Sunday, July 5, 2009

Minggu Orientasi Universiti -- Minggu Ragging?

Selamat datang ke menara gading buat pelajar2 baru di semua IPTA dan IPTS. Selamat kembali ke kampus buat mahasiswa-mahasiswi yang telah atau baru bergelar 'senior'. Selamat bersibuk-sibuk dengan kuliah, dengan temujanji bersama pensyarah, dengan susunatur jadual belajar yang kembali padat, dengan buku-buku dan nota yang membukit untuk ditelaah..namun, inilah pahit manis dunia universiti, yang suatu hari kelak akan dirindui kalian semua, sebagaimana kami yang dah bertahun2 meninggalkan alam pengajian tinggi ini.

Aku nukilkan satu artikel yang disiarkan oleh Berita Harian 29 Jun 2009 yang lepas berkaitan Minggu Haluan Siswa a.k.a minggu orientasi a.k.a minggu taaruf dan sebagainya.

**********************

Orientasi IPT mesti berunsur keintelektualan

SEJAK bertahun-tahun dulu, pihak universiti menganjurkan minggu orientasi dinamakan sebagai minggu interaksi, minggu haluan siswa atau minggu taaruf pada awal kemasukan siswa baru ini. Penganjuran minggu orientasi di institusi pengajian tinggi (IPT) kebiasaannya diterajui Unit Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan dibantu Majlis Perwakilan Mahasiswa, persatuan Pelajar dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa.
Minggu orientasi sangat besar impaknya dalam menyuluh jalan tepat untuk diteladani siswa baru dalam mengharungi dunia menara gading yang serba asing ini. Misalnya, aktiviti pengenalan kepada polisi dan peraturan universiti berperanan memandu arah siswa baru mengenai hala tuju universiti.
Aktiviti debat antara siswa memberi panduan supaya siswa bijak mengolah dan mengutarakan pendapat dan bangkangan. Aktiviti keagamaan seperti muzakarah, usrah dan perbincangan moral mengajak siswa untuk berpegang teguh dengan panduan agama masing-masing. Aktiviti kesukanan mencetus kepada gaya hidup siswa yang sihat. Aktiviti kemasyarakatan pula menyerlahkan bahawa siswa begitu besar tanggungjawabnya kepada perkembangan komuniti dan sosial.

Namun, kejayaan pihak universiti mengadakan minggu orientasi yang sempurna akan tercalar jika ada anasir yang tidak memenuhi aspirasi universiti. Dalam kes yang pernah berlaku sebelum ini, rungutan diluahkan sebilangan ibu bapa dan penjaga mengenai sesuatu yang ‘menyimpang’ berlaku kepada anak mereka menjelaskan segala-galanya.
Misalnya, wujud program sampingan yang dianjurkan siswa senior untuk menunjukkan ‘senioriti’ masing-masing dengan memaksa siswa baru membasuh baju mereka, membuat sesuatu yang tidak masuk akal seperti meniup lampu kalimatang hingga padam, memberi gelaran nama yang buruk dan memalukan kepada siswa baru, dan sebagainya. Pihak universiti dan Majlis Perwakilan Mahasiswa bertanggungjawab untuk menghindarkan program yang tidak berasas sebegini.
Beberapa cadangan seperti berikut boleh dijadikan pertimbangan pihak universiti untuk memastikan kelancaran dan kemurnian minggu orientasi siswa ini.

:: Pihak universiti perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap pelajar senior yang didapati membuli pelajar baru bukan saja dalam minggu orientasi bahkan pada sepanjang masa. Ini dapat memberi pengajaran kepada semua siswa bahawa membuli adalah satu kesalahan yang sangat serius dan dilarang.
:: Pemilihan ahli jawatankuasa penganjur dan fasilitator di kalangan siswa perlu dilaksanakan dengan lebih teliti. Hanya mereka yang benar-benar matang, serius, menunjukkan sifat kepemimpinan dan berakhlak terpuji yang dipilih.

:: Semua aktiviti yang dianjurkan sepanjang minggu orientasi perlu dikawal, dipantau dan diaudit sepenuhnya bagi mengelak sebarang aktiviti yang bercanggah dengan matlamat sebenarnya dalam minggu orientasi.
::Siswa baru diberi ruang seluasnya untuk membuat aduan sekiranya berlaku sebarang aktiviti buli atau tidak relevan yang berlaku kepada mereka ketika dan selepas minggu orientasi. Ia akan menjadi satu bentuk jaminan bahawa universiti benar-benar bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka dan mereka tidak perlu gusar dan takut dengan sebarang tindakan negatif senior mereka.
:: Perlu ada mekanisme kawalan secara langsung terhadap semua aktiviti dilaksanakan sepanjang minggu orientasi daripada pegawai universiti yang bertanggungjawab. Pegawai seperti di Unit Hal Ehwal Pelajar dan Fakulti, serta pengurus dan felo asrama perlu secara langsung mengawal selia perjalanan setiap program yang dianjurkan.

Semua pihak perlu ingat bahawa Falsafah Pendidikan Negara meletakkan justifikasi yang tinggi untuk melahirkan graduan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek dan ber-keupayaan menyumbang ke arah pembangunan negara secara total. Untuk itu, sekiranya anasir negatif telah sedia wujud sejak minggu orientasi lagi, dikhuatiri matlamat melahirkan siswa cemerlang, gemilang dan terbilang akan terjejas.
Jika minggu orientasi di universiti terjamin 100 peratus menepati sasaran keintelektualannya, maka sudah tentulah semua pihak akan menghela nafas kelegaan. Ia juga akan menambah keyakinan ibu bapa dan penjaga untuk melepaskan anak-anak mereka hidup secara berdikari di menara gading, dan seterusnya berjaya menggenggam segulung ijazah pada akhir pengajian nanti.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails