Tuesday, July 21, 2009

Mendidik Anak-anak kita Menjiwai Ilmu

Alhamdulillah, beberapa hari lepas, artikel aku keluar Utusan Malaysia, berkaitan kepentingan ilmu dan bagaimana seharusnya kita dan anak-anak kecil kita menjiwainya. Aku tengok, ramai juga rakan-rakan bloggers yang sudi menempelkan artikel tersebut dalam blog masing-masing untuk tatapan umum. Semoga secebis idea aku yang terlalu umum dan kerdil sifatnya itu dapat melontarkan sesuatu yang bernas untuk difikir-fikir dan diamalkan oleh semua pihak, Insya Allah.


***************************

Didik anak menjiwai ilmu

(Utusan Malaysia, 16/7/2009)

DALAM sistem pendidikan negara, anakanak telah mula mempunyai chemistry atau hubungan dengan institusi pendidikan seawal usia empat tahun. Lazimnya, mereka dihantar ke taman asuhan seterusnya ke sekolah. Lengkap dengan buku dan alat tulis serta pakaian seragam serta mengikuti sesi persekolahan selama enam atau tujuh jam sehari.

Itu belum termasuk jadual pendidikan sampingan anak-anak, seperti kelas tuisyen, kelas agama dan mengaji al-Quran atau kegiatan ko-kurikulum.

Kehidupan seharian anak-anak yang diprogramkan sebegini rupa menunjukkan kepentingan budaya menimba ilmu. Ia penting dalam membentuk manusia yang seimbang nilai rohani, jasmani, emosi dan intelektualnya. Namun, ada anak-anak yang tidak melihatnya sebagai sesuatu yang memberikan makna yang besar, sekadar suatu rutin yang disusun atur oleh ibu bapa.

Pergi ke sekolah dan menuntut ilmu sepatutnya bukan sekadar rutin kepada persepsi anak-anak. Ia perlu dilihat sebagai kewajipan ke atas orang Islam. Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW iaitu "menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim."

Anak-anak perlu difahamkan bahawa menuntut ilmu juga diandaikan seperti berjihad ke jalan Allah seperti hadis: "Barang siapa keluar untuk mencari ilmu maka ia berada di jalan Allah sampailah ia kembali" (riwayat al-Tirmizi).

Sebagai ibu bapa pasti ada antara kita yang pernah diajukan persoalan oleh anak-anak seperti: "Ayah, kenapa saya perlu ke sekolah setiap hari?" atau "Ibu, apa perlunya saya belajar bersungguh-sungguh?"

Apa pula agaknya jawapan yang sesuai untuk diberikan? Adakah mencukupi atau tepat dengan mengatakan kepada anak-anak bahawa: "Kamu mesti belajar untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang" atau "Kalau nak jadi orang yang ada kerja yang elok dan banyak duit, kenalah pergi ke sekolah dan belajar rajin-rajin."

Jawapan seperti ini ditafsir sesetengah orang sebagai kurang tepat. Ia menzahirkan trend dalam kalangan ibu bapa yang nampaknya bersungguh-sungguh mendidik anak-anak melangkahkan kakinya ke sekolah dengan hanya bermatlamatkan kecemerlangan dalam peperiksaan atau sebagai batu loncatan untuk mendapat kerja.

Bila anak-anak disemai dengan budaya terlalu mengejar kedudukan nombor satu dalam kelas atau deretan 'A' semaksimum mungkin, ia menjadikan mereka mengejar tanda aras (bench mark) tersebut dan tidak berfikir untuk meraih lebih jauh daripada itu.

Banyak impak negatif jika usaha mencari ilmu itu tidak diiringi dengan amalan. Antaranya, anak-anak akan terfokus untuk mengejar objektif yang ditetapkan oleh ibu bapa dan tertekan apabila ia tidak menjadi kenyataan.

Rasa takut dan rendah diri akan wujud jika nombor dalam kelas atau keputusan peperiksaan yang diidamkan oleh ibu bapa tidak dicapai. Akan wujud jugalah situasi di mana sesetengah anak yang "kurang berjaya daripada segi akademik" disisih dan dipandang rendah oleh ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Mereka kemudiannya mencari jalan singkat dalam memujuk diri yang dicap 'kurang bijak' dengan terbabit dalam gejala-gejala negatif seperti merokok, melepak, vandalisme, menagih dadah bahkan membunuh diri.

Hakikatnya, gagal dalam peperiksaan bukanlah bererti mereka sudah tewas dan tidak akan mampu mengharungi cabaran kehidupan di masa mendatang.

Bagi sesetengah anak yang berjaya pula, ilmu yang ditimba itu tidak diamalkan sebaiknya bahkan ia begitu rapuh hilang daripada ingatan selepas berakhirnya peperiksaan atau pengajian. Semudah hilangnya nota-nota atau buku-buku rujukan dari pandangan mata.

Mungkin juga gejala-gejala seperti merasuah dan pecah amanah berlaku disebabkan kedangkalan ilmu atau hanya kelihatan pandai tetapi tidak beramal dengan ilmunya.

Inilah antara senario yang biasa berlaku dalam masyarakat kita. Roh ilmu itu tidak benar-benar meresap di dalam diri sejak kecil, kerana ilmu pengetahuan dicari bersandarkan matlamat-matlamat yang orientasinya kurang tepat - tetapi tidak salah.

Ilmu itu sebenarnya perlu dicari, dipelajari dan dihayati secara istiqamah. Bak kata pujangga, "gersang bumi tanpa hujan, gersang minda tanpa ilmu, gersang jiwa tanpa amal, gersang hati tanpa iman".

Sejak kecil lagi, anak-anak perlu dididik bahawa ilmu pengetahuan bukan hanya untuk dicari dan dipelajari, bahkan ia diamal dan diniatkan kerana Allah SWT. Menurut perspektif Islam, dengan cara itu dapat meningkatkan darjat hidup manusia di dunia dan akhirat.

Ibu bapa sebagai role model yang paling rapat dengan anak-anak wajar memberikan misalan terbaik dalam mendasari kaedah mengamalkan ilmu.

Cara paling mudah adalah untuk menunjukkan minat dan sokongan padu terhadap anak-anak. Contohnya, mengambil berat keperluan dan perkembangan pelajaran mereka dengan meluangkan masa membantu atau bertanyakan kerja rumah yang diberikan guru. Selain itu, mereka juga boleh dinasihati agar memelihara kemurnian ilmu untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Dalam hal beramal misalnya, ibu bapa boleh mengajak anak-anak mengerjakan solat pada awal waktu, tidak culas melaksanakan puasa sunat serta bertadarus bersama-sama. Ini merupakan contoh kaedah pengamalan ilmu yang diperoleh secara hands-on atau praktis secara langsung. Barulah ilmu itu tepat dengan sasaran "dari mata turun ke hati, lalu kekal tersemat di dalam jiwa dan pemikiran."

Dalam hal moral dan tatasusila, ibu bapa wajar menunjukkan contoh pekerti mulia seperti tidak merokok, menjaga percakapan daripada mengumpat atau menutur kata-kata kesat, menjaga adab-adab berjiran, dan sebagainya.

Dengan cara ini, anak-anak akan lebih jelas bahawa ibu bapanya tidak menunjukkan tindak-tanduk yang kontra dengan apa yang dipelajari di sekolah.

Kaedah-kaedah yang dicadangkan sebenarnya tidak sesukar mana dan memerlukan komitmen yang berterusan daripada ibu bapa.

Pokok pangkalnya, sekelumit contoh yang diberikan penulis di atas adalah diyakini mampu menjadi pencetus yang signifikan dalam menceritakan kepentingan mengamalkan ilmu kepada anak-anak.

Ia mampu menjadi pencetus terbaik bagi mereka menjiwai bidang-bidang ilmu yang akan diterokainya kelak bahkan memberikan pulangan lebih lumayan dan terkesan dalam membangunkan martabat anak-anak, ibu bapa, masyarakat, agama dan negara.

Siapa Yahudi? Siapa Orang Islam?

Salam. Ini artikel menarik for us to ponder. It might been ages since it has been published in Utusan Malaysia, however, it's far tooooo worthwhile for us to read, think about it, and have a go on improving ourselves!


Siapa Yahudi? Siapa Orang Islam? (14/1/2009, Utusan Malaysia)

SEJAK 18 hari ini seluruh dunia meratap gara-gara kezaliman Israel. Tentera Zionis terus-menerus mengebom, mengganyang rakyat Palestin. Israel, nampaknya terlalu berkuasa.

Saya tidak 'berkuasa' lagi untuk mengulas panjang mengenai peperangan sebelah pihak itu. Tapi saya ingin berkongsi dengan pembaca sekelian, siapa sebenarnya Yahudi ini dan mengapa mereka terlalu berkuasa.

Kita harus kaji secara akademik, ilmiah untuk mengetahui siapa mereka ini.

Saya amat tertarik dengan tulisan seorang penulis bebas, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan, Dr. Farrukh Saleem (rujukhttp://www.masada2000.org/Powerful-Jews.html) mengenai soal tersebut. Jadikanlah tulisan itu sebagai tatapan dan renungan kita semua - ke mana kita dan ke mana umat Islam harus pergi selepas ini. Dan, siapa yang harus disalahkan? (Nota: Sedikit sebanyak ia juga akan menjawab surat-surat dan SMS yang dihantar untuk ruangan Forum, Utusan Malaysia yang meminta ditonjolkan apakah produk di belakangnya Yahudi).

Begini tulisan beliau:

Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?

Siapa mereka ini?

Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian.

Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana kajian mengenai transmisi neuromuskular.

Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia).

Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.

Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.

Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).

Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).

Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).

Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).

Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia.

Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.

Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.

Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?

Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.

Mempengaruhi

Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.

Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah Yahudi.

Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?

Jawapannya: Pendidikan, pelajaran, ilmu.

Mengapa umat Islam terlalu lemah?

Dianggarkan 1,476,233,470 Muslim di atas muka bumi Allah ini. Satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di Amerika. Setiap lima insan manusia ialah Muslim. Setiap seorang Hindu ada dua orang Islam, setiap seorang Buddha ada dua orang Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus orang Islam. Mengapa orang Islam terlalu lemah?

Ini jawapannya: Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti; atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam.

AS mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian 'Kedudukan Akademik Universiti-universiti Dunia' - dan menakjubkan - tiada satu pun universiti-negara Islam yang berada di puncak 500.

Data yang dikumpul dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara itu mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus semuanya celik huruf.

Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50 peratus di negara majoriti Islam. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus di negara majoriti Islam.

Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta).

Negara Islam membelanjakan 0.2 peratus daripada KDNK untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebaliknya, di negara maju membelanjakan 5 peratus daripada KDNKnya.

Kesimpulan: Dunia Islam kurang keupayaan untuk menghasilkan ilmu pengetahuan.

Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap sejuta orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat.

Di Pakistan, hanya ada 23 akhbar harian per 1,000 rakyat Pakistan sementara nisbah di Singapura ialah 360. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir ialah 20.

Kesimpulan: Dunia Islam gagal menyalurkan ilmu pengetahuan.

Yang menariknya, jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 buah negara ahli OIC ialah di bawah AS$2 trilion. Amerika sahaja, menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai AS$12 trilion, China AS$8 trilion, Jepun AS$3.8 trilion dan Jerman AS$2.4 trilion.

Pengeluar minyak yang kaya, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar secara rangkuman menghasilkan barangan dan perkhidmatan (rata-rata minyak) bernilai AS$500 bilion; Sepanyol sahaja menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai lebih AS$1 trilion, Poland AS$489 bilion dan Thailand AS$545 bilion.

Jadi, mengapa orang Islam tidak berkuasa dan orang Yahudi paling berkuasa?

Jawapannya ialah: Kurangnya ilmu. Kurangnya pendidikan dan kurangnya pelajaran.

Tuesday, July 14, 2009

SAYA YANG MENURUT PERINTAH!

Tak dapat dinafikan, kalau kita selalu terima surat daripada mana2 agensi atau pejabat swasta dan kerajaan terutamanya, di penghujung surat sebelum tandatangan pengirim pasti ada satu clause 'SAYA YANG MENURUT PERINTAH'. Saya- penjawat jawatan, menurut- patuh dan setia, perintah - arahan, permintaan, suruhan. Secara umumnya, ini menunjukkan pengirim surat ini adalah pekerja, kakitangan, orang bawahan, orang suruhan yang berdedikasi, amanah. Ini bagus, barulah namanya ikut dan taat kepada suruhan pemimpin.


Tapi, ada kalanya, Saya Yang Menurut Perintah ini membuta tuli saja dalam menuruti kata-kata dan perintah orang atasannya. Tiada kompromi, kena buat, terpaksa, dipaksa, tak boleh persoal. Turut saja perintah, jangan bantah, jangan betah! Kalau arahannya 'kau pergi buat itu benda' tujuannya positif, tak ape. tapi, kalau perintahnya itu 'kau pergi buat itu benda' tujuannya jahat, negatif...aaa itu kenalah kita fikir2kan masak2.

Aku mengomel hal Saya Yang Menurut Perintah ni, bukan apa. Melalui pengalaman kerja di organisasi-organisasi lepas, aku tengok ada sebilangan kawan2 especially dalam barisan perkeranian atau PAR-pembantu am rendah, selalu terpaksa sebut 'Saya Yang Menurut Perintah' dalam konteks yang salah..sedih. Saya Menurut Perintah, pergi bayarkan bil2 api air boss kat pos opis..walhal, perintah itu PERLU dilaksanakan dalam waktu bekerja. Saya Yang Menurut Perintah, pergi belikan teh tarik dan roti canai untuk supervisor, walhal itu tak termasuk dalam deskripsi kerja masa mula2 sain kontrak kerja dulu. Dan macam2 lagilah kes-kes saya yang menurut perintah yang bersifat sembrono..tak boleh kata tidak.

Kesian, kadang2, bila difikir, orang-orang ni berada di ranking bawahan di opis, jadi mereka tak ada 'suara' untuk menidakkan perintah yang tak betul. Bos atas dia ada degree, ada jawatan..mereka? Sorang kakak sama tempat kerja dulu2 ada pernah cakap "kalau betah karang, kena buang kerja". "Nak muncung2 pun tak guna, dia bukan paham kita". Aku diberitahu sesetengah kawan2, based on pengalaman kerja mereka dulu2, sampai terasa macam tak aman nak bekerja, sebab asyik sangat ikut perintah orang atas. Contoh kes--Hari ahad pun kena datang office, atau pergi buat promotion ke hulu ke hilir..tak boleh tidak..kalau tak, tak boleh confirm kerja, tak boleh 'menyinar', takde 'prospek' di masa depan, silap2 senang2 je dapat surat cinta terakhir daripada boss b4 di'kick-out' dari opis..perghhh kata mereka..macam mana nak produktif kalau workloads terlalu tinggi, work-life balance takde, rehat tak cukup kan? Sesetenah orang ni, kejar sangat kekayaan, sampai lupa nak jaga perasaan pekerja. Dalam tangan ada kuasa kan? tu yang rasa cam meleh-leleh air liur sebab rasa seronok perintah orang buat itu dan buat ini.. upah yang diberi, tak setimpal pulak tu dengan beban kerja yang diberi....kesian mereka.

Itu yang buat aku rasa bersyukur sangat kepada Allah SWT. sebab aku dapat tempat kerja yang 'saya yang menurut perintah tetapi bersifat munasabah saja bah!'.

Artikel di Berita Harian hari ini 14 Julai 2009 menarik perhatian aku. Aku ingin sangat kongsi2kannya dengan anda semua. Berpada2lah memerintah orang dan menerima perintah. Maksud aku, selagi perintah itu tak terkeluar dari landasan syarak dan mampu kita laksanakan...maka dipersilakanlah mengikut perintah itu. Andai perintah itu memudaratkan, silalah fikir2kan, dan cari kaedah terbaik untuk bekerja secara halal. Maksud aku, sebagai pemberi perintah, kau fikirlah apakah pertimbangan yang kau akan peroleh di akhirat kelak akibat perintah 'tak betul' yang kau berikan pada pekerja kau. Sebagai penerima perintah, berdoalah kepada Allah dan bertawakkal, andai sudah tiada daya dan tiada kemampuan untuk menolak perintah 'tak betul' dan tiada daya untuk oppose bos/org atas ko. Semoga kita mendapat hidayah-Nya amin.

*****************************

Tafsiran salah ‘ Saya yang menurut perintah’ harus diperbetul

SAYA yang menurut perintah” adalah amalan yang sebati dipegang dalam sektor awam. Frasa itu difahami dan diamalkan secara menyeluruh, baik pada peringkat jawatan rendah mahupun yang tinggi. Pasti ada sebabnya kenapa frasa itu begitu sinonim dengan penjawat awam.

Bagi penulis sendiri, frasa itu mempunyai tujuan baik iaitu untuk melancarkan kerja dan memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Bagaimanapun, adakah kefahaman penulis turut difahami seluruh penjawat awam? Atau, timbul salah faham sehingga menyebabkan kewujudan frasa itu menimbulkan pelbagai masalah lain.

Penulis berpendapat, wujud salah faham tertentu terhadap penggunaan frasa ‘Saya yang menurut perintah’. Salah faham itu akhirnya menimbulkan masalah tertentu yang memberi kesan kepada mutu kerja di kalangan penjawat awam.

Pertamanya, frasa itu menyebabkan ramai penjawat awam bekerja tanpa berfikir. Setiap arahan dilaksanakan tanpa ada yang berani menyoal kembali arahan itu. Malah, adakala pekerja memilih melaksanakan juga arahan walaupun ada cara lain lebih mudah dan menjimatkan.

Justeru, salah faham terhadap frasa itu boleh mengekang kreativiti dan inovasi kakitangan awam. Perkara ini sebenarnya diakui, jika tidak masakan kerajaan bersungguh-sungguh mengadakan anugerah inovasi yang bertujuan menggalakkan inovasi di kalangan penjawat awam.

Malah, dalam keadaan tertentu, ramai kakitangan awam tidak berani melakukan sesuatu perkara baru, walaupun diakui perkara baru adalah satu bentuk perkhidmatan yang dapat memuaskan hati pelanggan atau rakyat.

Oleh itu, sering kali kita mendengar jawapan: “Saya tidak tahu encik, saya ini menjalankan tugas saja”. Ia juga sebenarnya adalah bayangan salah faham terhadap arahan ‘Saya yang menurut perintah’ tadi.

Oleh kerana menurut tanpa usul periksa, maka ramailah pekerja membuat kerja mengikut rentak ketua semata-mata. Ia akhirnya menutup ruang untuk perkembangan kreativiti dan inovasi. Akhirnya, sektor awam kekal cara kerjanya yang lambat, tidak konsisten dan tidak berani membuat keputusan.

Selain menutup ruang kreativiti dan inovasi, amalan ‘Saya yang menurut perintah’ juga dikhuatiri boleh menimbulkan penindasan di kalangan kakitangan awam terutama pada peringkat rendah. Amalan itu boleh disalahgunakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab untuk kepentingan sendiri atau mengenakan orang lain.

Sebenarnya, menurut perintah adalah dituntut dalam pandangan Islam seperti wajib menurut perintah pemerintah. Arahan untuk mengikut perintah bukan bertujuan menyeksa umat Islam tetapi demi kesejahteraan dan kelancaran hubungan antara pemerintah dan rakyat. Jika dilaksanakan dengan baik, tuntutan itu akan menguatkan negara.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu wajib patuh dan setia sama ada dalam keadaan susah mahupun senang, disukai atau dibenci dan biarpun merugikan kepentinganmu.” (Hadis riwayat Muslim)

Bagaimanapun, dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mendengar dan mematuhi itu wajib ke atas setiap orang Islam sama ada dalam perkara yang ia suka atau tidak suka, selagi ia tidak disuruh melakukan maksiat. Apabila disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi didengar dan dipatuhi.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Jelas pada pandangan hidup Islam, ada syarat tertentu yang perlu diikuti jika sesuatu perintah ingin dipatuhi. Oleh itu, kenapa wujudnya kepatuhan amalan ‘Saya yang menurut perintah’ tanpa ada kekecualian? Bukankah kita semua diberi akal fikiran untuk menyatakan pandangan terhadap sesuatu arahan yang tidak munasabah?

Oleh itu, amalan ‘Saya yang menurut perintah’ yang menidakkan peluang untuk berfikir dan menyatakan pandangan seseorang sebenarnya sudah ketinggalan zaman. Pada masa ini, pekerja seharusnya diberi peluang melaksanakan kerja mengikut kreativiti masing-masing.

Ia tidaklah bermakna ketua tidak perlu langsung memberikan arahan atau tunjuk ajar. Pekerja perlu dibimbing dan pada masa sama, kebolehan dan bakat mereka melaksanakan kerja perlulah diiktiraf, bukannya semata-mata berpegang kepada amalan ‘Saya yang menurut perintah’.

Oleh itu, kewujudan salah faham sebegini harus diperbetulkan dengan segera jika kita ingin menjadikan perkhidmatan awam lebih berkesan.

Penulis ialah Felo Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia


Monday, July 6, 2009

Menangani Stres Berdasarkan Ajaran Islam

Ini artikel aku yang pertama kali diterbitkan Utusan Malaysia dalam ruangan agama (Ahad, 5 Julai 2009). Aku harap ia dapat memberi sedikit sebanyak panduan kepada umum bagaimana untuk menangani tekanan berpandukan ajaran Islam. Isi yang aku serlahkan dalam artikel ini terlalu diskrit. Terserah kepada pembaca untuk menerokai kaedah-kaedah saranan aku, mahupun kaedah-kaedah lain yang berteraskan ajaran Islam sebagai pedoman mengatasi tekanan hidup. Hidup tanpa cabaran, bagaikan membawa kereta di jalan yang lurus...luruuuussss sampai ke penghujung horizon . ;p tak syiookk.. kan best kalo dapat bawak kereta umpama jalan raya dari Seremban ke Segamat, banyak benor selekoh-selekoh maut yang kena ditempuh, banyak kali juga tersekat-sekat pedal minyak membontoti lori-lori besar yang dipandu 10km sejam, kampung dan desa yang melambakkan lembu di tengah-tengah jalan, dan pak polisi yang setia menyorok di balik semak, menembak kereta yang dipandu 'lebih sikit' dari had lajunya! Barulaaa thrill! Stress sikit, tapi kalau bijak mengawalnya..jadi satu kejayaan dan kebanggaan kalau dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sejahtera! samalah jugak hidup kita ni..tanpa stress ibarat bunga tanpa warna, ibarat laut tanpa pantai, ibarat buaya tanpa gigi (apa daa aku melalut!)

***************************
http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0705&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Menangani stres cara Islam
Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR

Dunia pekerjaan memang memberikan pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja.
Tekanan disebabkan pekerjaan merupakan interaksi kompleks di antara persekitaran di tempat kerja, personaliti dan reaksi tubuh badan dan mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan dan tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal.

yang terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik, ketua yang suka marah-marah dan suasana kerja yang tidak selesa adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif. Tekanan ini seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi seseorang individu sekiranya ia tidak ditadbir dan tidak dikawal dengan metodologi yang tepat.

Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan, dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.

Kadang kala, ada dalam kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah dalam mengatasi tekanan seperti ponteng kerja, melakukan masalah disiplin di tempat kerja, merokok, meminum arak dan sebagainya.

Berlaku juga kes-kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja melepaskan tekanan di rumah yang mewujudkan pula masalah rumahtangga seperti pertengkaran dengan pasangan hidup, mendera anak, dan sebagainya.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam.
Islam telah menetapkan bahawa seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan Allah SWT.
Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan sebegini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156, maksudnya: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Sebagaimana ketentuan Allah SWT bahawa setiap apa yang ada di dunia ini berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan perempuan, begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan dugaan. Kita harus menerima hakikat bahawa kehidupan manusia akan selalu diuji oleh Allah SWT.

Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai keimanan, ketaqwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya.

Apabila kita yakin, dengan izin Allah SWT, segala permasalahan yang membelenggu diri akan dirungkaikan dan akhirnya kita berjaya menghadapi tekanan dengan tenang dan berjaya.
Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 4 maksudnya: "(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.'
Kaedah

Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan. Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat.

Banyak kajian pakar psikologi barat sendiri yang telah memperakukan fadilat solat dalam
memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang. Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya solat merupakan suatu tempoh masa 'aman dan damai' di mana seluruh tubuh dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT).
Gerakan-gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon-hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan.

Solat turut membantu memberi intervensi positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung, dan gelombang otak.

Daripada konteks Islam, dengan mendirikan solat fardu lima waktu dan dilengkapkan dengan amalan solat-solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan oleh Allah SWT dalam sebarang kesukaran seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153 maksudnya: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.'

Keduanya, dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra'd ayat 28 maksudnya: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.'

