adalah rapuh nilai keimanannya. Golongan ini mudah bersekongkol dan tunduk mengalah pada bisikan dan hasutan syaitan. Inilah amalan orang-orang yang fasik dan kufur. Orang-orang seperti ini tidak sedar bahawa Allah SWT adalah maha berkuasa dan maha adil. Jika baik amalan seseorang itu, maka balasan yang baik jualah yang akan diterimanya daripada Allah SWT, begitulah jua padah yang sebaliknya jika dia melakukan kejahatan. Ini selaras dengan Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula’ (Surah al-Zalzalah, ayat 7&8).
Agama Islam sangat-sangat mencela dan melarang umatnya daripada terjebak dalam amalan sihir ini. Rasionalnya adalah kerana amalan sihir ini dengan mudah merosakkan akidah dan menghancurkan keimanan seseorang Muslim. Sihir menyebabkan seseorang yang mengamalkannya hilang keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT bahkan menganggap dirinya lebih berkuasa kerana mampu mendatangkan mudarat kepada pihak lain sesuka hatinya. Sihir berupaya menebalkan rasa sombong, takbur dan zalim dalam kalangan pengamalnya.
Sihir juga akan mengembang biakkan persengketaan, sifat dendam yang tak surut-surut, mengundang fitnah, berpecah belah dan hilang kepercayaan sesama ahli dalam masyarakat. Bayangkanlah jika sihir menjadi permainan sebati dalam hidup, kalau tercuit sedikit perasaan marah terhadap orang lain, maka sihir pantas dijadikan alat untuk membalas perbuatan orang tersebut. Bermakna, tak habis-habislah orang di sana sini sakit menderita dek permainan sihir yang tak kunjung padam.
Sebagai masyarakat muslim kita perlu secara kolektif, bersungguh-sungguh dan istiqamah menangani dan membasmi perbuatan sihir. Antara lainnya adalah dengan cara:
• Segenap lapisan masyarakat perlulah utuh mendalami, menyebarkan dan menghayati ajaran Islam dan menjadikan ia sebagai cara hidup. Islam itu sendiri bermaksud taat, akur dan penyerahan diri kepada Allah SWT dan juga memberi maksud sejahtera. Maka, menghayati Islam bermakna membugarkan kesejahteraan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah SWT.
• Menyelesaikan pertelingkahan dan salah faham dengan kaedah yang tepat dan rasional serta mengamalkan konsep maaf-memaafkan sesama individu.
• Sentiasa memohon taufik dan hidayah daripada Allah SWT agar sentiasa teguh keimanan dalam diri dan diberi perlindungan daripada hasad dengki, perbuatan jahat dan sihir manusia, jin dan syaitan.
• Menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan. Begitu juga mengamalkan hafazan dan bacaan ayat-ayat atau surah-surah tertentu dalam al-Quran. Dengan izin Allah SWT ia mampu menjadi pendinding, penangkis dan penawar kesan sihir kepada seseorang.
• Memberi didikan kepada masyarakat akan bahayanya amalan sihir yang bukan sahaja merosakkan akidah seseorang bahkan tindak-tanduk dan pemikiran akan turut menjadi porak-peranda dan tidak rasional.
• Berdakwah secara berhikmah dan mengambil tindakan tegas terhadap orang yang melakukan sihir supaya dibukakan hijab dalam hatinya untuk segera berubah dan bertaubat nasuha kepada Allah SWT.
• Tidak menyokong dan bekerjasama dengan pengamal sihir supaya amalan jahatnya itu akan lenyap dan tidak diwarisi oleh sesiapapun.
Bagi yang terkena amalan sihir, apa yang perlu dibuat adalah terus yakin dengan kekuasaan Allah SWT. Dengan izin-Nya serta sifat pengasih dan penyayang-Nya, pasti dapat kita menangkis sebarang perbuatan sihir jahat manusia, jin dan syaitan. Janganlah pula kaedah yang sama (iaitu sihir) hendak dipraktikkan untuk membalas kembali kejahatan pihak pengamal sihir tersebut.
Sifat sabar juga perlu terus ada dalam diri. Teruskan mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan menepati syariat Islam dengan penuh tawakkal kepada Allah. Anggaplah bahawa ini adalah salah satu bentuk ujian Allah SWT untuk menguji keteguhan nilai Islam dan Iman dalam diri seseorang itu sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya’ (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).
Wednesday, December 3, 2008
Sihir paksi kejahatan syaitan sesatkan akidah umat
nukilan neezam at 5:13 PM 0 comments
Labels: newspaper articles
Sambut Aidiladha di perantauan tak semeriah di tanahair
Hari ni (2 Dec 2008) artikel aku keluar di BH. Ini antara artikel paling pendek diedit BH, tapi tak kesah, janji maksudnya sampai..huhu.. tribute to all my fellow friends di Bundoora yang tak 'dapat' balik beraye di Melesia macam aku..huhu...
**********************
SESUNGGUHNYA umat Islam ternanti-nanti tibanya Aidiladha atau Hari Raya Korban yang secara rasminya akan disambut 8 Disember ini di seluruh negara.
Berdasarkan pengalaman peribadi, menyambut Hari Raya Korban di perantauan tidaklah semeriah seperti yang dirasakan di tanah air. Perantau sekadar dapat peluang bersolat sunat di masjid atau surau. Ada juga dalam kalangan komuniti perantau seperti pelajar atau pekerja yang menganjurkan majlis kenduri kecil-kecilan atau takbir beramai-ramai, sama ada di kedutaan Malaysia, di rumah atau di dewan komuniti.
Peluang untuk berhimpun beramai-ramai seperti ini memberikan ruang kepada semua untuk melepaskan rindu terhadap sanak-saudara di Malaysia, bertukar fikiran, berkongsi suka dan duka, dan sama-sama menghayati erti yang tersurat dan tersirat mengenai pengorbanan.
Sambutan perayaan yang dibuat adalah sederhana, tetapi jauh di lubuk hati masing-masing sedar bahawa mereka sedang melaksanakan erti pengorbanan yang bukan calang-calang.
Pengorbanan untuk meninggalkan keluarga tercinta jauh beribu-ribu batu di tanah air, menimba ilmu dan mencari pengalaman di bumi asing, mengangkat senjata membantu menjaga keharmonian dan keselamatan negara yang sedang dilanda krisis, bersusah payah membina kehidupan dan berdikari, dan mentadbir hal-ehwal makanan dan pakaian keluarga adalah contoh pengorbanan yang cukup berbeza dan unik jika dibandingkan dengan ibadah korban yang biasa diamalkan di tanah air.
Namun, semua pengorbanan ini tetap bersandarkan kepada matlamat mendapatkan keredaan Allah membawa balik segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di luar negara untuk dikongsi bersama dengan anak bangsa.
nukilan neezam at 5:01 PM 0 comments
Labels: newspaper articles
Saturday, November 29, 2008
Sihir Cacatkan Akidah
Bercakap pasal sihir, memang aku rasa orang2 kita takkan nafikan generasi zaman moden harini, zaman internet, zaman online canggih manggih berYM2, beremail2, berMMS dan apa2 saja yang sama waktu dengannya, masih jugak tak lekang dengan amalan kufur dan meleburkan keimanan ni. Kenapa ek, seronok ke mewarisi ilmu2 halus yang boleh memporakperandakan hubungan kita sesama manusia bahkan hubungan kita dengan Allah ni? Tak terpikir ke kesan2 buruk yang terpaksa orang2 yang disihir tu tanggung? seksa tau tak!! nak tido tak lena, nak makan tak lalu, nak jalan sakit2, nak berfikir macam kena block, nak cari rezeki macam kena tutup..hadoii kesian seh!
takyah tengok jauh2la, sorang kawan baik aku jadi mangsa sihir orang2 yang tak senang tengok dia senang sejak bertahun2 lamanya. Famili dia pun sama menderita. satu 'penyakit' yang aku rasa kesan sihir manusia2 bangsat yang bersekongkol dengan syaitan tu adalah, kawan aku tu sampai ke hari ni TAK DAPAT2 KERJA TETAP! Kalau orang2 yang tak berapa rapat dengan kawan aku ni, mesti akan cakap, 'belum ada rezeki'. Tapi menurut kawan aku yang dah berpuluh2 kali jumpa ustad dan orang berubat, orang yang yang menyihir tu pun ada 'buat something' untuk block peluang rezeki kawan aku ni. Mula2 aku ak percaya, tapi bila aku sendiri banyak berusaha tolong kawan aku ni cari kerja tetap, memang susah beb. Macam ade 'besar punya batu' sudah kasik tutup itu pintu rezeki. Memanglah,nampak gaya kawan aku ni dah kronik sangat2 ni, dah 4-5 tahun habis master, tapi nak cari kerja jaja borang permohonan gunakan sijil master pun orang macam tak pandang sebelah mata pun. Sungguhpun begitu aku selalu nasihat kawan aku ni, pleasela bro...kau tetap kena letakkan keyakinan pada al-Khaliq, pada Allah yang Maha Kuasa..macam mana terukpun perbuatan lahanat orang2 jahat ni pada kau..kau kena sabar, doalah dan berusahalah dengan istiqamah, jangan sesekali puus harapan pada Allah..ini memang dugaan yang maha hebat. yakinilah bahawa Insya Allah satu hari nanti 'ikatan badi tak dapat kerja' ni akan terlerai jugak..bagai kaca2 yang bermanik2 berterabur bila dihentakkan atas lantai simen..Insya Allah!! Takde satu apapun yang boleh nak tandingi kekuasaan dan kebesaran Allah yang maha besar.
Untuk itu, aku tuliskan satu artikel ke paper berkaitan dengan sihir ni, sebab aku sedih betul dengan dugaan yang dipikul kawan baik aku tu. 'Sihir Mencacatkan Akidah'..itulah tajuk artikel aku kat Utusan Malaysia 28/11/08. Hayatilah kandungan artikel tu di bawah:
Sihir cacatkan akidah
Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
Dalam zaman serba moden pada hari ini, janganlah terkejut andai mengetahui bahawa sesetengah ahli masyarakat kita masih kuat terbelenggu dengan amalan sihir yang boleh mencacatkan akidah. Sebut sahaja nasi tangas, angin tuju-tuju, santau, ubat guna-guna, minyak dagu, dan seumpamanya ia pastilah antara cabangcabang sihir yang tersohor dan masih tegar diamalkan dalam masyarakat kita.
Sesungguhnya perbuatan sihir ini tidak lain dan tidak bukan adalah berpaksikan kepada ilmu atau ajaran syaitan yang sememangnya mahukan akidah umat Islam terus sesat dan rosak binasa. Sihir tidak memberikan apa-apa kebaikan untuk orang yang mengamalkannya, lebih-lebih lagi orang yang menjadi mangsanya.
Sihir yang menggunakan perantaraan jin dan syaitan tidak lebih daripada bermatlamat negatif untuk memenuhi nafsu serakah, melunaskan dendam kesumat, mahu menunjukkan bahawa diri seseorang itu kuat, atau pun sebagai isyarat diri tidak boleh dicabar dan diganggu-gugat secara fizikal, perasaan dan emosinya.
Banyak impak buruk yang terpaksa ditanggung oleh mangsa sihir seperti penderitaan penyakit yang tidak terubat dengan kaedah perubatan konvensional, mengalami mimpi yang mengerikan, diganggu lembaga menakutkan, tertutup peluang mencari rezeki, menjadi 'bodoh-bodoh alang' dan sebagainya.
Ramai mangsa sihir telah berusaha sehabis daya untuk berubat sama ada dengan menggunakan perubatan moden, perubatan secara tradisional atau bertemu pakar perubatan berasaskan Islam. Namun, dalam kes-kes tertentu, kesan sihir masih tidak berkurangan. Masih juga kesabaran dan keimanan mereka diuji Allah SWT apabila kesan-kesan sihir tersebut semakin hebat mengasak kehidupan mereka. Sememangnya berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul sengsara kesan sihir ini.
Dalam kes yang dialami oleh mangsa-mangsa sihir beberapa persoalan wajar diajukan.
Pertamanya, jika benarlah ada orang lain membuat sebarang kesilapan, salah faham, mengganggu hak peribadi atau sebagainya terhadap kita, apakah tidak ada kaedah lain yang lebih tepat untuk kita menyelesaikan pertelingkahan tersebut selain daripada amalan sihir?
Kedua, apakah agaknya nilai kepuasan diri orang yang menyihir apabila melihat mangsa-mangsanya tersiksa secara fizikal, emosi dan mentalnya bahkan sehingga tercabut nyawanya?
Jelas, manusia yang sanggup melakukan sihir adalah rapuh nilai keimanannya. Golongan ini mudah bersekongkol dan tunduk mengalah pada bisikan dan hasutan syaitan. Inilah amalan orang yang fasik dan kufur.
Orang seperti ini tidak sedar bahawa Allah SWT adalah maha berkuasa dan maha adil. Jika baik amalan seseorang itu, maka balasan yang baik jua yang akan diterimanya daripada Allah SWT, begitulah jua padah yang sebaliknya jika dia melakukan kejahatan.
Agama Islam sangat-sangat mencela dan melarang umatnya daripada terjebak dalam amalan sihir ini. Rasionalnya adalah kerana amalan sihir dengan mudah merosakkan akidah dan menghancurkan keimanan seseorang Muslim.
Sihir menyebabkan seseorang yang mengamalkannya hilang keyakinan terhadap kekuasaan Allah SWT bahkan menganggap dirinya lebih berkuasa kerana mampu mendatangkan mudarat kepada pihak lain sesuka hatinya. Sihir berupaya menebalkan rasa sombong, takbur dan zalim dalam kalangan pengamalnya.
Sihir juga akan mengembang biakkan persengketaan, sifat dendam yang tak surut-surut, mengundang fitnah, berpecah belah dan hilang kepercayaan sesama ahli dalam masyarakat.
Bayangkanlah jika sihir menjadi permainan sebati dalam hidup, kalau tercuit sedikit perasaan marah terhadap orang lain, maka sihir pantas dijadikan alat untuk membalas perbuatan orang tersebut. Bermakna, tak habis-habislah orang di sana sini sakit menderita dek permainan sihir yang tak kunjung padam.
Sebagai masyarakat Islam kita perlu secara kolektif, bersungguh-sungguh dan istiqamah menangani dan membasmi perbuatan sihir. Antara lainnya adalah dengan cara:
Segenap lapisan masyarakat perlulah utuh mendalami, menyebarkan dan menghayati ajaran Islam dan menjadikan ia sebagai cara hidup. Islam itu sendiri bermaksud taat, akur dan penyerahan diri kepada Allah SWT dan juga memberi maksud sejahtera.
Maka, menghayati Islam bermakna membugarkan kesejahteraan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah SWT.
Menyelesaikan pertelingkahan dan salah faham dengan kaedah yang tepat dan rasional serta mengamalkan konsep maaf-memaafkan sesama individu.
Sentiasa memohon taufik dan hidayah daripada Allah SWT agar sentiasa teguh keimanan dalam diri dan diberi perlindungan daripada hasad dengki, perbuatan jahat dan sihir manusia, jin dan syaitan.
Menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan. Begitu juga mengamalkan hafazan dan bacaan ayat-ayat atau surah-surah tertentu dalam al-Quran. Dengan izin Allah SWT ia mampu menjadi pendinding, penangkis dan penawar kesan sihir kepada seseorang.
Memberi didikan kepada masyarakat akan bahayanya amalan sihir yang bukan sahaja merosakkan akidah seseorang bahkan tindak-tanduk dan pemikiran akan turut menjadi porak-peranda dan tidak rasional.
Berdakwah secara berhikmah dan mengambil tindakan tegas terhadap orang yang melakukan sihir supaya dibukakan hijab dalam hatinya untuk segera berubah dan bertaubat nasuha kepada Allah SWT.
Tidak menyokong dan bekerjasama dengan pengamal sihir supaya amalan jahatnya itu akan lenyap dan tidak diwarisi oleh sesiapa pun.
Bagi yang terkena amalan sihir, apa yang perlu dibuat adalah terus yakin dengan kekuasaan Allah SWT. Bersabar dan carilah jalan penyelesaian yang terbaik dan menepati syariat Islam dengan penuh tawakal kepada Allah. Tiada penyakit di dalam dunia ini yang tidak ada penawarnya.
Anggaplah bahawa ini adalah salah satu bentuk ujian Allah SWT untuk melihat keteguhan iman seseorang. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).
****************
buat *^&%$@ sahabat baik aku dunia akhirat, bersabarlah..Allah nak uji keimanan kau, yakinlah satu hari nanti kesakitan yang kau dan keluarga kau rasa ni akan hilang juga...amiiinnnnnnn. Tiada makhluk lebih kuat kuasanya daripada Allah yang maha agung.
nukilan neezam at 1:18 AM 0 comments
Labels: newspaper articles
Friday, November 21, 2008
Kasihnya Ibu Bawa Ke Syurga
hari ini artikel aku keluar dalam Berita Harian (21/11/2008). Sebagai manifestasi rasa cinta pada emak dan emak mentua aku, aku karang dan dedikasikan artikel ini khas untuk mereka berdua dan pada semua umat manusia yang bernama ibu di seluruh donya...
Sesungguhnya, seorang wanita yang bernama ibu perlulah sentiasa ditabalkan sebagai antara insan yang paling dihormati dan dikasihi. Masakan tidak peranan dan jasa ibu bukan calang-calang tahapnya. Ibulah insan yang bertarung nyawa semasa mengandung dan melahirkan anak-anaknya ke dunia. Saat anak-anak masih kecil, ibulah yang menyuapkan makanan, memberikan susu, mendodoikan tidur, mengajar bertatih dan sebagainya. Apabila anak-anak sedang membesar dan meningkat dewasa, ibu tidak putus-putus melaksanakan peranannya menjadi pendidik, menjadi tempat anak-anak bermanja dan mengadu nasib, menjadi penghibur dan pengubat rasa sedih dan nestapa. Untuk itu sebagai anak-anak, kita bertanggungjawab meraikan dan memuliakan ibu sepanjang hayat.
Daripada perspektif Islam, martabat seorang ibu itu perlu dimuliakan sebagaimana Allah SWT mengangkat tinggi darjat golongan ibu melalui firman-Nya dalam Surah Luqman, ayat 14 yang bermaksud: ‘Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).’
Sebarang tindak-tanduk atau percakapan yang boleh menghiris hati ibu perlulah dielakkan apa lagi bersikap kurang ajar kepada ibu. Sebagai misalan, cerita rakyat ‘Si Tanggang’ yang disumpah menjadi batu dek kerana menderhaka kepada ibunya. Zahirnya memanglah tidak masuk akal seorang ibu boleh menyumpah anaknya menjadi batu, tetapi secara tersiratnya pengajaran yang boleh diperoleh daripada cerita dongeng ini adalah jangan membuatkan ibu sengsara, sedih dan hampa dengan perbuatan kita. Kelak balasan cukup pedih akan diturunkan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.
Allah SWT menegaskan dalam Surah al-Israa’, ayat 23 maksudnya: ‘Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)’.
Bayangkan, untuk anak-anak berkata ‘Ha’ pun ditegah oleh Allah SWT untuk dilakukan kepada ibu, apatah lagi jika kita bersikap kasar, membentak atau ke tahap memukul mereka. Kita harus ingat bahawa, keredhaan Allah SWT itu terletak kepada keredhaan ibu. Murkanya ibu bermaksud, murka jualah Allah SWT terhadap kita.
Nabi Muhammad SAW juga telah memberi banyak isyarat yang jelas akan tingginya martabat seorang ibu dalam kehidupan kita. Dikatakan pada suatu hari datang seorang lelaki bertemu Rasulullah SAW dan lelaki itu berkata: ‘Saya ingin melaksanakan Jihad dan ikut pergi berperang di jalan Allah, tetapi ibu tidak sepenuh hati melepaskan saya untuk berbuat demikian’. Rasulullah SAW kemudian menjawab, ‘Pulanglah kamu dan beradalah di sisi ibumu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan yang mengutusku untuk menyampaikan kebenaran, bahawa untuk berada di sisi ibu bagi satu malam (dan melayan serta berbuat baik kepadanya) adalah lebih baik daripada mengikut berperang dan berjihad di jalan Allah selama setahun.’
Begitu juga cerita di mana seorang lelaki telah bertemu dengan Rasulullah SAW di mana lelaki itu menyoal, ‘Siapakah orangnya dalam dunia ini yang perlu saya hormati dan hargai?’ Lalu Rasulullah SAW menjawab ‘Ibumu’. Lelaki itu bertanya lagi sebanyak dua kali ‘Siapakah selepas ibu?’ dan jawapan Rasulullah SAW tetap ‘Ibumu’. Akhirnya bila ditanya lagi ‘Siapakah selepas ibu?’ barulah Rasulullah SAW menjawab ‘Bapamu’. Jelas bahawa mesej Rasulullah SAW ini menganjurkan agar seorang ibu yang kaya dengan sifat lemah lembut dan kasih sayangnya itu perlu diberikan penghargaan yang lebih tinggi berbanding insan-insan lain di dunia ini.
Secara rasminya Hari Ibu akan disambut di Malaysia setiap tahun pada 11 Mei, sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita yang bergelar ibu. Banyaklah aktiviti yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk meraikan golongan ibu pada tarikh tersebut. Namun, untuk meraikan ibu bukan sekadar tertakluk pada tarikh tertentu semata-mata, bahkan kita perlu meraikan ibu sepanjang mana yang kita mampu. Begitu juga meraikan ibu bukan sekadar dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang, tetapi perlu diserlahkan melalui amalan-amalan lain yang bersifat lebih realistik dan bermakna.
Sebagai anak-anak, ibu perlu diberikan perhatian. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosional. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Sebagai anak-anak kita juga memainkan peranan untuk menegur ibu kita jika mereka ada membuat sebarang kesilapan yang mungkin boleh mendorong mereka tersasar daripada batasan yang disyariatkan Islam dan norma-norma budaya dan masyarakat.
Bagi anak-anak yang menetap berjauhan dengan ibu, jenguk-jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar berita mereka. Jika dirasakan sesuai dan dipersetujui keluarga dan ibu sendiri, apa salahnya untuk ibu yang telah mencecah usia ‘emas’nya itu menetap bersama-sama supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya. Kalau dulu ibu berupaya menyuap makan dan menguruskan kehidupan semua anaknya, takkanlah anak-anak yang sebegitu ramai tidak boleh menjaga seorang ibu yang telah tua dan kurang kudrat dan upayanya itu.
Penghormatan dan usaha meraikan ibu tidak terhenti pada saat terakhir nafas ibu dihembuskan di dunia ini. Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia dan tidak lagi berada di hadapan mata, sebagai anak-anak kita perlu terus mendoakan kesejahteraan roh ibu agar sentiasa dirahmati Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Israa’ ayat 24, maksudnya: ‘Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.’
Seseorang ibu lazimnya tidak meminta-minta untuk kita membalas segala jasa dan pengorbanannya. Apa yang ibu lakukan adalah ikhlas kerana kita adalah zuriat kesayangannya. Namun, kerana wujudnya hubungan dan ‘chemistry’ yang telah terjalin di antara kita dengan ibu sejak berada dalam rahimnya lagi menuntut kita untuk menghargai, menyanjungi dan menyayangi mereka. Cuba kita sama-sama menghayati akan rangkap-rangkap terakhir dalam sebuah puisi bertajuk ‘Ke Makam Bonda’ karya Usman Awang: ‘Begitulah bakti kami berikan, Tiada sama bonda melahirkan, Kasih bonda tiada sempadan, Kemuncak murni kemuliaan insan’. Jelaslah bait-bait puisi ini mengajak kita mengakui bahawa sesungguhnya kasih sayang yang diberikan oleh orang lain tidak akan dapat menandingi kasih sayang yang dicurahkan oleh seorang insan yang bernama ibu. Yakinilah bahawa syurga kita terletak di bawah tapak kaki ibu.
nukilan neezam at 7:19 AM 0 comments
Labels: newspaper articles
Sunday, November 16, 2008
Menjaga amanah Allah dan amanah sesama manusia
nilah first taim satu artikel aku tulis masuk paper sampai 3 kali. last week artikel aku pasal amanah dalam bekerja dah masuk utusan malaysia sama berita harian. pastu hari Jemaat tuhari 14/11/08 tak semena aku tengok ade jugak keluar kat utusan malaysia sekali lagi. tapi artikel tu tak samalah susunatur dan editannya semacam yang sebelumnya. Bak kata orang, aku tulis ABCDE..last week keluar ABCE..this week keluar ABCD..gitulah gamaknya..
yang penting, inilah dakwah aku pada umum, melalui coretan idea yang terjelueh dari minda dan diterjemahkan menggunakan pena berelektronik (keyboard di laptop..hehe).
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1114&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm&arc=hive
Menjaga amanah kepada Allah dan sesama manusia
Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
PERKATAAN amanah berasal daripada bahasa Arab. Dari segi lughah atau bahasa dapat ditakrifkan sebagai setia, kepercayaan, lurus dan seumpamanya. Namun, daripada konteks yang lebih mendalam, amanah difahami sebagai kepercayaan yang diletakkan oleh seseorang individu kepada pihak lain dalam memelihara atau menjaga sesuatu perkara sama ada yang bersifat nyata atau tidak nyata.
Sifat amanah dikatakan sebagai sesuatu beban yang tidak terpikul dan telah ditolak oleh makhluk-makhluk Allah SWT yang lain, namun disanggupi oleh manusia untuk memikulnya. Ia berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:
''Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan' (surah al-Ahzaab, ayat 72).
Sifat amanah sangat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Seseorang yang beriman bersifat amanah dan menerima segala kewajipan yang dipertanggungjawabkan kepadanya dengan jujur. Amanah yang dijunjung oleh manusia meliputi pertamanya amanah kepada Allah SWT. Ia termasuklah menunaikan segala kewajipan yang dituntut kepadaNya, melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas dan berterusan, dan menjaga keimanan supaya sentiasa subur.
Konteks amanah yang kedua adalah amanah sesama manusia. Ia meliputi perkara-perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak, menepati janji, bersikap adil dan saksama, bercakap benar, dan melakukan ihsan kepada masyarakat sekeliling.
Sifat amanah ini adalah merupakan antara empat sifat-sifat wajib yang ada pada Rasul selain Siddiq (Benar), Tabligh (menyampaikan) dan Fatonah (bijaksana). Sifat amanah Nabi Muhammad SAW merupakan model nilai-nilai murni yang sempurna dan unggul yang harus diterapkan dan diteladani dalam kehidupan. Misalnya, dalam urusan pekerjaan, Baginda SAW mengendalikan perniagaan dengan penuh amanah, tanpa mengamalkan penipuan serta bertanggungjawab semasa membantu perniagaan Saidatina Khadijah binti Khuwailid (yang kemudiannya menjadi isteri baginda).
Inilah resipi kejayaan unggul dalam kaedah bekerja yang bukan sahaja menunjukkan budi pekerti Rasulullah SAW yang mulia, bahkan telah berhasil memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada perniagaan Saidatina Khadijah.
Jelasnya, sifat amanah Rasulullah SAW ini terserlah sebagai salah satu nilai-nilai murni dalam Islam yang menjadi tunjang kejayaan dan kesempurnaan seseorang ketika bekerja. Sebagai pekerja, seseorang itu perlulah memenuhi dan mencapai matlamat-matlamat yang telah ditetapkan oleh organisasi atau majikannya. Umumnya masa, tenaga, kepakaran dan idea merupakan antara elemen yang disumbangkan oleh seseorang pekerja kepada organisasi. Begitupun, setiap sumbangan yang diberikan atau kerja yang dilaksanakan itu perlulah turut didasari oleh nilai-nilai keperibadian murni yang digariskan Islam termasuklah sifat amanah.
Dalam membicarakan tentang sifat amanah ketika bekerja, tidak dapat tidak seseorang pekerja wajib memenuhi kedua-dua amanah kepada Allah SWT dan amanah sesama manusia. Ia jelas diisyaratkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)." (Surah al-Anfal, ayat 27).
Sebagai hamba Allah yang beriman, walau sesibuk mana sekalipun kita bekerja, hak-hak kita terhadap Allah perlu dilunaskan, apatah lagi jika ianya adalah membabitkan soal amal ibadah, keislaman dan keimanan kita. Islam telah memberikan rukhsoh atau keringanan dalam hal-hal tertentu pada waktu-waktu tertentu bagi umatnya yang giat melaksanakan pekerjaan bagi memajukan diri.
Misalnya, jika seseorang melaksanakan tugas jauh di tempat lain melangkaui jarak dua marhalah, dia dibolehkan untuk menjamak dan/atau mengqasarkan solat fardhunya. Misalan ini merupakan suatu keringanan yang istimewa diberikan kepada umat Islam agar dapat terus tawaduk melaksanakan amanah untuk beribadah dan melunaskan tanggungjawab pekerjaannya. Namun, bagi segolongan daripada kita yang tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah SWT ini, jika diberikan keringanan sebanyak manapun, pasti akan sekadar 'mengambil ringan' hal-hal beribadah terutamanya yang fardu kerana kononnya terlalu fokus terhadap kerja-kerjanya.
Sesungguhnya, pekerja yang amanah dan meletakkan syariat Islam sebagai pegangan semasa bekerja akan sentiasa dilindungi oleh Allah SWT, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Empat perkara sekiranya kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa (balasan) terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: Jaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan mengawal pemakanan (halal dan haram)." Manakala pekerja yang tidak berhati-hati dalam menjaga amanah adalah tergolong dalam golongan orang-orang yang munafiq. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ada tiga tanda munafiq: Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia mungkiri dan apabila diberi amanah ia khianati (Muttafaqun 'Alaih).
nukilan neezam at 5:01 PM 0 comments
Labels: newspaper articles