Tuesday, November 30, 2010

artikel aku di Berita Harian: Sambutan Aidiladha di perantauan tuntut pengorbanan

assalamualaikum

alhamdulillah. artikel aku berkaitan sambutan raya haji di melbourne keluar dalam paper berita harian 18 November 2010 yang lepas. bukan mudah sebenornya nak organise majlis se'grand' ini di perantauan kalau takdak ahli2 kariah yang mantap, sumber kewangan yang cukup, resource yang cantek. tahniah buat rakan2 di desa bundoora. semoga Allah balas segala usaha murni tuan2 dan puan2 yang berusaha keras menjayakan ibadah mulia kita ini.

nak baca lanjut buleh rujuk url di bawah....check it out.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SambutanAidiladhadiperantauantuntutpengorbanan/Article/

Sambutan Aidiladha di perantauan tuntut pengorbanan
Pelajar di Desa Bundoora anjur majlis solat sunat, kenduri bagi pupuk semangat dan kecekalan


Pastinya semua umat Islam di Malaysia ternanti-nanti akan tibanya Hari Raya Aidil Adha atau hari raya korban yang secara rasminya akan disambut pada tanggal 17 November ini. Hari raya korban memberikan makna yang sungguh mendalam terutamanya bagi rombongan jemaah haji ke Mekah yang menjadi ‘tetamu Allah’ menyempurnakan Rukun Islam yang kelima. Begitu juga di seluruh pelosok negara, kemeriahan sambutan perayaan ini begitu terasa dengan amalan solat sunat Aidil Adha pada hari pertama dan laungan takbir sehinggalah tamat hari Tasyrik iaitu pada 13 Zulhijjah. Ditambah lagi dengan penganjuran aktiviti korban dan menyembelih binatang al-An'am seperti lembu, kambing dan unta yang dilakukan demi memperingati sejarah pengorbanan simbolik Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S dan kejayaan menepis godaan syaitan, memenuhi syariat dan tuntutan agama Islam dan menambahkan rasa takwa dan taat kepada Allah SWT. Ibadah korban juga sangat berkesan dalam merapatkan silaturrahim di antara penduduk setempat dan memberikan ruang untuk bergembira menyambut hari raya korban bagi golongan miskin dan yatim piatu yang menerima sumbangan daging-daging korban.

Menyambut hari raya korban di perantauan kebiasaannya tidaklah semeriah seperti yang dirasakan seperti di tanahair. Menitip pengalaman penulis yang merantau ke Melbourne, Australia sejak beberapa tahun lepas, para perantau sekadar dapat peluang bersolat sunat hari raya Aidil Adha sama ada di masjid atau surau. Ada juga dalam kalangan komuniti perantau seperti pelajar-pelajar atau pekerja-pekerja yang menganjurkan majlis kenduri kecil-kecilan atau takbir beramai-ramai, sama ada di Dewan Malaysia, di rumah atau di dewan komuniti.

Namun begitu, suasana perayaan Aidil Adha pada tahun ini agak berbeza bagi kami para perantau Malaysia yang bermastautin di sebuah kawasan persisiran kota Melbourne yang kami suka namakan Desa Bundoora. Dalam sambutan Aidil Adha pada tahun ini, komuniti Desa Bundoora (rata-ratanya pelajar pasca siswazah) menganjurkan majlis solat sunat hari raya dan kenduri sempena menyambut hari raya yang mulia ini. Begitu juga, sebilangan daripada ahli komuniti kami turut menyertai ibadah korban dan aqiqah yang mana ianya menjadi suatu ibadah yang besar ganjarannya daripada Allah bersempena Aidil Adha.

Seluruh warga Desa Bundoora, telah bertungkus-lumus dan bersungguh-sungguh untuk menjayakan program-program ini sejak beberapa minggu yang lalu. Misalnya, usaha menempah dewan untuk solat sunat hari raya, menguruskan tempahan dan penyembelihan lembu dan kambing, majlis rewang dan masak-memasak untuk kenduri, dan sebagainya.
Semua pihak rela 'berkorban' masa, tenaga dan wang demi menjayakan majlis kami ini.

Bukan mudah untuk melihat suasana harmoni seperti ini dalam sesebuah masyarakat, apatah lagi seperti kami yang berada jauh beribu batu dari Malaysia. Peluang untuk berhimpun beramai-ramai seperti ini memberikan ruang kepada semua untuk melepaskan rindu terhadap sanak-saudara di Malaysia, bertukar-tukar fikiran, berkongsi suka dan duka, dan sama-sama menghayati erti yang tersurat dan tersirat tentang pengorbanan.

Sambutan perayaan yang dibuat mungkin sederhana, tetapi jauh di lubuk hati, kami para perantau Malaysia sedar bahawa kami sedang melaksanakan erti pengorbanan yang bukan calang-calang.
Pengorbanan untuk meninggalkan keluarga yang tercinta di tanahair, menimba ilmu dan mencari pengalaman di bumi asing, mengangkat senjata membantu menjaga keharmonian dan keselamatan negara-negara yang sedang dilanda krisis, dan seumpamanya, adalah contoh pengorbanan yang cukup berbeza dan unik jika dibandingkan dengan ibadah korban yang biasa diamalkan di tanahair. Namun, semua pengorbanan ini tetap bersandarkan kepada matlamat mendapatkan keredaan Allah SWT, membawa balik segala ilmu dan pengalaman yang ditimba di luar negara untuk dikongsi bersama dengan anak-anak bangsa, dan meningkatkan martabat negara dan bangsa di mata dunia.

Hari raya korban memberikan maksud yang cukup signifikan tentang kewajiban menunaikan tanggungjawab sebagai insan yang berguna dalam menyumbangkan kepakaran dan tenaga kepada pembangunan dan kemakmuran insan sejagat. Sambutan hari raya korban membuka pintu hati dan minda golongan perantau akan perlunya bersabar, melipatgandakan usaha dan lebih gigih dalam urusan dan kerja masing-masing dan akhirnya bertawakkal kepada Allah SWT. Akhirnya, tidak dinafikan bahawa menyambut hari raya korban di perantauan benar-benar memupuk kesedaran tentang maksud sebenar pengorbanan yang tidak boleh disalahertikan dengan melakukan perbuatan yang tidak bersesuaian pada perspektif masyarakat dan juga agama. Untuk melaksanakan pengorbanan, seseorang perlu mengikut saluran dan cara yang diredai Allah SWT dan selaras dengan aspirasi agama, bangsa dan negara.

Related Posts with Thumbnails