Ketiganya, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa, 'al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda' (riwayat Bukhari).
Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini adalah kerana al-Quran (dan al-hadith) merupakan sumber teragung dalam merungkaikan segala permasalahan manusia.

Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jua tempat yang kekal selama-lamanya.
Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa sahaja yang berlaku di dunia ini baik ia bersifat positif ataupun negatif adalah sekadar 'warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama' dan akan mendapat balasan yang setimpalnya di akhirat kelak.
Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha mencari keredhaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.

Kelimanya, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60 bermaksud: Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina."

Jika diri kita telah bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan, mengikut saluran dan kaedah yang tepat, maka kita juga perlu bersifat tawakkal dan ikhlas menerima segala ketentuan-Nya.

Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar bahawa ianya boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud: "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku." Jika hati dan pemikiran kita sentiasa bersandarkan kepada sifat tawaduk, yakin dan syukur kepada Allah SWT, maka diri kita akan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya dalam menangani segala tekanan tersebut.

Sifat Dendam Yang Sukar Dirungkai!

aku letak artikel menarik ini (Dengki, dendam senjata syaitan rosakkan ummah) untuk tatapan diri sendiri terutamanya dan kawan2 lain. Aku secara peribadi memang ada berdendam-dendaman. Sukar nak merungkaikan perasaan dendam, sebab memang dah lumrah manusia biasa yang lemah, dendam bertapak dalam diri kerana 'terkena' atau sengaja dikenakan' atau 'asyik terkena dengan orang-orang yang sama'. Entahla.. dalam bab-bab camni, setan memang suka menghimpit. baik yang mengenakan orang (tu dah confirmla kan!) mahupun yang dikenakan orang (nak suruh balas balik mende yang sama). Maka terus-terusanlah persengketaan itu akan berlaku, berlarutan tak berpenghujung. Maka, Islam menganjurkan, maaf-memaafkanlah sesama sendiri. Full Stop! settle masalah.

Tapi, kalau dah bermaaf-maafan, dah mohon ampun 'setulus hati', takmo buat lagi perbuatan 'mengenakan' orang, dan berharap 'tak dikenakan' lagi..aleh2 tengok belakang itu worang yang sama tetap mahu 'mengenakan' diri kita, apa mao cakap? apa mao buat? geram? marah dan dendam kembali semarak? Entahlah... Inilah pulak kategori manusia yang dipanggil dengki khianat. Tak suka tengok orang lain lebih dari diri dia, tak suka tengok orang lain senang, bahagia, aman, tenteram. adeee je salah silap orang yang nampak dalam anak mata dia, adeee aje buruk negatif orang pada pandangan dia. Buatlah baik macam mana pun, takkan nampak baik dalam pandangan manusia pendengki ni. Buatlah sopan macam mana pun, tetap nampak jijik dan jahat di mata manusia yang tinggi nilai hasad dan dengki ni...

Semoga Allah SWT sentiasa memandu setiap gerak-geri, pemikiran, percakapan dan niat kita, agar tergolong dalam golongan orang yang beriman, sabar, adil, bijaksana, dan beriman...amin ya rabb!

************************

Dengki, dendam senjata syaitan rosakkan ummah
Oleh Amran Zakaria


Sikap kasar, keras kepala serta berhati batu penghalang utama perasaan saling bermaafan AL-IMAM Al-Ghazali berpandangan bahawa iman yang sempurna adalah menyucikan hati daripada sifat keji dan menanamkan segala sifat terpuji. Hati yang bersih akan melahirkan perlakuan yang baik dan selamat pada landasan yang betul dalam amalan agama. Orang berhati bersih akan turut menjaga mulut, lidah serta perlakuannya supaya tidak melampaui batas dibenarkan agama. Hati yang sihat dan bersih mengikut tapisan agama akan menampilkan akhlak terpuji sementara hati yang kotor melahirkan keperibadian buruk dan merosakkan. Dalam satu pengajian di masjid, Rasulullah SAW ada mengkhabarkan kehadiran seorang calon penghuni syurga di tengah mereka. Orang itu tidak dikenali oleh sahabat, bahkan namanya tidak popular sebagai seorang tokoh ibadat.

Sahabat berasa cemburu dengan keistimewaan yang ada pada diri orang itu selepas Rasulullah SAW mengesahkan dirinya sebagai calon penghuni syurga. Salah seorang sahabat, Abdullah bin Amr, bertekad memantau dari dekat orang berkenaan untuk mengetahui apa keistimewaannya. Abdullah lalu meminta izin untuk bertamu di rumah orang itu selama tiga hari. Ketika menjadi tetamu, Abdullah melihat secara langsung bentuk amalan tuan rumah, gerak gerinya, tutur katanya dan cara ibadahnya. Hampir-hampir beliau tidak tidur kerana ditakuti jika ada amalan tuan rumah yang tidak dapat disaksikannya. Namun, Abdullah tidak mendapati apa-apa amalan yang istimewa berbanding sahabat lain. Amalannya biasa-biasa saja seperti diajarkan Rasulullah SAW.

Sebelum pulang, Abdullah pun bertanya secara terus akan amalan istimewa tuan rumah untuk dilakukannya. Jawabnya: "Tidak ada, selain yang engkau sudah lihat. Aku belum pernah melakukan kepalsuan terhadap siapa pun daripada kalangan umat Islam. Dan aku tidak pernah hasad (iri hati) kepada seseorang yang dianugerahi (nikmat) oleh Allah. Abdullah berkata: Itulah (sebenarnya) yang dapat meningkatkan darjatmu." Jelas perasaan dengki, dendam, marah dan perlakuan buruk kepada sesama Muslim adalah satu senjata pemusnah yang digunakan syaitan untuk memporak-perandakan hidup manusia. Lalu dibisikkan ke telinga manusia untuk menyemarakkan api kemarahan dan mendorong dendam. Perlakuan buruk itu akan menghindari kita daripada berusaha meningkatkan ukhwah dan persaudaraan, apa lagi untuk saling bermaafan sesama kita.

Sikap ini pasti menjauhi lagi hubungan silaturahim yang dituntut agama. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah daripada (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang beriman berduka cita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jugalah hendaknya orang beriman berserah diri." – (Surah Al-Mujadalah, ayat 58)

Justeru, penting bagi kita untuk mengawal perasaan dendam dan marah supaya terbuka pintu kemaafan di hati kita terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Sikap mengawal marah ini dititikberatkan Rasulullah SAW apabila seorang sahabat meminta nasihat. Baginda bersabda yang bermaksud: "Jangan marah. Kemudian orang itu mengulangi permintaannya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi Baginda SAW menjawab: Jangan Marah." – (Hadis riwayat Bukhari)

Allah juga akan memberi ganjaran besar bagi mereka yang mampu mengawal perasaan marah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa yang menahan perasaan marah sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya (melepaskan kemarahannya), maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di hadapan sekalian makhluk, kemudian disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya." – (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Untuk meredakan perasaan marah terhadap seseorang, hendaklah kita fokuskan jiwa melihat seteru kita daripada sudut positif. Mungkin ada banyak perkara baik pernah dia lakukan terhadap kita dan renungkanlah secara mendalam bagi memadamkan api kemarahan yang wujud dalam jiwa. Contohnya, apabila kita marah melihat kesalahan dilakukan isteri maka hendaklah kita fokuskan perbuatan baik yang pernah dilakukannya sepanjang perkahwinan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredai akhlaknya yang lain." – (Hadis riwayat Muslim)

Perasaan marah yang tidak dapat dilenyapkan akan mewujudkan perasaan dendam. Maka hati akan berasa berat untuk memaafkan seseorang dan terbitlah perasaan benci serta ingin menjauhkan diri daripada orang itu. Perasaan dendam juga akan menyebabkan kita menghukum pihak yang melakukan kesalahan dengan pelbagai perkataan buruk hina lagi mengaibkan yang tidak patut keluar daripada lidah jika kita benar-benar beriman kepada Allah. Hendaklah kita sedaya-upaya menghindari untuk membalas kejahatan dilakukan orang lain dengan kejahatan atau mencela dan mengaibkan mereka. Jangan kita membalas celaan dengan celaan, umpatan dengan umpatan, caci-maki dengan caci-maki kerana ia hanya akan mengeruhkan suasana. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jika ada seseorang mencelamu dengan sesuatu noda yang ada dalam dirimu, maka janganlah mencelanya dengan menunjukkan suatu noda yang ada di dalam diri orang itu." –(Riwayat Imam Ahmad daripada Jabir bin Muslim)

Antara batu penghalang utama untuk kita menerapkan perasaan saling bermaaf-maafan adalah sikap yang kasar, keras kepala dan berhati batu. Oleh itu sikap lemah lembut dalam pergaulan seharian wajar menjadi sifat umat Islam terpuji. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan mencintai kelembutan dan Dia memberikan atas (sebab) lemah lembut apa yang tidak Dia berikan atas (sebab) kekerasan dan yang tidak yang tidak dia berikan atas (sebab) selainnya." – (Hadis riwayat Imam Muslim)

Allah menganugerahkan kepada Nabi dan Rasulnya sikap lemah lembut terhadap umat manusia dan sikap itu adalah daya tarikan terhadap dakwah mereka. Melalui sikap lemah lembut ini jugalah memunculkan sifat suka memaafkan kesalahan pihak lain. Firman Allah yang bermaksud: "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan mohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau sudah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya." – (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)

Sunday, July 5, 2009

Minggu Orientasi Universiti -- Minggu Ragging?

Selamat datang ke menara gading buat pelajar2 baru di semua IPTA dan IPTS. Selamat kembali ke kampus buat mahasiswa-mahasiswi yang telah atau baru bergelar 'senior'. Selamat bersibuk-sibuk dengan kuliah, dengan temujanji bersama pensyarah, dengan susunatur jadual belajar yang kembali padat, dengan buku-buku dan nota yang membukit untuk ditelaah..namun, inilah pahit manis dunia universiti, yang suatu hari kelak akan dirindui kalian semua, sebagaimana kami yang dah bertahun2 meninggalkan alam pengajian tinggi ini.

Aku nukilkan satu artikel yang disiarkan oleh Berita Harian 29 Jun 2009 yang lepas berkaitan Minggu Haluan Siswa a.k.a minggu orientasi a.k.a minggu taaruf dan sebagainya.

**********************

Orientasi IPT mesti berunsur keintelektualan

SEJAK bertahun-tahun dulu, pihak universiti menganjurkan minggu orientasi dinamakan sebagai minggu interaksi, minggu haluan siswa atau minggu taaruf pada awal kemasukan siswa baru ini. Penganjuran minggu orientasi di institusi pengajian tinggi (IPT) kebiasaannya diterajui Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan dibantu Majlis Perwakilan Mahasiswa, persatuan Pelajar dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa.
Minggu orientasi sangat besar impaknya dalam menyuluh jalan tepat untuk diteladani siswa baru dalam mengharungi dunia menara gading yang serba asing ini. Misalnya, aktiviti pengenalan kepada polisi dan peraturan universiti berperanan memandu arah siswa baru mengenai hala tuju universiti.
Aktiviti debat antara siswa memberi panduan supaya siswa bijak mengolah dan mengutarakan pendapat dan bangkangan. Aktiviti keagamaan seperti muzakarah, usrah dan perbincangan moral mengajak siswa untuk berpegang teguh dengan panduan agama masing-masing. Aktiviti kesukanan mencetus kepada gaya hidup siswa yang sihat. Aktiviti kemasyarakatan pula menyerlahkan bahawa siswa begitu besar tanggungjawabnya kepada perkembangan komuniti dan sosial.

Namun, kejayaan pihak universiti mengadakan minggu orientasi yang sempurna akan tercalar jika ada anasir yang tidak memenuhi aspirasi universiti. Dalam kes yang pernah berlaku sebelum ini, rungutan diluahkan sebilangan ibu bapa dan penjaga mengenai sesuatu yang ‘menyimpang’ berlaku kepada anak mereka menjelaskan segala-galanya.
Misalnya, wujud program sampingan yang dianjurkan siswa senior untuk menunjukkan ‘senioriti’ masing-masing dengan memaksa siswa baru membasuh baju mereka, membuat sesuatu yang tidak masuk akal seperti meniup lampu kalimatang hingga padam, memberi gelaran nama yang buruk dan memalukan kepada siswa baru, dan sebagainya. Pihak universiti dan Majlis Perwakilan Mahasiswa bertanggungjawab untuk menghindarkan program yang tidak berasas sebegini.
Beberapa cadangan seperti berikut boleh dijadikan pertimbangan pihak universiti untuk memastikan kelancaran dan kemurnian minggu orientasi siswa ini.

:: Pihak universiti perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap pelajar senior yang didapati membuli pelajar baru bukan saja dalam minggu orientasi bahkan pada sepanjang masa. Ini dapat memberi pengajaran kepada semua siswa bahawa membuli adalah satu kesalahan yang sangat serius dan dilarang.
:: Pemilihan ahli jawatankuasa penganjur dan fasilitator di kalangan siswa perlu dilaksanakan dengan lebih teliti. Hanya mereka yang benar-benar matang, serius, menunjukkan sifat kepemimpinan dan berakhlak terpuji yang dipilih.

:: Semua aktiviti yang dianjurkan sepanjang minggu orientasi perlu dikawal, dipantau dan diaudit sepenuhnya bagi mengelak sebarang aktiviti yang bercanggah dengan matlamat sebenarnya dalam minggu orientasi.
::Siswa baru diberi ruang seluasnya untuk membuat aduan sekiranya berlaku sebarang aktiviti buli atau tidak relevan yang berlaku kepada mereka ketika dan selepas minggu orientasi. Ia akan menjadi satu bentuk jaminan bahawa universiti benar-benar bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka dan mereka tidak perlu gusar dan takut dengan sebarang tindakan negatif senior mereka.
:: Perlu ada mekanisme kawalan secara langsung terhadap semua aktiviti dilaksanakan sepanjang minggu orientasi daripada pegawai universiti yang bertanggungjawab. Pegawai seperti di Unit Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti, serta pengurus dan felo asrama perlu secara langsung mengawal selia perjalanan setiap program yang dianjurkan.

Semua pihak perlu ingat bahawa Falsafah Pendidikan Negara meletakkan justifikasi yang tinggi untuk melahirkan graduan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek dan ber-keupayaan menyumbang ke arah pembangunan negara secara total. Untuk itu, sekiranya anasir negatif telah sedia wujud sejak minggu orientasi lagi, dikhuatiri matlamat melahirkan siswa cemerlang, gemilang dan terbilang akan terjejas.
Jika minggu orientasi di universiti terjamin 100 peratus menepati sasaran keintelektualannya, maka sudah tentulah semua pihak akan menghela nafas kelegaan. Ia juga akan menambah keyakinan ibu bapa dan penjaga untuk melepaskan anak-anak mereka hidup secara berdikari di menara gading, dan seterusnya berjaya menggenggam segulung ijazah pada akhir pengajian nanti.

Related Posts with Thumbnails