Monday, November 10, 2008

Ramadhan erat perpaduan Desa Bundoora

artikel aku tulis dalam hari2 terakhir di Bundoora b4 balik Malaysia haritu. keluar di Utusan Malaysia 20/9/08.. memang syiok citer dan hebahkan pasal orang2 Bundoora ke seantero negara dan dunia.

Ramadhan erat perpaduan Desa Bundoora

Hari ini di Bundoora sebuah kawasan pinggiran bandar terletak kira-kira 20 km dari pusat kotaraya Melbourne, Australia telah wujud satu komuniti pelajar dan pekerja warganegara Malaysia yang berbilang bangsa, keturunan dan agama, yang cukup kuat nilai-nilai persaudaraan dan setiakawannya. Walaupun tanahair tercinta ditinggalkan jauh beribu batu, namun seperti mana adatnya di Malaysia, ukhwah warga ‘Desa Bundoora’ di sini cukup kuat bertunjangkan ajaran Islam dan tatasusila budaya bangsa pegangan masing-masing. Penulis sekadar ingin berkongsikan bersama khalayak umum akan kesegaran nilai-nilai silaturrahim yang dinikmati sendiri oleh penulis dan sahabat handai di tempat yang lebih senang untuk kami panggil Desa Bundoora ini.
Beberapa hari sebelum menjelang bulan Ramadan, penulis telah dijemput untuk meraikan satu majlis aqiqah dan cukur rambut anak sulung seorang sahabat terdekat di sini. Dalam majlis yang serba sederhana tetapi meriah ini, penulis berpeluang berbual panjang dengan beberapa sahabat yang baru sahaja tiba dari Malaysia membawa seisi keluarga bagi melanjutkan pengajian mereka. Sahabat-sahabat ini berkongsikan rasa kelegaan dan syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dipermudahkan segala urusan mereka.
Umum mengakui bahawa banyak perkara yang sebenarnya begitu kritikal dan memeningkan dalam tahap-tahap awal penghijrahan di luar negara. Lebih-lebih lagi jika urusan sebegini merupakan satu pengalaman pertama yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Sahabat-sahabat tadi melahirkan rasa syukur kerana kehidupan peringkat awal yang difikirkan sangat sukar untuk dilalui di bumi asing dalam mencari rezeki dan ilmu pengetahuan, rupa-rupanya menjadi begitu lancar kerana ada pihak-pihak di sini yang tidak putus-putus bermurah hati memberikan bantuan dan sokongan tidak berbelah bahagi.
Sifat murni dan tanggungjawab ini selaras dengan apa yang dituntut dalam Islam dalam menjaga perhubungan sesama insan (hablum minannas). Rasulullah SAW sendiri mengingatkan kita akan ganjaran yang akan diterima jika kita menjaga hubungan silaturrahim melalui sabda baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaklah ia memelihara hubungan silaturrahim” (riwayat Bukhari dan Muslim). Apa yang penulis maklum, terdapat beberapa orang rakan menawarkan rumah mereka sendiri kepada rakan-rakan baru yang sukar mendapatkan kediaman sementara tak ubah seperti konsep homestay. ‘Privacy’ yang dinikmati, sanggup dibuang jauh-jauh dan tetamu yang menumpang diraikan umpama kaum keluarga sendiri.
Begitu juga sebilangan mereka yang sanggup meluangkan masa dan tenaga demi membantu rakan-rakan baru mencari tempat kediaman, melengkapkan perkakasan asas rumah, mendapatkan makanan halal, sehinggalah kepada urusan pendaftaran persekolahan anak-anak yang merupakan urusan ‘wajib’ yang perlu diselesaikan dengan kadar segera. Itu belum lagi dikira akan kesanggupan sesetengah isteri dan ibu yang sudi menjadikan rumah mereka umpama ‘tadika’ dan diri mereka sebagai ‘ibu angkat’ dalam menjaga anak-anak rakan lain yang perlu menggalas tanggungjawab bekerja atau belajar. Masing-masing sedar bahawa pengalaman pahit manis yang dilalui semasa baru hendak ‘bertatih’ di bumi asing mengajar diri untuk tidak lokek memberi bantuan dan meringankan beban pihak-pihak lain yang baru bertandang dan belajar menyesuaikan kehidupan mereka.
Kelihatannya dalam kalangan warga Malaysia di Desa Bundoora ini sudah boleh diumpamakan seperti saudara sedarah sedaging. Manakan tidak, kalau ada yang sakit pening dan tak termampu menghadapi masalah bersendirian, pasti dengan pantas puluhan tangan akan sudi menghulur bantuan. Umpama peha kanan dicubit, peha kiri turut merasa sakitnya. Kalau ada yang berhajat menganjurkan kenduri doa kesyukuran, kualiah agama, membaca Surah Yassin dan bertahlil, pasti juga akan penuh sesak rumahnya dengan kunjungan sahabat handai yang turut membawa juadah makanan untuk disedekahkan kepada tuan rumah. Andai ada yang baru berpindah rumah, atau menganjurkan program gotong-royong, pasti ramai juga sanggup datang menyingsing lengan dan memerah keringat memastikan urusan dapat diselesaikan dengan sempurna.
Tidak kurang juga meriahnya aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini seperti anjuran majlis berbuka puasa, solat sunat tarawih secara berjemaah, dan bertadarus al-Quran yang dilakukan bersama-sama. Pendek kata, memang sukar untuk sesiapa yang berada di Desa Bundoora ini untuk berasa terasing atau diasingkan, kecualilah mereka sengaja mahu memencilkan diri sendiri. Inilah resam perpaduan yang menggambarkan bahawa setiap individu warga Malaysia di Desa Bundoora ini cukup cermat dalam menjaga hubungan silaturrahim.
Hakikatnya, satu-satu perkumpulan masyarakat yang memandang sepi akan kepentingan dan kesan-kesan positif menjalinkan silaturrahim tidak akan merasai nikmat persaudaraan yang sebenar-benarnya. Tanpa wujudnya sifat-sifat murni seperti mengambil berat, bantu-membantu, nasihat-menasihati, dan kasih-mengasihi kerana Allah SWT, maka hilanglah kemanisan silaturrahim dalam hidup bermasyarakat. Masyarakat tersebut akan mudah berpecah-belah dan tidak dapat ‘seiring dan sejalan’ dalam apa jua perkara.
Tidak dapat tidak, dalam pada kita giat melalui kehidupan bermasyarakat, pasti akan wujud pertikaman lidah, perbezaan pendapat, silap tutur bicara, mahu pun keterlanjuran perbuatan. Itu merupakan adat dalam kehidupan yang sukar untuk dielakkan. Ditambah lagi kalau ada segolongan insan yang dipanggil ‘batu api’
yang gemar menebar fitnah melaga-lagakan orang lain dan memutuskan silaturrahim sesama ahli dalam komuniti. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud ‘tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan’ (riwayat Muslim).
Lantaran itu, apa yang penting adalah agar semua ahli dalam sesuatu masyarakat mempunyai sikap profesional, menghindarkan rasa iri hati, tidak sombong, tidak mengadu domba, tidak melampaui batas dalam bergaul, bahkan tidak menyimpan sebarang dendam kesumat. Cukup molek jika semua pihak yang mungkin berkaitan dalam pertelingkahan menyuburkan sifat memaafkan dan redha dengan apa yang telah dilakukan oleh para sahabat yang lain demi mengukuhkan hubungan silaturrahim yang telah dibina.
Hubungan silaturrahim yang ditonjolkan oleh komuniti Malaysia di Desa Bundoora ini merupakan satu contoh terjemahan kekuatan dan kesepaduan ummah. Penulis yakin, suasana kehidupan bermasyarakat seperti mana yang ditonjolkan di Desa Bundoora ini turut subur dan mekar diamalkan oleh komuniti-komuniti warga Malaysia yang lain baik di tanahair mahu pun di seluruh pelusuk dunia. Yang paling penting, selagi syariat Islam dan budaya murni warisan bangsa tetap dinobatkan sebagai tunjang petunjuk dalam memandu arah kehidupan bermasyarakat, yakinilah bahawa Allah SWT akan memberikan keredaan dan rahmat-Nya kepada seluruh ahli dalam satu-satu masyarakat tersebut.

Khairunneezam Mohd Noor,
‘Desa Bundoora’, Melbourne, Australia

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails