Tuesday, November 11, 2008

Pelajar Tendang Guru?? Biadab macam biawak seeehh!!

Fuuhhhh, macam mana nak memanifestasikan rasa kesal dan geram aku kat budak sekolah beringuih yang berani tendang chekgunya kat Perlis tu? aaa..aku cuba luahkan segala pendaman perasaan tu melalui artikel aku ke Berita Harian, 28 Oct 2008...

Mengejutkan juga apabila membaca berita tentang seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua di sebuah Sekolah Menengah di Perlis yang telah memukul dan menendang gurunya sendiri baru-baru ini. Tindakan keterlaluannya itu mengundang padah kepada dirinya sendiri apabila dia digantung persekolahan selama seminggu oleh pihak sekolah. Bukan setakat itu sahaja, rentetan laporan polis yang dibuat oleh guru yang menjadi mangsa, pelajar itu akan turut disiasat mengikut Seksyen 323 oleh pihak polis kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Walaupun pelajar tersebut telah cuba menyatakan rasa insaf dan memohon maaf kepada guru yang dikasarinya itu, namun tindakannya itu tak ubah seperti ‘nasi yang sudah menjadi bubur’. Andai benar dirinya ikhlas untuk menimba ilmu, pasti sejak awal dia akan akur apabila ditegur, jujur mengakui kesilapan. Ini tidak, sudahlah tugasan yang diberikan oleh gurunya itu tidak disempurnakan, pelajar itu pula begitu berani menulis perkataan ‘gila babi’ di belakang buku tugasannya, yang penulis kira merupakan luahan rasa tidak puas hati yang tidak kena gayanya terhadap guru tersebut.

Kemuncak kebiadaban pelajar itu terserlah apabila dia dilaporkan sanggup menghayun tangan memukul dan mengangkat kaki menendang guru tersebut yang kemuliaannya diiktiraf hampir setaraf dengan martabat ibu dan bapa!

Penulis akur, tindakan pelajar perempuan tersebut adalah salah satu manifestasi rasa memberontak sebilangan pelajar sekolah di seluruh negara terhadap guru-guru, namun ia juga membuktikan kedangkalan pemikiran mereka. Banyak lagi tindakan kurang waras yang acap kali dilakukan akibat rasa tidak puas hati dengan guru seperti mencalarkan kereta guru, menghantar surat layang atau sms penuh dengan caci maki, menconteng dinding tandas sekolah dengan kutukan terhadap guru tertentu, ponteng sekolah dan sebagainya.

Namun, tindakan-tindakan negatif yang dibuat oleh sebilangan kecil pelajar ini tidaklah mencerminkan keperibadian umum para pelajar sekolah di negara kita. Majoriti pelajar lain yang tinggi nilai moral dan kesantunannya, pasti turut bersama mengikut masyarakat umum mengutuk tindakan negatif rakan mereka ini. Mereka pastinya sedar bahawa guru perlu disanjungi, dihormati dan disayangi sama seperti mana mereka lakukan kepada ibu bapa sendiri.

Sesungguhnya, guru merupakan individu yang sangat mulia hati nuraninya. Gurulah pembimbing yang bertanggungjawab dalam mencerna kecemerlangan sahsiah, kerohanian dan intelektualisme anak-anak bangsa. Betapa luhur dan signifikannya jasa-jasa guru sehingga masyarakat mentafsirkan diri guru sebagai ‘sebatang lilin yang ikhlas membakar diri sendiri untuk menerangi kegelapan malam’. Habis segala peluh dan keringat dicurahkan, masa dikorbankan, tenaga dan idea disumbangkan, bahkan air mata dilinangkan hanya untuk melihat anak-anak bangsanya berjaya.

Kalau cara berlembut atau bertolak ansur tidak lagi berkesan dalam memperbetulkan kesilapan pelajar, maka sudah tentulah seorang guru akan menggunakan kaedah dendaan dan hukuman yang lebih tegas dan keras jika ianya didapati perlu. Misalnya, pengalaman penulis sendiri dan beberapa rakan yang agak nakal ketika zaman persekolahan dulu, sering didenda dan dimarahi oleh guru-guru sekolah. Begitupun, kami tidak berani untuk melawan, kerana sedar itulah tandanya bahawa guru-guru tersebut sangat kasih dan sayang terhadap kami. Dengan izin Allah SWT, hari ini kami semua berjaya dalam kehidupan masing-masing, berkat ketabahan guru-guru mendidik dan membimbing kami tanpa jemu dan putus asa.

Bayangkan jika guru berputus asa dalam mendidik pelajar bermasalah ini dan mengambil sikap ‘lantaklah kamu’, ‘pedulikanlah’ atau ‘biarlah luncai terjun dengan labu-labunya’, ia akan menyebabkan pelajar tersebut lebih jauh tersasar daripada landasan kejayaan yang diharap-harapkan oleh semua pihak. Semakin kroniklah juga permasalahan pelajar tersebut, kerana tiada lagi orang yang mahu mendidik dan membimbingnya dalam mengharungi cabaran kehidupan.

Penulis benar-benar mengharapkan agar kes menendang guru yang telah berlaku ini dijadikan tauladan dan sempadan oleh semua pihak terutamanya golongan pelajar sekolah. Penulis yakin pihak pentadbiran sekolah, guru-guru, ibu bapa, mahupun pihak-pihak lain yang berkaitan telah mengambil langkah yang sewajarnya dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah sentiasa mantap dan berkesan dalam menghasilkan para pelajar yang cemerlang.

Terpulang kepada individu pelajar sendiri untuk mencerna kegemilangan dalam pelajaran dengan cara membulatkan tekad, menguatkan azam, menonjolkan keperibadian diri yang baik, menghormati guru dan mewujudkan konsentrasi belajar yang konsisten. Atau sebaliknya tunjukkanlah keegoan, bersifat malas, menimbulkan masalah disiplin, tidak bersungguh-sungguh menelaah pelajaran dan sebagainya yang mana ianya akan mengundang ribuan kekesalan pada masa akan datang.

Ingatlah peri pujangga ada berkata, ‘berburu ke padang datar, dapat rusa patah kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Alangkah malang dan ruginya andai benar segala ilmu yang dicurahkan oleh guru tidak dihalalkan kepada anak-anak muridnya kerana sifat biadap mereka. Maka hilanglah jua keberkatan dan kemanisan ilmu yang sepatutnya menjadi suluh kehidupan anak-anak bangsa.

Yakinilah bahawa tindakan tegas yang diambil guru-guru, tetap berpaksikan matlamat untuk mendidik anak-anak bangsa supaya sentiasa berada di landasan tepat untuk mengecap kejayaan dalam segala hal. Janganlah pula para pelajar mudah memberontak kerana hukuman yang diterima oleh mereka adalah disebabkan sikap mereka sendiri yang tidak betul. Ingatlah bahawa ketegasan dan amarahnya guru adalah kerana mereka sangat menyayangi kita dan bukannya membenci.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails