Thursday, March 4, 2010

Mengatur tabiat makan anak

Harini jugak, satu lagi artikel aku tersiar di Utusan Malaysia (4/3/2010). Ia berkisar kepada perbincangan tentang bagaimana mendidik anak-anak untuk mempunyai tabiat pemakanan yang sihat dan seimbang.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm

Mengatur tabiat makan anak


Tabiat mengambil makanan ringan di kalangan kanak-kanak tidak digalakkan.


KECENDERUNGAN kanak-kanak memilih makanan segera dan makanan rapu (junk food) sebenarnya mewujudkan tabiat pemakanan tidak sihat.

Memburukkan keadaan, hampir saban hari kanak-kanak ini terdedah dan tertarik dengan iklan-iklan makanan segera berjenama terkenal yang menggiurkan.

Kebanyakan makanan segera dan makanan ringan di pasaran hari ini mengandungi emulsifier, bahan pewarna dan perisa yang antaranya boleh mendatangkan mudarat.

Begitu juga dengan kandungan lemak tidak tepu, gula dan garam yang tinggi ditambah lagi kandungan serat yang sangat rendah dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja terutama anak-anak.

Ada ibu bapa yang tidak mengambil pusing akan hal ini, ditambah lagi mereka sendiri mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat.

Ada juga ibu bapa yang beranggapan tiada salahnya anak-anak tidak dihidangkan makanan sewajarnya seperti sayur-sayuran atau buah-buahan dalam menu harian, lantaran begitu banyak pil-pil vitamin yang boleh dibeli untuk anak-anak di pasaran.

Ironinya, pakar pemakanan sendiri tidak menggalakkan masyarakat untuk terlalu bergantung kepada pil-pil suplemen seperti ini.

Menurut Coughlin (2003) dalam penulisan jurnalnya bertajuk 'Body image dissatisfaction in children: prevalence and parental influence' terdapat tiga faktor yang menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat makanan yang tidak sihat.

Pertama, apabila anak-anak mempunyai pilihan makanan ringan yang banyak di rumah.

Misalnya melambakkan sebegitu banyak stok makanan ringan, gula-gula atau air berkarbonat di dapur sekadar tujuan untuk dinikmati secara ringan sambil bersantai menonton televisyen.

Keadaan ini membuka ruang dan pengaruh kepada anak-anak untuk lebih tertarik menikmati makanan ringan tersebut berbanding makanan berat yang lebih berkhasiat.

Memang tidak salah untuk sesekali anak-anak makan makanan ringan, namun ibu bapa perlu menyediakan pilihan makanan ringan yang berkhasiat seperti biskut, roti berkrim, bertih jagung rendah lemak, yogurt atau pun kismis.

Faktor kedua, keperluan anak-anak untuk memilih makanan kegemaran. Kadang kala, ada anak-anak yang dipaksa ibu bapa untuk makan satu-satu jenis makanan sahaja.

Ia akan menyebabkan anak-anak kebosanan dan tidak berminat untuk terus menikmati sajian makanan yang serupa.

Maka ibu bapa harus bijak mempelbagaikan jenis atau cara masakan yang disajikan sama. Yang pentingnya, khasiat makanan tetap terpelihara dan memberi faedah kepada perkembangan tubuh badan dan mental anak-anak.

Jika anak-anak mahu makan burger, sosej atau ayam goreng seperti mana yang dijual di restoran makanan segera, ibu bapa sendiri sebenarnya mampu untuk menyediakan makanan segera tersebut dengan jaminan khasiat yang lebih tinggi.

Faktor ketiga pula adalah emosi. Kanak-kanak yang mengalami kesedihan, ketakutan atau krisis kekeluargaan cenderung memiliki tabiat kurang makan atau terlebih makan.

Jika ibu bapa melihat emosi anak-anak yang terganggu sebegini turut memberi kesan negatif kepada tabiat pemakanan mereka, maka dicadangkan agar masalah yang menghantui anak-anak itu diselesaikan dahulu, bukan terfokus kepada membetulkan kaedah makan mereka.

The American Academy of Peadiatrics misalnya mencadangkan beberapa perkara dalam menyusun-atur semula jadual pemakanan dan tabiat makanan seharian anak-anak yang sihat.

Banyak ibu bapa yang risau anak-anak mereka makan mungkin terlalu sedikit atau terlalu banyak. Maka, untuk mengelak kerisauan dan membimbing anak-anak makan dengan betul, kedua-dua pihak perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing.

Tanggungjawab ibu bapa adalah menyediakan pilihan makanan berkhasiat dalam hidangan makanan utama (sarapan, makan tengahari dan makan malam) dan makan ringan seperti minum petang.

Ibu bapa menentukan apa untuk dimakan, di mana dan bila. Tanggungjawab anak-anak pula untuk memilih berapa banyak mereka perlu makan makanan yang disediakan ibu bapa.

Kaedah ini mungkin mengambil masa jika ia baru hendak dipraktikkan, namun ia akan membentuk disiplin makan yang baik untuk anak-anak di mana mereka memperoleh jumlah makanan berkhasiat yang sepatutnya, pada waktu yang tepat dan tempat yang betul.

Ibu bapa sendiri patut mengamalkan tabiat pemakanan harian yang sihat supaya anak-anak akan melihat dan mengikutnya sebagai contoh yang baik.

Begitu juga ibu bapa yang merokok perlu seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada merokok di hadapan anak-anak, atau lebih baik lagi berhenti terus daripada merokok.

Membuat aktiviti fizikal dan jasmani secara tekal dan kerap bersama anak-anak akan membantu mereka menjadi sihat. Senaman yang dilakukan mampu membakar kalori yang diambil dalam makanan, mengeluarkan toksik di samping merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.

Makan secara bersama-sama dalam keluarga sekerap mungkin. Sediakan menu makanan yang menarik, pelbagai dan segar. Dalam sesi makan seperti inilah ibu bapa dan anak-anak lebih mudah untuk mendapatkan kata sepakat tentang tabiat pemakanan dan jenis makanan yang baik untuk seisi keluarga.

Jika mampu, bawa anak-anak berjumpa pakar pemakanan atau ke pusat kesihatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan khidmat nasihat yang sewajarnya.

Kadang kala, anak-anak akan lebih terpengaruh dan mempercayai kata-kata seorang doktor berkaitan tabiat makan yang betul daripada nasihat ibu bapanya. Namun ia bukanlah satu isu yang besar, asalkan anak-anak dapat terus sihat dan membesar dengan normal dan baik.

Kesimpulannya, jika tabiat makan anak-anak tidak diselaraskan dan dikawal sebaiknya oleh ibu bapa, dikhuatiri mereka akan mudah menghidap penyakit-penyakit kronik yang boleh mengundang kesan negatif dalam jangka masa pendek mahu pun panjang.

Pemilihan makanan yang tepat turut mampu membantu seisi keluarga untuk berjimat-cermat sekali gus memiliki tubuh badan yang sihat.

Duit tidak dibazirkan membeli makanan yang tidak berkhasiat lagi 'beracun', bahkan jimat daripada terpaksa membayar bil-bil perubatan kerana keadaan ahli keluarga sakit dek tabiat makan yang buruk.

***********************

aku sendiri bagaimana? harap2 dapatlah bentuk kaedah pemakanan anak aku yang bagus. takmolah anak2 aku kena obes, atau terbalik kong, kena anerox plak... ;p

ANAK AKU JOIN RAMAI-RAMAI ROGOL ANAK DARA ORANG !




Anak dara kena rogol beramai-ramai, anak dara kena rogol bergilir-gilir.


Bercampur baur pendapat orang kalau baca statement ni.

Kesian.. sanggup dan tergamak orang buat macam tu sekali?
Ada orang cakap, lantaklah, bukan masalah aku.
Lain pulak orang yang fikir, tula..salah sendiri cari penyakit, dah kena haaa baru padan muka kau.
Tak kurang yang salahkan mak bapak bila anak jadi lauk.
Gang2 sekepala dengan lahabau2 tu pulak, confirm jerit: BRAVOOO!!! korang memang hebat meratah 'ayam free!'


ok, ok...cuba pulak baca statement ni, bubuh sikit sifat empati...

Anak dara AKU kena rogol beramai-ramai, anak dara AKU kena rogol bergilir-gilir.

Apa pulak kata mak bapak anak yang dah jadi lauk?
Apa pulak kata mak bapak lahabau2 pemusnah hidup anak dara orang ni?
Cuba bayang kalau kita ketemukan mak bapak mangsa dan mak bapak pemangsa...haru biru jadinya, mungkin.

ok, ok, untuk itu cuba baca pulak statement ni...bubuh jugak perasaan 'aku letakkan diri aku dalam situasi ini' ...agak2 apa rasa?

Anak AKU join beramai-ramai rogol anak gadis orang, anak AKU join bergilir-gilir rogol anak dara orang.

telan air liur? tak sangka? berderau darah? sedih? suka? tak tau nak cakap? respect?

kalau respect, jawapannya KEPALA HOTAK KAU!

Aku ulas akan kes rogol beramai-ramai ni di akhbar Utusan Malaysia, dan ia tersiar pada hari ini, 4 Mac 2010. Aku tambah sikit nasihat2 (based on pengalaman sendiri dan pengalaman orang2 lain juga) selain daripada apa yang tertera dalam Utusan Malaysia tu KHAS buat anak2 dara dan anak2 teruna muda belia, remaja pembela harapan bangsa di masa depan:

1. anak2 dara, jagalah KEHORMATAN diri kau. jagalah sebaik2nya. jangan bagi peluang walau seorangpun anak teruna usik KEHORMATAN kau. KEHORMATAN tu tak spesifik pada satu, dua benda saja ye, macam2 yang bersifat lahiriah, batiniah, tersurat, tersirat, extinsic, intrinsic, tangible mahupun intangible. kenapa? demi KESEJAHTERAAN hidup kau duniawi wa ukhrawi, indeed!

2. anak2 dara, jagalah KEHORMATAN mak ayah kau. jagalah betul2. kadang, mak ayah bagi 'chance' untuk kau bersosial, bukan sebab apa...sebab nak kau bahagia. tapi kalau chance tu kau tukarkan jadi 'golden chance' untuk merosakkan diri, nanti ianya berubah jadi HANTU yang akan ekor kau sampai mati. hantu macam mana? hantu yang boleh buat jiwa mak ayah kau runtun, luluh, hancur sebab kau jatuhkan kehormatan mereka. hantu yang boleh buat jiwa kau sendiri jadi takut, traumatik, malu, stress sebab KEHORMATAN kau dan KEHORMATAN mak ayah kau dah terbayang melayang meninggalkan kau dengan 1001 sesalan yang....tak berguna dah!

3. anak2 teruna, jagalah dan peliharalah KEJANTANAN kau itu kepada benda2 yang baik dan dihalalkan dalam Islam. bayangkan eh, konsep domino, kita susun satu persatu petak domino tu dan kita jatuhkan...setiap satu domino itu akan menjatuhkan domino yang lain, dan ia berterusan, dan berterusan...macam tulah kita, andai kita buat sesuatu walau baik mahupun buruk, ianya akan berterusan memberi kebaikan atau keburukan kepada pihak lain, berterusan dan berterusan. kalau kau buat dosa, dapat satu saham, pastu orang lain tu tertekan dengan dosa yang kau buat, sampaikan dia contohnya membunuh diri, kau pun dapat saham dosa dia. faham kan? jangan buat2 tak faham ye?

4. anak2 teruna, zaman2 muda ni memang syiok, semua benda dibuat dengan kawan2 ko memang nampak best...tapi ingat tau, satu hari nanti kau jadi BAPAK juga, Allah tu maha kaya, maha membalas, maha adil. andai kau buat buruk kat anak dara orang, pastu kau nampak macam selamat sejahtera je, kau tunggula, andai Allah balas benda yang sama pada ZURIAT KESAYANGAN BUAH HATI PENGARANG JANTUNG kau...masa tu kau rasa apa agaknya kan? bengang? tak, tak, tak, jangan bengang dulu...tapi, masa tu kau rasalah BANGANGnya kau, kerdilnya kau di sisi Allah yang Maha Kuasa. menyesal pun tak guna bro! faham kan?

so, inilah dia artikel aku bertajuk Kes Rogol Kini Menjadi-jadi di Utusan Malaysia harini:

************************************************
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

LAPORAN kes rogol bergilir-gilir kelihatannya, semakin menjadi-jadi dan membimbangkan kebelakangan ini. Selaklah akhbar-akhbar, dengarlah berita di corong radio, atau tontonlah televisyen, pasti kita akan menemukan berita 'panas' dan menyedihkan seperti ini. Kelihatannya, maruah anak gadis hari ini sangat murah harganya, lantaran begitu mudah diratah-ratah oleh golongan lelaki bernafsu binatang.

Penulis rasa begitu tersentuh hati dan sedih membaca laporan Utusan Malaysia semalam bahawa seorang pelajar perempuan yang masih menuntut dalam tingkatan tiga mendakwa dirogol bergilir-gilir oleh sekumpulan 15 lelaki di Felda Sungai Klah dekat Sungkai, kelmarin.

Nauzubillah! Penulis yakin bukan sahaja penulis, bahkan semua orang akan berdoa agar tidak berlaku perkara yang sama terhadap zuriat dan keluarga sendiri.

Jika diamati kronologi kebanyakan kes sebegini, terdapat banyak punca yang perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh semua pihak. Antaranya faktor kepercayaan dan kebebasan tanpa batasan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Kononnya generasi zaman sekarang tidak boleh dikongkong dan perlu diberi ruang memilih jalan hidup sendiri. Maka, anak-anak diberikan 'lampu hijau' untuk bercampur-gaul dengan golongan rakan yang disenangi mereka. Akibatnya, anak-anak ini tersalah memilih rakan-rakan.

Sikap ingin mencuba perkara negatif di kalangan anak remaja selalunya membawa padah. Mereka terdorong untuk mencuba sesuatu yang nampak menyeronokkan sambil bergaul bersama rakan-rakan tanpa memikirkan kesan buruk hasil sikap suka mencuba itu. Dalam kes rogol beramai-ramai ini, remaja lelaki kelihatan lebih 'berani' melakukan perkara negatif dan jenayah apabila berada dalam kumpulan rakan-rakan yang ramai.

Selain itu, wujud juga faktor 'kerelaan' anak gadis dalam perlakuan seks bebas dengan rakan-rakan. Bak kata orang, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Bermula dengan aksi ringan yang kemudian mengundang kepada aktiviti seks yang lebih menyeronokkan pada mata kepala mereka. Akhirnya, mereka tumpas menjadi 'lauk' mangsa rogol teman lelaki sendiri dan rakan-rakannya.

Pengaruh gaya hidup bersosial yang terlalu terbuka seperti yang dipaparkan di Internet dan media massa banyak mempengaruhi keperibadian dan pemikiran anak remaja kini. Berpeleseran, pergaulan tanpa batas antara lelaki dan perempuan, gaya hidup mewah dan menunjuk-nunjuk, kesemua ini adalah paparan gaya hidup yang kononnya menepati trend kehidupan yang didahagai remaja masa kini.

Begitu juga sumber bahan lucah terlalu mengujakan buat anak remaja yang begitu mudah diperoleh di Internet atau di sesetengah kedai telekomunikasi. Semua ini berupaya menjadi perangsang nafsu dan mendorong mereka mencari teman dan mangsa untuk melampiaskan nafsu seksual yang membuak-buak hasil dorongan bahan lucah tersebut.

Usia remaja belasan tahun adalah peringkat remaja melalui transformasi fizikal, tahap kematangan fikiran dan bertingkah laku ke arah kedewasaan. Namun dalam masa yang sama, mentaliti dan gaya 'kanak-kanak' itu masih juga wujud dalam diri mereka. Dalam hal ini, mereka sentiasa bereksperimen dan berkonflik dengan diri sendiri untuk memilih dan menentukan jenis dan cara gaya hidup yang ingin dibentuk. Ada kalanya langkah mereka tepat, tetapi selalu juga ia tersasar daripada batasan yang digariskan oleh agama dan budaya.

Andai anak-anak ini pernah tersilap langkah, maka sebagai ibu bapa dan keluarga, sokongan moral yang padu perlulah diberikan supaya mereka tidak rasa tersisih dengan kesilapan yang dibuat. Jangan mudah menghukum mereka tanpa kompromi dan terburu-buru.

Sebagai ibu bapa, anak remaja sememangnya perlu diberikan kebebasan, tetapi toleransi yang diberi perlu mempunyai batasan yang jelas dan tegas berasaskan prinsip keagamaan, moral dan kebudayaan. Tidak salah untuk anak-anak bersahabat, tetapi kita sebagai ibu bapa berperanan besar dalam membimbing anak-anak untuk memilih sahabat mereka yang tepat.

Masyarakat sekeliling juga berperanan sebagai ejen pelengkap dalam mencegah berlakunya masalah sosial di kalangan remaja. Tegur dan cegah jika mampu andai kita terlihat perilaku anak remaja yang kelihatannya menyimpang. Atau sekiranya tidak mampu melakukannya sendiri, laporkanlah kepada pihak yang sewajarnya seperti polis.

Secara spesifik, langkah perawatan sewajarnya perlu bagi golongan remaja yang telah menjadi mangsa dalam kes rogol beramai-ramai ini. Remaja seperti ini wajar diberikan rawatan pemulihan, bimbingan kerohanian dan kaunseling supaya mereka dapat mengatasi trauma dan tekanan jangka panjang yang dilaluinya. Ia menunjukkan bahawa masih ada sokongan padu diberikan oleh keluarga dan institusi kemasyarakatan di sekeliling mereka walaupun mereka pernah tersilap langkah atau menjadi mangsa tanpa kerelaan.

Bagi mereka yang bersalah seperti perogol beramai-ramai yang tidak berperikemanusiaan ini perlu dihukum melalui saluran perundangan sebagai balasan setimpal atas sifat dan nafsu kebinatangan mereka. Seterusnya, menjadi pengajaran berguna kepada mereka dan pihak-pihak lain agar tidak sewenang-wenangnya melakukan kejahatan dan merosakkan kehidupan orang lain yang tidak berdosa.

Sebagai peringatan kepada perogol yang masih tidak sedarkan diri dan semua remaja, ingatlah setiap sesuatu yang kita lakukan pasti akan mendapat balasannya kelak. Andai baik amalan yang kita lakukan maka baiklah balasan yang akan kita terima, begitu juga sebaliknya. Itulah janji Allah SWT kepada kita sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula." (surah al-Zalzalah, ayat 7-8).

Wednesday, March 3, 2010

Nafsu dan Syaitan bertepuk kegembiraan!



Adusss...bagaimanakah ini. andai nafsu sudah menguasai jiwa, syaitan sudah bertakhta di fikiran, maka terjadilah kemungkaran yang tidak sesekali mengenal siapa. berskirt pendekkah, berG-Stringkah, berkopiahkah, bertudung labuhkah, tuakah, mudakah, semuanya punyai potensi dibelenggu godaan syaitan durjana.

andai benar kejahatan mampu menjadi balasan/pengganti kejahatan, sampai bilakah perbuatan jahat ini akan berganda2, berganda2, berganda2 tanpa ada kesudahan?

*************

Ustazah terlanjur

Harian Metro 3/3/2010

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ustazahterlanjur/Article

KUALA LUMPUR: Dia seorang ustazah bertudung labuh yang berkelulusan dalam bidang agama dari sebuah universiti di Timur Tengah, sebelum ini mengajar di sebuah masjid dan sebuah sekolah rendah di Kota Tinggi, Johor, serta bersuamikan seorang ustaz yang disegani di daerah itu.

Bagaimanapun, di sebalik perwatakan lembut dan alim, ustazah berusia 35 tahun itu sanggup menconteng arang di muka keluarga dan suaminya, apabila ditangkap khalwat bersama seorang duda sebayanya, yang juga bekas rakan sekolahnya dan suami.


Ustazah yang memiliki latar belakang yang kuat berpegang kepada ajaran agama itu memberi alasan kononnya dia tertekan akibat suaminya berpoligami sehingga sanggup menjalinkan hubungan cinta dengan duda terbabit dan lebih mengejutkan, mereka dipercayai pernah beberapa kali terlanjur.


Tembelang ustazah terbabit pecah apabila dia ditangkap khalwat ketika berdua-duaan dengan duda itu, baru-baru ini dan mereka dilaporkan mengambil masa hampir setengah jam sebelum membuka pintu rumah kedai yang didiami dengan kedua-duanya dalam keadaan berpakaian lengkap.


Menurut sumber, lebih menyedihkan, ketika kejadian, suami ustazah terbabit berada di Makkah untuk menunaikan haji.


Katanya, sejurus ditangkap berkhalwat, ustazah terbabit menghubungi suaminya untuk memaklumkan kejadian dan terus meminta cerai.

Menurutnya, ustazah terbabit dan suaminya berkahwin pada 1997, tetapi tidak dikurniakan cahaya mata menyebabkan mereka mengambil dua anak angkat termasuk seorang daripadanya dipelihara sejak kecil.


“Wanita itu bertemu dengan duda yang juga bekas rakan sekolahnya ketika perlawanan boling pada awal tahun lalu dan sejak itu hubungan mereka semakin rapat apabila lelaki itu menjadi tempatnya mencurah perasaan dan menagih simpati.


“Ustazah itu memberitahu duda terbabit kononnya dia tertekan kerana suami berkahwin lain sedangkan sebelum ini, dia sendiri bersetuju serta membenarkan suaminya berpoligami dan mereka sama-sama ke mahkamah untuk menguruskan perkahwinan itu.


“Tetapi, sebagai seorang yang ada latar belakang agama, hubungan dengan lelaki lain bukan cara untuk mengatasi tekanan lebih-lebih lagi dia masih berstatus isteri orang dan perhubungan itu mendekatkan mereka dengan maksiat,” katanya.


Sumber itu berkata, selepas ditangkap, duda itu pula mengaku dia pernah terlanjur dengan wanita berkenaan, tetapi di pihak ustazah terbabit, dia masih mahu ‘menegakkan benang basah’ dan menyebarkan berita kononnya dia dianiaya.


Menurutnya, demi menjaga nama baik keluarga dan maruah isteri, suami ustazah terbabit membuat pengakuan kononnya membenarkan duda terbabit menjemput isterinya yang baru pulang daripada rombongan sekolah, sebelum mereka ditangkap khalwat.


Katanya, ketika ditangkap, pasangan terbabit memberi alasan duda terbabit datang untuk menghantarnya pulang ke rumah dan membantu mengangkat beg.


Sementara itu, Harian Metro difahamkan, ustazah terbabit dan pasangannya akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kota Tinggi, pada 22 Mac ini, atas tuduhan berkhalwat.


************************

DALAM sebuah hadis Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maknanya: "Tidak ada satu dosa yang lebih besar selepas syirik daripada dosa seorang lelaki meletakkan air mani ke dalam rahim yang tidak halal baginya (berzina)."


Related Posts with Thumbnails