Thursday, October 30, 2008

JOM MAKAN RASUAH!!

aku publish semula entry aku dalam frenster blog aku on April 23rd, 2008.


'hoho, jangan terpedaya dengan entry title, saja je tu..nway harini artikel aku pasal rasuah di Berita Harian (Kames–24 April 08), check it out!'


Penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah IPT Disokong

Sungguh seronok perasaan seseorang jika dapat menikmati ‘durian runtuh’ dengan cara yang mudah tanpa perlu bersusah payah menitikkan peluh dan menggerakkan tulang empat kerat. Mungkin perasaan seronok itu berganda-ganda terasa bagi penerima suapan rasuah tak kira dalam bentuk wang ringgit, harta benda, pangkat, dan sebagainya. Bagi yang menyogok rasuah pula mungkin tersenyum lebar kerana mudah mendapatkan sesuatu yang dihajatinya dengan mengabui mata orang lain menggunakan duit atau harta benda. Tatkala barisan pemimpin negara di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi begitu serius mengotakan ikrar untuk mendidik dan membentuk masyarakat untuk menjauhi rasuah, malanglah jika masih ada individu yang buta hati dan pemikirannya dengan tiada sifat segan silu memberi atau menerima rasuah.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada awal tahun ini telah bersama-sama menggagaskan idea untuk menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT). Sekretariat yang membabitkan 20 IPT di seluruh negara ini diharapkan dapat berperanan menyediakan garis panduan, mengeluarkan risalah serta mengadakan pelbagai program berkaitan pencegahan rasuah. Sebenarnya, penubuhan sekretariat ini adalah sangat dialu-alukan dan perlu direalisasikan akan penubuhannya. Ia bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk menghapuskan budaya rasuah sehingga ke tahap sifar. Berdasarkan pengalaman menjadi pelajar dan pengajar di universiti, kes-kes menyogok dan menerima rasuah di universiti sememangnya berlaku dalam pelbagai sifat dan kaedah.

Kes-kes yang berlaku secara tersurat mahupun tersirat menggambarkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dikhuatiri terus berleluasa di universiti. Tinggal lagi ianya dikaburi dengan tanggapan bahawa ianya murni dan tidak sedikit pun dibajai dengan niat yang salah. Kononnya inilah konsep ‘menang-menang’ yakni kau dapat apa kau mahu, dan aku dapat apa yang aku mahu. Sehingga ke satu tahap, dek kerana kelazatan mendapat faedah melalui saluran ‘haram’ ini, ada sesetengah pihak di universiti yang ketagih dan tidak segan silu meminta-minta rasuah. Kes-kes sogokan rasuah yang kelihatannya semakin menjadi-jadi mutakhir ini membuktikan bahawa penyakit sosial ini masih kental menghantui masyarakat merentasi pelbagai usia, pangkat, sektor pekerjaan, bangsa dan jantina termasukla warga universiti.

Gejala rasuah sebegini benar-benar merobohkan kesucian dan martabat universiti sebagai gedung ilmu dan melunturkan kredibiliti dan keperibadian seseorang pensyarah mahu pun pentadbir jika benar mereka mengamalkannya. Ironinya, elemen keikhlasan, keadilan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kejayaan turut luntur dalam jiwa penerima dan pemberi rasuah yang mencari jalan pintas mencapai objektif diri masing-masing.

Daripada perspektif Islam, sesungguhnya kita adalah ditegah sama sekali terlibat dengan rasuah dan ia dianggap melakukan dosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188 bermaksud ‘dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)’. Islam menuntut umatnya untuk tidak mencari jalan singkat dan haram dalam mendapatkan rezeki tetapi berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal dan diberkati Allah SWT.

Daripada konteks perundangan, rasuah dianggap sebagai salah satu kesalahan serius yang boleh menggugat ketenteraman negara dan masyarakat. Untuk itu sesiapa sahaja yang terlibat dengan perlakuan rasuah boleh dikenakan tindakan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Pencegahan Rasuah 1997, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (Akta 613) yang membolehkan pesalah didenda atau dipenjara atau kedua-duanya sekali.

Rasuah mempunyai implikasi negatif sama ada kepada pemberi atau penerimanya. Daripada segi pemikiran, pemberi rasuah sentiasa dangkal dan akan mencari jalan yang singkat dengan memberi suapan untuk mendapatkan sesuatu yang dihajatinya. Penerima rasuah pula akan menjadi ketagih dan mahukan lagi suapan demi suapan kerana sudah terbiasa dan seronok. Daripada segi emosi, penerima rasuah sentiasa rasa tidak selamat kerana selalu mencurigai orang lain, menjadi tidak adil dan tidak amanah. Pemberi rasuah pula akan bertambah kuat perasaan tamak dan halobanya dengan mengamalkan ‘quid pro quo’ (this for that) atau berkorban sedikit untuk mendapatkan habuan yang lebih lumayan.

Rasuah membuatkan seseorang menjadi tidak rasional. Bekerja juga sudah hilang ikhlasnya kerana selalu memikirkan jalan untuk mendapatkan ganjaran dengan cara yang mudah dan cepat. Bahkan akan wujud satu bentuk perasaan ‘hendak pulun keuntungan sendiri’ dengan menerima rasuah. Percayalah, bahawa kemewahan dan kesenangan yang diterima atas tiket rasuah langsung tidak diberkati tuhan bahkan mendorong ke arah pembaziran dan penyalahgunaan kuasa dan pangkat. Rezeki dan sebarang harta benda yang bersumberkan sesuatu yang haram seperti rasuah, akan menjadi bahan menjerumuskan seseorang ke dalam api neraka di akhirat kelak.

Bagi sesiapa yang menjawat jawatan dan kepentingan tertentu berlaku adil dan amanahlah tanpa perlu tunduk kepada anasir-anasir suapan atau ‘duit bawah meja’. Yang berharta dan berkemampuan, jangan amalkan sikap suka ‘hulur duit’ untuk mendapatkan sesuatu dengan cepat. Berusahalah mengikut saluran yang sepatutnya dan redha dengan apa yang telah diperoleh. Begitu juga kepada sesiapa yang mengetahui wujudnya amalan suapan tidak kira di tempat kerja atau di persekitaran awam, laporkanlah kepada pihak yang berkuasa agar gejala rasuah ini tidak terus berleluasa dan menjadi lebih kronik.

Usaha pembentukan sekretariat pencegahan rasuah ini perlulah direalisasikan dan juga disokong tanpa berbelah bagi oleh semua warga IPT. Inilah platform terbaik untuk membimbing semua pihak akan bahayanya amalan rasuah yang boleh menghancurkan kewarasan fikiran dan merobohkan status universiti sebagai wadah penyebar keilmuan yang paling terulung. Adalah dicadangkan agar sekretariat ini kelak melaksanakan program yang serius, bersifat menyeluruh dan berterusan dalam mendidik warga IPT tentang rasuah. Misalnya, penganjuran seminar dan kolokium di kalangan pensyarah, pihak pentadbiran dan pelajar, mewujudkan satu jurnal akademik sebagai platform penulisan ilmiah yang boleh dikongsi masyarakat, kajian-kajian sosial berkenaan bahayanya rasuah dan program-program kemasyarakatan dan khidmat komuniti yang menggalakkan asimilasi antara warga universiti dan orang awam ke arah pembasmian gejala rasuah yang total.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails