Ada kalanya kita pasti akan selalu terfikir, kenapa agaknya suratan kehidupan manusia ni begitu susah nak senang, dan begitu senang nak susah. Kedapatan juga keadaan manusia yang begitu senang nak senang, dan susah pula tu nak susah. Inilah asam garam warna warni panca roba atas bawah cerah malap kehidupan manusia, khalifah di muka bumi yang merupakan satu-satunya makhluk ciptaan allah yang dikurniakan akal dan fikiran.
Ada manusia yang kaya, semakin kaya. ada manusia yang melarat semakin melarat. ada manusia yang dulu kaya,kini melarat. ada manusia yang dulu melarat kini kaya. ada manusia yang kaya, melarat, kaya, melarat silih berganti. tak kiralah musim gawat ka, musim tak gawat ka..begitulah halnya juga dalam konteks senang dan susah..sama saja.
Aku terfikir, mengapa sesetengah manusia diberikan ujian yang maha hebat oleh Allah SWT. Mengapa pula sesetengah manusia lain diberikan rahmat, rezeki yang tak putus-putus oleh-Nya jua. Jawapannya pelbagai, namun konkrit. Allah maha adil, Allah maha penyayang, Allah maha membalas, Allah maha mengetahui, Allah Maha bijaksana.
Setiap sesuatu yang dijadikan, atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada asbab, ada hikmah, dan ada ketentuannya jua. Manusia hanya perlu terus-terusan berasa syukur jika diberikan rahmat, iradat dan rezeki yang melimpah ruah. Arakian jualah sebaliknya buat manusia yang perlu terus-menerus bersabar andai diberi ujian demi ujian demi cubaan demi rintangan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, lagi bersalut dengan penyerahan tiada kompromi tiada tolok banding tiada bersyarat kepada Allah SWT tuhan yang maha esa.
Tak perlu tengok perspektif yang luas lagi besar, cuba tengok dalam konteks yang kecil sedikit. Tengok, kadang-kala kita akan jaki, jeles, iri melihat sahabat-sahabat di kiri kanan yang nampak seperti bahagia, nampak tenang, nampak senang 24/7. Dibanding dengan diri sendiri, yang mungkin tidak sesenang, sebahagia, setenang sahabat-sahabat tadi. Tapi selalukah kita lihat juga kepada rakan-rakan yang selalu dirundung kesukaran, kesakitan, kepayahan, kejerihan, yang nampak terseksa, melara, duka nestapa?
Bandingkan diri mereka dengan diri kita, yang adakalanya atau selalunya lebih bernasib baik, lebih bahagia daripada mereka. Maksud saya, kalau kita asyik fikir kenapa kita tak sebahagia orang lain, perlu jua kita fikir, syukur alhamdulillah, sekurang-kurangnya nasib kita lebih baik, atau sikit lebih baik daripada sesetengah orang lain pula. Nah, ini memang amalan manusia, suka membanding2kan apa yang diri sendiri tak dapat semacam apa yang orang lain dapat, tapi selalu juga lupa dengan apa yang diri sendiri dah dapat tapi tidak pula didapatkan oleh sesetengah orang lain.
MANUSIA TAK PERNAH PUAS. itu tak boleh nak dinafikan.
Tapi pokok pangkalnya, susah atau senang macam manapun manusia itu, perlulah sedaya upaya dirinya untuk terus teguh memegang tali kepercayaan dan kesetiaan kepada Islam dan kepada al-Khaliq, tuhan pencipta sekalian alam. maha hebat mana pun ujian diterima, redha, syukur dan bertawakkaltu'alallah, dan teruslah berusaha dan berdoa agar Allah mengurniakan keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya. Allah SWT berfirman, yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, INNALILLAHI WAINNA ILAIHI RAJIUN, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat pentunjuk." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).
Akan tiba masanya, kalau tak di dunia, di akhirat kelak, akan terbit sinar kemenangan dan kerahmatan menerangi kehidupan, berkat kesabaran dan keimanan yang menebal.. Insya Allah.
Sayugia jualah, selautan atau setinggi gunung manapun harta,kemewahan, kesenangan dan kebahagiaan yang dianugerahkan Allah kepada kita, perlu kita syukuri dan kita salurkan buat menguatkan lagi panji-panji syiar Islam di muka bumi ini. Perlu jualah diyakini sedalam-dalamnya bahawa segala nikmat ini, dengan izin Allah yang maha besar, akan hilang sepantas kelipan mata, petikan jari...jika itulah ketentuan-Nya. Allah Berfirman, mafhumnya:
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan "kami telah beriman" sedangkan mereka belum lagi dijui? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan dan orang yang dusta." (Surah al-Ankabut, ayat 2-3).
Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan, baik mahupun tidak..akan tetap diperhitungkan, dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah. Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman maksudnya:
"Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula" (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8).
Peringatan buat diriku sendiri, janganlah mengeluh kesah bila berdepan zaman 'gawat kehidupan', bermuram durja, hingga mudah syaitan menusuk jarum2 kebencian terhadap ketentuan Allah. Jangan jua jadi kaduk naik junjung, jadi luncai dengan labu-labunya, jadi badang berlagak dgn muntah hantunya, lupa dunia, lupa akhirat, lupa tuhan yang maha kaya, jua mudahlah syaitan menuangkan tuak dan khimar ke dalam kotak fikiran yang memabuk dan melalaikan dan mengalpakan diri . Kelak bila diri berada di awang-awangan, tiba2 patah sayap jatuh terjelepuk ke muka bumi, patah riuk, ranap binasa, punah ranahlah segala kegirangan berganti pedih, lara, dan kefakiran, serta kekufuran! Wana'uzubillahi minzalik!
Nabi dulu Mazhab apa?
-
*Ada orang tanya: kenapa di Malaysia ikut Mazhab Syafee, tapi Akidah ikut
Asyaari? Kenapa tidak akidah Imam Syafee juga? Nabi dulu Akidah apa? Mazhab
apa...
1 week ago
0 comments:
Post a Comment