Sunday, June 28, 2009

Batallah imanmu jika Allah kauduakan...

Wana'uzubillahiminzalik.



Syirik. Satu persoalan yang ditanyakan Encik Aleh dalam study circle kaum bapak di Dumberton St malam jumaat lepas. Panjang lebar jugaklah Ustaz Khairul al-hafiz menjawab dan menghuraikan akan perkara syirik dan dosanya.

Kemudian, aku pula ajukan satu lagi soalan tentang syirik besar, syirik kecil kepada ustaz. Dan ingin sekali aku kongsikan kepada kawan2 intipati penerangan ustaz Khairul akan satu jenis syirik yang dipanggil syirik Khafi, atau syirik tersembunyi/syirik kecil.


Akan syirik jali/syirik nyata, tidak dapat dinafikan lagi itulah perbuatan melampau yang perlu dihindarkan agar jangan sekali-kali dilakukan oleh kita, khalifah Allah. Antara syirik jali itu adalah menyembah segala sesuatu selain Allah SWT, bertenung nasib, percaya pada kuasa selain Allah dan sebagainya.

Perihalnya syirik jali ini, agen2 setan yang feymes dalam kalangan masyarakat kita antaranya tak lain tak bukan tok bomoh, tok pawang, dan segala jenis tok-tok yang secara absah mahupun abstrak menyekutukan allah baik dari segi kepercayaan, perbuatan dan percakapan mereka. Masyarakat kita pula, sebilangannya terlalu mengagung2kan tok-tok ni, hingga segala cakap dan arahan mereka digunapakai sebagai 'panduan hidup'...wanauzubillah! ditanya, adakah kamu rasa kamu terpesong sudah dari kepercayaan kepada Allah? angkuhnya mereka menjawab 'manusia jenis apakah kamu ini yang sewenang2 mahu melabel, menuduh kami tidak percaya kepada Allah? kami masih sembahyang, masih puasa, masih beribadat seperti sepatutnya, bahkan aku lebih dulu naik haji daripada kau! aku jumpa itu bomoh adalah sebagai satu usaha untuk memperbaiki keadaan diriku, itu tak salah!' aiyyaaa...ini orang..sudah salah, lagi mau menidakkan. bertepukan gemuruhlah syaitan mendengar ini orang sudah masuk jerat dan perangkapnya. 'bertambah geng kita kat neraka beb', ujar sekor setan kepada sekor setan lagi.

Darihal syirik kecik/syirik tersembunyi/syirik khafi pulak, dikiaskan oleh Rasulullah SAW ianya sebagai 'seekor semut yang berwarna hitam, melata di atas batu berwarna hitam, pada malam yang gelap pekat'. Ia boleh wujud, melata2 dalam kalangan masyarakat, tapi sukar dilihat, sangat diskrit...dan merbahaya. Contoh? memakai tangkal/azimat yang diyakini ada powerrrr ada kuasa pelindung, kuasa menyembuh, dan kuasa yang diperlukan di saat-saat genting, alaa macam Popeye, kalau kena belasah dengan Bruno, mesti keluar dari kocek dia spinach yang buleh bagi dia kuasa super duper.

Contoh lain syirik khafi ni adalah sifat sombong, riak, takbur, dan ujub...ia dikategorikan Islam sebagai perbuatan syirik, walhal kita mungkin selalu memiliki dan 'memulihara secara konsisten' sifat2 ini. Adusss...seriaunya. Seakan2 menjadi 'trend' manusia zaman sekarang (kebanyakkannya), suka nak menunjuk2, nak org tau segala amal ibadatnya, nak org tau segala achievementnya, nak org rasa 'oooo hebat seh mamat/minah ni', dengan tujuan yang jahat i.e. membangga diri melampau2, nak org sakit hati, nak suruh org lain agung2kan dirinya. Itu salah, bangga perlu ada sempadannya, jangan jadik riak dan takbur. Contoh bangga yang betul-- 'bangganya aku tengok anak aku berjaya dalam pelajaran, tak sia-sia aku bermandikan peluh, membanting tulang, mengalirkan air mata darah. semoga dia dapat berbakti kepada agama, bangsa dan negara'..contoh bangga yang diselaputi riak, takbur dan ujub-- 'bangganya aku tengok anak aku berjaya dalam pelajaran. biar satu kampung, satu Malaya tau anak aku tu anak sapa, baru org kenal jugak aku ni bapak/ibu yang hebat bentuk anak jadi berjaya..hinssh hinssh kembang lobang idungku'. Ini style bangga diri yang Allah tak suka..dan dikategorikan sebagai syirik khafi..memang tak tersangka bila dah buat.

So, marilah kita sama-sama muhasabah diri dan berpesan2 kepada rakan taulan, sedara mara, sanak handai...kita jaga2lah diri kita daripada bukan saja syirik yang nyata, bahkan syirik kecil yang tersembunyi sifatnya ini. Ia tidak lain akan hanya merosakkan nilai keimanan bahkan membatalkan iman kita kepada Allah, kufur akidah! wana'uzubillah! Jangan cuba tunjuk 'ek', tunjuk besar nak lawan keagungan, kekuatan, kekuasaan Allah SWT...jangan, jangan cuba2 pun. Kelak, nerakalah balasannya..selama2nya. Kerana segala dosa2 kita walau sebanyak buih2 di lautan, dengan izin-Nya jika kita sungguh2 bertaubat, taubatannasuha, pasti akan diampunkan Allah. KECUALI dosa syirik...

MARILAH KITA PERBAHARUI KEIMANAN KITA SETIAP HARI SEPERTI YANG DISUGGESTKAN RASULULLAH SAW DENGAN MENGUCAP KALIMAH LAILAHAILLALLAH..TIADA TUHAN SELAIN ALLAH! MEH, KITA UCAPKAN, JADIKAN ZIKIR HARIAN SEBANYAK YANG KITA MAMPU. SEMOGA ALLAH PELIHARA KITA DARIPADA MELAKUKAN SYIRIK...AMIN.

Tuesday, June 23, 2009

Bukan senang nak senang, bukan susah nak susah

Ada kalanya kita pasti akan selalu terfikir, kenapa agaknya suratan kehidupan manusia ni begitu susah nak senang, dan begitu senang nak susah. Kedapatan juga keadaan manusia yang begitu senang nak senang, dan susah pula tu nak susah. Inilah asam garam warna warni panca roba atas bawah cerah malap kehidupan manusia, khalifah di muka bumi yang merupakan satu-satunya makhluk ciptaan allah yang dikurniakan akal dan fikiran.

Ada manusia yang kaya, semakin kaya. ada manusia yang melarat semakin melarat. ada manusia yang dulu kaya,kini melarat. ada manusia yang dulu melarat kini kaya. ada manusia yang kaya, melarat, kaya, melarat silih berganti. tak kiralah musim gawat ka, musim tak gawat ka..begitulah halnya juga dalam konteks senang dan susah..sama saja.

Aku terfikir, mengapa sesetengah manusia diberikan ujian yang maha hebat oleh Allah SWT. Mengapa pula sesetengah manusia lain diberikan rahmat, rezeki yang tak putus-putus oleh-Nya jua. Jawapannya pelbagai, namun konkrit. Allah maha adil, Allah maha penyayang, Allah maha membalas, Allah maha mengetahui, Allah Maha bijaksana.

Setiap sesuatu yang dijadikan, atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada asbab, ada hikmah, dan ada ketentuannya jua. Manusia hanya perlu terus-terusan berasa syukur jika diberikan rahmat, iradat dan rezeki yang melimpah ruah. Arakian jualah sebaliknya buat manusia yang perlu terus-menerus bersabar andai diberi ujian demi ujian demi cubaan demi rintangan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, lagi bersalut dengan penyerahan tiada kompromi tiada tolok banding tiada bersyarat kepada Allah SWT tuhan yang maha esa.

Tak perlu tengok perspektif yang luas lagi besar, cuba tengok dalam konteks yang kecil sedikit. Tengok, kadang-kala kita akan jaki, jeles, iri melihat sahabat-sahabat di kiri kanan yang nampak seperti bahagia, nampak tenang, nampak senang 24/7. Dibanding dengan diri sendiri, yang mungkin tidak sesenang, sebahagia, setenang sahabat-sahabat tadi. Tapi selalukah kita lihat juga kepada rakan-rakan yang selalu dirundung kesukaran, kesakitan, kepayahan, kejerihan, yang nampak terseksa, melara, duka nestapa?

Bandingkan diri mereka dengan diri kita, yang adakalanya atau selalunya lebih bernasib baik, lebih bahagia daripada mereka. Maksud saya, kalau kita asyik fikir kenapa kita tak sebahagia orang lain, perlu jua kita fikir, syukur alhamdulillah, sekurang-kurangnya nasib kita lebih baik, atau sikit lebih baik daripada sesetengah orang lain pula. Nah, ini memang amalan manusia, suka membanding2kan apa yang diri sendiri tak dapat semacam apa yang orang lain dapat, tapi selalu juga lupa dengan apa yang diri sendiri dah dapat tapi tidak pula didapatkan oleh sesetengah orang lain.

MANUSIA TAK PERNAH PUAS. itu tak boleh nak dinafikan.

Tapi pokok pangkalnya, susah atau senang macam manapun manusia itu, perlulah sedaya upaya dirinya untuk terus teguh memegang tali kepercayaan dan kesetiaan kepada Islam dan kepada al-Khaliq, tuhan pencipta sekalian alam. maha hebat mana pun ujian diterima, redha, syukur dan bertawakkaltu'alallah, dan teruslah berusaha dan berdoa agar Allah mengurniakan keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya. Allah SWT berfirman, yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, INNALILLAHI WAINNA ILAIHI RAJIUN, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat pentunjuk." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Akan tiba masanya, kalau tak di dunia, di akhirat kelak, akan terbit sinar kemenangan dan kerahmatan menerangi kehidupan, berkat kesabaran dan keimanan yang menebal.. Insya Allah.

Sayugia jualah, selautan atau setinggi gunung manapun harta,kemewahan, kesenangan dan kebahagiaan yang dianugerahkan Allah kepada kita, perlu kita syukuri dan kita salurkan buat menguatkan lagi panji-panji syiar Islam di muka bumi ini. Perlu jualah diyakini sedalam-dalamnya bahawa segala nikmat ini, dengan izin Allah yang maha besar, akan hilang sepantas kelipan mata, petikan jari...jika itulah ketentuan-Nya. Allah Berfirman, mafhumnya:

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan "kami telah beriman" sedangkan mereka belum lagi dijui? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan dan orang yang dusta." (Surah al-Ankabut, ayat 2-3).

Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan, baik mahupun tidak..akan tetap diperhitungkan, dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah. Di dalam al-Quran, Allah SWT berfirman maksudnya:

"Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula" (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8).

Peringatan buat diriku sendiri, janganlah mengeluh kesah bila berdepan zaman 'gawat kehidupan', bermuram durja, hingga mudah syaitan menusuk jarum2 kebencian terhadap ketentuan Allah. Jangan jua jadi kaduk naik junjung, jadi luncai dengan labu-labunya, jadi badang berlagak dgn muntah hantunya, lupa dunia, lupa akhirat, lupa tuhan yang maha kaya, jua mudahlah syaitan menuangkan tuak dan khimar ke dalam kotak fikiran yang memabuk dan melalaikan dan mengalpakan diri . Kelak bila diri berada di awang-awangan, tiba2 patah sayap jatuh terjelepuk ke muka bumi, patah riuk, ranap binasa, punah ranahlah segala kegirangan berganti pedih, lara, dan kefakiran, serta kekufuran! Wana'uzubillahi minzalik!

Friday, June 19, 2009

Perikemanusiaan vs zero-tolerance'

Di mana letaknya budi bicara dan pertimbangan? Ini yang orang selalu kata 'dia buat tak apa, kita buat tak boleh'. Saya yakin, andai benarlah cerita dalam surat pembaca di Berita Harian di bawah ini, nilai perikemanusiaan individu yang berkaitan adalah kosong, sekosong konsep 'sero-tolerance'nya, dan dengan konon-konon tebalnya nilai 'ikut peraturan syarikat kami, tiada kompromi'.

Senang-senang duit orang dikebas dirampas secara paksa, dan bayangkan juga halal haram duit dan keuntungan yang diperoleh sebegini rupa. Cuba kena pada batang hidung sendiri, anak sendiri, isteri sendiri, suami sendiri, mak ayah sendiri..geram tak? ada rasa 'semacam' tak?

Aku tumpang geram dan kesal!

p/s: tak sabar nak dengar 'penjelasan' syarikat terbabit...mengaku atau menidakkan...tunggguuu...


****************************************
Staf pintu berlepas angkuh (Berita Harian 19 June 2009)

SAYA terkilan dengan layanan dan servis staf AirAsia di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu Kelantan. Pada 17 Jun, tiga anak saya sepatutnya menaiki pesawat AirAsia AK5283 (tempat duduk 28A, 28B dan 28C) dari Kota Bharu ke Terminal Tambang Murah (LCCT) pada jam 12.20 tengahari. Memandangkan rumah adik saya bersebelahan dengan lapangan terbang, mereka terlebih dulu daftar masuk jam 11 pagi dan pulang kembali ke rumah. Kemudian mereka kembali ke lapangan terbang pada jam12 tengah hari, terlewat 10 minit daripada masa yang ditetapkan, iaitu 11.50, 30 minit sebelum penerbangan. Selepas selesai mengimbas bagasi bawaan tangan anak saya naik ke pintu berlepas dan mendapati penumpang sudah menaiki pesawat, bagaimanapun, seorang staf AirAsia masih berada di pintu berlepas. Namun, beliau menahan ketiga-tiga anak saya daripada menaiki pesawat walaupun polis lapangan terbang mengiringi mereka dan meminta dibenarkan menaiki pesawat.

Dengan angkuh, staf itu menjawab, 'Kami tetapkan masa menaiki kapal terbang 30 minit sebelum penerbangan, maka perlulah datang 30 minit. Sila turun sekarang dan bagasi anda akan dibawa turun.' Pihak AirAsia sanggup mengambil masa menggeledah perut kapal terbang untuk mengeluarkan beg anak saya daripada menggunakan sedikit peri kemanusiaan mengizinkan anak saya menaiki kapal terbang. Sudah semestinya kalau dikirakan, masa untuk anak saya melangkah ke kapal terbang lebih cepat berbanding masa untuk menggeledah beg dan mengeluarkannya.

Bayangkan, bagaimana perasaan ketiga-tiga anak remaja saya dilayan begitu. Malah, terpaksa pula menunggu sekian lama untuk mendapatkan kembali beg mereka, sekali gus penumpang yang lain juga terpaksa menunggu.
Saya tidak menafikan kesilapan di pihak kami yang terlewat hanya beberapa minit, tetapi perlukah kami mendapat layanan sebegini? Sedangkan kami sekeluarga adalah pelanggan setia AirAsia dan saya adalah pemegang kad kredit Citibank-AirAsia. Selama ini kami sentiasa bersabar dengan perkhidmatan AirAsia yang kerap dijadual semula atau tertangguh tanpa notis sehingga berjam-jam.

Malah, tiga hari sebelum kejadian ini, suami saya terpaksa menunggu hampir dua jam kerana penerbangannya (AK5295) dijadual semula dan tertangguh daripada jam 10.35 malam ke jam 12 malam. Kelewatan AirAsia selama dua jam boleh dimaafkan tetapi kelewatan pelanggan 15 minit tidak boleh?

Saya teramat kesal, marah dan sedih dengan apa yang berlaku, bukan saja mengambil kira dari aspek kewangan, tetapi yang jelas kepada saya ialah betapa saya mendapati ciri kemanusiaan sudah hilang. Persoalan terakhir saya, adakah hanya kerana AirAsia dengan konsep pemurahnya menawarkan tambang murah agar sesiapa saja boleh terbang maka boleh berlaku kejam sewenang-wenangnya kepada pelanggan mereka tanpa ada rasa belas kasihan dan kemanusiaan? Pihak AirAsia perlu memikirkan perkara ini sewajarnya.

PROF MADYA DR NAIMAH ABDULLAH Shah Alam, Selangor.


Related Posts with Thumbnails