Salam sejahtera ke atas kamu wahai pembaca blogku yang budiman. Aku sekadar nak berkongsi artikel yang kuceduk daripada bahagian Agama, Berita Harian, 24/3/09.
Insan bertaqarrub dijanji ganjaran, kedudukan mulia
Oleh Mohd Shukri Hanapi
SEMUA orang berkeinginan berjaya dalam setiap bidang diceburi. Cuma bentuk kejayaan itu saja berbeza. Kejayaan seorang peniaga ialah memiliki perniagaan maju, kejayaan seorang petani ialah mendapat hasil tuaian banyak dan berkualiti, kejayaan pemimpin dapat membawa orang yang dipimpin mencapai kejayaan.
Dalam mengejar kejayaan perlu mempunyai sifat positif dalam diri seperti rajin berusaha, berdisiplin, kuat semangat, sentiasa beribadat dan mempunyai sikap inginkan kejayaan cemerlang yang menebal.
Taqarrub bermaksud mendekatkan diri kepada Allah dengan sentiasa berbakti dan beramal salih tanpa rasa malas. Allah amat menyayangi dan memuliakan orang sentiasa bertaqarrub kepada-Nya.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Hadis ini menjelaskan pentingnya hubungan antara makhluk dengan Khaliqnya. Makhluk itu adalah hamba kepada Khaliqnya, manakala Khaliq pula adalah tuan kepada makhluk. Sebagai hamba, ia sepatutnya patuh dan taat kepada perintah tuannya iaitu Allah. Jika si hamba itu patut dan taat setia, nescaya Allah akan menyayangi dan memuliakannya.
Jelaslah Allah amat mencintai setiap hamba-Nya yang sentiasa patuh dan taat kepada segala perintah-Nya iaitu dengan mengerjakan semua amalan wajib, malah ditambah pula dengan bertaqarrub iaitu memperbanyak amalan dianjurkan syariat Islam. Orang mukmin sebegini amat dicintai Allah serta diangkatkan kedudukan mereka di sisi-Nya sehingga mereka sentiasa berada di bawah naungan dan pemeliharaan-Nya.
Sebenarnya dalam mendekatkan diri kepada Allah, seseorang itu hendaklah melakukannya secara berperingkat. Ia semestinya dimulai dengan mengerjakan amalan wajib iaitu fardu ain mahupun fardu kifayah kemudian barulah diikuti amalan sunat.
Hal ini samalah seperti orang yang berhutang, sudah tentu ia wajib membayar hutangnya terlebih dulu sebelum ia memberi derma atau sedekah. Amalan sunat adalah amalan sukarela daripada segala macam ibadat zahir seperti membaca al-Quran. Membaca al-Quran ini dikira setinggi-tinggi darjat taqarrub kepada Allah yang boleh dilakukan manusia.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada sesuatu taqarrub yang dikerjakan oleh hamba Allah terhadap Tuhannya, seperti apa yang keluar dari mulutnya (iaitu membaca al-Quran).” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Hadis ini menjelaskan membaca al-Quran itu akan mengangkat manusia ke darjat yang tinggi di sisi Allah kerana ia dianggap sebagai taqarrub kepada-Nya. Selain itu, al-Quran adalah kalam Allah yang menerangi hidup manusia dan memancarkan nur Ilahi ke dalam hatinya.
Saidina Usman bin Affan menyatakan, orang yang tidak membaca al-Quran itu hatinya masih kotor. Jika hati itu bersih dan suci, nescaya ia tidak akan merasa puas membaca al-Quran. Sebab itu juga, ketika beliau mati dibunuh oleh pemberontak, beliau sedang membaca al-Quran, sehinggakan darahnya mengalir di atas lembaran al-Quran itu.
Selain membaca al-Quran, kita juga boleh bertaqarrub dengan berzikir kepada Allah. Ini bertepatan hadis diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal katanya, “Aku bertanya Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, beritahulah kepada aku amalan utama yang boleh mendekatkanku kepada Allah. Baginda menjawab: Hendaklah ketika engkau hendak mati, lisanmu lembut dengan zikrullah.” (Hadis riwayat al-Bazzar)
Memang zikrullah itu suatu amal sangat dituntut syariat Islam yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh Muslim sejati. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka ingatlah Aku (berzikir) supaya Aku mengingatimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 152)
Selain dua amalan di atas, kita juga boleh bertaqarrub kepada Allah dengan mengerjakan solat dan puasa sunat. Kedua-dua amalan ini sangat digemari orang salih kerana ia adalah tambahan kepada ibadat wajib.
Jelas Allah amat menyayangi mereka yang sentiasa mengingati dan mendekati-Nya dalam apa juga dilakukan. Akhirnya mereka menjadi pilihan Allah untuk diberi ganjaran dan kedudukan mulia sebagai seorang cemerlang.
Ini menepati firman Allah yang bermaksud: “Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan-Nya. Dan mereka (yang ingkar) bergembira dengan kehidupan dunia, sedangkan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.” (Surah al-Ra‘ad, ayat 26)
Tuesday, March 24, 2009
Taqarrub? Hablum minallah...
nukilan neezam at 6:09 AM 0 comments
Friday, March 20, 2009
Mendidik Anak resam Berjiran
Baru semalam aku dok mengomel, tarak masa nak tuleh artikel anto suratkabo. alhamdulillah, harini keluar jugak. Utusan Malaysia 20 March 2009 -- http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm.
*********************************
Mendidik anak resam berjiran
PEPATAH Melayu ada menyebut: "Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat." Ia merujuk kepada kepentingan hidup bertunjangkan kemuafakatan, kesefahaman dan tolak ansur.
Nilai muafakat itu pula lebih signifikan maksudnya dalam konteks hidup berjiran kerana golongan ini merupakan antara orang paling dekat dengan kita.
Keharmonian hidup berjiran merupakan tuntutan syariat Islam. Rasulullah SAW turut bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya." (Riwayat Al-Bukhari).
Mengambil berat akan resmi hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk pada anak-anak sejak mereka kecil.
Anak-anak perlu dididik akan siapakah jiran mereka dan apa pentingnya hidup berjiran. Mereka juga perlu diberitahu bahawa jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori dan setiap kategori mempunyai hak tersendiri.
Menurut Rasulullah SAW kategori pertama ialah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak iaitu hak berjiran. Kedua ialah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak iaitu hak sebagai jiran dan juga hak sebagai saudara seagama.
Sementara ketiga, jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, yang memiliki tiga hak iaitu hak sebagai jiran, saudara Islam dan keluarga. Perbezaan hak-hak ini perlu dijelaskan kepada anak-anak.
Jika sejak kecil anak-anak dididik mengenai hak jiran, mereka akan terus menjunjung nilai murni hidup bermasyarakat seperti yang disyariatkan Islam.
Banyak perkara yang kita sebagai ibu bapa boleh terapkan kepada anak-anak berkaitan erti kemanisan hidup berjiran. Antaranya ialah:
- Menggalakkan anak-anak bersikap merendah diri, tidak sombong serta menghormati jiran.
- Menegah anak-anak daripada berburuk sangka, menimbulkan fitnah, mengumpat serta mencerca jiran tetangga.
- Memupuk budaya bertanya khabar dan menziarahi jiran terutamanya apabila mereka sakit atau ditimpa kesusahan. Namun mereka juga perlu dididik mengenai masa-masa yang tidak sesuai untuk menziarahi jiran.
- Mendidik agar 'ringan tulang' membantu jiran yang memerlukan sebarang pertolongan. Ia termasuk sokongan berbentuk material, fizikal dan moral.
- Menegah anak-anak daripada mengganggu dan merosakkan hak jiran. Misalnya membuat bising, membuang sampah atau mengambil hak milik jiran.
- Menggalakkan mereka menyertai program komuniti seperti solat berjemaah, bertadarus dan bertahlil, kendurikendara, gotong-royong dan sebagainya. Mereka perlu difahamkan mengenai keburukan bersifat seperti 'kera sumbang'.
- Setiap masalah perlu diselesaikan mengikut syariat dan tidak diperbesar-besarkan sehingga menjadi kronik. Sifat berdendam juga perlu dibuang dan disemarakkan dengan sifat bertolak ansur dan mudah memaafkan.
Apa yang lebih penting adalah ibu bapa sendiri perlu menunjukkan teladan terbaik kepada anak-anak dalam hal kehidupan berjiran.
Sekiranya kita sendiri bermasam muka, bermusuhan dan sering mengasingkan diri daripada bertemu atau menegur sapa jiran tetangga, tidak hairanlah jika anak- anak turut berbuat sedemikian.
Janganlah kita hanya sedar kepentingan hidup berjiran setelah kita berdepan dengan ujian yang memerlukan kita menagih bantuan mereka.
********************************
p/s: cakap pasal jiran..haaa ada jadi satu kes antara aku dengan jiran aku kat apartment UniMews baru-baru ni. Nak citer... panjang sangat nak kena taip, hehe. so, cuba anda rujuk cerita tu di website bini aku -- http://www.julieluvneezam.blogspot.com.
nukilan neezam at 7:33 AM 0 comments
Labels: newspaper articles
Thursday, March 19, 2009
Takde Tajuk
salam. lama sungguh tak berkarya dan menulis kat blog sendiri. Rindu, sapa kata tak rindu untuk menulis dan mendapatkan response dari khalayak atas hasil penulisan aku. Bukan sekadar sudah tidak menulis kat blog sendiri, aku pun dah tak hantar apa-apa artikel ke suratkabo, mahu pun artikel bersifat akademik ke mana2 yang patut.dulu, rajin bebenor, sekarang bukan kerana malas, tapi kerana masa dan fokus yang perlu diberikan pada PhD writing.
Sekejap dulu, jadi habit aku, kalau ada isu semasa yang aku rasa terpanggil nak bagi komen, hah aku hujahkan dalam bentuk artikel ke suratkabo. Dulu aku dengan ayah aku seakan-akan berlumba-lumba, sapa punya artikel akan keluar suratkabo. sekarang ayahlah pemenangnya saban minggu setiap Rabu, sebab dia memang dah jadi penyumbang tetap artikel ke Berita Harian (sisipan Skor--Bahasa Malaysia kertas 2). Aku? selalunya selalu berkira-kira untuk duduk depan laptop dan curahkan segala idea macam dolu-dolu..tapi selalu jugaklah terbantut hasrat tu kerana macam2 sebab. Niesreena kacolah, bini kacolah, mengantuklah, dan alasan paling signifikan...musti fokus pada research writing aku dulu!
ramai jugak kawan2 tanya, mengapenye dah malas nak menulis kat paper? orang suratkabo pun ade pernah e-mel mohon teruskan menulis, tapi enche2 dan puan2, aku kena tunjuk yellow atau red light dulu buat waktu ni..nanti dah selesai MISI AGUNG aku kat Melbourne ni, barulah aku cuba sedaya upaya kongsikan idea2 (yang selalunya kurang atau tak bernas) dengan khalayak. Atau kalo dapat aku curik2 jugak masa..pasti terselit jugaklah artikel aku kat suratkabo sebulan-dua ni, Insya Allah.
Ni kepala aku semacam ada 3-4. satu memikirkan hal belajo ni, satu memikirkan hal Julie nak bersalin (dan segala macam yang bersangkut paut seperti kelengkapan baby, insurans, hospital, makan pakai julie masa bersalin nanti), keletah Niesreena, hal ehwal famili besar di Desa Bundoora, dan beberapa lagi. Pun begitu, di sebalik pening-pening lalat mentadbir kesemua ini, aku bersyukur Allah SWT bagi aku kekuatan mental dan fizikal untuk terus tabah mengharungi hidup. Syukur paling tak terhingga pada Allah kerana dikurniakan isteri yang sangat2 memahami, sangat2 kuat menyokong, dan sangat2 kuat semangatnya, yang sentiasa berada di samping aku. Kami ketawa sama2,menangis pun sama2. Bersyukur jugak dikurniakan mak ayah yang menyokong sepenuhnya dari jauh.
Bulan 5 ni Julie Insya Allah bersalin. Dek kerana 'management' kami kurang bijak (boleh baca blog julie kalo nak tau apekemendenya-- julieluvneezam.blogspot.com), maka kami takde pilihan lain selain 'bersalinkan' julie di private hospital. Takpelah, takde beza sangat pun bayarannya dengan public hospital kat Melbourne ni. Aku dah tengok harganya lebih sikit2 je, tupun Insya Allah insurance akan cover, dan aku kena tampung sedikit sebanyak jelah gap nya. Yang bagusnya, spital tu sekadar 1 kilometer je dari apartment kami, selesa kelihatannya, nurse pon lawo2 (;p), harap2 dipermudahkanlah segala urusan berkaitan usaha 'bersalinkan' Julie ni nanti. Harap2 semuanya selamat dan sejahteralah gayanya.
Niesreena? ntah, aku tak tau nak mintak tolong sapa tengokkan dia masa hari Julie bersalin. Ade aje kawan2 yang sudi nak membantu tengok2kan Reena, tapi aku segan. Tapi tengoklah nanti, kot2 aku tak cukup tangan, akan aku mintak jugak bantuan kawan2 kat Desa Bundoora ni.
mak ayah pun akan datang Insya Allah ujung bulan 5, sementelah diorg cuti sekolah (dah tua-tua pun gi sekolah lagi kan? kesian..tula sapa suruh jadi cekgu? hehehe...jangan marah mak, ayah..), so dapatlah diorg spend masa dalam 2 minggu tengok cucu baru (bukan menantu baru eh?)dan cucu lama di Melbourne ni.
Alhamdulillah, dalam sebuk2 aku tadbir hal rumah tangga, progress study aku pun aku rasa makin oke. Aku tabik spring pada satu-dua kawan aku yang mampu habiskan phd less than 3 years atau solid 3 years. tapi aku rasa aku tak mampu, dan aku tak mahu nak habis cepat2. aku nak capai target2 sampingan aku sementelah ada di Melbourne ni. Aku nak present beberapa paper hasil research aku, dan nak hasilkan outcome yang bagus dalam thesis. thesis aku ni aku yakin mampu jadi bidang kepakaran aku, bila aku balik Malaysia habis belajo nanti..insya allah..itu harapan aku. Bukan nak banyak kali amek PhD (tobat tak amek lagi..hehe), so naklah hasilnya berkualiti betul. kalo tak berkualiti di mata orang, at least satisfy my own aims sudahlah ye tak? aku pun belum puas 'bergelumang' dengan supervisors aku lagi (macam negatif aje bunyi gelumang tu kan? ;p). Aku nak korek sekorek-koreknya apa ilmu yang diorg ada. Biar diorg menyesal ada student phd macam aku (kuat korek?).
Ya Allah, berikanlah aku kekuatan dan kemampuan untuk terus jalani hidup di dunia ini. Lorongkanlah aku ke arah kejayaan dunia dan akhirat...amin.
nukilan neezam at 12:41 PM 0 comments
Labels: ngocoh di alam maya
Sunday, February 15, 2009
Konsep kumpulan kecil dari perspektif Islam dan pengurusan sumber manusia
Salam semua. Ini salah satu daripada artikel aku yang termuat dalam buku yang aku sendiri edit semasa di USIM. Bukannya apa, aku tengok kat search engines, ramai orang nak tau tentang konsep kumpulan dalam bekerja/di tempat kerja. so inilah dia hasil idea aku untuk dikongsi, diperbaiki dan diaplikasikan bersama-sama semua.
KONSEP DAN NORMA KUMPULAN KECIL
Khairunneezam Mohd Noor
1.0 Pendahuluan
Pepatah Melayu ’bagai lidi seberkas’ begitu sinonim dengan pemerihalan konsep kumpulan. Secara eksplisitnya, sebatang lidi begitu mudah untuk dipatah-patahkan. Namun tidak pula bila sebatang lidi itu digabung dengan batang-batang lidi yang lain hingga menjadi seberkas, membuatkannya lebih padu, lebih mantap dan sukar sekali untuk dipatahkan. Begitulah jua secara implisitnya bagi mengumpamakan satu kumpulan. Usaha seorang individu mencapai satu-satu objektif tidak mungkin sebaik atau setanding sekumpulan individu yang saling bekerjasama dan bantu-membantu ke arah matlamat yang dikongsi bersama.
2.0 Konsep Kumpulan Kecil
Telah menjadi lumrah di dalam kehidupan kita untuk menjadi salah seorang warga sesebuah kelompok atau sekumpulan manusia. Misalnya menjadi ahli Rukun Tetangga di dalam kawasan kejiranan, salah seorang pemain dalam pasukan sepak takraw universiti, pekerja di Jabatan Sumber Manusia di dalam sebuah kilang, Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, ahli dalam study group, dan sebagainya. Tidak kira apa fungsi kita di dalam kumpulan, sama ada menjadi pengikut atau ketua, ahli aktif atau pasif, banyak memberi idea atau banyak menerima idea, yang pentingnya matlamat kumpulan dikongsi dan dihayati bersama oleh semua ahlinya. Goldhaber (1993) menyatakan bahawa seseorang individu itu menyertai kumpulan untuk memenuhi tuntutan keperluan tertentu seperti keperluan keselamatan, sosial, ego, kesempurnaan kendiri dan sebagainya.
Kumpulan ditakrifkan sebagai sekumpulan ahli yang mengakui kewujudan setiap ahli yang lain sebagai sebahagian yang penting di dalam kumpulan (Lewin dalam Goldhaber, 1993). Definisi kumpulan kecil oleh Gibb dan Gibb (1972) pula adalah sebilangan manusia yang berkomunikasi dalam jangka masa yang agak panjang dan jumlahnya tidak terlalu ramai agar setiap orang boleh berkomunikasi dengan setiap yang lain secara bertemu muka dan tidak melalui orang lain. Szilagyi dan Wallace (1987) menyifatkan sebuah kumpulan kecil sebagai segolongan individu yang mempunyai hubungan sesama sendiri dan menjadikan mereka saling bergantungan. Pepper (1995) memperincikan kumpulan kecil sebagai sebilangan orang yang terhad, lazimnya kurang daripada 7 orang, yang mempunyai interaksi peribadi dalam jangka masa yang agak lama dan mempunyai persamaan kepentingan yang biasanya dilahirkan dalam bentuk satu matlamat yang dipersetujui bersama. Takrifan oleh Johnson dan Johnson (2006) tentang kumpulan kecil adalah seperti mana berikut:
”A social unit which consist of a number of individuals who stand in (more or less) a definite status and role relationships to one other and which possesses a set of values or norms of its own regulating the behaviour of individual members, at least in matters consequence to he group.”
Fisher dan Ellis (1990) mentafsirkan kumpulan sebagai:
“…beberapa saja bilangan manusia yang terlibat dalam interaksi antara sesama mereka atau dalam beberapa pertemuan dan perjumpaan di mana setiap anggota membuat pandangan atau tanggapan tertentu tentang satu sama lain supaya andai kata pada waktu itu atau bila-bila masa kemudian mereka ditanya, mereka akan dapat memberi gambaran tentang setiap anggota lain walaupun hanya dengan mengingati bahawa mereka itu telah hadir bersama.”
Jelas sekali daripada definisi-definisi kumpulan kecil ini, ia merangkumkan satu penghuraian yang similar dan berkait rapat dengan interaksi atau komunikasi yang tekal di antara ahli-ahli dalam satu-satu kumpulan kecil. Ini termasuk aktiviti mempengaruhi, memberikan maklumat dan mesej, berkongsi maklumat dan mesej, dan memberi maklum balas. Kumpulan kecil bersifat dinamik yang sepanjang masa perlu dipelihara pola kebergantungan antara ahli-ahlinya satu sama lain. Beberapa resolusi tentang apa yang difahami berkenaan kumpulan kecil boleh digagaskan sebagaimana berikut:
1. individu dalam kumpulan kecil mempersepsikan diri masing-masing sebagai mempunyai matlamat yang similar;
2. wujudnya jaringan komunikasi;
3. menampakkan ciri-ciri kebergantungan antara satu sama lain daripada aspek tugasan dan hubungan;
4. muncul struktur peranan dan hubungan yang jelas dalam kumpulan;
5. wujud perkongsian norma di antara ahli-ahli; dan
6. semua ahli mempersepsikan diri mereka berada dalam satu unit atau kesatuan atau kepautan.
3.0 Teori-teori Kumpulan Kecil
Oleh kerana peri pentingnya aktiviti dan kejelekitan yang wujud dalam sesebuah kumpulan kecil, banyak tanggapan dan hipotesis yang seringkali diuji dan dibuktikan oleh para pemikir dan ahli falsafah pelbagai bidang berkaitan dengan tingkahlaku kumpulan kecil. Hasil ujikaji ke atas norma dan nilai dalam sesebuah kumpulan kecil, maka terdapat banyak teori yang wujud dan membentuk school of thought dan pengikutnya yang tersendiri. Terdapat lima teori kumpulan kecil yang masyhur yang terbahagi kepada dua dimensi. Pertama, teori yang terfokus kepada individu dalam kumpulan iaitu Field Theory, Sociometric Theory dan Psychoanalytic Theory. Kedua teori yang terfokus kepada kumpulan iaitu Interactionist Theory dan System Theory. Untuk tujuan perbincangan, hanya Field Theory mewakili fokus individu dan System Theory mewakili fokus kumpulan.
3.1 Field Theory
Individu dianggap sebagai fokus pemerhatian tingkah laku di dalam Field Theory ini yang dipelopori oleh Kurt Lewin. Menurut Lewin, kajian terhadap tingkah laku sesuatu kumpulan perlu didasarkan dahulu kepada tingkah laku setiap satu ahli-ahlinya (Schultz,1996). Seseorang ahli kumpulan perlu mengetahui dan menilai pengalaman mereka dan mencari persamaan pengalaman dengan ahli yang lain. Dengan cara ini tingkah laku kumpulan dapat dikaji dan dilihat lebih jelas dan ahli-ahli dalam kumpulan dapat belajar dengan lebih baik dan berkomunikasi dengan lebih efektif. Lewin mengadaptasi konsep-konsep sains fizik ke dalam teori ini. Beliau mengandaikan tingkah laku perlu dilihat sebagai fungsi karektor seseorang individu dan seterusnya karektor persekitaran (seperti ciri-ciri kumpulan, interaksi ahli-ahli, dan keadaan dalam kumpulan) dan ia dipanggil Lewin sebagai ruang lingkup kehidupan (lifespace).
Lewin percaya bahawa seseorang berkongsi ruang dengan orang-orang lain dalam gelanggang atau lapangan yang sama. Dalam ruang lingkup kehidupan ini, setiap orang mempunyai keperluan dan matlamat tertentu. Dan ke arah pencapaian matlamat, masing-masing berhadapan dengan halangan tertentu, dan untuk itu individu perlulah belajar mengatasi halangan tersebut dengan cara mungkin mengubahsuai matlamat, atau mengubah ruang lingkup kehidupan mereka. Begitu jugalah prinsipnya dalam kumpulan kecil di mana setiap ahlinya berkongsi ruang lingkup kehidupan bersama-sama dan bersifat saling perlu-memerlukan untuk mencapai matlamat mereka.
Kumpulan dipengaruhi oleh kehendak ahli-ahlinya dan dalam masa yang sama ahli-ahli dipengaruhi standard yang wujud dalam kumpulan. Dari gambaran inilah terbentuk konsep-konsep yang menunjukkan sifat sesuatu kumpulan dan ahli-ahlinya iaitu:
a. norma (norms) - prinsip tingkah laku yang perlu ditunjukkan semua ahli secara seragam
b. peranan (roles) – posisi seseorang ahli pegang dalam kumpulan
c. kuasa dan pengaruh (power and autonomy) – jenis dan tahap kawalan yang dimiliki ahli
d. kesepaduan (cohesion) – kejelekitan antara ahli kumpulan
Misalannya, sekumpulan 10 pelajar yang diletakkan dalam sebuah kelas yang sama (lifespace) akan bermula dengan setiap individu mempunyai kehendak dan matlamat tersendiri. Setelah saling berinteraksi dan mencari sebanyak mungkin persamaan dengan individu-individu yang lain, maka norma, dan kesepaduan akan mula terbentuk dan berkembang. Kemudian, kesemua ahli dalam kelas akan mula mengiktiraf peranan ahli-ahli tertentu yang menyumbang kepada realisasi kehendak dan matlamat umum. Pada masa yang sama kuasa dan pengaruh juga akan muncul dari kalangan ahli yang dominan dalam lifespace ini.
3.2 System Theory
System Theory cuba mengasaskan andaian bahawa sesuatu kumpulan itu perlu dilihat secara keseluruhan dan tidak perlu dibuat analisis yang mendalam terhadap satu persatu ahli-ahlinya. Pelopor kepada teori ini adalah Fisher dan Ellis (1990) yang menggagaskan sesebuah kumpulan kecil itu ibarat sebuah sistem. Sistem ini didokong oleh beberapa komponen seperti kebergantungan ahli, keterbukaan kumpulan, input, proses, output dan maklum balas. Komponen-komponen ini membantu dalam menilai bagaimana satu-satu kumpulan menetapkan matlamat, berusaha merealisasikan matlamat melalui kerjasama ahli-ahli, membuat keputusan untuk tindakan ahli-ahli, dan kadar maklum balas ahli terhadap kesemua proses yang telah dilaksanakan untuk penambahbaikan.
a. Kebergantungan ahli
Komponen ini dianggap oleh Fisher dan Elli sebagai konsep wholeness (kesatupaduan). Wholeness adalah sifat di mana setiap komponen dalam sesebuah sistem mempengaruhi dan dipengaruhi oleh semua komponen yang lain. Ini bermaksud, terganggunya salah satu komponen dalam sistem, maka terganggu jualah keseluruhan sistem walaupun pada tahap minimum. Umpama sistem sebuah kereta, berlaku keadaan sub sistem seperti tayar yang tiba-tiba pancit. Walaupun komponen-komponen yang lain masih beroperasi dengan baik, tapi keseluruhan sistem tersebut terjejas kerana matlamat perjalanan yang lancar telah terganggu. Tidak mungkin sub sistem yang lain dalam kereta tersebut boleh meneruskan matlamat mereka tanpa tayar yang pancit itu.
b. Keterbukaan kumpulan
Para sarjana mencadangkan bahawa sebagai pelengkap kepada komponen kebergantungan, kumpulan kecil juga perlu dilihat daripada aspek sempadannya. Ia bermaksud sama ada ianya adalah sistem yang terbuka atau tertutup yang bertujuan melihat bagaimana kumpulan itu berfungsi. Misalannya, sistem anggota badan manusia boleh dianggap sebagai sistem terbuka. Pertumbuhan dan perkembangannya tidak bersifat mutlak tanpa sokongan elemen-elemen luar seperti air, makanan dan udara. Begitulah keadaannya dengan sistem keterbukaan kumpulan. Jika sifatnya terlalu tertutup bermaksud ia menolak segala kejanggalan dan pembaharuan dari luar. Tujuannya nampak positif iaitu menjaga norma dan ciri-ciri semua ahli. Namun, impaknya adalah tiada perkembangan yang sihat berlaku bukan sahaja terhadap kumpulan malah terhadap setiap ahlinya juga. Misalannya, sekumpulan peniaga makanan ala kampung yang tidak mahu mencuba resipi berciri kebaratan seperti Spaghetti, Tortilla, atau Beefstick. Walhal banyak kumpulan peniaga lain yang telah berjaya melipatgandakan keuntungan dengan kaedah baru yang diminati pelanggan masa kini. Inilah contoh peniaga yang mengamalkan sistem tertutup dan peniaga yang mengamalkan sistem terbuka.
c. Input, proses dan output
Apa yang dikatakan sebagai input adalah komponen seperti sumber-sumber ahli kumpulan (contohnya kebolehan, kepakaran, kehendak untuk bekerja, kemampuan menilai matlamat), tugas yang sedang dilaksanakan, matlamat yang disasarkan, hubungan yang telah dibina antara ahli kumpulan, dan hubungan kumpulan dengan persekitaran luar.
Bila kumpulan memilih prosedur atau tatacara tertentu yang akan mereka patuhi, mereka sedang melaksanakan komponen proses. Bagaimana kumpulan memilih prosedur ditentukan oleh standard pelaksanaan dan penerimaan ahli-ahli (norma kumpulan). Input-input dicerna dan diterjemahkan dalam bentuk proses. Misalnya kebolehan seorang ahli dalam memimpin membolehkannya menjadi ketua kumpulan; matlamat yang disasarkan diteguhkan dengan persefahaman antara ahli kumpulan; dan persekitaran luar dijadikan alat untuk membantu ahli melaksanakan tugas.
Output merujuk kepada apa yang dihasilkan oleh kumpulan atau produk akhir kumpulan tersebut. Di dalam komponen ini, persoalan yang perlu dijawab adalah apakah satu-satu kumpulan dapat menghadapi, menyelesaikan dan membuat penambahbaikan terhadap satu-satu permasalahan? Melalui output juga dapat dilihat sama ada komponen input dan proses diaplikaskan sebaik mungkin. Dan akhirnya melalui output juga ahli-ahli selalunya dapat merasakan kepuasan berinteraksi sesama ahli lain dalam kumpulan dan kepuasan terhadap pencapaian kumpulan.
d. Maklum balas
Maklum balas adalah komponen pelengkap kepada System Theory di mana ia adalah satu proses memberi respon yang positif atau negatif terhadap sesuatu tindakan. Maklum balas positif memberi maksud untuk meneruskan hasil kerja yang baik. Manakala maklum balas negatif bermaksud, perlu ada pembetulan atau penambahbaikan yang serius terhadap komponen-komponen sebelumnya seperti kebergantungan ahli, keterbukaan kumpulan, input, proses dan output.
4.0 Ciri-ciri Kumpulan Kecil
Terdapat beberapa ciri-ciri yang wujud dalam sesebuah kumpulan kecil, antaranya:
4.1 Saiz Kumpulan
Bilangan ahli kumpulan kecil yang ideal adalah di antara tiga hingga sepuluh orang (Koehler, 1997). Ini adalah kerana bilangan seperti ini akan mewujudkan dan merapatkan interaksi antara ahli dan juga memudahkan untuk mendapat sesuatu persetujuan yang absah dalam membuat keputusan. Johnson dan Johnson (2006) mengutarakan pendapatnya berkaitan saiz satu-satu kumpulan kecil sebagaimana berikut
“Most researchers define a small group as having at least three and no more than twelve or fifteen members. A group needs to have at least three members, otherwise it would simply be a dyad. With three members, coalitions can be formed and some kind of organization is present. Too large of a group (more than twelve or fifteen members) inhibits the group members' ability to communicate with everyone else in the group.”
Schultz (1996) memberikan pendapat yang cukup bernas tentang saiz sesuatu kumpulan kecil, iaitu:
“…a group large enough for a variety of views to be shared but small enough for people to be able to talk to each other.”
4.2 Ikatan yang Padu
Kekerapan pertemuan dalam mesyuarat misalannya atau melaksanakan sesuatu tugas secara bersama-sama akan dapat menjalinkan ikatan yang padu dan wujudnya interaksi yang bermutu. Menurut Baskin dan Aronoff (dalam Pepper, 1995) komunikasi dalam kumpulan akan menjadi tenaga yang menggalakkan ahli kumpulan merasakan diri mereka adalah sebahagian anggota yang bersatu padu dalam kumpulan tersebut.
4.3 Tahap Interaksi
Kebanyakan pakar komunikasi memekankan dalam penulisan mereka tentang kepentingan interaksi bersemuka (face to face). Ini adalah kerana intipati penyampaian maklumat secara bersemuka itu lebih tinggi nilai intrinsic dalam elemen enkod-dekod (penyampaian dan penerimaan mesej) jika dibandingkan dengan aplikasi saluran dan penghubung komunikasi berteknologi seperti e-mail, voice mail, ruangan sembang siber, telefon, dan sebagainya. Kemampuan untuk berbual bersama-sama atau interaksi secara verbal, membuatkan idea dapat disampaikan dan reaksi diterima secara langsung bersama-sama ekspresi wajah dan bahasa pergerakan tubuh badan. Inilah tahap yang diharapkan dapat wujud dalam sesebuah kumpulan kecil.
4.4 Kepautan (Cohesiveness)
Kepautan adalah suatu tahap di mana warga kumpulan tertarik antara satu sama lain dan tertarik kepada kumpulan secara keseluruhannya. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kepautan ini:
a. Komunikasi – melalui komunikasi, kesamaan dan minat yang sama dikongsi dan dikembangkan sesama ahli kumpulan. Kumpulan yang mana warga atau ahli-ahlinya dapat berkomunikasi dengan telus dan terbuka adalah lebih kuat sifat kepautannya.
b. Pengasingan – pengasingan fizikal daripada kumpulan lain dapat meningkatkan tahap kepautan. Nilai kepautan akan menurun jika ahli-ahli kumpulan tidak mengenali antara satu sama lain secara jelas, dan tidak dapat membezakan di antara identiti kumpulan mereka dengan kumpulan-kumpulan yang lain.
c. Ancaman/tekanan luar – kumpulan yang sentiasa mendapat ancaman atau tekanan daripada pihak luar selalunya lebih terpaut. Ia adalah kerana ahli-ahli kumpulan mendapat nasib yang sama dan akan saling bergantungan dan bersatu padu untuk menghadapi atau mengekang ancaman luar. Perbezaan peribadi dapat dikurangkan apabila masing-masing ahli menurunkan kadar ego diri demi kepentingan bersama.
d. Produktiviti – wujud hubungan yang sangat rapat di antara produktiviti dengan kepautan. Jika terlalu tinggi atau terlalu rendah darjah kepautan ahli-ahli dalam kumpulan, maka rendahlah tahap produktiviti mereka. Ini bermaksud, kepautan yang ingin diwujudkan perlulah bersifat optimum (tidak boleh terlalu terpaut atau terlalu renggang) supaya tahap produktiviti kerja dan tugas ahli-ahli kumpulan sentiasa tinggi.
4.5 Energetic Resolution
Kerjasama mencapai resolusi oleh semua ahli kumpulan dan kemudian menyetujuinya adalah salah satu unsur penambah kolektiviti dan produktiviti kumpulan.
4.6 Matlamat yang dipersetujui bersama
Setiap ahli kumpulan hendaklah mengetahui dan menetapkan matlamat yang dikongsi bersama supaya proses komunikasi dengan berkesan dapat dilaksanakan. Contohnya dalam usaha memproses maklumat untuk menyelesaikan masalah dan pembuatan keputusan kumpulan.
4.7 Unsur pengaruh-mempengaruhi
Bila berinteraksi semua ahli akan mempengaruhi sama ada secara langsung atau tidak tingkah laku, tanggapan dan respon ahli-ahli lain. Tidak kira bagaimana reaksi ahli-ahli, membantu atau buat tidak tahu, aktif atau pasif, positif atau negatif, ia tetap satu bentuk pengaruh terhadap perilaku ahli-ahli lain. Sesiapa yang dapat memberikan pengaruh yang bersifat dominan terhadap ahli-ahli lain, maka dia akan lebih diberikan autonomi terutamanya dalam usaha membuat keputusan oleh kumpulan tersebut.
4.8 Peranan Anggota Kumpulan
Individu dalam kumpulan mempunyai peranan tertentu dalam menggerakkan dinamika kumpulan. Misalannya di dalam suatu kumpulan ada yang memegang watak pemimpin, pengikut, moderator dan sebagainya. Bak kata pepatah, bagai aur dengan tebing, saling bantu-membantu dan perlu-memerlukan. Siapa yang berada di tampuk kepimpinan perlu bijak mentadbir, mengawal dan mengorganisasi hala tuju kumpulan dan ahli-ahlinya. Pengikut pula perlu akur setiap dasar resolusi yang telah dipersetujui. Pengikut juga harus menegur kepimpinan sekiranya wujud kesilapan atau sebarang perkara yang boleh menjejaskan keharmonian kumpulan.
5.0 Kelebihan dan Kekurangan Kumpulan Kecil
Kelebihan kumpulan kecil sudah tentulah akan dibandingkan dengan konsep individu. Kumpulan kecil biasanya akan menggagaskan unsur kepelbagaian penghasilan idea. Kumpulan kecil dapat meningkatkan iltizam seseorang individu kerana sifat ego dalam diri ahli-ahli mewujudkan persaingan yang sihat di dalam kumpulannya. Pemikiran secara individu atau bersendirian mewujudkan idea bersifat optimum, tetapi pemikiran secara berkumpulan mencambahkan idea yang bersifat kreatif dan kritis hasil sumbangan semua ahli kumpulan. Di dalam kumpulan akan wujud konsep-konsep seperti dominant talker, status apprehension, centric communication, idea brainstorming, steering committee dan sebagainya yang bersifat membina dan mewujudkan nilai-nilai progresif dalam kumpulan tersebut. Selain itu kumpulan akan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik dan konstruktif serta mewujudkan kepuasan yang lebih tinggi dalam pencapaian matlamat dan penyelesaian masalah.
Walau bagaimanapun, jika ada banyak kebaikan pasti juga ada disertai dengan beberapa kekurangan. Penerimaan keputusan secara terpaksa oleh beberapa individu dalam kumpulan adalah biasa berlaku. Keadaan sebegini timbul jika keputusan majoriti dicapai dalam kumpulan tersebut dan semua ahli perlu mempersetujuinya. Selain daripada itu, kumpulan juga akan mengambil masa yang agak lama menyelesaikan masalah berbanding secara individu. Dalam menyelesaikan satu-satu masalah, pasti semua ahli ingin memberikan pendapat. Pendapat itu kemudiannya dianalisis dan dibincangkan serta akhirnya satu resolusi dicapai. Berbeza dengan individu yang terus memberikan resolusi penyelesaian masalah tanpa perlu diperdebat dan dibincang panjang lebar. Ini dinamakan sebagai darjah keefisienan yang ternyata rendah bagi kumpulan berbanding individu.
6.0 Konsep Kumpulan dalam Islam
Dalam Islam konsep kumpulan adalah konsep yang murni yang sangat releven dan sesuai diaplikasikan dalam mewujudkan keharmonian sesama ahli dalam kumpulan. Sebagai misalannya kumpulan usrah atau kumpulan perbincangan berkaitan hal-hal ibadah, tauhid, dakwah islamiyyah dan sebagainya. Islam menggariskan beberapa panduan atau perkara tunjang dalam rukun ikatan atau susunan usrah yang jelas menggambarkan banyak persamaannya dengan konsep kumpulan konvensional yang digagaskan barat:
1. Perlunya berkenalan antara satu sama lain dalam kumpulan. Ini bertujuan memupuk semangat ukhwah (persaudaraan) serta berkasih sayang.
2. Perlunya persefahaman. Agama itu nasihat dan sikap nasihat-menasihati itu sangat digalakkan dalam kumpulan.
3. Wujudnya tanggungjawab perseimbangan melalui amalan ’caring’ dan memelihara sesama sendiri (takaful). Amalan ziarah-menziarahi misalannya meneguhkan semangat persaudaraan kumpulan.
4. Wujud tanggungjawab menghadirkan diri ke pertemuan-pertemuan yang telah dijadualkan oleh kumpulan (misalnya untuk membendung kesulitan dan bermuzakarah).
6.1 Mendapatkan Keredhaan Allah SWT
Sesebuah kumpulan secara dasarnya juga perlu meletakkan unsur mendapatkan keredhaan Allah SWT sebagai matlamat utama kumpulan Ini selaras dengan Rububiyyah, konsep yang menerangkan sifat Allah SWT sebagai penguasa alam maya ini. Allah SWT yang berkuasa membuat peraturan untuk mengarah, mengawal dan mentadbir manusia supaya menjadi sempurna dan sejahtera. Firman Alah SWT, maksudnya:
"Hai sekalian manusia, bertakwalah kamu kepada Rabb kamu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu"
Surah An Nisa’: 1
Rasionalnya, setiap ahli dalam sebuah kumpulan kecil perlu sedar bahawa tanpa izin dan keredhaan-Nya, maka segala apa pun yang dirancang, dilaksana dan diharapkan tidak akan dapat dijadikan kenyataan. Jika matlamat dan pelaksanaan sesuatu itu didasari oleh niat dan perlakuan yang negatif atau pun menyimpang, maka penyudahan yang buruk dan negatif jualah yang akan menjadi padah di akhirnya. Ia selaras dengan Firman Allah SWT, maksudnya:
"Telah jadi nyata bahawa kerosakan di dunia (darat dan laut) disebabkan oleh perbuatan manusia; dengan itu Allah menjadikan mereka merasa sebahagian daripada akibat perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar".
Surah Al-Rum: 41
6.2 Amar makruf, nahi mungkar
Sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, tidak lain dan tidak bukan manusia perlulah mengimarah dan memakmurkan dunia ini dengan melaksanakan apa yang dikatakan sebagai ‘amar ma’ruf, nahi mungkar’ (memperbanyakkan amalan yang baik dan menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan kemungkaran). Islam mewajibkan pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar untuk menjaga keseimbangan masyarakat dan menjauhkannya dari kesesatan dan kejatuhan. Allah s.w.t berfirman:
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang–orang yang beruntung"
( Surah Ali Imran: 104)
Di dalam sesebuah kumpulan kecil, pasti luas ruangnya untuk setiap ahli saling bantu-membantu dan tegur-menegur ke arah kebaikan. Mana ahli yang celik dan berpengetahuan membimbing ahli-ahli lain yang terleka atau tersasar dari landasan sebenar seperti mana kata orang tua-tua ‘yang mana tertidur mari dikejutkan, yang mana berkhayal mari disedarkan, yang mana matanya buta mari dipimpinkan’. Dengan berpegang teguh kepada konsep amar makruf nahi mungkar ini, pasti keharmonian dalam sesebuah kumpulan kecil dapat dikekalkan. Tiada pecah belah atau konflik melampau berlaku dek kerana wujudnya mekanisme kawalan yang berasaskan keredhaan Allah SWT ini.
6.3 Hubungan ahli kumpulan yang teguh
Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Konsep kemuafakatan dalam masyarakat secara umumnya dan dalam kumpulan kecil secara khususnya adalah satu penjana yang melestarikan kesinambungan hubungan yang sihat dan murni di kalangan ahli-ahli. Apabila memperkatakan tentang hubungan ahli-ahli kumpulan, kita perlu kembali kepada kenyataan bahawa berdasarkan Islam sesuatu hubungan adalah terbahagi kepada dua iaitu hubungan manusia dengn Allah SWT dan hubungan manusia sesama manusia (hablum minallah, wahablum minannas). Rasululah SAW sendiri berusaha sepenuhnya meneguhkan hubungan sesama manusia semasa pembentukan kerajaan Islam di Madinah. Baginda membahagikan hubungan sesama mausia itu kepada dua:
a. Hubungan umat Islam sesama mereka, dan
b. Hubungan umat Islam dengan bukan Islam, dalam usaha menyebarluaskan dakwah Islamiyyah dan fahaman yang jelas tentang Islam.
Berdasarkan kepada hubungan yang digagaskan oleh Rasulllah SAW ini, jelas bahawa selain daripada hubungan manusia dengan Pencipta yang maha kuasa, hubungan sesama manusia yang murni menjadi asas utama dalam pembentukan Negara Islam yang kukuh bentengnya dari aspek fizikal, emosi, rohani dan jasmaninya. Ironi usaha Rasulullah SAW ini kepada sesebuah kumpulan adalah betapa pentingnya setiap ahli untuk berpegang kepada tali persaudaraan dan perhubungan sesama mereka dan sentiasa menyuburkan kemurnian perhubungan tersebut umpama air yang dicincang tak akan putus. Dengan berpandukan kepada ajaran Islam dan ketaqwaan kepada Allah SWT, pasti sesebuah kumpulan itu akan sentiasa mantap dan tidak akan berkrompomi terhadap sebarang persengketaan dan perpecahan. Firman Allah SWT maksudnya:
"Berpegang teguhlah dengan tali (agama) Allah bersama-sama dan janganlah pula berpecah belah".
(Surah Ali Imran: 103)
6.4 Kekuatan sesebuah kumpulan
Sayid Sabiq pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin ada mengagaskan bahawa untuk sesebuah masyarakat Islam berjaya mereka perlu mempunyai 7 jenis kekuatan (http://members.tripod.com/lamanqs, 2001). Kekuatan-kekuatan yang dinyatakan oleh Sayid Sabiq ini sebenarnya sangat relevan untuk dilaksanakan oleh kumpulan kecil. Kekuatan-kekuatan tersebut adalah sebagai mana berikut:
a. Kekuatan Akidah – Ianya adalah keimanan mutlak kepada Allah
b. Kekuatan Ilmu - Ilmu merupakan sumber utama penegak peribadi manusia, penyingkap hakikat kewujudan sesuatu benda/perkara di alam nyata.
c. Kekuatan Budi Pekerti - Ianya dengan cara menyucikan jiwa sehingga dapat berkembang di atas jalan yang lurus menuju ke arah kemuliaan dan keluhuran rohani.
d. Kekuatan Ekonomi – Berusaha memperolehi kekayaan, kemakmuran bumi, dan mengambil kemanfaatan dari sumber alam.
e. Kekuatan Ikatan Masyarakat (kumpulan) - Usaha menggerakkan masyarakat di atas dasar kemerdekaan, keadilan, kesamarataan, mengikut syariat Islam, bekerja kuat, pergaulan yang baik dan undang–undang yang adil.
f. Kekuatan Susunan Perdamaian - Pelaksanaan perdamaian yang berteraskan kepada hormat–menghormati antara sesama manusia, menjamin hak manusia dan melindungi semua perjanjian.
g. Kekuatan Jihad - Memberi pengorbanan nyata demi membela hak umat sejagat dan hak Islam, serta memperolehi kehidupan yang merdeka dari segi pemikiran dan tingkah laku.
7. Kesimpulan
’Muafakat membawa berkat’, ’yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing’, dan ’hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’ adalah peribahasa Melayu yang cukup cantik menterjemahkan apa yang diharapkan berlaku dalam satu-satu kumpulan kecil. Dalam sesebuah kumpulan kecil, setiap ahlinya perlu sedar bahawa mereka memainkan peranan dalam menggerakkan hala tuju yang dikongsi bersama dan mencapai matlamat yang ditetapkan. Untuk itu setiap ahli dalam kumpulan tersebut perlu bijak memanipulasi unsur-unsur input, peluang berinteraksi dan bertukar idea sesama ahli, dan menambah nilai dalam kumpulan melalui interaksi dengan persekitaran luar untuk mencapai output yang dikehendaki. Panduan dan syariat yang ditetapkan oleh ajaran Islam memberikan gambaran lebih jelas bagi setiap ahli dalam kumpulan kecil dalam memacu pembangunan kumpulan demi keperluan peribadi, kepentingan semua ahli dan mencapai keredhaan Allah SWT.
nukilan neezam at 12:51 AM 2 comments
Thursday, February 12, 2009
Budaya Hari Kekasih bercanggah syariat Islam
Oleh Hasliza Hassan--ruangan Agama Berita Harian
Sambutan 14 Februari sebenarnya banyak berkaitan amalan ritual penganut Kristian
TIBANYA 14 Februari tidak lengkap tanpa peringatan supaya umat Islam tidak menyambut Hari Kekasih atau Valentine's Day yang sudah menjadi sebahagian budaya masyarakat khususnya generasi muda sekarang.
Ada berpendapat usah dibangkitkan isu itu kerana hanya akan menjadi pencetus kepada amalan bercanggah dengan syariat Islam. Namun, ada baiknya dibincangkan perkara ini sebagai peringatan kepada mereka yang sudah memasang niat untuk meraikannya.
Malah, ia sebagai penjelasan kerana ada yang cuba menghalalkan sambutan Hari Kekasih ini supaya perancangan meraikannya tidak dipandang serong dengan pendapat, ia adalah hari untuk menterjemahkan perasaan kasih sayang bukan saja kepada kekasih, malah juga keluarga serta sahabat handai.
Hakikatnya, apa juga alasan diberikan untuk membolehkan Hari Kekasih disambut terutama oleh golongan muda Islam, Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan bahawa amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: "Bahawa amalan merayakan Valentine's Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam."
Buku Elak Sambut Valentine's Day terbitan Jakim membincangkan secara lanjut alasan mengapa umat Islam dinasihatkan supaya tidak meraikan hari yang mengambil sempena nama paderi besar Kristian Saint Valentine.
Berdasarkan fakta dalam buku itu, bagi merungkaikan isu kenapa umat Islam perlu elak menyambut Hari Kekasih, ialah dengan mendalami dan memahami apakah maksud Valentine itu sendiri serta asal usul ia menjadi sebuah perayaan.
Valentine dalam bahasa Inggeris atau Valentino dalam bahasa Itali adalah berasal daripada nama sebuah keluarga berbangsa Rom, iaitu Valentinus yang juga berasal daripada bahasa Latin iaitu valens yang bermaksud: kuat, aktif, sihat dan seumpamanya (laman web Behind The Name: The Etemology dand History of First Name).
Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri.
Justeru, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan itu dengan dinamakan hari Valentine.
Ada tiga pendapat mengenai asal-usul Hari Valentine. Pertama, Hari Valentine bermula ketika pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti orang Juno, ratu kepada dewa dan dewi Rom.
Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisional masyarakat Rom iaitu mana pada malam pesta berkenaan, nama gadis Rom ditulis atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.
Pendapat kedua pula menyatakan pada 14 Februari 270 masihi, St Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270 masihi). Pada waktu itu Raja Claudius membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terbabit dalam peperangan.
Menyedari hakikat itu, St Valentine dan St Marius mengahwinkan orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan itu, St Valentine ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari tahun 270 masihi.
Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St Valentine sebagai upacara keagamaan.
Pendapat ketiga pula menyatakan Hari Valentine diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope.
Apabila St Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal Protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St Valentine adalah paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin.
Tindakan St Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St Valentine sendiri.
Sejarah di atas jelas menunjukkan bahawa Hari Valentine adalah perayaan keagamaan yang disambut orang Kristian. Malah jika merujuk kepada kenyataan pihak Kristian hari ini, mereka masih menganggap Hari Valentine sebagai satu ritual dalam agama Kristian.
Laman web Spiritrestoration,org : The Premier, Ecumenical Christian Website. A Resource For Mature Christians and Scholars di bawah tajuk Pengertian Hari-Hari Suci Keagamaan indeks Saint Valentine's Day menyebut: Perayaan Kristian terhadap kecintaan kepada Tuhan, dipersembahkan buat Jesus dan di kalangan penganut Kristian. St Valentine adalah syahid abad ketiga. Hari ini dilihat begitu meluas sekali dirayakan di Amerika Syarikat sebagai perayaan cinta di zaman sekular.
Termaktub dalam laman web Catholic Encyclopedia pengiktirafan bahawa walau dalam apa juga versi berkenaan dengan St Valentine, kesemua mereka dianggap sebagai syahid. Petikan menyebut: 'sekurang-kurangnya ada tiga orang St Valentine yang berbeza, semua mereka adalah syahid, ia disebut sebagai golongan syahid yang terawal pada tarikh 14 Februari.'
Berdasarkan fakta itu, jelas sekali Hari Valentine adalah perayaan yang menjadi amalan ritual agama Kristian. Ini sekali gus bercanggah dengan prinsip Islam yang tidak membenarkan umatnya meniru identiti atau cara hidup agama lain lebih-lebih lagi dalam soal membabitkan akidah Islam.
Islam sangat prihatin serta menginginkan supaya umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain.
Dalam erti kata lain, umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan amalan ibadat agamanya dengan akidah dan ibadat agama lain.
Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku." (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)
Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal bersifat individu seperti dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan yang dikhuatiri bercanggah dengan identiti dan syariat Islam.
Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami maka ia akan ditolak." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
nukilan neezam at 1:24 PM 0 comments
Labels: newspaper articles