Monday, June 28, 2010

Al Fatihah buat cikgu Habibah...cikgu sejati....

Terkejut aku, bila ayah bagitahu melalui perbualan kami di YM tadi yang Cikgu Habibah telah meninggal dunia pada hari semalam Ahad kurang lebih jam 9.30 malam.

Aku ingin ambil ruang ini untuk mengucapkan takziah buat ahli keluarga Allahyarhamah Cikgu Hajjah Habibah binti Mohd Ali di atas pemergian Allahyarhamah menyambut seruan Ilahi. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarhamah akan dilapangkan ruang kuburnya, digolongkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan ditempatkan dalam golongan ahli-ahli syurga kelak.

Aku secara peribadi, berasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah Cikgu Habibah yang mana dia merupakan insan yang sangat signifikan dalam kehidupan aku. Begitupun, Allah lebih menyayangi Allahyarhamah, maka semua orang harus terima ketentuan ini dengan hati terbuka.

Allahyarhamah telah banyak menaburkan bakti dan jasa buat anak-anak bangsa dengan memainkan peranannya sebagai seorang cikgu yang sejati. Cikgu Habibah akan sentiasa aku kenang sebagai cikgu yang bertanggungjawab besar dalam membentuk diri aku, kejayaan aku dan peribadi aku sebagaimana aku sekarang. Banyak sungguh nasihat, pedoman, tunjuk ajar, panduan, bimbingan yang diberikan oleh Cikgu Habibah pada aku semasa aku bersekolah kat SK Gemereh dulu yang menjadi azimat hidup aku yang masih aku pegang sampai sekarang. Masih terngiang-ngiang di telinga aku akan nasihat-nasihatnya yang sangat-sangat terkesan dalam membentuk peribadi hidup aku.

Cikgu Habibah,

Saya mewakili semua generasi anak-anak muridmu yang sempat bergelar 'anak didikmu', kami ucapkan JUTAAN terima kasih atas keluhuran dan kesungguhanmu mendidik kami sehingga kami berjaya mengenal erti kehidupan. Kami doakan kesejahteraan hidupmu di akhirat kelak, semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya yang tidak terhingga buat rohmu yang sungguh suci dan murni peribadi dan pengorbanannya pada pandangan masyarakat .

AL-FATIHAH buat Allahyarham Cikgu Habibah yang kami kasihi.....

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails