Beberapa hari lepas, artikel aku ada keluar di Berita Harian. Terpanggil atas dasar nak betulkan kefanaan dan kehuduhan perangai diri sendiri (the most important objective!) dan cuba ajak orang lain berpegang terus kepada 'tali Allah', maka aku hujahkan sedikit sebanyak tentang 'pasangan ala2 suami-isteri sebelum jadi a real suami-isteri'. Aku hujahkan jua, betapa masyarakat jengkel melihat keletah 'keterlaluan' a.k.a 'tak hengat ad-dunia wal- akhirat' sepasangan 'kekasih merpati dua sejoli' ini. "Pesan awal aku- yo bro and sis, tak terlambat untuk buat rectification, Allah maha penyayang".
***************************************
Sebagai seorang manusia apatah lagi yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, seharusnya kita menunjukkan budi pekerti mulia dan berpegang teguh kepada ajaran Islam. Lebih-lebih lagi jika kita adalah ‘public figure’ seperti ahli politik, ketua masyarakat, alim ulama, dan sebagainya.
Masyarakat kita umumnya suka menjadikan golongan-golongan seperti ini sebagai ‘role-model’ kerana ‘aura’ mereka ini cukup terkesan untuk diteladani. Tidak kiralah sama ada tauladan yang ditunjukkan itu bersifat positif atau negatif, pasti sesetengah khalayak umum akan mencontohinya kerana rasa teruja kepada idola kesayangan. Antara golongan berpengaruh dalam menjadi idola masyarakat termasuklah golongan selebriti atau artis.
Memang tidak dinafikan dunia selebriti adalah dunia penuh warna-warni, termasuklah gossip dan fitnah. Sebarang ‘cerita panas’ yang dikhabarkan dalam dunia ‘glamor’ ini perlu disiasat ke akar umbi untuk mengesahkan kebenarannya. Namun, jika terbukti benar wujud perlakuan negatif yang ditunjukkan oleh artis tanahair, ia sememangnya menjadi igauan ngeri kepada masyarakat. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak remaja pasti risau jika anak-anak mereka menurut jejak langkah negatif artis pujaan mereka.
Berkaitan dengan isu ‘role-model’ di kalangan artis, saya terpanggil untuk memberikan respon kepada artikel hiburan dalam ruangan Hip yang disiarkan Berita Harian baru-baru ini. Saya yakin ramai pembaca artikel ini menggeleng-gelengkan kepala tanda kesal dengan nada jawapan artis lelaki berbangsa Melayu yang ditemubual itu (saya rujuk sebagai artis ‘L’). Lebih menjelikkan apabila menatap gambar-gambar ‘tidak sopan’ antara artis tersebut dengan seorang lagi artis wanita (saya rujuk sebagai artis ‘P’) melalui artikel yang sama.
Jawapan-jawapan yang diberikan oleh artis ‘L’ sepanjang temubual itu saya kategorikan sebagai jawapan “tidak menjaga sensitiviti masyarakat’, ‘tidak cerdik’ dan ‘dangkal pengetahuan agama’. Maaf jika bahasa saya terlalu kasar, namun itulah hakikatnya.
Saya memetik kata-kata artis ‘L’ apabila diajukan pertanyaan mengapa dia berlaku kurang sopan (berpelukan) di khalayak ramai dengan artis ‘P’. Antara jawapan yang diberikan, “kami hanya berlaga pipi”, “Walaupun kami berpeluk tapi tidak sampai melekapkan dada masing-masing”. “Dia hanya bergantung di leher saya…”.
Ironinya, kedua-dua mereka bukanlah muhrim, namun lagak dan keintimannya tak ubah seperti sepasang suami isteri. Tidakkah artis ‘L’ sedar bahawa komen-komennya itu adalah satu cubaan menegakkan benang yang basah? Dalam hal ini, melampau sungguh jika seorang lelaki boleh sesuka hati memeluk dan berlaga-laga pipi dengan seorang perempuan bukan muhrim dan masih mempunyai wali! Terang-terangan semua perbuatannya itu adalah salah pada perspektif moral dan budaya, bahkan sesuatu yang haram di sisi Islam iaitu mendekati zina. Firman Allah SWT dalam surah al-Israk ayat 32, yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina satu perbuatan yang keji dan jalan yang jahat (membawa kerosakan)."
Artis ‘L’ juga kelihatannya cuba menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT melalui kenyataannya “Lagi pun, adalah lebih baik apabila kami, yang memang mengaku bercinta buat begitu (berlaga-laga pipi dan berpeluk-peluk), daripada mereka yang tidak mengaku bercinta, tetapi buat perkara yang serupa”.
Berdasarkan pemahaman saya, jika orang lain buat sesuatu kesilapan, maka kita pun harus membuat kesilapan berganda lebih hebat daripada itu? Maknanya, orang lain terjun dan jatuh ke dalam lubang, maka kita yang sepatutnya boleh berfikir dengan waras ini pun mahu sama ‘menjatuhkan diri’ ke dalam lubang? Bukankah ini suatu bentuk pemikiran ‘mengundur ke belakang’? Sedarlah bahawa setiap seorang daripada kita bertanggungjawab terhadap perbuatan kita sendiri dan akan diberi balasan seadil-adilnya oleh Allah SWT.
Jika baik amalan kita, maka baiklah balasannya, begitu jualah sebaliknya. Firman Allah SWT dalam al-Quran, ayat 7-8, mafhum-Nya: "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah nescaya dia akan melihatnya dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah nescaya dia akan melihatnya jua."
Saya memohon agar artis ‘L’ bertaubat dan renung kembali kesilapan yang mungkin tidak diketahuinya. Tuntutlah ilmu agama dengan lebih mendalam agar anda tahu apa batas-batas perhubungan dan perlakuan yang dibenarkan oleh Islam. Saya mendoakan anda akan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya supaya dapat menjadi artis yang berkaliber, seorang ‘role-model’ yang berjaya menawan hati masyarakat dengan tingkah laku yang mulia, dan berjaya dalam karier anda.
Saya menyeru kepada golongan ‘public figure’ dan artis-artis tempatan khususnyaya untuk dapat berfikir dengan lebih rasional sebelum melakukan sebarang tindak-tanduk dan memberikan kenyataan kepada umum. Jangan nanti ada pihak-pihak tertentu yang mendakwa anda bertanggungjawab memberikan contoh negatif yang diikuti oleh anak-anak mereka.
Masyarakat sebenarnya memerhatikan anda sepanjang masa. Ada yang memerhatikan anda kerana ingin meniru apa yang anda lakukan. Tapi percayalah, lebih ramai yang melihat untuk menjadi ‘agen perubahan’ sekiranya apa yang anda buat tidak tepat dengan aspirasi bangsa, negara dan agama. Marilah bersama-sama menjadi contoh yang baik kepada semua pihak kerana peranan sebagai ‘role-model’ yang sempurna sememangnya sukar, tetapi begitu signifikan pengaruhnya dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang kaya budaya bangsa, adat resam dan pegangan agamanya.
Ingatlah jua bahawa di hari akhirat kelak golongan yang manakah selayaknya kita duduki: ASHABUL YAMINkah atau ASHABUL SYIMALkah?
Piihan berada di tangan kita.. buatlah pilihan yang tepat dan bijak!
Nabi dulu Mazhab apa?
-
*Ada orang tanya: kenapa di Malaysia ikut Mazhab Syafee, tapi Akidah ikut
Asyaari? Kenapa tidak akidah Imam Syafee juga? Nabi dulu Akidah apa? Mazhab
apa...
1 week ago
0 comments:
Post a Comment